Bagaimana keris diganti dengan merpati?
Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melahirkan kebimbangannya mengenai kerapuhan perpaduan antara kaum di negara kita.
Namun, yang lebih membimbangkan ialah kerajaan seolah-olah telah hilang arah dan tidak tahu bagaimana hendak mengambil tindakan yang wajar untuk menangani dan mengawal keadaan daripada terus memburuk.
Suatu contoh yang baik ialah berkaitan kontroversi menghunus keris oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang sudah tentu melemahkan lagi hubungan kaum yang sudah rapuh itu.
Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melahirkan kebimbangannya mengenai kerapuhan perpaduan antara kaum di negara kita.
Namun, yang lebih membimbangkan ialah kerajaan seolah-olah telah hilang arah dan tidak tahu bagaimana hendak mengambil tindakan yang wajar untuk menangani dan mengawal keadaan daripada terus memburuk.
Suatu contoh yang baik ialah berkaitan kontroversi menghunus keris oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang sudah tentu melemahkan lagi hubungan kaum yang sudah rapuh itu.
Jika perwakilan perhimpunan Umno sendiri telah bertanya kepada beliau, bila hendak menikam selepas menjulang, bermain dan mencium Keris Panca Warisan, bagaimana kaum bukan Melayu tidak akan berasa takut?
Yang lebih mengecewakan ialah selepas bertemu dengan Exco Pemuda MCA yang diketuai oleh Ketuanya Liow Tiong Lai di pejabatnya di Putrajaya pada 6 Disember 2006, Hishammuddin telah mengisytiharkan bahawa kontroversi terbabit telah diselesaikan.
Kononnya "semua pihak perlu melihat penggunaan keris oleh Pemuda Umno sebagai lambang amanah yang perlu dipikul oleh pergerakan itu untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada semua kaum".
Jelas beliau: "Saya beritahu pemuda MCA bahawa keris itu adalah tanda amanah. Saya hanya mencium keris sebagai tanda memikul amanah. Itu sebabnya juga Yang di-Pertuan Agong mencium keris sewaktu ditabalkan. Mereka tidak faham kerana dalam budaya Cina apabila sarung pedang dibuka maknanya mereka hendak berlawan."
Alangkah angkuhnya Hishammuddin menyamakan tindakannya menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan dengan Adat Istiadat Diraja mencium keris sewaktu Yang di-Pertuan Agong ditabalkan.
Sayangnya beliau bukan Yang di-Pertuan Agong, dan tindakan menjulang keris berlatar belakangkan pekikan hidup Melayu, dan sumpahan akan bermandi darah untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu di perhimpunan agung Umno juga bukan adat istiadat diraja bila Yang di-Pertuan Agong ditabalkan!
Untuk menutup kesalahan episod menjulang keris, beliau terpaksa berbohong dan budaya Melayu diputarbelitkan sebagai budaya yang begitu janggal sekali: keris menjadi lambang amanah untuk menjalankan tanggungjawab kepada semua kaum! Rasanya keris boleh digunakan untuk acara angkat sumpah bagi semua ahli parlimen kita!
Hishammuddin tergamak berbohong secara terang-terangan dan memberi penjelasan yang begitu janggal sekali kepada Exco Pemuda MCA, membuktikan beliau langsung tidak beretika dan bertanggungjawab.
Lebih-lebih lagi beliau tahu, tidak kira apa alasan sekalipun yang diberi, akhirnya pemimpin Pemuda MCA akan tunduk juga kepada tekanan politik Umno yang merupakan tunjang kerajaan Barisan Nasional.
Justeru, kata Liow Tiong Lai beliau mempunyai keyakinan kepada Hishammuddin bahawa Ketua Pemuda Barisan Nasional itu tidak akan menggunakan keris berkenaan kepada kaum lain.
Budaya Melayu
Tambah beliau, kita membincangkan perkara itu dan kita sedar keris adalah kebudayaan orang Melayu, jadi kita faham penjelasannya. Kita faham keris adalah untuk menjalankan tanggungjawab kepada semua bangsa dan amanah untuk mempertahankan negara.
Keris melambangkan amanah untuk menjalankan tanggungjawab kepada semua bangsa! Liow Tiong Lai berani menerima dan mengulangi penipuan Hishammuddin justeru kerana beliau juga seperti Hishammuddin, merupakan politikus perkauman yang sudah bankrap modal dan moral politik!
Kononnya menggunakan keris untuk mempertahankan negara, adakah sekarang masih zaman Hang Tuah lagi? Jika keris bisa mempertahankan negara, untuk apa Iran dan Korea Utara bermati-matian hendak membuat senjata nuklear sendiri?
Secara terus terang mengaku sajalah, di zaman sekarang, keris tidak dapat mempertahankan negara lagi. Seperti tujuan sebenar Pemuda Umno, menjulang keris dan menggertak akan mengamuk hanya dapat menggugat dan menakut-nakutkan kaum bukan-Melayu saja!
Pemuda Umno dan Pemuda MCA boleh bersandiwara, dan berpura-pura kontroversi keris terbabit telah selesai selepas penjelasan Hishammuddin yang karut dan tidak masuk akal itu.
Namun ketidakpuasan hati malah kemarahan bukan-Melayu terhadap Pemuda Umno dan Pemuda MCA khasnya Hishammuddin dan Liao Tiong Lai (foto kiri) akan bertambah, kerana selepas diugut, dihinakan pula dengan pembohongan bahawa dalam budaya Melayu, keris melambangkan amanah dan tanggungjawab untuk semua kaum.
Maka yang mengugut dengan keris tidak bersalah, yang diugut sebaliknya dipersalahkan sebagai tidak mengerti budaya Melayu! Dengan logik songsang terbabit, dan kerana kekecutan Pemuda MCA, Keris Panca Warisan pun akan dijulang pada setiap perhimpunan Umno untuk memperkuatkan imej dan persepsi keganasan Pemuda Umno.
Jika mengaku perpaduan antara kaum sudahpun rapuh, buat apa diuji lagi dengan keris yang terhunus? Rakyat Malaysia tentu tidak buta budaya sehingga tidak mengetahui keris, adalah senjata orang Melayu untuk menyerang dan mempertahankan diri.
Janganlah merumitkan yang mudah, jika kaum bukan-Melayu sudah dengan begitu lantang menyuarakan kebimbangan dan bantahan mereka terhadap tindakan menghunus keris yang membawa persepsi negatif keganasan dan ugutan, demi keharmonian setiakawan dan perpaduan kaum, kenapa tidak boleh menyimpan saja Keris Panca Warisan?
Jika tidak bertujuan untuk mengugut dan menyerang, kenapa begitu obsesi dengan Keris Panca Warisan? Bagaimana acara menjulang keris digantikan dengan acara membebaskan merpati, lambang perdamaian dan keharmonian yang disanjung oleh kebudayaan semua kaum?

