Makin terdedah sifat oportunis Ezam
Serangan habis-habisan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Noor terhadap mentornya Anwar Ibrahim menjelang pilihanraya umum yang akan datang, nampaknya lebih mendedahkan sifat oportunisnya daripada menjejaskan imej Anwar sebagai pemimpin PKR.
Ezam memang bijak menggunakan isu ketua de facto untuk menuduh Anwar sebagai seorang "diktator", tetapi tuduhan itu telah dineutralkan oleh anggapannya bahawa Anwar adalah seorang pemimpin yang "lemah", kerana seorang pemimpin yang "lemah" "di bawah telunjuk" orang lain, sudah barang tentu tidak layak digelar sebagai seorang "diktator".
Cerita Ezam sering bercanggah. Di satu pihak, Anwar dituduh tidak berani mengatakan "tidak" kepada Azmin Ali apabila dia ingin mencabar Dr Syed Husin Ali untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR; di pihak yang lain, diakui pula Azmin telah menarik diri atas nasihat Anwar!
Anwar tidak melarang Azmin untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR mungkin kerana beliau tahu Azmin bukan serius hendak mencabar Dr Syed Husin Ali. Dia cuma hendak menunjukkan popularitinya dalam parti; dan sekalipun bertanding, dia juga sukar hendak menang tanpa direstui Anwar.

Anwar menggunakan cara "nasihat", bukan "melarang" (mengatakan tidak), justeru menunjukkan beliau masih bersemangat demokrasi, sekurang-kurangnya beliau mengakui hak Azmin untuk bertanding mengikut ketetapan perlembagaan parti.
Ezam bukan dicantas Anwar. Dia sendiri yang mengambil inisiatif untuk meninggalkan PKR kerana dia yakin "tiada ruang bagi orang yang jujur untuk berjuang dalam parti" kerana "inner circle" parti telah dikuasai oleh "elemen-elemen oportunis", khasnya Azmin yang bermusuhan dengannya!
Tidak dapat dinafikan, unsur-unsur atau elemen-elemen oportunis memang wujud di sekitar Anwar, terutamanya antara "inner circle" yang mewarisi budaya politik Umno, termasuk Ezam sendiri. Namun "inner circle" warisan budaya politik Umno itu rasanya telah diperluaskan untuk menampung elemen-elemen dari badan bukan kerajaan dan bekas pemimpin Parti Rakyat yang lebih berprinsip.
Perjuangan tulen
Padahal sifat oportunis Ezam juga amat ketara berasaskan apa yang dia cakap dan bikin. Umpamanya Mula-mula, Ezam menjelaskan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR kerana tidak mahu terlibat dalam "petty politiking" dan juga "inner circle politics".
Ditegaskan juga bahawa perjuangan tulen untuk rakyat tidak harus disempitkan hanya dalam wadah satu parti saja. Oleh itu, beliau ingin menumpukan perhatian kepada badan bukan kerajaan yang diasaskannya Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Jika dia benar-benar menumpukan perhatian kepada kerja Gerak seperti yang ditegaskan, dan tidak menyerang PKR khasnya Anwar melalui media arus perdana secara terbuka dan tidak bertanggungjawab, maka integritinya mungkin masih dapat dipertahankan.
Jika dia memilih atau dipelawa untuk berjuang di dalam PAS, satu lagi pembangkang dan parti komponen Barisan Alternatif (BA), maka dia mungkin lebih mudah mendapat simpati dari teman-teman seperjuangan lamanya, malah terus dianggap sebagai kawan seperti anggapan Tian Chua.
Pada 2 Julai 2007, menurut liputan eksklusif klpos.com , Ezam dijangka mengadakan pertemuan penting dengan pucuk pimpinan PAS di Kuala Lumpur, dia mungkin dipelawa menyertai parti itu dan akan ditawarkan kerusi Parlimen di Kelantan untuk ditandingkan dalam pilihanraya akan datang.
Bila mengesahkan pertemuan terbabit, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar telah menjelaskan bahawa ia hanya merupakan perjumpaan biasa untuk mendengar mengenai agenda Gerak daripada Ezam sendiri.
Jelasnya lagi, Ezam merupakan seorang pemimpin yang bermoral tinggi dan sebarang "tawaran" hanya akan merendahkan peribadi dan maruahnya.
Retorik diplomasi
"Dia cerdik, biar dia buat keputusannya sendiri tanpa sebarang tawaran, saya percaya keputusan yang jujur tanpa tawaran lebih tinggi nilainya," tambah Mahfuz.
Jika Ezam bersedia "dipelawa" untuk masuk PAS , serta ternanti-nanti "tawaran" kerusi Parlimen untuk ditandingi dalam pilihanraya umum yang akan datang, maka harapannya telahpun dihancurkan Mahfuz dengan retorik diplomasi yang begitu rapi sekali!
Kemungkinan Ezam kembali ke pangkuan Umno juga tidak pernah dinafikan, katanya: "Saya bukan manusia hipokrit yang berkata hari ini tidak mahu masuk Umno tetapi besok saya masuk. Saya tidak tahu tentang masa depan."
Maknanya jika Ezam "dipelawa" dan "ditawarkan" sesuatu seperti yang diharapkan, dia mungkin terima, kerana siang-siang lagi dia telah mengatakan dia bukan seorang hipokrit, dan tidak menolak kemungkinan kembali ke pangkuan Umno pada "hari besok".
Bila dia ke Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan bukti-bukti rasuah mengenai seseorang Menteri, telahpun diwar-warkan dalam media bahawa dia akan berjumpa dengan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan seolah-olah sesuatu "kejadian besar" akan berlaku, tetapi ia terbukti cuma spekulasi semata-mata.
Jika Ezam kembali ke pangkuan Umno satu hari nanti, maka terbuktilah dia seorang "pengkhianat" seperti yang dilabelkan sebelum ini; jika Umno juga enggan mempelawa atau menawarkan apa yang diharapnya, maka terbukti pula dia telah hilang nilai walaupun kepada Umno!
Bagaimanapun, Dr Syed Husin Ali selaku timbalan presiden PKR telah mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada mereka yang mengisytiharkan keluar parti dan berharap mereka mendapat apa yang mereka cari, tetapi dinasihatkan juga agar jangan cuba memberi alasan yang mereka sendiri ketahui mengandungi unsur tidak benar bahkan dusta. Nasihat ini rasanya munasabah juga dan patut diterima oleh mereka yang berundur dari PKR.
Selain itu, PKR juga patut mengambil peluang ini untuk membuat kritikan diri. Bak kata pepatah Melayu, jika hendak mengetahui keburukan diri, tanyalah kepada musuh. Dari segi ini, isu ketua de facto dan peranan Anwar, tuduhan "inner circle" yang dikuasai oleh "elemen-elemen oportunis" rasanya masih ada ruang untuk bermuhasabah secara introspeksi demi kebaikan PKR.