Berbanding dengan sentimen perkauman, sikap tidak sensitif atau terlalu sensitif terhadap halehwal agama rasanya boleh juga menimbulkan ketegangan, malah perbalahan antara kaum.

Rasanya berguna juga kes IFC (Suruhanjaya Antara Agama) atau ketegangan yang mengakibatkan inisiatif penubuhan IFC dihentikan oleh pihak berkuasa, ditinjau semula secara lebih objektif, berlatarbelakangkan masyarakat kita yang mempunyai pelbagai agama, serta berasaskan prinsip kebebasan beragama dan semangat hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Pemandu Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Malik Imtiaz Sarwar, IFC yang dicadangkan itu, tidak bertujuan untuk meletakkan Islam di bawah bidangkuasanya (umpamanya menghalalkan murtad seperti yang dituduh), kerana ia hanya merupakan badan perunding, penasihat dan pendamai, tanpa kuasa penghakiman di bidang antara agama, seperti Suhakam yang berfungsi untuk memantau keadaan hak asasi manusia dalam negara.

Bantahan Badan Bertindak Anti-IFC (Badai) telah mengakibatkan forum terbuka anjuran Kumpulan Artikel 11 dan Aliran yang bertajuk "Federal Constitution: Protection For All" di Hotel Cititel Pulau Pinang pada 14 Mei 2006 terpaksa ditamatkan. Dan forum seterusnya yang diadakan di Johor Bahru, juga menghadapi bantahan dan gangguan daripada pihak anti-IFC.

Selain Badai, PAS dan beberapa badan Islam yang lain, seperti Jawatankuasa Gabungan Badan Islam Bukan Kerajaan (Accin), juga turut menentang penubuhan IFC dengan pendirian yang tegas dan keras, dan kempen anti-IFC telah menyemarakkan sentimen agama di kalangan umat Islam.

Menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman (Forum Harakah, 17 Mei, 2006), beliau tidak terkejut jika maruah dan kedaulatan Islam dipermainkan sebegitu rupa, pertumpahan darah boleh berlaku!

Kes Moorthy, Nyonya Tahir

Tidak dapat dinafikan isu murtad memang amat sensitif bagi agama Islam, akan tetapi pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, seperti yang didedahkan dalam kes Nyonya Tahir dan kes Moorthy, juga memerlukan penyelesaian pihak-pihak yang terbabit.

Nyata sekali, sekiranya wujud pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, memahami Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan secara terperinci dan tepat, memang bermanfaat kepada semua pihak yang terbabit.

Sikap hormat menghormati antara satu sama lain merupakan prinsip penting dalam hubungan antara agama. Jika kedaulatan Islam saja yang ditekankan, kemusykilan rakyat bukan Islam (seperti kes Nyonya Tahir dan kes Moorthy) sebaliknya diremehkan, ia mungkin bukan sikap yang adil.

Kita berhak setuju atau tidak setuju, mengambil bahagian atau tidak mengambil bahagian dalam forum yang dianjurkan oleh Kumpulan Artikel 11. Tetapi menggangu atau cuba menghentikan forum terbabit sudah mencerobohi hak berhimpun dan hak bersuara mereka yang hadir dalam forum terbabit sebagai hak perlembagaan mereka.

Nampaknya kes murtad telah diperbesar-besarkan, kononnya jumlahnya telah mencapai ratusan ribu! Baru-baru ini, dilaporkan ratusan umat Islam telah berkumpul di luar gereja Our Lady of Lourdes, Ipoh, ekoran penyebaran SMS yang mendakwa 600 pelajar Melayu akan dibaptiskan di gereja itu. Padahal apa yang berlangsung di situ adalah majlis baptis bagi 110 kanak-kanak keturunan India!

Dalam suasana kini, semangat hormat menghormati telah digantikan dengan syak wasangka antara satu sama lain. Oleh itu, dialog antara agama sangat diperlukan.

Majlis Perunding Agama

Sayang sekali hingga sekarang, masih tiada wakil Islam yang mengambil bahagian dalam Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha & Sikh, dan cadangan penubuhan IFC pula ditentang habis-habisan oleh Badai, Accin (Jawatankuasa Gabungan Badan Islam Bukan Kerajaan) dan PAS, sehingga pihak berkuasa telah melarangkan semua forum mengenai Artikel 11 dan perbincangan selanjutnya tentang penubuhan IFC.

Islam merupakan Agama Negara kita. Malah PAS memperjuangkan kewujudan sebuah Negara Islam dan Umno pula telah mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam. Kedua-dua parti orang Melayu ini sedang berlumba- untuk melaksanakan program-program Islamisasi.

Dalam keadaan ini, sukar dibayangkan bila agama-agama lain kian terasa didiskriminasikan dan terpinggir, bagaimana umat Islam boleh dimomok dengan dakwaan bahawa maruah dan kedaulatan Islam sedang dipermainkan?

Untuk mengelakkan berlakunya kes-kes umpama kes Nyonya Tahir dan kes Moorthy pada masa yang akan datang, bukankah kesudian penyertaan pihak Islam untuk mencari suatu penyelesaian melalui dialog dan musyawarah antara agama itu, amat perlu?

Saya tidak pasti kenapa pihak-pihak Islam terbabit menyokong dialog antara agama, tetapi menentang penubuhan badan berkanun antara agama seperti IFC, dan masih belum ada wakil dalam badan perunding antara agama bukan kerajaan seperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha & Sikh?

Dalam negara yang mempunyai pelbagai agama, tiada mana-mana agama yang patut menghidap kompleks tinggi diri (superiority complex) atau kompleks rendah diri (inferiority complex).

Diperkukuhkan lagi prinsip hormat menghormati antara satu sama lain sebagai yang samarata dan setaraf, dan tonjolkanlah nilai-nilai universal dan bidang-bidang di mana kerjasama dapat diamalkan, bukannya perbezaan, malah permusuhan.

Nota: Kertas kerja ini telah dikemukakan dalam forum Sosialisme 2006 anjuran Parti Sosialis Malaysia di New Era College, Kajang, pada 12 November 2006.

Hak minoriti dan ugutan perbalahan antara kaum (Bhg I)