Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kecinaan dilunturkan dalam pemilihan DAP?

Pemilihan DAP yang bakal berlangsung pada Jun 2021 menjadi tumpuan kerana penggal terakhir Lim Guan Eng menyandang jawatan setiausaha agung akan dibubuh noktah. Dengan kata lain, DAP bakal menyambut setiausaha agung baru selepas pemilihan ini.

Sementara itu, kenyataan Ronnie Liu, “Usah lunturkan kecinaan parti untuk menarik sokongan Melayu” telah mencetuskan kontroversi, membuka tirai pertembungan jalur politik yang berbeza dalam parti.

Memandangkan Ronnie Liu seorang pemimpin DAP yang dilihat lantang menolak Dr Mahathir Mohamad, maka pendirian pimpinan DAP sama ada untuk merangkumi Mahathir bersama partinya Pejuang dalam Pakatan Harapan menjelang PRU15, juga menarik perhatian ramai.

Untuk memudahkan perbincangan, perbezaan yang sedia ada dalam DAP sering diringkaskan dengan label-label seperti berikut:

1. Perbezaan jalur politik: Cauvinis Cina lawan mesra Melayu
2. Pilihan sekutu gandingan: Mahathir Mohamad lawan Anwar Ibrahim
3. Perebutan kuasa antara kabilah: Puak Lim Guan Eng lawan bukan puak Lim Guan Eng

Namun demikian, harus diingatkan bahawa label-label sebegini tidak adil untuk semua pihak, malah gagal mencerminkan kompleksiti yang sebenar. Justeru itu, ia harus didalami secara lebih terperinci, untuk memahami pergolakan dalam DAP.

Cauvinis Cina lwn mesra Melayu

Ada yang mencadangkan pertembungan ini dibingkaikan dalam kerangka “cauvinis Cina” (aliran pendidikan Cina) dengan “cauvinis Inggeris” (aliran pendidikan Inggeris), malah ada pula mencadangkan pertembungan antara “populis” dengan “elit”. Jelas, label-label sedemikian tidak membantu untuk menjernihkan situasi, lebih-lebih lagi jikalau tidak mengambil kira konteksnya.

Sejak ditubuhkan pada 18 Mac 1966, DAP memposisikan diri sebagai parti yang memperjuangkan kesamarataan, lantas menarik sokongan golongan minoriti yang menganggap dirinya tertindas dan terpinggir dalam sistem.

Untuk gambaran yang lebih jelas, cuba kita imbas pengalaman sepanjang zaman 1980-an dan 1990-an, ramai antara pemimpin DAP adalah peguam, sementara akar umbi DAP terdiri daripada kelas menengah rendah, daripada peniaga kecil-kecilan hinggalah pemilik gerai makanan.

Mereka bukan kroni pemerintah, bukan golongan kelas atasan, lantas nasib mereka tidak terbela. Maka mereka mengadu kepada DAP, menaruh harapan terhadap pemimpin yang fasih undang-undang untuk menyuarakan keperluan mereka.

Peranan sebagai “pembangkang” (di peringkat persekutuan) sehingga PRU14 mencorak perwatakan pemimpin DAP. Mereka menjanjikan peruntukan yang lebih adil untuk pendidikan aliran bahasa Cina, pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), pengagihan sumber dan layanan yang lebih saksama untuk etnik minoriti dan sebagainya, untuk menggarap imaginasi penyokongnya – demikianlah agenda DAP jikalau diberi mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Suka atau tidak, lebih 90% pengundi Cina mencurahkan sokongan kepada DAP, dan dimanfaatkan Pakatan Harapan dalam PRU14 sehingga PH berjaya menawan Putrajaya pada malam 9 Mei 2018.

Sementara itu, sekumpulan pemimpin muda yang menonjol selepas tsunami politik 2008, menganjurkan pendekatan agar DAP menyantuni dan mendampingi masyarakat Melayu, untuk menyanggah momokan bahawa “DAP parti anti-Melayu”.

Portal berita Melayu Roketkini dilancarkan pada tahun 2011, sebagai wadah untuk “memperbetulkan persepsi DAP” dalam kalangan Melayu; disusuli dengan penubuhan Sekolah Demokrasi (SekDem), sebagai usaha untuk meraih penyertaan anak muda, malah mendedahkan mereka kepada konsep demokrasi dan ideologi perjuangan DAP.

Hasilnya, semakin ramai pemimpin muda Melayu ditampilkan dalam DAP pada hari ini, berbanding zaman sebelumnya.

Kekuatan kedua-dua kelompok ini boleh digembleng dengan padu jikalau diselaraskan dengan sebaik-baiknya. Namun, ia tidak berlaku sebegitu. DAP mencapai kemenangan kemuncaknya apabila PH menumpaskan BN dalam PRU14 di peringkat persekutuan.

Malah setiausaha agungnya dilantik sebagai menteri kewangan, jawatan tertinggi yang pernah dicapai pemimpin DAP. Malangnya, DAP jatuh dan tersepit dalam kebuntuan, setelah PH tumbang 22 bulan kemudiannya.

Sepanjang pemerintahan PH, kegusaran dan keresahan Melayu dihasut pada tahap maksimum, dengan retorik seperti “Islam terancam”, “PH didominasi DAP” dan sebagainya.

Propaganda sebegini menambat langkah DAP untuk menunaikan janjinya terhadap penyokong, antaranya pengiktirafan UEC. Bukan itu sahaja, malah tercetus pula isu pengenalan tulisan Jawi, sehingga pemimpin DAP hampir lingkup dibadai gelombang kritikan di peringkat akar umbi masyarakat Cina.

Perselisihan kedua-dua kelompok ini semakin sengit. Kelompok yang menjaja prinsip kesamarataan berdepan dengan tekanan daripada akar umbi Cina, khususnya mereka yang bertanding di kawasan majoriti Cina, kerana gagal menunaikan janji mereka; malah terpaksa berganjak berkali-kali untuk “menjaga hati Melayu”.

Terbawa-bawa dengan sifat “pembangkang”, mereka mempersoalkan, bagaimana pula dengan ketidakpuasan Cina? Apakah ia tidak penting? Bukankah Cina juga rakyat Malaysia? Bukankah DAP menang atas sokongan 95% pengundi Cina? Apakah DAP tidak perlu bertanggungjawab terhadap penyokong yang mengundinya?

Untuk kelompok “mesra Melayu” pula, penekanan yang berlebihan terhadap tuntutan masyarakat Cina, boleh menjejaskan imej DAP sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia. Itulah “kecinaan” yang dimaksudkan.

Mereka sedar bahawa DAP tidak akan pergi jauh seandainya mengekalkan naratif yang menekankan “kecinaan”. Lebih-lebih lagi, naratif sedemikian akan dijadikan peluru oleh Umno, PAS dan Bersatu untuk menyerang DAP sebagai parti cauvinis Cina, yang “dapat betis mahu paha”.

Cuma, sungguhpun kelompok “mesra Melayu” ini berpandangan jauh, malah usaha mereka nampak murni, tetapi tidak terlepas daripada pertikaian. Contohnya, apabila anak muda Melayu DAP ditonjolkan, ia tidak semestinya membawa pulangan sokongan Melayu yang setimpal dengan serta-merta.

Lebih-lebih lagi, eksperimen ini boleh gagal apabila sosok yang ditampilkan tidak berakhir sebagai aset parti yang menyuntik nilai tambahan.

Dyana Sofya misalnya, diletakkan sebagai calon pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014, dengan usia 27 tahun ketika itu, dan hanya dua tahun menyertai DAP.

Dari kaca mata sesetengah anggota DAP, Dyana Sofya diberi peluang keemasan itu kerana “kedudukan istimewa”, sedangkan ramai yang bertahun-tahun berkhidmat untuk parti pun belum mampu sampai ke situ.

Sebagaimana yang dijelaskan, ramai menyertai DAP kerana menganggap dirinya tidak menerima layanan adil daripada negara. Bayangkan, andainya dinilai hanya pada merit semata-mata, sudah tentu ramai bakat dalam DAP mampu menyaingi kelayakan Dyana Sofya dari segi kebolehannya.

Apakah sukar untuk kita memahami kemarahan mereka, apabila dalam DAP sendiri pun mereka digugurkan lantaran faktor kaum?

Apatah lagi, perkembangan seterusnya agak mengecewakan. Setelah tewas dalam PRK Teluk Intan, Dyana Sofya melanjutkan pengajian ke London, kemudian terheret dengan isu peribadi, dan akhirnya semakin menyepi daripada pentas politik.

Malah dalam masyarakat Cina beliau disindir sebagai “peragawati Melayu DAP”, kerana dilihat gagal menyuntik naratif baru, atau berperanan untuk mengubah persepsi DAP dalam kalangan masyarakat Melayu.

Kegagalan kes ini mencungkil keraguan sesetengah anggota DAP terhadap usaha menyantuni dan mendampingi masyarakat Melayu. Sementara ada yang mempersoalkan keberkesanan strategi sebegini, ada pula yang berpandangan bahawa apa pun yang dilakukan DAP untuk mengambil hati Melayu, akan berakhir dengan kegagalan.

Mungkin pandangan itu dianggap prejudis, tetapi mereka menyanggah tuduhan ini dengan mencabar puak yang “mesra Melayu” untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Antara nama yang paling kerap disebut, iaitu Liew Chin Tong – apakah beliau akan menang, seandainya bertanding di kawasan parlimen majoriti Melayu, menentang calon sama ada dari Umno, PAS atau Bersatu – memandangkan Liew Chin Tong adalah sosok yang terkedepan untuk mencanangkan idea merangkumkan lebih ramai Melayu ke dalam DAP?

Kita semua tahu jawapannya. Malah, tepuk dada tanya selera, jika pun Steven Sim, ahli parlimen Bukit Mertajam, yang baru-baru ini terkenal kerana bantuan yang dihulurkan kepada ibu tunggal Melayu dan penghantar makanan, bertanding di kawasan majoriti Melayu, menentang calon Umno, PAS mahupun Bersatu, apakah beliau akan menang, dalam suasana politik hari ini?

Jikalau inilah realitinya, apakah mungkin jalur “mesra Melayu” boleh melunturkan kecinaan DAP dalam pemilihan parti akan datang?

*Ikuti analisis pertembungan dari segi percaturan strategi (sekutu gandingan) dan kabilah dalaman dalam tulisan seterusnya.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS