Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | 'Tak apa kimia 0%, kamu mungkin insan 100%'

Apa kata-kata semangat yang boleh disampaikan seorang guru kepada seorang pelajar yang mendapat markah 0 peratus dalam peperiksaan kertas Kimianya?

Bahkan guru itu pun sudah lupa apa yang diungkapkan dirinya setelah tiga dekad berlalu.

Dalam satu temuramah media, mendiang Cikgu Bock berkongsi kisah bagaimana dirinya didatangi seorang bekas pelajar, yang kini taukeh besar sebuah syarikat tersenarai.

Meskipun disebutkan nama, sosok tersebut tetap tidak tercungkil dari ingatan Cikgu Bock, memandangkan bekas pelajar itu tidak begitu menonjol ketika zaman sekolah.

Namun, menurut bekas pelajar itu, dia tetap mengingati Cikgu Bock buat selama-lamanya.

Terkejut juga Cikgu Bock sehingga bertanya, “Adakah saya pernah pukul kamu?”

“Tidak, cikgu telah mengungkapkan kata-kata yang memberi impak kepada saya buat seumur hidup.” Taukeh besar itu menyambung, “Mustahil saya mencapai apa yang ada pada hari ini tanpa kata-kata itu.”

Syurga atau neraka

Cikgu Bock pun terfikir-fikir, apakah kata-kata azimat yang pernah diungkapkannya, sehingga mendorong bekas pelajarnya untuk mencapai kejayaan?

Taukeh besar itu mengaku dirinya bukan jenis pelajar yang cemerlang dari segi prestasi akademik, malah mendapat markah 0 peratus untuk Kimia dalam peperiksaan pertama.

Semua pelajar dipanggil satu persatu untuk duduk bersemuka dengan Cikgu Bock, bersama kertas ujian masing-masing dalam tangan. Cikgu Bock akan mengupas, kelebihan dan kelemahan pelajar berdasarkan prestasi masing-masing, dan mengakhiri dengan sepatah dua kata-kata semangat. Cuma, apakah galakan yang boleh diberikan kepada pelajar yang mendapat 0 peratus?

Menurut bekas pelajarnya, Cikgu Bock berkata, “Tak apa kalau Kimia kamu dapat 0 peratus. Kamu mungkin mendapat 100 peratus sebagai seorang insan.”

Barulah Cikgu Bock sedar bahawa sepatah dua kata seseorang guru boleh meletakkan pelajarnya di “syurga” atau “neraka”. Memandangkan kata-kata, sikap, cara penyampaian seseorang guru mampu mencetuskan impak yang sebegitu besar terhadap pelajar, bukankah seseorang guru harus lebih serius untuk memikirkan apa yang ingin diungkapkan, agar kata-kata itu memiliki nilai dan fungsi pendidikan?

Sanggup langgar peraturan demi bantu muridnya

Demikianlah kesimpulan Cikgu Bock, yang bukan sahaja sanggup menemani anak muridnya mendewasa dengan penuh kesabaran, tetapi juga dengan kreativiti.

Ini kerana Cikgu Bock mempercayai pendidikan bukan sekadar mengajar pelajar untuk menghadapi peperiksaan, tetapi menyantuni setiap pelajar sebagai insan yang istimewa. Cikgu Bock sentiasa memerah otak untuk memastikan anak muridnya meminati kelasnya.

Dalam satu rakaman temu ramah yang lain, Cikgu Bock berkongsi kisah seorang ketua darjah yang sentiasa mengantuk dalam kelas. Umpama video pendek yang sering kita tonton di media sosial, pelajar ini mengantuk kerana dia terpaksa bangun pada pukul empat pagi untuk menolong ibu bapanya yang menoreh getah. Kemudian dia bergegas ke sekolah tanpa makan sarapan.

“Patutlah dia mengantuk. Bagaimana remaja yang sedang membesar ini, boleh menumpu perhatian dalam kelas tanpa makan sarapan?” Setelah mengetahui puncanya, Cikgu Bock pun pergi membeli biskut dalam tong, milo, tepung susu, dan cerek elektrik dengan wang sakunya, untuk disimpan dalam kelas.

Mendiang mengumumkan bahawa sesiapa yang belum makan sarapan, dibenarkan makan dalam kelas, dengan syarat tidak mengganggu pelajar yang lain.

Namun tindakan ini melanggar peraturan sekolah, yang melarang pelajar makan ketika kelas sedang dijalankan. Sesetengah guru mengadu kepada pengetua, tetapi pengetua juga berasa serba salah, kerana sedar akan kesungguhan Cikgu Bock untuk membela pelajarnya.

Rupa-rupanya Malaysia memiliki Great Teacher Onizuka (sebuah drama Jepun yang mengisahkan bagaimana seorang guru berdepan dengan pelajar bermasalah) dalam versi tempatan, sejak zaman 1970-an lagi.

Pendidikan adalah pertanian, bukan perindustrian

Untuk Cikgu Bock, yang lebih suka dikenali sebagai “tukang kebun”, pendidikan adalah pertanian, dan bukan perindustrian. Mendiang pernah membuat perumpamaan sebegini,

“Tumbuhan yang sama, boleh jadi menyerap kandungan mineral yang berbeza (jikapun ditanam bersama). Jikalau terdapat seketul batu dalam tanah itu, maka kandungan mineral dan air yang diserap tumbuhan itu akan menjadi kurang, lantas pertumbuhannya menjadi perlahan. Bukan disebabkan tumbuhan tersebut tidak baik, tetapi disebabkan halangan batu itu.”

“Jadi, andainya kita membenarkan setiap hidup untuk berkembang dan mendewasa dengan semulajadi, kita harus menerima hakikat bahawa kadar pertumbuhan masing-masing adalah berbeza. Masalahnya pendidikan kita tidak membenarkan pelajar ketinggalan langkahnya.

Jadi, apa yang boleh dilakukan guru adalah memberi galakan, menyedarkan pelajar itu bahawa ia bukan masalah dirinya semata-mata, tetapi juga faktor lain,” kata Cikgu Bock.

Kreativiti seseorang guru akan terbantut jikalau segala fokusnya hanya tertumpu kepada soal peperiksaan, tanpa keprihatinan untuk mengambil berat bagaimana seseorang insan mendewasa. Cikgu Bock menerima perbezaan bahawa bunga bermekar pada kadar yang berbeza, dan setiap insan terserlah bakatnya di peringkat yang berbeza, boleh jadi di sekolah, universiti, atau di gelanggang kerjayanya.

“Cabarannya, apakah kita selaku ibu bapa, atau guru, sanggup mencurahkan kesabaran untuk menunggu dan menemani tumbuhan itu sehingga ia memekarkan bunganya?” tanya Cikgu Bock.

Bapa yang gagal atau 100 peratus?

Tiada pertikaian bahawa Cikgu Bock telah mencurahkan segala masa dan kesabaran untuk anak muridnya, di samping memperjuangkan pendidikan bahasa Cina di tanah air ini. Pernah juga Cikgu Bock bermuhasabah, adakah dirinya terlalu fokus kepada perjuangannya, sehingga mengabaikan peranan diri sebagai suami dan bapa?

Penilaian Cikgu Bock ke atas dirinya mendapati dia tidak lulus sebagai suami dan bapa, maka dipanggil satu mesyuarat keluarga pada suatu hari, bertempat di restoran makanan western, untuk dirinya mendengar penilaian daripada ahli keluarganya. Cikgu Bock berterus-terang, mengakui kekurangan dirinya, dan membuka ruang untuk dikritik anak-anaknya. Namun, tiada yang bersuara. Akhirnya mendiang berdiri, tunduk dan memohon maaf kepada setiap ahli keluarganya.

Mereka yang pernah mendengar kisah Cikgu Bock, akan tahu bahawa mendiang menyalahkan dirinya kerana tidak meluangkan lebih masa untuk keluarganya.

Ketidaksempurnaan ini diterima Cikgu Bock sebagai kekesalan yang gagal ditebus untuk seumur hidupnya.

Bagaimanapun, anak-anak Cikgu Bock akhirnya bersuara untuk menyanggah ayah mereka dalam upacara sebelum pengebumian bapa mereka. Anak perempuan sulungnya berkata, penilaian itu tidak seharusnya dilakukan oleh bapanya seorang, tetapi juga anak-anaknya. Dan untuk anak-anak Cikgu Bock, mereka memberi markah 100 peratus kepada ayah mereka.

Ia bukan sekadar pujian untuk ayah mereka yang telah meninggal dunia. Dalam satu tulisan anak lelakinya, Bock Chek Lim, mengisahkan bagaimana ayah mereka menyimpan dengan elok kesemua warkah yang pernah dikirim anak-anaknya ketika melanjutkan pengajian di universiti. Malah kesemua gambar yang pernah diambil ketika zaman kanak-kanak, dilabel dengan tarikh dan lokasi; bahkan karya lukisan dan karangan anak-anaknya pun disimpan dengan baik, sebelum diserahkan kepada mereka beberapa tahun lalu.

Lebih-lebih lagi, Cikgu Bock tidak pernah menyekat anaknya daripada mengejar cita-cita mereka. Bayangkan, tiga dekad sebelum ini, Cikgu Bock membenarkan anaknya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni, muzik klasik, alam sekitar dan sebagainya, yang mungkin kabur masa depannya ketika itu. Namun, apakah kasih lebih mendalam yang boleh dicurahkan seorang bapa, jikalau bukan menghormati pilihan anaknya?

Mujur, penghargaan ini sempat disampaikan kepada Cikgu Bock, pada detik saat sebelum mendiang menghembuskan nafas terakhir. Saya dimaklumkan seorang rakan yang kebetulan berada di wad sebelum Cikgu Bock meninggal dunia, bahawa salah seorang anaknya mengucapkan terima kasih kepada ayahnya, kerana tidak pernah mengharapkan dirinya mendapat nombor satu dalam kelas, tetapi mengharapkan dia menjadi insan yang baik.

Ini kerana menurut ayahnya, menjadi insan yang baik lebih penting daripada mendapat nombor satu dalam kelas.

Ia menjelaskan mengapa pemergian Cikgu Bock begitu menyentuh hati, sebagaimana kisah hidupnya yang berwarna-warni.

Baca: Bahagian pertama: Cikgu Bock: Pendidik Cina yang menjual cakoi


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Penulis telah mendapat kebenaran daripada keluarga Bock untuk mencatatkan kata-kata akhir anaknya kepada Cikgu Bock. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS