Menteri Pelajaran Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein melengah-lengahkan perjumpaan beliau dengan Dong Jiao Zong (DJZ) kerana DJZ dianggap sebagai tidak ikhlas.

Kononnya DJZ telah mengenakan prasyarat dalam surat mereka. Pihak DJZ menyiarkan surat bertarikh 28 Mac 2007 terbabit yang bertajuk: 'Hasrat untuk Mengadakan Perjumpaan dengan Yang Berhormat Dato' Sri' untuk membuktikan surat tersebut tidak mengenakan sebarang prasyarat seperti dakwaan Hishammuddin. Ianya hanya mengandungi tiga perenggan yang ringkas seperti berikut:

"Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ialah dua badan pendidikan yang ditubuhkan untuk memelihara perkembangan pendidikan Cina khasnya dan berusaha mendorong perkembangan pendidikan negara amnya.

(2) Oleh sebab prihatin terhadap pendidikan negara, khasnya pendidikan aliran bahasa Cina, kami berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan Yang Berhormat Dato' Sri supaya dapat bertukar pendapat dan seterusnya berusaha bersama-sama untuk memajukan pendidikan negara kita.

(3) Besarlah harapan kami agar sudilah kiranya Yang Berhormat Dato' Sri merestui hasrat kami dan menetapkan tarikh yang sesuai bagi perjumpaan tersebut. Sekian dimaklumkan, terima kasih."

Maklumlah selepas Perdana Menteri Abdullah berkuasa, pihak DJZ telah berkali-kali merayu dan menulis surat kepada beliau meminta agar diberi peluang untuk berjumpa dan membincangkan masalah pendidikan Cina dan negara, tetapi permintaan-permintaan berkenaan tidak "direstui" hingga sekarang.

Penulis ini pernah mengibaratkan berjumpa dengan PM rasanya lebih sukar daripada mengadap ke bawah duli maharaja pada zaman feudal dahulu!

Masalah pendidikan Cina

Surat bertarikh 28 Mac 2007 tersebut ditulis justeru kerana bila diwawancara oleh Sin Chew Daily pada 2 Mac 2007, Menteri Pelajaran Hishammuddin sendiri telah menyatakan kesudian beliau untuk berjumpa dengan DJZ demi membincangkan masalah pendidikan Cina.

Menurut urutan peristiwa, jika selepas menerima surat permintaan terbabit, suatu tarikh perjumpaan yang sesuai telahpun ditetapkan dan diberitahu kepada DJZ, maka masalah ikhlas atau tidak langsung tidak timbul, kerana Hishammuddin sendiri yang terlebih dahulu mengatakan kesudian beliau untuk berjumpa dengan DJZ.

Selepas tuduhan Hishammuddin dinafikan DJZ dengan menyiarkan surat terbabit, Hishammuddin pula mengatakan prasyarat terbabit dikenakan melalui kenyataan-kenyataan DJZ dalam media, tanpa memberi sebarang bukti yang konkrit.

Bagi saya, yang mengenakan prasyarat bukan DJZ, sebaliknya Hishammuddin sendiri, iaitu DJZ mesti menunjukkan "keikhlasannya" terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan beliau!

Lebih menakjubkan ialah bagi Hishammuddin, "keikhlasan" bermakna, antara lain, DJZ tidak boleh memberitahu media tentang perjumpaan tersebut, tidak boleh menetapkan apa yang hendak dibincangkan dalam perjumpaan, dan hasil perjumpaan juga tidak boleh didedahkan kepada media dan sebagainya.

Beliau amat marah, kerana DJZ pada satu pihak meminta hendak berjumpa dengan beliau, tetapi di pihak yang lain, terus membidas dasar pendidikan kerajaan dalam media!

Pendek kata, perjumpaan terbabit mesti bersesuaian dengan agenda Umno/kerajaan BN untuk meraih habuan politik dan sokongan menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

'Agenda tersembunyi'

Yang amat dikesali ialah kerana gagal mencapai agenda tersembunyi yang diharapkan, pimpinan DJZ pun dibelasah dengan sewenang-wenangnya. Umpamanya DJZ diingatkan bahawa mereka bukan satu-satunya badan yang mempertahankan pendidikan Cina, disindirkan bahawa tidak berjumpa dengan DJZ bukan hari kiamat, pimpinan DJZ sekarang malah dikritik sebagai tidak seunggul pimpinan dahulu.

Selepas kembali dari lawatan ke Peking dan Shanghai, Hishammuddin berlagak seolah-olah telah mengalami anjakan paradigma daripada seorang nasionalis Melayu yang sempit menjadi seorang liberal yang menyokong dasar kepelbagaian aliran pendidikan.

Beliau mendabek dada mengatakan beliau sendiri akan mempertahankan aliran sekolah Cina dan Tamil, kerana dasar kepelbagaian aliran pendidikan di negara kita bukan saja tidak sensitif lagi, ia malah merupakan aset Malaysia!

Sikap Hishammuddin untuk memencilkan DJZ bukan sesuatu yang baru. Beliau berguru kepada "sifu" beliau Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengumpamakan bahawa bisikan pemimpin parti komponen BN di tepi telinganya, beliau akan kedengaran; tapi tuntutan pembangkang (tentu juga DJZ) yang bagaimana lantang sekalipun tetap sesia saja!

Namun hakikat DJZ merupakan badan pendidikan Cina yang amat berwibawa dan terpenting sekali dalam menyelenggara dan mempertahankan pendidikan aliran Cina adalah tidak perlu dipertikaikan. Saya rasa MCA dan Gerakan sekalipun tidak berani menafikan hakikat ini bila mereka menghadapi masyarakat Cina,

Melemparkan serangan peribadi atau memperlagakan pemimpin DJZ dahulu dengan pemimpin sekarang selain daripada tidak bijaksana dan tidak beretika, ia akan terbukti langsung tidak berkesan.

Rasanya masyarakat Cina tidak akan begitu mudah lupa bahawa pemimpin-pemimpin DJZ pernah ditahan di bawah ISA pada tahun 1987, dan pemimpin yang dipuji Hishammuddin sekarang pernah juga dituduh olah "sifunya" sebagai komunis dan Al-Maunah tatkala berlakunya peristiwa Suqiu dahulu.

Ambil iktibar

Menurut liputan media, Hishammuddin amat kagum dengan kemampuan Menteri Pelajaran Negeri China Zhou Ji yang sanggup menangani urusan pelajar Cina yang begitu ramai sekali bilangannya. Namun menurut Zhou, rahsianya ialah: percaya-menpercayai antara satu sama lain.

Hishammuddin mengatakan beliau bersedia mengambil iktibar daripada pengalaman negeri China, kenapa tidak mencontohi rahsia kejayaan Menteri Pelajaran negeri China yang mengamalkan sikap percaya-mempercayai antara satu sama lain?

Jika kini Hishammuddin benar-benar menganggap bahawa:

Masalah kaum dan pendidikan bahasa ibunda di negara kita tidak sensitif lagi;

Dasar pelbagai aliran sekolah di negara kita adalah suatu aset; dan

Matlamat akhir untuk menghapuskan aliran sekolah Cina dan Tamil tidak sesuai lagi di negara kita sekarang.

Maka kenapa tidak segera mengaturkan perjumpaan dengan DJZ dan menyampaikan pendirian baru beliau/kerajaan yang tentu amat dialu-alukan oleh DJZ khasnya dan masyarakat Cina amnya?

Jika Hishammuddin ikhlas tentang apa yang diutarakan beliau di Peking dan sekembalinya di negara kita, dan sanggup mengulanginya secara rasmi melalui media pelbagai bahasa bersama DJZ, maka saya percaya akan terciptalah suatu lembaran baru antara Kementerian Pelajaran dengan DJZ, dan sekaligus memperbaiki hubungan ethnik negara kita yang semakin merosot kebelakangan ini!

Bersama-sama kita menunggu Hishammuddin untuk membuktikan keikhlasan.