Apabila suhu air mengingkat ke 100 darjah Celsius, ia akan mendidih, dalam ilmu sains ia dinamakan titik didih. Gejala sosial juga mempunyai 'titik didihnya' di mana kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi dan akan tercetuslah tindakan sivil.

Kempen memungut 100,000 tandatangan (250,000 tandatangan telah dipungut) yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan di Johor Baru dan demonstrasi ratusan orang di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman adalah tindakan sivil yang tercetus akibat ketidakpuasan hati penduduk JB yang berasa terancam oleh kes-kes jenayah yang kian berleluasa.

Maklumlah masalah jenayah merupakan gejala nasional negara yang memeningkan semua pihak, namun keadaan di JB mungkin lebih teruk sehingga ada yang berjenaka: Seseorang itu tidak melayakkan diri sebagai penduduk JB jika ia tidak pernah menjadi sasaran penjenayah!

Kali ini kemarahan penduduk JB 'mendidih' selepas membaca laporan secara besar-besaran mengenai suatu kes rompak dan rogol yang berlaku pada malam 11 Jun 2007 di jalan raya Sekudai.

Ia melibatkan empat orang penjenayah yang bersenjatakan parang, yang menjadi mangsa ialah sepasang kekasih muda. Mangsanya bukan saja kehilangan harta benda, malah si wanita dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga orang penjenayah terbabit dan si lelaki pula dibelasah dengan kejam dan kakinya ditetak.

Seperti menuang minyak ke dalam api, abang mangsa yang sempat memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) tidak diendahkan, dan membuat aduan polis pula menghadapi pelbagai rintangan dan sikap negatif, mangsa wanita malah disyaki membuat aduan palsu kononnya tidak menyerupai orang yang telah dirogol!

Seterusnya didedahkan pula dua kes yang disyaki dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama, memandangkan bilangan penjenayah yang terlibat (iaitu empat orang) dan cara rompak dan rogol yang sama. Kes pertama berlaku pada jam 4 pagi awal bulan Mei di sebuah stesen minyak dekat Tampoi. Bila suami mangsa ke tandas, isterinya yang mengandung dan membawa anak kecil telah diculik oleh geng empat penjenayah terbabit, mereka dibawa dengan kereta ke suatu tempat yang sunyi di kampung Pelantung dan dirogol secara bergilir-gilir, lalu dilepaskan di JB.

Mangsa dirogol

Kes kedua berlaku pada larut malam 5 Jun, seorang kontraktor berumur 55 tahun dan teman wanitanya seorang jurujual yang berumur 35 juga menjadi mangsa bila kereta mereka berhenti dekat suatu stesen minyak di tepi jalan raya Pasir Gudang kerana jurujual itu hendak ke tandas stesen minyak itu.

Kedua-duanya diculik dan dibawa ke kawasan semak di mana jurujual itu dirogol secara bergilir-gilir, dan teman lelakinya dipaksa untuk menyaksikan adegan yang menyayatkan itu.

Tiga kes yang begitu kejam berlaku berturut-turut dalam masa yang begitu singkat sekali, dan pihak polis masih bersikap begitu negatif, tidak bertanggungjawab dan gagal menyelesaikannya.

Ini bermakna kes keempat, kelima dan seterusnya sudah barang tentu bakal berlaku, dan mungkin berlaku terhadap mana-mana penduduk JB yang tidak terelakkan akan menggunakan jalan raya atau ke stesen minyak.

Keselamatan penduduk JB sudah terancam oleh keleluasaan dan kekejaman penjenayah yang masih berkeliaran dan mungkin menjadikan mereka sebagai sasaran seterusnya, mereka menjadi lebih panik kerana mereka sudah tidak dapat mengharapkan bantuan daripada pihak polis.

Api kemarahan dan runsingan orang awam yang ditimbulkan oleh keadaan jenayah yang kronik segera merebak dari JB ke seluruh negara, semua pihak berlumba-lumba untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap kegagalan pihak polis dalam menyelesaikan kes-kes jenayah khasnya tiga kes yang membabitkan empat penjenayah yang begitu bahaya dan mengancamkan.

Untuk mempertahankan kewibawaan dan memulihkan keyakinan orang awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdesak untuk mengambil tindakan segera.

Protes sivil

Pada 14 Jun, serbuan telah dilakukan di beberapa tempat di JB, dan 14 orang penjenayah, termasuk seorang gadis telah dapat diberkas, dan berita yang lebih menggalakkan ialah kes-kes yang melibatkan geng empat penjenayah terbabit telahpun berjaya ditumpaskan!

Pada 20 Jun lalu, Kabinet yang telah dikejutkan oleh protes sivil terbabit juga telah memutuskan supaya tindakan-tindakan berikut segera diambil:

400 anggota tambahan dikerahkan ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor secepat mungkin bagi menangani masalah jenayah di negeri itu yang disifatkan serius sejak kebelakangan ini;

Tiga ibu pejabat polis daerah (IPD) ditubuh di Johor Bahru disegerakan dan sebagai langkah sementara, IPD berkenaan dibenarkan beroperasi di lot-lot rumah kedai;

Penghantaran 200 kereta peronda beserta pemandu terlatih ke negeri Johor dilaksanakan segera.

Perkembangan terbaru ini membuktikan tindakan sivil orang awam JB patut dialu-alukan, kerana ia telah berjaya mendesak PDRM dan mengejutkan Kabinet agar serbuan dan tindakan-tindakan segera dapat diambil.

Namun, perlu juga ditekankan bahawa masalah jenayah kronik di negara kita lebih bersifat isu sosial daripada isu perkauman, kerana sasaran penjenayah biasanya tidak mengenal bangsa.

Padahal selain daripada tiga pasang mangsa Cina, pada 22 Mei, seorang gadis Indonesia juga dirogol oleh geng empat penjenayah terbabit di pantai JB.

Tindakan sivil kali ini juga tidak boleh dianggap sebagai perkauman hanya kerana yang mengambil bahagian dalam kempen tandatangan dan demonstrasi majoritinya terdiri daripada kaum Cina.

Untuk mengimbangkan persepsi yang berat sebelah, kaum bukan Cina patut diajak mengambil inisiatif untuk mengambil bahagian dalam tindakan sivil terbabit, dan media bukan bahasa Cina juga perlu memberi sumbangan untuk mendesak pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengambil tindakan berkesan untuk menyelesaikan masalah jenayah.

Di samping itu, tuduhan bahawa tindakan sivil terbabit telah dipolitikkan oleh pembangkang juga tidak adil, kerana tiada siapa yang boleh menegah parti komponen BN, terutamanya Umno, MCA dan MIC daripada menggunakan pengaruh mereka untuk membantu menyelesaikan masalah jenayah yang kian membimbangkan itu.

Dengan kata lain, memerangi jenayah wajar dijadikan tugas seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau latarbelakang politik.