13 Mei: Perspektif baru dan tanggungjawab sejarah
Kenyataan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) bahawa kementerian itu tidak berniat untuk mengharamkan buku "May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969" tulisan Dr Kua Kia Soong tentulah dialu alukan.
Sebelum ini, tindakan pegawai KDN merampas buku tersebut dari kedai buku dan melarang buku itu dijual, telah membangkitkan bantahan meluas pelbagai pihak khuatir buku itu akan terus diharamkan.
Memang tidak masuk akal jika buku Dr Kua itu diharamkan hanya kerana ia berbeza dengan versi rasmi kerajaan. Versi rasmi itu menganggap provokasi penyokong pembangkang yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum 1969 merupakan punca utama rusuhan 13 Mei. Maklumlah Perikatan telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum terbabit.
Perikatan telah hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Di samping itu, Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan Parti Gerakan dan Kelantan pula jatuh ke tangan PAS, sedangkan di Perak dan Selangor Perikatan juga gagal memenangi kerusi majoriti.
Kenyataan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) bahawa kementerian itu tidak berniat untuk mengharamkan buku "May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969" tulisan Dr Kua Kia Soong tentulah dialu alukan.
Sebelum ini, tindakan pegawai KDN merampas buku tersebut dari kedai buku dan melarang buku itu dijual, telah membangkitkan bantahan meluas pelbagai pihak khuatir buku itu akan terus diharamkan.
Memang tidak masuk akal jika buku Dr Kua itu diharamkan hanya kerana ia berbeza dengan versi rasmi kerajaan. Versi rasmi itu menganggap provokasi penyokong pembangkang yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum 1969 merupakan punca utama rusuhan 13 Mei. Maklumlah Perikatan telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum terbabit.
Perikatan telah hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Di samping itu, Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan Parti Gerakan dan Kelantan pula jatuh ke tangan PAS, sedangkan di Perak dan Selangor Perikatan juga gagal memenangi kerusi majoriti.
Dalam buku baru Dr Kua, tesis 'coup d'etat' atau rampasan kuasa telah dikemukakan. Mengikut tesis itu, 13 Mei sebenarnya dirancang oleh golongan kapitalis negara/birokrat yang sedang muncul dengan sokongan pasukan bersenjata dan polis terhadap Tunku Abdul Rahman yang mewakili kepentingan aristokrat lama.
Tesis 'coup d'etat' bukan hujah yang baru, umpamanya Subky Latiff juga pernah mengemukakan tesis itu pada 1977. Yang berbeza hanya rumusan Dr Kua diasaskan kepada kajian ke atas dokumen dokumen yang telah dideklasifikasikan dari Pejabat Rekod Awam di London.
Seperti semua hasil kajian akademi, tesis 'coup d'etat' juga boleh dipertikaikan atau ditolak jika fakta yang didedah oleh dokumen terbabit dapat dicabar dengan bukti baru yang lebih kukuh dan meyakinkan, termasuk bukti yang terkandung dalam dokumen cawangan khas negara kita yang masih belum dideklasifikasikan.
Dialog dan diskusi
Dengan kata lain, ia tidak semestinya diterima, boleh juga dipertikai atau ditolak melalui dialog, diskusi, perdebatan atau kritikan secara rasional, sesuai dengan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kematangan masyarakat Malaysia menjelang ulangtahun kemerdekaan ke 50.
Bukannya melalui pengharaman buku atau penganiayaan terhadap penulisnya melalui akta akta tidak demokratik, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Cara pengharaman dan penganiayaan tersebut adalah undang undang kuku besi yang anti demokrasi dan anti cendekiawan yang wajar ditentang habis habisan.
Tidak dapat dinafikan bahawa versi rasmi kerajaan adalah interpretasi unilateral/sepihak oleh mereka yang berjaya merampas kuasa, selepas sistem demokrasi berparlimen ditamatkan, dan negara diperintah melalui kediktatoran Mageran (Majlis Gerakan Nasional) yang mempunyai kuasa mutlak di bawah keadaan darurat.
Maklumlah Mageran bukan dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman tetapi oleh Tun Razak dari 17 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971 tatkala Parlimen digantungkan, dan dalam jangka masa itulah, pelbagai agenda Melayu, termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Nasional dan Dasar Kebudayaan Nasional yang merupakan dasar dasar perkauman yang berat sebelah, telah diluluskan dan diamalkan sehingga kini.
Selama ini versi rasmi kerajaan saja yang cuba diindokrinasi dan disogokkan kepada semua pihak, termasuk di peringkat Institusi Pengajian Tinggi melalui matapelajaran Hubungan Etnik baru baru ini.
Jika ada versi yang lain, seperti versi Dr Kua sekarang, ia segera digemparkan sebagai sesuatu yang amat sensitif dan bakal mendatangkan kecelakaan kepada buku terbabit (umpamanya diharamkan) dan penganiayaan kepada penulisnya (umpamanya diambil tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri).
Keadaan ini amat tidak sihat, kerana tidak dapat dinafikan, dari perspektif berlainan, versi kejadian tragedi 13 Mei itu tentu rencam dan pelbagai. Padahal autoriti versi rasmi kerajaan awal awal lagi telah bankrap, kerana komunis yang dijadikan kambinghitam, kemudiannya telah dijilat balik oleh kerajaaan sendiri.
Perspektif berlainan
Versi rasmi kerajaan tidak pernah diterima oleh rakyat biasa, terutamanya parti parti pembangkang dan mangsa tragedi 13 Mei yang tidak berdosa serta sanak saudara mereka. Golongan pelampau Umno gemar memberi amaran atau gertakan, mengenai cetusan semula Peristiwa 13 Mei, kepada bukan Melayu atau pembangkang yang dianggap mencabar 'kontrak sosial' berkaitan dengan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu.
Taktik ini membuktikan peristiwa 13 Mei bukan saja tidak disesali, malah dianggap sebagai suatu 'pengajaran' yang akan diulangi jika hak keistimewaan dan ketuanan Melayu dicabar dan agenda agenda Melayu ditentang.
Justru, jika punca sebenar rusuhan 13 Mei hendak dikenalpasti, maka segala keraguan dan dendam yang terpendam dalam hati hendaklah dihapuskan, dan hantu 13 Mei hendaklah dibasmikan sekaligus manakala peluang dan ruang yang lebih luas untuk mengemukakan versi baru dari perspektif berlainan, wajar diberi.
Seperti nasihat Sdr. Anwar Ibrahim, anggaplah buku baru Dr Kua sebagai proses untuk memberi penjelasan kepada rusuhan perkauman 13 Mei yang selepas hampir empat dekad, terus dibincangkan secara senyap memandangkan tiada jawapan muktamad yang diberi oleh pihak berkuasa.
Dan pengharaman buku ini akan memperkukuhkan lagi tesis bahawa rusuhan 13 Mei tersebut sememangnya disebabkan oleh rampasan kuasa yang dirancang pimpinan tertentu untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.
Bagaimanapun, seperkara yang tidak boleh dianggap sepi lagi ialah pemerhatian dan akuran pelbagai punca dari dokumen dokumen deklasifikasi terbabit bahawa pasukan bersenjata kita gagal menjalankan tugas mereka secara adil dan berdisiplin.
Pemimpin negara khasnya pemimpin Umno perlu memikirkan bagaimana hendak memulihkan keyakinan rakyat pelbagai kaum terhadap pasukan bersenjata negeri kita, bukan sebaliknya cuba memperalatkan Peristiwa 13 Mei sebagai senjata gertakan selanjutnya.
Tibalah masanya bagi pimpinan negara kita menghadapi hakikat sejarah tragis 13 Mei secara lebih bertanggungjawab dan proaktif. Namun, jika pimpinan negara/Umno sekarang tidak mampu memberi arahan yang tegas agar dua orang ahli Parlimennya bertaubat dan minta maaf secara ikhlas kepada kaum wanita kerana gagal membezakan bocor bangunan Parlimen dengan 'bocor bulanan' wanita dan antara jenaka dengan penghinaan, macam mana kita boleh harap mereka mampu bermuhasabah dan berani memikul tanggungjawab sejarahnya?
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.