Kebelakangan ini kita membaca laporan media tentang bangunan yang baru sahaja selesai didirikan tiba tiba runtuh. Saya pernah menulis untuk meramalkan tentang 'runtuh runtuh' yang akan berlaku. Nampaknya ramalan saya tidak tepat. Saya meramalkan dalam masa lima tahun lagi barulah banyak bangunan akan runtuh-rantah. Belumpun lima tahun berlalu, tapi semakin banyak binaan runtuh rantah dan bocor. Apa yang sebenanrnya berlaku?

Apa yang ingin saya tulis ini bukan sesuatu yang baru. Ianya telah menjadi rahsia umum. Malah rahsia umum ini yang pada awalnya agak sulit dan tersorok. Tetapi kerana ianya amat sering dilihat, didengar dan dialami, maka yang sulit ini telah menjadi loya lagi meloyakan.

Tiga tahun dahulu kita mendengar sekolah yang baru di bina runtuh di Pahang. Media heboh sebentar. Kemudian kita membaca pula tentang jejambat lebuhraya retak. Media heboh sebentar. Kita juga terbaca dalam akhbar arus perdana tentang hospital di Johor yang mula bercendawan. Ini juga heboh sebentar.

Kemudian semuanya senyap.

Tidak berapa lama dahulu, atap bangunan parlimen runtuh dan bocor. Menteri yang bertanggungjawab mula bertikam lidah. Dana dikeluarkan untuk memperbaiki bangunan. Hasilnya, kes ini senyap semula. Tiba tiba tebing tanah runtuh di Putrajaya. Saya melihat gambar di mana banyak kereta yang terkambus. Seperti biasa pihak berwajib bersilat lidah tuduh menuduh.

Kemudian rakyat dalam negara ini 'tersenyum sinis' pula apabila satu lagi atap runtuh dan bocor. Kali ini di jabatan imigresen. Ini juga berlaku di Putrajaya. Pada hemat saya, Putrajaya adalah gedung dan pusat kuasa yang anggun dan patut dihormati. Nampaknya, bencana runtuh-rantah ini agak 'kurang ajar', ianya tidak memilih tempat untuk bocor dan terbarai.

Tidak cukup dengan Putrajaya, tiba tiba ' runtuh' ini dating pula menyerang ke bangunan mahkamah di Jalan Duta. Runtuh ini betul betul telah menjadi 'kurang ajar' sehingga seorang hakim mahkamah naik

berang lagi marah kerana alat hawa dingin telah gagal berfungsi di dalam bangunan yang gah lagi mengahkan. Sila ambil nota: Bangunan mahkamah di Jalan Duta yang gah lagi hebat ini baru sahaja siap untuk digunapakai.

Apa yang sedang terjadi sebenarnya? Apakah Yang Maha Esa telah marah? Apakah rahsia di belakang bocor, runtuh dan kopak ini?

Bersurah tentang TV

Saya bukan seorang kontraktor kelas A atau kelas F yang bekerja sebagai pembina bangunan. Saya terdidik dalam ilmu filem. Ertinya, ilmu ini membolehkan saya membuat filem dan juga membuat rancangan di TV. Jadi biar saya nyatakan perkara yang saya sendiri tahu agar tidak ada orang yang akan menuduh apa yang saya tulis ini satu perkara yang saya sendiri tidak memiliki pengetahuan, yakni, membuat bangunan.

Untuk ini biar saya bersurah tentang TV. Cuba kita perhatikan betul betul rancangan TV negara kita yang dilihat terlalu monyok. Sekali pandang maka akan ada orang yang menuduh pembuat program di TV kita semuanya tidak sekolah dan tidak berilmu. Ini sebenarnya tidak betul.

Awal wahid, dana yang dikeluarkan oleh stesen TV kita agak rendah, hasilnya nilai produksi kelihatan lembik. Tetapi ini bukan sebab utama. Ada ular yang lebih besar yang berlingkar di belakang para pembuat program ini. Ceritanya begini: untuk membantu peniaga Bumiputera dalam bidang pembuatan rancangan TV maka ditubuhkan konsortium. Siapa yang mengepalai consortium ini tidak begitu jelas tetapi apa yang sahih, mereka semuanya peniaga yang bersunat dan boleh mengucap kalimah shahdat, yakni bumiputera.

Dana membuat program diberikan kepada konsortium ini. Konsortium ini pula akan mengagih agihkan projek membuat program ini kepada satu lagi syarikat yang juga bumiputera. Para pembuat program TV harus berwaspada kerana sebelum mendapat projek ini, si konsortium telah mengambil sebahagian daripada

dana itu. Untuk apa? Wallah wuaalam bissawab, hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui.

Si peniaga bumiputera kedua ini pula akan mengagihkan pula projek pembuatan program ini kepada sebuah lagi syarikat bumiputera. Setiap kali projek membuat rancangan TV ini beralih tangan, nilai dananya akan turun kerana ianya telah dicopek. Perkara yang sama turun hingga ke tiga atau empat tangga.

Akhirnya barulah rancangan ini dapat dibuat. Hasilnya? Anda lihat sendiri di kaca TV, saya tidak perlu nyatakan kerana saya sendiri telah dua tahun tidak memiliki peti TV. Hasil yang dilihat di kaca TV itu adalah cara dan metodologi perniagaan bumiputera yang terunggul.

Sekarang alihkan pembuatan rancangan TV kepada pembuatan bangunan mahkamah atau dekolah bistari di Pahang, atau jambatan. Pendekatannya sama. Hanya saya tidak tahu berapa tangga ianya akan turun sebelum bangunan ini dapat dibina. Sama seperti pembuatan rancangan TV tadi, dana untuk membina

bangunan ini juga akan menurun setiap kali ianya beralih tangan.

Rekabentuk bangunan

Dari sini lahir lagi perkataan teknologi yang baru lagi canggih seperti 'main con' , 'sub con', 'sub sub con', 'sub sub sub con'. Saya tidak begitu arif tentang makna perkataan teknologi ini. Saya juga tidak tahu apakah istilah 'con' ini sama ertinya dengan 'conman'.

Akhirnya bangunan ini terbina juga. Perancangan awal rekabentuk bangunan ini mungkin tidak berubah tetapi isi kandungannya pasti berubah. Bangunan ini pasti terlebih pasir dari simen. Dari kayu jati ianya beralih ke plywood seperti siling bangunan mahkamah yang baru terbarai baru baru ini. Dari besi keluli ianya boleh beralih kepada dawai. Dari tembaga untuk pembetongan ianya beralih ke paip plastik.

Pasti ada orang yang akan bertanya, mana mungkin perkara ini boleh berlaku walhal ada jurutera, ada jurukur, jurubina dan pelbagai jenis juru yang berilmu. Memang betul ada pelbagai insan yang berilmu pengetahuan yang khusus dalam hal mendirikan bangunan ini.

Sayangnya, semua ini telah dijadikan mainan di kertas kerana di atas semua juru juru ini, ada seorang juru yang maha besar juru rasuah. Juru ini kerjanya hanyalah menumbuk rusuk para juru juru yang lain agar bangunan ini akhirnya akan dibina dan boleh dilihat gah berdiri.

Juru rasuah ini kini telah menjadi satu seni halus dalam budaya perniagaan dan pentabiran kita. Juru rasuh boleh bergerak dari puncak kuasa hinggalah ke tangga kuasa yang paling rendah sekali. Dari tambi budak pejabat ianya akan menular hingga ke setiausaha jabatan. Setiap tangga yang perlu dilalui, setiap jabatan yang diperlukan untuk melulus projek, juru rasuah wajib memainkan peranan. Tanpa juru rasuah, tidak ada yang akan bergerak, semuanya akan terbengkalai.

Saya rasa metod perniagaan jenis ini belum dipatenkan. Dalam perkiraan saya, teknik juru rasuah ini perlu dipaten dan dijadikan satu cabang ilmu untuk kajian MBA di Harvard School of Business Administration. Rasa saya, ini akan menjadi satu kebanggan untuk bumiputera di Malaysia, terutama dalam suasana

memyambut lima puluh tahun Merdeka.

Saya menentang rasuah bukan kerana ada orang menjadi kaya kerana dia menjadi juru rasuah. Saya tidak marah orang jadi kaya. Saya menentang rasuah kerana ianya menjadi bahaya kepada keselamatan diri saya sendiri.

Kes mahkamah

Hari ini, setiap kali saya melintasi jambatan, saya merasa was-was bilakah jambatan ini akan runtuh. Atau jika saya menaiki LRT atau bas, saya merasa resah dan gelisah kerana bila bila masa sahaja landasan LRT ini akan bungkas atau bas akan pecah berderai. Saya juga kurang yakin apakah lesen si pemandu ini betul betul sahih kerana dia arif memandu atau kerana juru rasuah ada membantu.

Tentang mahkamah baru di Jalan Duta ini ,saya cukup gerun kerana dari apa yang saya difahamkan, pendawaiannya masih belum rapi. Saya juga difahamkan, mahkamah ini belum ada talian telefon. Pihak hakim dan peguam telah mula merungut, bukan sahaja si kontraktor telah membuat bilik bilik para hakim

kecil dan sempit, malah si kontraktor terlupa untuk membuat bilik simpanan dokumen.

Bilik menyimpan dokumen ini penting untuk semua mahkamah. Jika ini tidak dilakukan samalah seperti mendirikan masjid tanpa membuat mimbar. Akhirnya saya difahamkan tempat letak kereta kini sedang diubahsuai untuk dijadikan bilik menyimpan dokumen. Sama seperti metod membuat program TV, mahkamah yang dibanggakan sebagai terbesar di Asia ini hanya cantik dari jauh tetapi jauh dari cantik.

Bila saya difahamkan oleh peguam saya tentang semua ini, hati saya bertambah kecut kerana saya masih lagi ada dua kes yang perlu dibicarakan di mahkamah baru ini. Saya bukan takut dengan hukuman yang akan dijatuhkan tetapi saya lebih takut siling akan jatuh menghimpap kepala saya ketika saya duduk di hadapan tuan hakim.