Kertas kerja ini telah dikemukakan dalam forum Sosialisme 2006 anjuran Parti Sosialis Malaysia di New Era College, Kajang, pada 12 November 2006. Forum terbabit bertajuk Persoalan Nasional: Bagaimana anda dapat mempertahankan hak sosial, budaya dan agama golongan minoriti tanpa menimbulkan perpecahan/perbalahan antara kaum?

1. Mengenai tajuk forum

Tidak dapat dinafikan bahawa forum ini penting tetapi mencabar, kerana jika kita jujur, maka besar kemungkinan ia akan menyentuh beberapa aspek hubungan etnik yang sering dianggap sebagai sensitif, atau merupakan taboo/pantang larang oleh sesetengah pihak.

Malah tajuk forum ini sendiri juga boleh dipertikaikan. Umpamanya kenapa mempertahankan hak sosial, budaya dan agama golongan minoriti perlu dikaitkan dengan perpecahan/perbalahan antara kaum? Saya kemukakan kesangsian ini kepada pihak penganjur, jawabannya: Ini adalah realiti masyarakat kita sekarang!

Tajuk forum ini tentu tidak bermaksud untuk mengimplikasikan: Demi mengelakkan ugutan perpecahan/perbalahan antara kaum, kaum minoriti negara kita terpaksa menghentikan perjuangan mereka untuk mempertahankan hak sosial, budaya dan agama mereka.

Padahal ugutan perpecahan/perbalahan antara kaum sering diguna oleh Umno dan ekstremis Melayu untuk memaksa kaum-kaum minoriti menghentikan perjuangan mereka, berikut diberi tiga contoh, iaitu Kejadian Suqiu/Rayuan 2001, Kes IFC dan Kes Asli untuk dibincang dalam hubungan tersebut.

2. Kejadian Suqiu/Rayuan 2001

Kejadian Suqiu/Rayuan berlaku pada awal tahun 2001, di mana Jawatankuasa Suqiu terpaksa bersetuju untuk mengetepikan tujuh perkara rayuan akibat tekanan Pemuda Umno dengan ugutan krisis antara kaum.

Tujuh perkara yang diketepikan ialah:

Tindakan afirmatif harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum.

Mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan di antara bumiputera/bukan bumiputera dalam semua bidang.

Membahagikan tanah secara adil kepada petani-petani yang memerlukan tanpa mengira kaum.

Hapuskan sistem kuota yang berasaskan 'kaum' dan digantikan dengan sistem pengagihan yang berasaskan 'kebolehan'.

Hapuskan sistem kuota untuk kemasukan universiti.

Memberi layanan yang adil bagi badan-badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani dengan saksama oleh media rasmi.

Kenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan mengagihkannya mengikut kemampuan keluarga pelajar tanpa mengira kaum.

83 rayuan

Memorandum Suqiu padahal mengandungi 83 rayuan di bawah 17 tajuk yang dikemukakan oleh 2,095 Persatuan Cina menjelang pilihanraya umum 1999. Ia bukan saja telah disokong oleh Barisan Alternatif, malah juga telah disetujui 'pada prinsipnya' oleh Kabinet Kerajaan Barisan Nasional.

Tiada mana-mana pihak yang menganggap tuntutan Suqiu itu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu pada masa itu. Hanya setahun selepas pilihanraya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba menyamakan Suqiu dengan komunis dan Al-Ma'unah, dan mendakwa kononnya kerajaan telah 'diugut' untuk menerima tuntutan Suqiu menjelang pilihanraya umum 1999, pemimpin-pemimpin Suqiu malah diberi amaran akan ditahan di bawah ISA.

Dakwaan dan amaran Dr Mahathir tersebut disahut secara histeria oleh Gerakan Pemuda Umno, GPMS dan beberapa badan Melayu yang ekstrem dengan ugutan perbalahan antara kaum, dan memaksa Jawatankuasa Suqiu agar bersetuju untuk mengetepikan tujuh perkara rayuan seperti tersebut di atas.

Di pihak yang lain, PAS dan rakan-rakannya dalam Barisan Alternatif (BA) sebaliknya menyeru rakyat agar jangan terjebak dengan pelampau Melayu yang sedang memainkan api perkauman.

Presiden PAS masa itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam perutusan hari rayanya mendesak golongan yang menyemarakkan api perkauman di negara ini menghentikan segera perbuatan itu.

Namun pengendali-pengendali lapan lamanweb pro-reformasi dalam kenyataan khas mereka, telah mengemukakan alasan "tidak melihat isu ini dari sudut politik kepartian (non-partisan), tetapi melihat isu ini sebagai satu isu Melayu yang kolektif, demi menghormati hak kaum Melayu".

Mereka "dengan sebulat suara menolak tuntutan/rayuan Suqiu dalam membicarakan hak-hak keistimewaan Melayu dalam resolusi/rayuan yang mereka kemukakan." Mujurnya mereka kemudiannya telah menarik balik kenyataan khas mereka itu.

Pro-reformasi

Yang menggalakkan ialah Mahafiraun 2020, sebuah lagi lamanweb pro-reformasi telah menegaskan pendirian anti-perkaumannya dengan mengemukakan prinsip-prinsip demokrasi berikut:

Mengikut prinsip musyawarah, Suqiu berhak menyuarakan pendapat dan tuntutan mereka tanpa sebarang tekanan mahupun paksaan oleh mana-mana pihak;

Rakyat Malaysia daripada semua kaum, sebagai warga negara yang matang dan berpegang pada demokrasi yang terbuka, mempunyai kuasa mutlak untuk meminda, mengubah atau mengekalkan mana-mana peruntukan undang-undang yang termaktub di negara ini;

Prinsip keadilan tidak terbatas hanya kepada orang Melayu atau kelompok bumiputera, sebaliknya merangkumi semua rakyat, tidak kira bangsa dan suku keturunan; dan

Rakyat Malaysia, melalui peti undi, adalah penentu masa depan negara ini, termasuk isi kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Taktik ugutan perbalahan antara kaum Pemuda Umno dan penundukan/kompromi Jawatankuasa Suqiu nyata sekali telah menjejaskan prinsip-prinsip demokrasi terbabit, dan kepentingan kaum minoriti dalam mempertahankan hak-hak mereka juga turut terjejas.

Lebih-lebih lagi, penundukan/kompromi Jawatankuasa Suqiu itu mungkin secara tidak langsung telah menghalalkan ugutan politik Pemuda Umno untuk menindas kaum-kaum minoriti daripada menuntut hak-hak mereka yang sah, dan menggalakkan mereka mengulangi taktik kotor itu pada masa yang akan datang.

Bahagian kedua: Majlis Antara Agama (IFC)