Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perhimpunan agung Umno sudah hampir seminggu berlalu, namun keadaannya ibarat rumah siap, pahat berbunyi. Perkara yang berlaku dan dibangkitkan dalam perhimpunan terbesar para "pemimpin" Melayu itu masih hangat diperkatakan.

Ia masih menjadi perbualan hangat dari kedai kopi hingga ke kafe di hotel-hotel lima bintang. Ironinya bukan puji-pujian yang dilemparkan tetapi cemuhan, kritikan dan rasa kecewa yang dihamburkan.

Tiga isu utama yang terus diperkatakan sekarang ialah ucapan dasar Presiden yang dianggap "kosong", perbahasan perwakilan ahli-ahli Umno yang bersifat perkauman dan kritikan terhadap pendirian Datuk Mukriz Mahathir terhadap ucapan dasar Presiden.

Umno nampaknya sedang berhempas pulas cuba menyakinkan sekutunya dalam Barisan Nasional bahawa apa yang diluahkan dalam Dewan Merdeka, PWTC itu bukan dasar parti.

Presiden dan Timbalan Presiden Umno berkali-kali mengulangi ucapan keterlaluan perwakilan itu hanya pendapat seorang dua ahli parti, bukannya suara majoriti orang Melayu.

Malah baru-baru ini Najib dalam ucapannya di Seremban menegaskan Umno amat menghormati kaum Cina dan India.

Dalam menangani rasa tidak puas hati kaum bukan Melayu, khususnya orang Cina, Umno juga terpaksa berhadapan dengan kekecewaan rakyat terhadap prosiding dan ucapan dasar presiden yang hambar dan kosong.

Anak Mahathir

Sebenarnya bukan Mukhriz sahaja seorang yang berpendapat ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah "kosong dan tiada apa-apa yang baru" malah ramai di kalangan perwakilan juga berfikir sedemikian. Para pemerhati dan rakyat yang mengikuti ucapan dasar presiden juga sependapat dengan anak Dr Mahathir itu.

Bezanya cuma Mukhriz berani dan menggunakan saluran media bagi menyalurkan rasa kecewanya manakala para perwakilan, pemerhati dan majoriti rakyat berbisik sesama mereka sahaja.

Pucuk pimpinan Umno nampaknya sedar rasa kecewa Mukhriz itu turut dikongsi oleh rakyat jelata. Jika tidak, apa perlunya Najib menjelaskan sokongannya kepada Pak Lah bukan membabi buta tetapi kerana ucapan dasar presiden amat bernas dan baik untuk orang Melayu dan negara.

Kalau Pak Lah sekadar mendengar ucapan berdegar-degar perwakilan Pemuda, Wanita, Puteri serta pembahas di perhimpunan agung, beliau memang boleh terus tidur lena di mana sahaja tetapi jika beliau mendengar bisik-bisik di akar umbi, lenanya pasti terganggu.

Laungan taat setia dan sokongan padu di PWTC sepanjang 13 hingga 17 November itu belum tentu mewakili suara majoriti rakyat kerana mereka yang berdiri di atas pentas sudah dibekalkan dengan skrip.

Kalau kita teliti, ucapan dari seorang ke seorang pembahas sama sahaja. Amat mengecewakan! Mereka hanya mengulangi isu lama Islam hadhari, Mat Rempit, dadah, agenda Melayu, isu murtad, artikel 11 dan 121 Perlembagaan Persekutuan, isu bahasa Inggeris serta kegagalan GLC menolong orang Melayu.

Politik wang

Beberapa isu yang sangat kritikal ketika ini dilupakan terus. Agenda memerangi rasuah yang turut disentuh dalam ucapan presiden langsung tidak ditekankan oleh para pembahas. Kita tidak boleh salahkan para pembahas kerana tidak membangkitkan isu berkenaan kerana Umno sendiri dibelenggu politik wang.

Pekung yang jelas terdedah dalam perhimpunan kali ini ialah para pimpinan Umno lebih mementingkan kontrak dan projek. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi sasaran mereka kerana pihak pengurusannya didakwa enggan memberikan projek kepada syarikat-syarikat milik para pemimpin Umno.

Pengurusan GLC telah dituduh tidak profesional, tidak bersemangat patriotik dan tidak meberjiwa Melayu. Benarkan begitu hakikatnya?

Jelas sekali kata-kata panas mempertahankan hak Melayu sebenarnya hanya topeng untuk melindungi kepentingan perniagaan sendiri. Pentas Umno digunakan untuk memperjuangkan kocek mereka termasuklah dalam isu Melayu Pulau Pinang.

Isu-isu ini diulang-ulang dengan diselangseli kata-kata sokongan kepada presiden, selain seloka, madah, sajak dan pantun yang tidak lekang membodek dan memuja ketua mereka.

Perbahasan di perhimpunan kali ini juga jelas mengikut skrip yang telah ditulis, tiada siapa berani memperkatakan realiti ekonomi semasa, termasuk soal penguasaan syarikat Singapura dalam sektor strategik negara.

Isu Pantai Medical Centre. Fomema dan Avenue Capital langsung tidak disebut oleh para pembahas. Ekonomi negara cuba digambarkan berada di tahap terbaik.

Lampu hijau

Lebih menyedihkan perhimpunan kali ini juga menyerlahkan sikap sebenar Presiden Umno. Ucapan dasar beliau bertajuk "kata dikota" tetapi apabila kata-katanya ditegur oleh Mukhriz, beliau melenting mengatakan apa yang dicakap oleh anak Dr Mahathir itu "tidak betul".

Dalam sidang akhbar di hari terakhir perhimpunan itu beliau mengakui terkilan dengan kritikan Mukhriz sedangkan sebelum ini berkali-kali Pak Lah mewar-warkan beliau bersedia ditegur.

Presiden parti juga memberi lampu hijau kepada pergerakan Pemuda Umno untuk bertindak ke atas Mukhriz.

Sepatutnya rasa kecewa Mukhriz terhadap ucapan dasar itu tidak menjadi isu besar jika Pak Lah, para pemimpin Umno terutamanya Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi serta anggota exco Pemuda Umno memahami erti demokrasi dan Islam hadhari sebenarnya.

Akhirnya Mukhriz tunduk pada desakan dan kritikan para pemimpin Umno apabila melahirkan kekesalannya mengkritik ucapan dasar Pak Lah itu.

Tekanan yang dikenkan ke atas Mukhriz ini sebenarnya menambahburukkan lagi imej Pak Lah. Ahli-ahli Umno melihat pergeseran antara Perdana Menteri dengan Dr Mahathir masih membara dengan Mukhriz dijadikan sasaran.

Walaupun Mukhriz digambarkan seperti "keseorangan" namun para pemerhati berpendapat sebenarnya sedang berlaku satu "peperangan senyap" antara dua pihak di perhimpunan agung minggu lalu.

Krisis keyakinan

Dalam pada itu, tindakan Mukhriz menyatakan kekesalannya terhadap kritikannya kepada Pak Lah itu tidaklah diterima baik oleh kalangan penyokong atau pensimpatinya.

Ada yang berpendapat beliau tidak perlu menyatakan kekesalannya. Biarkan Pemuda Umno bertindak ke atasnya. Tunggu dan tengok sejauhmana beraninya pergerakan itu "berkasar" pada Mukhriz.

Menurut mereka, sebagai tokoh Pemuda yang telah teruji, menang dengan undi tertinggi dalam pemilihan Exco dua tahun lalu, beliau mempunyai mandat untuk terus bersuara menongkah arus.

Mukhriz sepatutnya menguji sejauhmana keberanian Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda yang hanya menang percuma bagi menyandang jawatan mereka itu.

Keadaan "kalut " selepas perhimpunan agung seperti yang berlaku sekarang, tidak pernah berlaku sebelum ini. Kali ini Umno dan presidennya terus dibelenggu krisis keyakinan sedangkan mereka sepatutnya meninggalkan Dewan Merdeka dengan gagah dan yakin setelah mendengar pekikan "Hidup Pak Lah, Hidup Melayu" pada petang Jumaat itu.

Inilah yang berlaku kalau agenda utama perhimpunan agung parti ialah untuk mengangkat air muka menantu Presiden dan menyatakan "kami semua berdiri teguh di belakang presiden"!

ADS