Rakyat dilarang memasang pelita!
Cukup menakjubkan, selepas 50 tahun merdeka, kita seolah-olah masih tidak dapat memastikan gerangan sistem apa yang kita amalkan selama setengah abad ini.
Jika Kerajaan bercanggah pendapat dengan pembangkang atau badan bukan kerajaan tentang sesuatu dasar negara, umpamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau Dasar Pelajaran Nasional dan sebagainya, itu lumrah saja.
Tetapi, jika sama ada negara kita negara sekular, negara Islam atau bukan kedua-duanya juga tidak dapat dipastikan, ia bukan saja pelik sekali, malah tentu ada sesuatu yang tidak kena!
Cukup menakjubkan, selepas 50 tahun merdeka, kita seolah-olah masih tidak dapat memastikan gerangan sistem apa yang kita amalkan selama setengah abad ini.
Jika Kerajaan bercanggah pendapat dengan pembangkang atau badan bukan kerajaan tentang sesuatu dasar negara, umpamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau Dasar Pelajaran Nasional dan sebagainya, itu lumrah saja.
Tetapi, jika sama ada negara kita negara sekular, negara Islam atau bukan kedua-duanya juga tidak dapat dipastikan, ia bukan saja pelik sekali, malah tentu ada sesuatu yang tidak kena!
Maklumlah sesudah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada 29 September 2001 bahawa Malaysia sudahpun merupakan sebuah negara Islam tanpa didebat dan diluluskan dalam Dewan Rakyat melalui proses yang wajib, isu negara Islam pun menjadi kontraversi yang terpesong dari lunas-lunas sistem demokrasi berperlembagaan.
Nyata sekali pengumuman Dr Mahathir itu lebih merupakan strategi politik keagamaan untuk bersaing dengan PAS yang pada masa itu lantang mempropagandakan dasar-dasar Islamisasinya.
Pengumuman terbabit nyata mengingkari semangat Perlembagaan Persekutuan serta hasrat parti-parti komponen bukan Melayu/Islam dalam Barisan Nasional (BN), dan "semangat permuafakatan BN" yang menjadi retorik politik BN yang lantang dan indah sekali.
Walaupun semua pihak asyik menyebut tentang apa yang dinamakan "kontrak sosial" yang dicapai sebelum merdeka, yang kononnya telah dirumuskan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun terdapat interpretasi yang "tersendiri" untuk memenuhi keperluan politik perkauman/keagamaan masing-masing, sehingga gagal mencapai kata sepakat sama ada negara kita negara sekular, negara Islam atau bukan kedua-duanya.
Kenyataan Najib
Pertikaian kali ini timbul pada 17 Julai 2007, selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kepada pemberita bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.
Najib padahal hanya mengulangi apa yang telah diumumkan olah Dr Mahahthir dulu. Cuma kali ini beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk merasmikan persidangan antarabangsa mengenai Negara Islam Dalam Dunia Global anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Pengulangan semula Najib itu sudah barang tentu akan dibidas oleh mereka yang selama ini menganggap Malaysia adalah negara sekular, umpamanya Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan telah menekankan lagi bahawa Malaysia merupakan negara sekular, buka negara Islam.
Menurut beliau, undang-undang amat jelas tentang perkara ini. Malah pada tahun 1998, satu kes Mahkamah Agung yang dibicarakan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, telah memutuskan bahawa negara kita adalah negara sekular dan mahkamah sivil kita juga diuruskan dengan undang-undang sekular.
Hujahnya lagi, dakwaan negara kita merupakan negara Islam bertentangan dengan tujuan pengasas-pengasas negara kita yang berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular dan fakta perangkaan sejarah perlembagaan kita.
Tentu pula ada yang menyetujui pendapat Najib, umpamanya pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari berasaskan Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan "agama Persekutuan" kepada Islam.
Di samping itu, ada pula yang tidak setuju negara kita negara sekular atau negara Islam, umpamanya pensyarah Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Shad Saleem Faruqi yang berpendapat bahawa Malaysia tidak pernah merupakan negara sekular, namun pada masa yang sama, ia juga bukan sebuah negara Islam.
Kontrak sosial
Menurutnya, negara kita berada dalam jalan tengah, antara negara sekular dengan negara Islam, namun keadaan ini merupakan kebanggaan, bukan sesuatu yang kita harus berasa malu.
Kali ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan, dalam satu kenyataan, telah memberanikan dirinya untuk menegaskan pendirian partinya bahawa kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular terbukti menerusi pelbagai dokumen sejarah, termasuk Laporan Reid, Laporan Suruhanjaya Cobbold dan keputusan Mahkamah Agung pada 1988.
Kata Ong, ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita. Oleh itu, kenyataan Najib itu tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian MCA tersebut diperkuatkan lagi oleh Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting yang menegaskan MCA tidak akan berundur atau kompromi dalam pendirian itu, kerana Kabinet tidak pernah mengubah prinsip memerintah negara kita melalui Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi cuba menonjolkan imej wira Melayu/Muslim dengan memberi amaran kepada MCA, supaya menghentikan kenyataan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular.
"Amaran" Umno melalui Hishammuddin itu dikuatkuasakan pula melalui arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang melarangkan semua media perdana daripada menyiarkan kontroversi isu Malaysia negara Islam atau negara secular, dengan alasan perkara itu boleh menimbulkan "ketegangan".
Namun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kita telah dikecualikan daripada larangan terbabit. Ini bermakna mereka dibenarkan mengulangi dakwaan kontroversi bahawa Malaysia sebuah negara Islam, sedangkan semua pihak yang lain telah dirampas kebebasan untuk mendebatkan dakwaan yang kurang tepat itu.
Bak kata pepatah Tionghua: Pihak berkuasa dibenarkan membakar secara sewenang-wenangan, tetapi rakyat dilarang memasang pelita!

