KOLUM | Pornografi, Etika dan dosa peribadi
Dan ketika mereka terus-menerus bertanya kepada-Nya, Ia pun bangkit berdiri lalu berkata kepada mereka:
“Barangsiapa di antara kamu tidak berdosa, hendaklah ia yang pertama melemparkan batu kepada perempuan itu.” (Yohanes 8:7)
Selalu ada hingar-bingar di media sosial saat terdapat kes melayari laman lucah melalui telefon.
Sebenarnya analisis canggih tidak perlu pun untuk mengatakan seseorang itu menonton laman web lucah ataupun tidak.
Cukup hanya memberikan telefon peribadi kita kepada orang lain, maka orang lain boleh cari apa yang kita tengok dan layari selama ini.
Soalnya, adakah itu beretika?
George Orwell menghuraikan perkara ini sudah lama dalam bukunya 1984, tentang Big Brother yang mengawasi masyarakat.
Orwell menulis fiksyen itu dalam rangka menghentam ideologi komunis yang mahu mengawal segala-galanya.
Anehnya, masyarakat kita yang antikomunis ini pula berperangai dan menyukai sikap Big Brother yang mahu mengawal segala-galanya, dari kita bangun tidur hingga hendak tidur semula, apa yang hendak kita lakukan dengan anu kita, atau layari laman web apa dengan telefon kita.
Bukanlah kita mahu mengatakan siapa bersalah atau tidak.
Tetapi pastilah ada ruang sesuatu kesalahan atau maksiat itu dikatakan salah kerana melibatkan orang ramai atau kepentingan orang ramai.
Juga pastilah ada ruang sesuatu itu maksiat atau dosa yang dilakukan secara personal dan tidak melibatkan orang ramai, hanya dengan dirinya sendiri.
Jika kesalahan itu dilakukan dalam mahkamah atau di depan hakim, pastilah ia salah dan wajar dijatuhkan hukuman.
Tapi jika dilakukan secara tertutup, pintu dikunci, dengan benda dan data telefon yang dibeli sendiri, apakah itu jenayah yang harus dibincangkan atau dilaporkan di mana-mana akhbar atau portal?
Adakah semua orang tidak pernah melakukan dosa peribadi? Tapi itu bukan jadi kesalahan, kerana kita pun faham bahawa ada dosa melibatkan orang ramai, ada dosa peribadi yang antara dia dan Tuhannya sahaja.
Melayari pornografi, jika hal itu dilakukan secara persendirian, tertutup, bukan untuk sebaran, hal itu harus kekal sedemikian. Kerana aib tetap aib dan semua orang mempunyai aib masing-masing.
Kita pun tidak tahu berapa lama seseorang itu melayari sesuatu web itu. Adakah seminit, adakah dua minit, adakah tiga minit.
Adakah adil hanya beberapa minit -yang kita tak dapat pastikan berapa lama- untuk dia tanggung aib untuk jangka masa yang lama? Adakah ini keadilan?
Meruntuhkan imej
Golden Rules atau Peraturan Emas menyebut, jangan lakukan sesuatu pada orang lain, yang kau tak ingin ia dilakukan kepadamu. Disebutkan sebagi Peraturan Emas, kerana disebutkan oleh berbagai tradisi dengan maksud dan pengertian yang hampir serupa.
• 950 SM: "...dengan menjadikan dharma (kelakuan betul) tumpuan utama anda, perlakukan orang lain seperti anda memperlakukan diri sendiri." - Mahabharata Shānti-Parva 167:9 (Hinduisme)
• 600 SM: "Elakkan melakukan apa yang anda akan salahkan orang lain kerana melakukan." – Thales (ahli falsafah Greek)
• 500 SM: "Jangan menyakiti orang lain dengan cara yang anda sendiri akan rasa menyakitkan." Buddha Udanavarga 5:18 (Buddhisme)
• 500 SM: "Seorang lelaki hendaklah bersiar-siar memperlakukan semua makhluk sebagaimana dirinya diperlakukan." — Sutrakritanga, 1.11.33 (Jainisme)
• 480 SM: Adakah terdapat satu perkataan yang boleh membimbing seseorang sepanjang hayat? Guru menjawab: "Bagaimana pula dengan 'shu' [timbal balik]: jangan pernah memaksa orang lain apa yang anda tidak akan pilih untuk diri sendiri?" - Confucius Analects 15:24
• 400 SM: "Jangan lakukan kepada orang lain apa yang membuat anda marah apabila mereka melakukannya kepada anda." - Isocrates (ahli falsafah Greek)
• 350 SM: "Apa yang kamu benci dilakukan kepada kamu, jangan kamu lakukan kepada orang lain." - Egyptian Papyrus, Brooklyn 47:218:135
• 1 M: "Jangan lakukan kepada orang lain apa yang anda tahu menyakiti diri anda" - Tirukkural (Hinduisme Tamil)
• 400 M: "Apa yang kamu benci, jangan perbuat kepada sesamamu: inilah seluruh Taurat; selebihnya adalah penjelasan..." - Babylonian Talmud Shabbath 31:a (Judaisme)
• 600 M: "Tidaklah beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mendoakan untuk saudaranya apa yang dia inginkan untuk dirinya sendiri." - Muhammad, dalam pelbagai hadith (Islam)
• 800 M: "Apa sahaja yang tidak menyenangkan diri sendiri, jangan lakukan kepada orang lain." Shayast-na-Shayast 13:29 (Zoroastrianisme)
• 1200 M: "Anggaplah keuntungan jiranmu sebagai keuntunganmu sendiri, dan kerugian jiranmu sebagai kerugianmu sendiri." Risalah tentang Tindak Balas Tao (Taoisme)
• 1400 M: "Jika seluruh Dharma boleh diucapkan dalam beberapa perkataan, maka itu adalah - yang tidak menguntungkan kita, jangan lakukan itu kepada orang lain." Padmapuraana 19/357–358 (Hinduisme)
Pastilah semua orang tidak selesa jika telefon mereka dirampas dan digeledah, disiasat dan dibongkar segala aib peribadi atau pornografi atau skandal yang mereka ada.
Pastilah Netflix yang ada soft porn, yang mereka kadang-kadang tengok itu, mereka tidak mahu ia menjadi berita utama pada kes yang tidak berkaitan secara langsung dengan mereka.
Itu sudah pasti.
Ada yang mengatakan wartawan sekadar melaporkan berita dan tajuk berita pastilah sesuatu yang sensasi.
Tetapi masih persoalannya, adakah dalam kewartawanan tiada etika dalam pemberitaan?
Adakah hal-hal peribadi -dosa peribadi- harus ditayang atau ditelanjangkan untuk masyarakat awam?
Prinsip keadilan itu harus jelas. Bukan kesangapan hendak meruntuhkan imej dan memalukan seseorang itu tanpa batas etika dan pertimbangan moral.
Hal yang tidak berkaitan harus disisihkan ke tepi. Fokus untuk pembinaan kes suspek secara berfokus. Bukan merewang ke tempat lain.
Dikatakan itu adalah ketetapan atau hal biasa yang telah berlaku.
Soalnya, adakah segala ketetapan yang telah berlaku itu jika dilihat salah, memalukan dan mengaibkan, maka ia harus dibenarkan dan diteruskan?
Banyak dakwaan tahanan dalam penjara dipukul meskipun telah dijatuhi hukuman. Walaupun itu kebiasaan, adakah itu harus terus dibenarkan dan diteruskan kebiasaan jahat sebegitu?
Perilaku pembenaran sedemikian hanyalah membenamkan kita lagi menjadikan masyarakat kita masyarakat barbarik.
Yang salah -walaupun maksiat peribadi- harus diruntuhkan dan dihancurkan imej dan peribadinya.
Tiada walau secuil ampun pun padanya. Ini dibenarkan mengikut selera kita, pada orang yang kita tidak suka.
Sebaliknya jika pada kaum kerabat kita, pada orang yang kita suka, atau pada diri kita sendiri, kita berharap pada hukuman yang lebih lembut dan ringan, dan kita pun berharap kita tidak dimalukan dan diaibkan.
Adakah ini keadilan?
Tuhan berseru dalam al-Quran, janganlah disebabkan kebencian kamu pada sesuatu kaum mendorong kamu berlaku zalim pada sesuatu kaum tersebut.
Ittaqullah!
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/1194/564f811e22f4cfb38dde5d086f3da911.jpeg)
