Keputusan PAS dan Barisan Alternatif (BA) untuk memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam yang akan berlangsung pada 28 Januari 2007 mungkin merupakan titik perubahan dalam perkembangan sejarah pilihanraya di negara kita.

Terutamanya memandangkan pemboikotan tersebut berlaku selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri telah mencadangkan agar badan yang sudah berusia 50 tahun itu, dirombak semula supaya menjadi lebih telus, adil dan saksama.

Rombakan yang dicadangkan oleh Pengerusi SPR tersebut meliputi desakan mempercepatkan proses pindaan undang-undang pilihanraya, peruntukan kewangan secara terus, kebebasan SPR untuk melantik kakitangan, kuasa menyelesaikan kes kecil dan pelantikan ahli badan secara telus.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan disaran memasukkan peruntukan jelas mengenai pelantikan ahli SPR bagi mengelak parti pemerintah diberi kuasa mutlak dalam proses pemilihan dan pelantikan ahli SPR serta memastikan mereka mempunyai kekebalan sebagaimana dinikmati pihak kehakiman.

Dengan kata lain, kini Pengerusi SPR sendiri telah mengakui secara tidak langsung bahawa SPR bukan suatu badan yang bebas dan dapat menjamin pilihanraya dijalankan secara adil. Justeru, tindakan boikot BA terbabit mempunyai alasan yang cukup kuat sekali. Oleh itu, pemboikotan terbabit telah disokong penuh oleh penasihat Keadilan, Sdr. Anwar Ibrahim sebagai suatu tindakan yang bijak dan berani.

Namun, keputusan memboikot mungkin bukan pendirian awal PAS kerana menurut liputan Agenda Daily pada 4 Januari 2007, Naib Presiden PAS Husam Musa telahpun mengatakan partinya akan menjadikan pilihanraya kecil Batu Talam sebagai medan 'warm up' bagi menghadapi tahun pilihanraya umum.

Katanya, melalui saluran pilihanraya kecil itu, PAS akan menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional supaya mempertimbangkan keputusan menaikkan pelbagai kos hidup seperti kenaikan tol, harga minyak, gas memasak dan tarif elektrik.

Mungkin persediaan awal PAS untuk menyertai pertandingan di Batu Talam ini yang menjadi punca bisikan bahawa keputusan memboikot itu berasas kepada teori PAS pasti kalah dan mengapa harus bagi kemenangan moral untuk BN menjelang pilihanraya umum akan datang.

' Gencatan senjata'

Jika benar teori pasti kalah tersebut wujud, ia membayangkan bagaimana terserlahnya kesusutan moral bagi pihak PAS dan BA, kerana teori pasti kalah tersebut tidak ubah gencatan senjata sebelum berlawan, sekaligus "bagi kemenangan moral untuk BN" tanpa bertanding!

Tidak dapat dinafikan calon-calon PAS pernah bertanding di Sarawak, Sabah dan Johor untuk menguji sambutan pengundi di kawasan terbabit, dan tidak takut hilang wang pertaruhan calon-calonnya.

Namun keadaan di DUN Batu Talam adalah berbeza dan jauh lebih menguntungkan berbanding dengan kes-kes ujian terbabit, kerana calon PAS hanya kalah 931 undi pada pilihanraya umum tahun 1999 dan 2,761 undi pada pilihanraya umum tahun 2004.

Apatah lagi, kali ini sentimen pengundi rasanya lebih cenderung kepada pihak pembangkang kerana terlalu banyak isu semasa akibat pelaksanaan dasar BN yang menghampakan, malah menimbulkan kemarahan orang ramai, sungguhpun kita tidak perlu terlalu optimistik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang percaya calon BN kali ini mungkin kalah kerana kemarahan rakyat.

Bagaimanapun, dengan calon yang sesuai, taktik kempen yang betul dan semangat juang yang tinggi, rasanya bukan sukar sangat majoriti calon BN dikurangkan. Kejayaan mengurangkan majoriti calon BN juga boleh dianggap sebagai suatu pencapaian positif bagi PAS dan BA menjelang pilihanraya umum.

Andainya majoriti calon BN akan melebihi 2,761 undi meskipun segala daya usaha telah diikhtiarkan, maka PAS dan BA harus juga bersedia untuk menghadapi realiti politik yang tidak menguntungkan dengan sikap yang tenang dan mantap, dan dijadikan iktibar dan panduan bagi mencaturkan strategi yang lebih praktikal dan sesuai untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Memboikot dengan alasan pilihanraya dicemari penyelewengan, penipuan dan kepincangan juga tidak terelak akan disindir musuh politik sebagai takut kalah. Malah, A Kadir Jasin menyifatkan pemulauan terbabit sebagai memeranjatkan, tidak bertanggungjawab, luar biasa dan bacul suatu ulasan yang terlalu berat sebelah dan tidak rasional, dan memerlukan jawapan dan penjelasan.

Aibkan BN?

Yang lebih penting ialah pemboikotan tersebut telah mengaibkan kerajaan BN di dalam dan luar negeri kerana alasan tindakan tersebut telahpun diakui sendiri oleh Pengerusi SPR secara tidak langsung dengan saranan rombakan semula badan yang usang itu!

Lebih-lebih lagi, calon BN tidak menang tanpa bertanding dan terpaksa berdepan dengan seorang calon bebas, Ng Chee Pang yang berusia 22 tahun, yang bertanding secara "kerana suka bertanding!"

Ng bertanding tanpa poster, tanpa bilik gerakan, tanpa jentera pilihanraya, dan tanpa segala-galanya yang diperlukan oleh seseorang calon. Strategi kempennya hanya mengedarkan seribu keping kad nama yang tertera manifesto politiknya yang berbunyi:

"Saya suka Umno, PAS, Keadilan, dan NGO. Cintai MIC, MCA, DAP dan Gerakan. Tak cinta BN."

Suatu Manifesto Politik yang sudah barang tentu layak dicatatkan dalam buku Guiness Record dunia!

Namun, Ng yang bagaikan budak hingusan yang muncul dalam arena politik bagaikan fenomena politik yang memerlukan analisis lanjut itu, tidak berani dipandang ringan oleh BN.

Malah, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaludin menganggap BN berperang dengan "angina" kerana tidak tahu dari mana dia datang, strategi dan agendanya, konon!

Dan sekarang BN sedang pening kepala, bagaimana menjamin pengundi Batu Talam akan keluar mengundi secara beramai-ramai agar calon BN akan menang dengan majoriti yang cemerlang untuk membuktikan kekuatannya, memandangkan Ng hanya seorang lawan yang berminat untuk 'main-main saja'.

Namun demikian, jelas sekali Ng telah berjaya dalam dua aspek pertama, membawa 'business' kepada Batu Talam seperti diharapkan bapa Chee Pang; dan kedua, telah berjaya mengkarikaturkan pilihanraya bolehland yang penuh dengan hipokrasi dan penyelewengan.

Bagi PAS dan BA, masalah yang lebih penting ialah ke mana selepas memboikot pilihanraya kecil Batu Talam? Naib Presiden Husum Musa tidak menolak kemungkinan memboikot pilihanraya umum yang akan datang.

Katanya: "Pembangkang mungkin melakukan sesuatu yang tak terfikirkan (unthinkable), jika SPR dan kerajaan tidak kaji semula beberapa amalan pilihanraya yang tidak adil."