Dialog untuk membendung perpecahan BN?
Baru-baru ini Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan agar dialog tertutup diadakan untuk memperbaharui "permuafakatan nasional" demi merungkaikan isu-isu "sensitif" (Sila merujuk kepada Rencana, Berita Minggu , 26 Ogos 2007).
Rasanya amatlah disesalkan bahawa selepas 50 tahun merdeka, kita masih mempunyi isu-isu "sensitif" yang perlu dirungkaikan melalui dialog "tertutup".
Isu-isu "sensitif" terbabit telah dikenalpasti sebagai hak istimewa orang Melayu, sistem pendidikan negara, kedudukan ekonomi orang Melayu dan kedudukan agama Islam.
Menurut beliau lagi, dialog itu bukan bertujuan merunding semula apa yang telah dipersetujui, tetapi untuk menjelaskan kepada generasi muda mengapa perkara tertentu dimasukkan dalam Perlembagaan, dan matlamatnya ialah untuk mewujudkan pendirian bersama dengan disandarkan kepada kontrak sosial nasional dan Perlembagaan.
Dialog tertutup itu dicadangkan bermula di dalam Barisan Nasional (BN), kemudian dikembangkan kepada kumpulan awam yang terdiri daripada beberapa individu pilihan BN, seperti bekas ahli politik, tokoh tersohor dan pemimpin masyarakat yang dianggap sebagai "boleh bercakap sebagai rakyat Malaysia" lazimnya penyokong kerajaan.
Baru-baru ini Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan agar dialog tertutup diadakan untuk memperbaharui "permuafakatan nasional" demi merungkaikan isu-isu "sensitif" (Sila merujuk kepada Rencana, Berita Minggu , 26 Ogos 2007).
Rasanya amatlah disesalkan bahawa selepas 50 tahun merdeka, kita masih mempunyi isu-isu "sensitif" yang perlu dirungkaikan melalui dialog "tertutup".
Isu-isu "sensitif" terbabit telah dikenalpasti sebagai hak istimewa orang Melayu, sistem pendidikan negara, kedudukan ekonomi orang Melayu dan kedudukan agama Islam.
Menurut beliau lagi, dialog itu bukan bertujuan merunding semula apa yang telah dipersetujui, tetapi untuk menjelaskan kepada generasi muda mengapa perkara tertentu dimasukkan dalam Perlembagaan, dan matlamatnya ialah untuk mewujudkan pendirian bersama dengan disandarkan kepada kontrak sosial nasional dan Perlembagaan.
Dialog tertutup itu dicadangkan bermula di dalam Barisan Nasional (BN), kemudian dikembangkan kepada kumpulan awam yang terdiri daripada beberapa individu pilihan BN, seperti bekas ahli politik, tokoh tersohor dan pemimpin masyarakat yang dianggap sebagai "boleh bercakap sebagai rakyat Malaysia" lazimnya penyokong kerajaan.
Namun, bagaimanakah ia dapat mengelakkan daripada didominasi pimpinan Umno yang masih terbawa-bawa oleh agenda-agenda Melayu? Tambahan pula kuasa interpretasi tentang apa yang dinamakan "kontrak sosial" dan Perlembagaan, masih berada dalam tangan pimpinan Umno.
Dalam struktur BN yang diwar-warkan sebagai kongsi kuasa oleh parti-parti komponen BN, pada hakikatnya, didominasi Umno yang mengamalkan dasar Ketuanan Melayu dan Bumiputeraisme.
'Konsensus baru'
Justeru, hasil dialog tertutup sudah boleh diramalkan: seperti yang kerap berlaku, parti-parti komponen yang lain tunduk kepada hasrat Umno dan agenda-agenda Melayunya dari segi dasar, manakala Umno hanya bersedia untuk bertolak ansur atas perkara yang tidak dianggap sebagai dasar, yang tidak dapat dikompromikan untuk meredakan ketidakpuashatian parti-parti komponen BN yang lain.
Contoh pertama, dari perspektif sejarah, status asal Malaya/Malaysia memang negara sekular seperti yang diakui oleh Perdana Menteri pertama kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sendiri.
Namun, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan secara unilateral bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam, ia telah menjadi isu kontroversi yang terus-menerus dipertikaikan.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kita sekarang juga mengulangi pendirian yang sama bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, bukan sebuah negara sekular ataupun teokratik.
Ia ditadbir berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Sungguhpun setengah parti komponen BN yang lain mungkin tidak bersetuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, namun jika dahulu mereka terpaksa tunduk kepada keputusan muktamad Dr Mahathir, kini mereka terpaksa tunduk pula kepada keputusan muktamad Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia, memandangkan suasana Islamisasi yang kian menebal sekali.
Pendek kata, melalui dialog tertutup BN, status asal Malaya/Malaysia sebagai sebuah negara sekular seperti diakui Tunku sendiri, sudah pasti tidak dapat dipulihkan - maknanya sebarang "konsensus" baru yang dicapai bukannya penyelesaian yang tulen.
'Hubungan tuan-hamba'
Contoh kedua, dalam kongres parti yang berlangsung baru-baru ini, Pemuda MCA telah menjulang tinggi-tinggi Perlembagaan Persekutuan, dan menegaskan pendirian mengenai dua perkara berikut:
Pertama, dinyatakan menjulang Perlembagaan Persekutuan lebih bermakna daripada menjulang keris; dan kedua, menegaskan bahawa di negara kita tidak wujud sebarang hubungan tuan-hamba.
Nyata sekali, mereka cuba membawa mesej kepada masyarakat Cina bahawa mereka tidak dapat menerima gertakan secara simbolik dan konsep "ketuanan Melayu".
Mereka hanya berani menyampaikan mesej tersirat melalui media bahasa Cina untuk menunjukkan "kemarahan" mereka, kerana mereka sedar, jika mereka terus berdiam diri, maka calon MCA akan kecundang dalam pilihanraya umum yang akan datang!
Jika Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein, di bawah tekanan pembangkang dan pendapat umum, masih berkeras hendak menjulang keris untuk menunjukkan nekad Pemuda Umno demi mempertahankan ketuanan Melayu, hak istimewa Melayu dan segala agenda-agenda Melayu.
Amat disesalkan ialah tingkahlaku yang angkuh dan melampau meskipun sudah pasti akan menegang dan memburukkan hubungan antara kaum negara kita, ia langsung tidak dihirau oleh pimpinan Umno/negara atau disekat oleh undang-undang negara.
Berlatarbelakangkan perkembangan terbaru ini, mungkinkah parti-parti komponen BN, MCA umpamanya, berani mengemukakan isu-isu sensitif seperti ketuanan Melayu, atau meminta agar agenda-agenda Melayu digantikan dengan agenda-agenda rakyat, dan jika tindakan afirmatif di perlukan, maka ianya hendaklah diamalkan tanpa mengira kaum?
Melanggar Akta Pelajaran
Contoh ketiga, berkaitan sistem pendidikan negara, di mana pemimpin Umno/negara juga sering membuat keputusan tanpa menghiraukan hasrat aliran sekolah dan ibu bapa pelajar terbabit. Umpamanya penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran sains dan matematik dalam semua aliran sekolah rendah dan menengah.
Padahal, dasar ini bertentangan dengan sistem pelajaran kita, terutamanya di peringkat sekolah rendah di mana aliran pelajaran bahasa ibunda, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil, telah diwujudkan untuk kaum-kaum terbabit.
Sekolah-sekolah pelajaran bahasa ibunda itu wujud mengikut Akta Pelajaran negara kita. Saya merasa sangsi bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar itu telah melanggar Akta Pelajaran kita yang telah menetapkan bahasa pengantar bagi jenis-jenis aliran sekolah yang terbabit.
Lagi tidak masuk akal ialah hakikat 90 peratus ibu bapa kaum Cina telah menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Ini memang hak mereka dan tidak salah di sisi undang-undang, tetapi mereka dibidas kerana tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Di samping itu, banyak lagi hujah-hujah yang memusuhi kewujudan sekolah-sekolah Cina dan Tamil - umpamanya, sekolah-sekolah terbabit merupakan punca perpecahan kaum - sering dilemparkan kepada aliran-aliran sekolah yang wujud menurut undang-undang negara.
Sikap tidak bertoleransi dan tidak menghormati hak-hak etnik minoriti terhadap bahasa, pelajaran dan kebudayaan mereka, termasuk yang dilindung oleh undang-undang dan Perlembagaan negara, merupakan punca yang menegang dan memburukkan hubungan mesra pelbagai kaum.
Contoh-contoh yang tersebut di atas adalah dasar-dasar perkauman Umno/BN yang tidak kena-mengena dengan apa yang dinamakan "kontrak sosial" dan Perlembagaan Persekutuan. Jika dasar-dasar perkauman tersebut tidak diperbetulkan, sebaliknya diperkenan (secara rela atau tidak) dan perkuatkan dalam dialog tertutup BN, dan digelarkan sebagai "permuafakatan nasional" yang diperbarui, tidakkah ia merupakan satu lagi penipuan yang disandiwarakan Umno untuk memberi imej palsu perpaduan BN?

