Sewaktu Dinasti Qin (221-207 B.C.), Zhao Kao, seorang pembesar yang amat berkuasa ingin merampas takhta Maharaja Qin Kedua. Sebelum bertindak, dia ingin menguji pengaruhnya di kalangan pembesar yang lain.

Pada suatu hari, dihadiahkan seekor rusa kepada Maharaja Qin Kedua, lalu sengaja diberitahu baginda bahawa binatang itu adalah kuda. Baginda ingat beliau bergurau, maka ditanya kepada pembesar yang lain, sama ada binatang itu rusa atau kuda?

Tak sangka mereka yang takut kepada Zhao Kao membisu sahaja atau berdusta bahawa binatang itu memang kuda. Dan mereka yang berani mengaku binatang itu rusa disingkirkan oleh Zhao Kao selepas itu. Demikianlah punca pepatah Cina yang berbunyi "Rusa dikatakan kuda".

Maka, setiap kali Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein Onn cuba mempertahankan tindakan melampaunya menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan dalam perhimpunan agung Umno sebagai budaya Melayu, teringatlah saya akan pepatah 'Rusa dikatakan kuda'.

Tentu tiada sesiapa yang akan mempertikaikan anggapan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Rais Yatim bahawa keris itu merupakan simbol kekuatan dan kuasa orang Melayu. Hatta, dalam adat istiadat diraja, keris juga melambangkan keagungan dan kedaulatan sultan.

Namun, bayangkan jika Hang Tuah sudah menghunuskan Taming Sarinya, ia tentu bukan sekadar simbolik lagi, tetapi sudah bersedia untuk bertarung dengan sesiapa yang dianggap musuh sultan, termasuk saudaranya Hang Jebat.

Dalam konteks budaya politik Umno sekarang, menurut Farish A. Noor, darah dan keganasan menjadi sebahagian daripada bahasa politiknya. Dan mengikut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pula, Umno sedang menjaja keris dan semangat ultra Melayu yang tersasar.

Sosial kontrak

Bila Hishammuddin menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan, ia tidak dapat dielakkan membawa persepsi keganasan, seolah-olah mengugut mereka yang berani mempertikaikan apa yang dinamakan "sosial kontrak" yang tercapai sebelum merdeka, khasnya mengenai kedudukan Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan/bahasa rasmi yang tunggal, serta Islam sebagai agama negara, seperti yang dibangkitkan oleh perwakilan di perhimpunan Umno baru-baru ini.

Menurut Farish lagi, apabila pemimpin Umno kini mencapai keris mereka dan mengucapkan slogan darah dan sengketa, retorik mereka itu merupakan najis-najis daripada antropologi dan ethonologi penjajah, yang dijadikan sebahagian daripada kerangka kolonial bangsa Melayu.

Justeru, wakil Perlis Hashim Suboh yang terlalu emosi pun mendesak Ketuanya Hishammuddin: "Hisham telah menghunuskan kerisnya, bermain kerisnya, cium kerisnya. Kita mahu tanya Hisham, bila dia mahu gunakannya?"

Gunakan keris, buat apa? Lebih awal lagi, pemimpin veteran Umno yang pernah menyandang jawatan setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Mohamad Rahmat sudah memberi jawapannya: "Jangan cuba menduga orang Melayu, kami tahu satu perkataan sahaja, amuk!"

Menggunakan keris untuk mengamuk? Tidakkah Hishammuddin dan Pemuda Umno seolah-olah telah membuktikan kebenaran fitnah Frank Swettenham bahawa tanah Melayu adalah "tanahair lanun dan orang amuk"? Inikah imej budaya Umno yang ingin ditonjolkan oleh Hishammuddin dengan menjulang Keris Panca Warisan?

Tidaklah hairan jika episod menjulang keris itu telah membawa persepsi negatif sebagai budaya keganasan Umno terhadap bukan Melayu. Mereka tidak boleh disalahkan kerana pada masa yang lampau, mereka sering dihantui ugutan-ugutan pengulangan Kejadian 13 Mei atau Operasi Lalang.

Menurut Wikipedia, saya petik dan dialih bahasa: "Pada 1987, sebagai Ketua Pemuda Umno, Najib dengan lantang mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam ucapannya yang berapi-api di mana keris telah ditonjolkan, sebelum kerajaan mengambil tindakan terhadap anasir-anasir pelampau di bawah Operasi Lalang. Pada perhimpunan yang sama, dipasang sepanduk-sepanduk yang berbunyi: 'lucutkan kerakyatan mereka yang menentang Raja-Raja Melayu', 'Mei 13 sudah bermula' dan 'basahi keris ini dengan darah Cina'."

Kejadian Suqiu

Dalam Kejadian Suqiu/Rayuan yang berlaku pada awal tahun 2001, Jawatankuasa Suqiu terpaksa bersetuju untuk mengetepikan tujuh perkara rayuan akibat tekanan Pemuda Umno dengan ugutan krisis antara kaum, termasuk gertakan akan dibakar Bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan tercetusnya huru-hara antara kaum.

Berlatarbelakangkan episod-episod hitam itu kepada bukan Melayu persepsi keris tak dapat tidak merupakan lambang politik keganasan yang dahagakan darah. Dan setiap kali Hishammuddin menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan, ia sudah barang tentu akan dikaitkan dengan slogan ngeri terbabit.

Sukar difahami kenapa Hishammuddin begitu obsesi dengan Keris Panca Warisan dan berkeras hendak mengacukan lagi Keris terbabit di perhimpunan Umno yang akan datang.

Katanya, ini adalah prinsip, bukan Melayu mesti terima keris sebagai lambang kebudayaan Melayu. Menghunus keris bukan bertujuan untuk mengugut bukan Melayu, tetapi untuk membangkitkan semangat perjuangan orang Melayu.

Jika semangat perjuangan orang Melayu hanya dapat dibangkitkan dengan menjulang keris, maka amatlah tepat kritikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ia merupakan "semangat ultra Melayu yang tersasar".

Jika Hishammuddin tidak memandang berat bantahan meluas bukan Melayu, dan tidak berganjak dari provokasi yang membawa persepsi keganasan seperti tersebut di atas, maka sia-sialah bagi beliau memberi tahu Ketua Pemuda MCA, Liow Tiong Lai bahawa beliau sudi menjulang pedang kungfu jika diminta; atau perihal Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon telah menjulang keris besar bersama beliau.

Percayalah, tiada mana-mana kaum yang tidak marah jika terus diugut dan diprovokasi dengan keris yang terhunus, tak kira dengan apa alasan sekalipun!

Percayalah juga jika yang bermain dengan api boleh dibakarnya, maka yang bermain dengan senjata, mungkin juga senjata makan tuannya!