Pergilah ke mana-mana kedai kopi dan tanya pelanggang-pelanggangnya siapakah Menteri Pelajaran kita, mungkin ramai yang tidak dapat memberikan nama Hishammuddin Hussein dengan betul.

Namun, jika ditanya menteri manakah yang paling suka menghunus keris, maka dipercayai ramai yang dapat memberi jawapan dengan pantas dan tepat - Menteri Pelajaran kita!

Masyarakat Cina pada umumnya juga ketahui bahawa Menteri Pelajaran yang paling suka menghunus keris itu, masih enggan berjumpa dengan perwakilan pimpinan DJZ (Dong Jiao Zong, ringkasan untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia), sungguhpun berulang kali diminta.

Pun seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina amat memandang berat tentang sifat sopan-santun seseorang dan terlalu pantang dihina secara langsung atau tidak langsung.

Rasanya keangkuhan Hishammuddin dalam menolak permintaan wajar DJZ untuk berjumpa secara rasmi, dan disindir pula dengan kata-kata yang janggal, umpamanya - bukan hari kiamat jika tidak dapat berjumpa dengan beliau; jika mengambil bahagian dalam program anjuran Kementerian Pelajaran, maka dapatlah berjumpa dengan beliau bila-bila saja!

Kepimpinan DJZ hendak berjumpa dengan Menteri Pelajaran bukan atas sifat peribadi, tetapi kerana bertanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan pendidikan bahasa ibunda dan wajib menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya.

Sebagai Menteri Pelajaran dalam sistem demokrasi yang kita amalkan, adalah tugas dan kewajiban Hishammuddin untuk berjumpa dengan badan-badan pendidikan bukan kerajaan, termasuk kepimpinan DJZ untuk mendengar pandangan dan tuntutan mereka, agar kemusykilan mereka dapat diatasi atau diredakan.

'Asyik hunus keris'

Keangkuhan dan birokrasi Hishammuddin sering dibidas dalam media, yang berlainan kali ini ialah yang membidas bukan calang-calang orangnya. Mereka adalah JP Sim Mou Yu dan Loot Ting Yi, dua orang pejuang veteran pendidikan Cina yang amat disanjung tinggi oleh masyarakat Cina.

Tanpa kesangsian mereka telah menegaskan bahawa keangkuhan dan penghinaan Hishammuddin terhadap DJZ khasnya dan pendidikan bahasa ibunda amnya, sudah melampaui batasan sopan-santun, etika kerja dan bidangkuasa seorang Menteri Pelajaran, oleh itu tidak sanggup ditoleransikan oleh masyarakat Cina lagi.

Selepas menghadiri upacara angkat sumpah Jawatankuasa Kerja Dong Zong ke 26, Sim Mou Yu - salah seorang mangsa ISA pada Operasi Lalang 1987 dan kini Penasihat Jiao Zong - yang berumur 94 tahun, bila diwawancara wartawan telah berkata:

"Datuk Hishammuddin Hussein tidak semesra ayahnya Tun Hussein Onn. Bila Tun Hussein Onn menyandang Menteri Pelajaran, beliau amat mesra rakyat dan imejnya cukup baik. Beliau tahu masyarakat Cina ada banyak pandangan tentang pendidikan bahasa ibunda, oleh itu diadakan dialog dengan pemimpin masyarakat Cina di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendengar cadangan badan bukan kerajaan masyarakat Cina.

"Kata Tun Hussein Onn, jika kamu ada apa-apa masalah atau cadangan, kamu boleh kemukakan, kita boleh berunding, dan beliau tidak pernah menghunus keris Melayu.

"Hishammuddin sebaliknya tidak sudi mendengar pendapat masyarakat Cina, beliau hanya asyik menghunus keris Melayu, oleh itu beliau adalah Menteri Pelajaran yang paling tidak disukai!

"Hishammuddin sering bertindak sewenang-wenangnya, beliau tidak mahu dengar pendapat sesiapa pun, baik guru, pelajar atau ibubapa pelajar. Beliau amat angkuh dan tidak profesional. Hingga sekarang, masih enggan diumumkan bahasa peperiksaan yang akan digunakan bagi matapelajaran Sains dan Matematik pada tahun 2008.

Bahasa peperiksaan

Pada masa yang sama, Loot Ting Yi, seorang lagi pejuang pendidikan veteran yang berumur hampir 80 tahun, kini berjawatan sebagai Penasihat Jiao Zong dan Pengerusi Yayasan Lim Lian Geok pula berkata bila ditanya wartawan:

"Menteri Pelajaran menyatakan pada tahun depan baru diumumkan bahasa peperiksaan yang akan digunakan bagi matapelajaran Sains dan Matematik untuk tahun 2008, ini amat tidak logik, kerana jika tahun depan baru diumumkan bahasa pemeriksaan yang ditetapkan, bagaimana pelajar hendak membuat persediaan?

Beliau menganggap Hishammuddin hanya akan mengumumkan bahasa peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Matematik selepas pilihanraya umum yang akan datang berasaskan keputusannya.

Andainya BN mendapat kemenangan besar, maka bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pemeriksaan. Ini juga bermakna semua aliran sekolah bahasa ibunda, baik sekolah Melayu, Cina atau Tamil, akan berubah cirinya dari segi bahasa pengantar!

Jika kesan negatif telah dialami BN akibat kemarahan pengundi, maka ada kemungkinan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik terbabit akan dikaji semula.

Bagaimanapun, Loot juga bersetuju dengan peringatan Sim kepada Hishammuddin bahawa beliau patut mengambil iktibar daripada Peristiwa Pegawai Jawatan Tinggi Tidak Berkelayakan Bahasa Cina tahun 1987, iaitu kesabaran rakyat ada batasnya.

Tambah Loot, kini segala permintaan DJZ langsung tidak dilayani kerajaan.

Percayailah " a single spark can start a prairie fire ", jika isu-isu yang menimbulkan ketidakpuashatian malah kemarahan rakyat tidak ditangani dan diselesaikan dengan segera, sudah barang tentu ianya akan dijadikan isu-isu pilihanraya umum yang tidak akan menguntungkan BN. Pada masa itu, janganlah DJZ pula yang disalahkan kononnya mempolitikkan isu-isu pendidikan!