Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Siswa di bawah bayang-bayang pandemik

Mohd Fudzail Mohd Nor

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Feb 2021, 1:20 pagi

Pada Hari Orang Kurang Upaya Antarabang yang disambut setiap Disember, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menekankan kepentingan mempromosikan budaya boleh akses serta mengambil kira keperluan mendesak orang kurang upaya, terutamanya semasa pandemik.

Bawah panji “pendidikan yang boleh diakses”, banyak kajian dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai aksesibiliti di kampus kolej dan menggalakkan institusi pengajian tinggi menyediakan lebih banyak peluang pendidikan dan sosial kepada pelajar kurang upaya.

Beberapa tahun lalu, Turki melancarkan inisiatif “Anugerah universiti bebas halangan” dalam usaha mempromosikan budaya universiti yang lebih mudah diakses di seluruh negara.

Semua universiti yang memenuhi kriteria ditetapkan diberi ganjaran “bendera” yang menunjukkan mereka boleh diakses oleh pelajar kurang upaya dalam banyak aspek.

Universiti dinilai berdasarkan beratus-ratus kriteria daripada segi ruang fizikal, peluang pendidikan dan aktiviti sosiobudaya.

Bendera oren, misalnya, menunjukkan akses mudah di ruang fizikal. Bendera hijau dan biru menunjukkan akses dalam aktiviti pendidikan dan sosiobudaya.

Inisiatif ini menarik lebih banyak perhatian daripada yang dijangkakan.

Sebagai contoh, untuk menerima bendera oren, universiti dikehendaki memenuhi lebih daripada 200 kriteria.

Walaupun ini adalah komitmen jangka panjang (persediaan untuk menerima bendera sering mengambil masa setahun), banyak universiti di seluruh Turki bergerak dengan pantas ke arah menyediakan akses bagi golongan ini.

Halangan hilang upaya semasa Covid

Kebanyakan permohonan untuk Anugerah Universiti Bebas Halangan adalah berdasarkan kebolehcapaian fizikal.

Malangnya, permohonan untuk bendera melibatkan akses pendidikan dan aktiviti sosiobudaya, lebih kecil bilangannya susulan kebanyakan program akademik belum direka dengan akses itu dalam fikiran.

Sebagai contoh, membuat program reka bentuk grafik yang boleh diakses oleh individu autistik dan pekak memerlukan perubahan drastik.

Semasa tempoh pandemik, masalah kebolehcapaian dalam pendidikan lebih daripada halangan fizikal.

Dalam tempoh ini, Suruhanjaya Pelajar OKU menyediakan borang soal selidik komprehensif untuk diisi oleh universiti-universiti di seluruh Turki.

Soal selidik ini memberi tumpuan terutamanya kepada kualiti pendidikan pelajar OKU semasa pandemik.

Apabila menilai keadaan pelajar OKU dalam pendidikan jarak jauh semasa pandemik, ia meminta universiti yang menawarkan pendidikan jarak jauh yang mengambil kira sama ada pelajar OKU mempunyai akses Internet dan peralatan teknikal diperlukan.

Hanya 59% universiti di Turki menyediakan dokumentasi tambahan dan alat latihan seperti dokumen Braille, manakala yang lain menyatakan mereka tidak memerlukan dokumen tambahan tetapi menawarkan sokongan teknikal lain.

Keputusan menunjukkan 88% institusi pengajian tinggi giat berusaha menyokong pelajar kurang upaya melalui Unit Pelajar Kurang Upaya dan Pejabat Pendidikan Jarak Jauh mereka.

Tambahan pula, 53% universiti mengadakan mesyuarat dalam talian tambahan dengan pelajar OKU untuk memaklumkan kepada mereka tentang amalan pendidikan jarak jauh.

Manakala 74% universiti di Turki menyatakan mereka telah memaklumkan kepada pensyarah mengenai kebimbangan akses pelajar kurang upaya, 83% daripadanya juga menunjukkan usaha telah dilakukan untuk membayar pampasan kepada pelajar OKU bagi aktiviti pengajaran terganggu yang mereka hadapi semasa proses pendidikan jarak jauh.

Sementara 39% universiti yang menjawab soal selidik itu memberi tumpuan kepada peningkatan celik digital pelajar OKU mereka. Sebanyak 82% juga menyediakan akses luaran ke perpustakaan mereka.

Dalam skop pendidikan jarak jauh, 89% institusi pengajian tinggi mempunyai panduan video dan audio tentang cara menavigasi aplikasi dan pembelajaran jarak jauh.

Sebanyak 94% mempunyai penjelasan secara bertulis dan beberapa dalam bahasa isyarat dan 19% menyediakan sari kata.

Menariknya, 91% mahu amalan pendidikan jarak jauh diteruskan sebagai alat tambahan dalam tempoh pendidikan pascapandemik secara bersemuka bagi pelajar kurang upaya.

Kaji selidik ini juga menilai peraturan mengenai sokongan psikologi kepada pelajar OKU yang mengambil bahagian dalam pendidikan jarak jauh.

Lima puluh sembilan peratus universiti Turki yang menjawab soal selidik menilai sistem sokongan pendidikan dan psikoki mereka, dengan 50% menyatakan mereka mengadakan temuduga dan bengkel dalam talian untuk mengurangkan tekanan dan kebimbangan.

Semasa pandemik, beberapa institusi pengajian tinggi juga bekerjasama dengan pelajar untuk menentukan keperluan khusus dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan pembelajaran jarak jauh.

Sesetengah universiti juga menyediakan garis panduan rasmi untuk menyokong pelajar kurang upaya dan menggubal program sokongan rakan sebaya.

Dalam program itu, sukarelawan bukan OKU memberikan sokongan rakan sebaya kepada pelajar kurang upaya semasa proses pendidikan jarak jauh.

Kemajuan

Untuk menghapuskan halangan akses kepada pendidikan tinggi, universiti mesti menerima pelan tindakan yang proaktif dan berasaskan keperluan.

Setiap jabatan dan setiap program ijazah perlu merangka peraturan kursus sendiri berdasarkan keperluan dan jenis ketidakupayaan pelajarnya.

Meningkatkan kesedaran tentang halangan adalah penting. Adalah penting kajian tinjauan yang sama dijalankan oleh institusi pengajian tinggi pelajar OKU itu sendiri supaya universiti dapat melihat sendiri kekurangan dan menilai hasil tindakan yang diambil untuk memperbaiki keadaan.

Daripada proses kemasukan dan seterusnya, peraturan perundangan diperlukan untuk menyokong pelajar OKU untuk mengakses pendidikan tinggi.

Di Turki terdapat peraturan untuk pelajar kurang upaya dalam Peperiksaan Kemasukan Universiti (YKS). Bantuan bahan khas diberikan kepada mereka yang kurang upaya fizikal.

Bergantung kepada keperluan, pembantu boleh membantu individu yang mempunyai masalah penglihatan.

Pembantu juga disediakan untuk mereka yang menghidap autisme atau penyakit mental, yang juga diberi peluang menduduki peperiksaan dalam bilik sendiri supaya mereka lebih selesa.

Sokongan lain termasuk penyediaan buku kecil soalan cetak besar atau masa tambahan yang dibenarkan untuk peperiksaan, bergantung kepada kecacatan.

Tetapi ini sahaja tidak mencukupi untuk mengatasi halangan yang dihadapi pelajar OKU. Sokongan akademik dan bantuan dengan mengakses kursus, kampus dan bahan diperlukan di semua peringkat.

Perkhidmatan kaunseling untuk pelajar OKU adalah penting semasa pandemik. Tetapi mereka memerlukan data.

Mewujudkan perkhidmatan pendidikan jarak jauh yang lebih mudah diakses memerlukan maklumat yang boleh dipercayai dan komprehensif mengenai pelajar kurang upaya.

Malangnya, masih banyak stigma dan malu tentang kecacatan, terutamanya bagi orang muda yang belum membina identiti dewasa mereka.

Keengganan mereka untuk dikenal pasti sebagai kurang upaya boleh menjadi halangan kepada sokongan yang mungkin mereka perlukan.

Bagi mereka yang kurang upaya yang tidak bernasib baik, penubuhan pangkalan data yang sistematik boleh menjadi satu cabaran.

Lebih banyak sokongan diperlukan untuk pelajar kurang upaya tertentu semasa pandemik. Kenalan dalam talian persendirian dan pendidikan rakan sebaya boleh membantu.

Universiti-universiti boleh menyediakan pendidikan jarak jauh yang boleh diakses semasa pandemik:

Bagi pelajar pekak, menyediakan kandungan kursus dalam format teks, menggunakan sari kata atau penterjemah bahasa isyarat semasa kuliah dalam talian berguna.

Untuk pelajar buta, perihalan slaid dan menyediakan dokumen sokongan yang serasi pembaca, menggunakan format teks yang kaya dan fon besar, berbeza warna dalam persembahan, menerangkan grafik dan jadual semasa kuliah adalah semua kemungkinan. Bagi mereka yang kurang upaya intelektual, penyakit mental dan gangguan spektrum autisme, hubungan tetap dengan keluarga dan pelajar adalah perlu.

Pendidikan adalah hak asasi untuk semua pelajar, tanpa mengira kebolehan fizikal dan mental, dan ia tidak boleh diganggu semasa pandemik.

Dari segi positif, pandemik ini membawa kepada kemunculan beberapa amalan baru dalam pendidikan bersemuka serta akses dalam talian dalam pendidikan.

Oleh itu, seseorang mesti kekal berharap: pendidikan tinggi mungkin lebih mudah diakses oleh pelajar kurang upaya dalam masa terdekat.

Terima kasih kepada teknologi, metodologi dan amalan baru yang dibangunkan semasa pandemik global ini.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR, kini OKU pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.