Saya diajak untuk menyertai sessi meja bulat anjuran badan-badan bukan kerajaan yang bertajuk: Rintangan-rintangan dalam pendemokrasian di Malaysia - Demokrasi, diversiti dan negara bangsa.

Soalan yang disediakan oleh pihak penganjur ialah: Mampukah demokrasi menangani diversiti? Isu-isu kaum, agama, bahasa dan budaya. Bidang perbincangan jelasnya telah disempitkan dan kelihatan lebih berfokus.

Sebelum cuba menjawab soalan tersebut, rasanya amat penting kita mengimbas kembali tentang latarbelakang negara kita mencapai kemerdekaan dan proses Sistem Monarki Berperlembagaan kita diperkenal dan diamalkan.

Menurut sejarah aliran perdana, kemerdekaan negara kita kononnya diperolehi Umno dan sekutu-sekutunya melalui perundingan secara damai tanpa mengalir walau setitis darah pun.

Padahal negara kita mencapai kemerdekaan dalam zaman Darurat yang diisytiharkan pada 21 Jun 1948, selepas parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya seperti API, AWAS, PKM, PKMM, BTM, Hizbul Muslimin dan lain-lain ditindas dan diharamkan di bawah Undang-undang Darurat yang fasis.

Umno dan sekutu-sekutunya justeru parti yang diperkenankan kuasa Penjajah British untuk menjaga kepentingan mereka sebagai kerajaan boneka.

Dwi-taktik penindasan dan penipuan Penjajah British

Jelas sekali, dwi-taktik utama Penjajah British masa itu ialah penindasan dan penipuan, silih berganti. Undang-undang Darurat ialah untuk penindasan (puluhan ribu pejuang kemerdekaan telah diburu, dipenjarakan, dibuang negeri atau digantung sampai mati) dan Sistem Monarki Berperlembagaan ialah untuk memberi legitimasi kepada kerajaan boneka demi maksud penipuan bahawa Malaya telah merdeka!

Selepas 50/46 tahun Malaya/Malaysia "merdeka", kerajaan Perikatan/Barisan Nasional telahpun mewarisi dwi-taktik penindasan dan penipuan penjajah British tersebut dengan lebih licik dan meluas lagi.

Selama ini, undang-undang represif seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan lain-lain, telah merampas hak-hak dan kebebasan-kebebasan asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pilihanraya umum negara kita pula jauh daripada bebas dan adil, kerana jawatankuasa pilihanraya yang tidak berkecuali, sistem pemilihan yang lebih menguntungkan parti yang berkuasa dan pembatasan kawasan yang tidak munasabah, serta pelbagai kepincangan dalam proses pilihanraya umum seperti pengundi hantu, pengundi pos dalam negeri, akses kepada media yang berat sebelah, serta politik wang dan rasuah yang berleluasa dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, Umno adalah parti perkauman yang mengamalkan dasar ketuanan Melayu dan Bumiputraisme, pengundi bukan-Melayu sering digertak dengan peristiwa 13 Mei jika kerajaan Barisan Nasional menghadapi cabaran yang mengancam kuasa pemerintahnya.

Pakatan pembangkang ditewaskan dwi-taktik terbabit

Justeru, dalam pilihanraya umum di negara kita, sukar untuk pakatan-pakatan pembangkang seperti Barisan Sosialis Rakyat Malaya (1957-1965) , Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (1990-1995) dan Barisan Alternatif (1999) menggulingkan kerajaan Perikatan/Barisan Nasional yang memanipulasikan dwi-taktik penindasan dan penipuan secara silih berganti itu.

Pada tahun 60-an abad 20, selepas hampir segenap pimpinan dan petugas Barisan Sosialis ditahan di bawah undang-undang ISA dan organisasi parti diharam atau disobotaj sehingga tidak dapat berfungsi.

Dengan kata lain, demokrasi di negara kita jelas sekali sudah tidak wujud lagi, maka pilihanraya umum tahun 1969 pun diboikot oleh Barisan Sosialis dan penyokong-penyokongnya, cara perjuangan yang lebih diminati pada masa itu ialah perjuangan massa di luar parlimen.

Masalah perjuangan pilihanraya atau jalanraya timbul sekali lagi selepas hampir 40 tahun sesudah APU dan Gagasan Rakyat, kemudiannya Barisan Alternatif gagal menggoncangkan pemerintahan Barisan Nasional akibat kepincangan-kepincangan sistem pemilihan yang tidak bebas dan adil, penggunaan ISA dan amalan politik wang dan rasuah yang berleluasa, serta gertakan tercetusnya peristiwa 13 Mei.

Bersandarkan analisis tersebut, nyata sekali rintangan terutama proses pendemokrasian negara kita ialah dwi-taktik penindasan dan penipuan kerajaan Perikatan/Barisan Nasional yang diwarisi daripada penjajah British.

Untuk mematahkan dwi-taktik tersebut, tugas utama rakyat negara kita ialah menentang segala undang-undang represif yang wujud di negara kita sekarang, serta memperjuangkan reformasi sistem pemilihan kita secara radikal.

Selama hak dan kebebasan rakyat belum dipulihkan dengan pemansuhan segala undang-undang represif dan pilihanraya umum dapat dijalankan secara bebas dan adil hasil reformasi sistem pemilihan secara radikal, sekaligus kerajaan Barisan Nasional yang melaksanakan dwi-taktik penindasan dan penipuan itu dapat ditolak menurut proses demokrasi, selama itulah pendemokrasian negara kita akan menemui jalan buntu.

Rasanya seperti semua rejim anti-rakyat yang korup, Barisan Nasional juga tidak akan rela melakukan reformasi sistem pemilihan dengan inisiatifnya sendiri melainkan di bawah tekanan rakyat yang sudah bangkit bertindak sebagai kuasa rakyat yang tidak dapat dibendungkan.

Diversiti dalam kedudukan yang tidak sama rata

Pada teorinya, diversiti sering dianggap sebagai aset bukan liabiliti bagi sesebuah masyarakat atau negara yang bersifat majmuk.

Di negara kita diversiti, umpamanya dalam agama, bahasa dan budaya sebaliknya sering menimbulkan kontroversi malah ketegangan antara etnik atau kumpulan-kumpulan agama, bahasa dan budaya yang berlainan.

Masalah kita timbul kerana diversiti kita dalam etnik, bahasa, agama dan kebudayaan tidak diakui sebagai aset dan diberi kedudukan yang sama rata, malah terdapat dasar-dasar diskriminasi yang cuba memaksakan uniformiti terhadap diversiti yang berpunca daripada sifat kemajmukan masyarakat kita.

Tanpa berselindung, Umno melalui Gerakan Pemudanya telah secara terbuka, tegas dan keras mempertahankan dasar ketuanan Melayu, dasar hak istimewa Melayu dan agenda-agenda Melayu (DEB umpamanya) sebagai "kontrak sosial" antara kaum semasa merdeka yang tidak dapat dikompromikan.

Ketuanan Melayu bercanggah dengan prinsip sama rata

Jika Perlembagaan Persekutuan boleh dianggap sebagai penjelmaan semangat "kontrak sosial", maka dasar ketuanan Melayu rasanya tidak serasi dengan inti pati isi kandungan Perlembagaan.

Malah ia telah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan di bawah tajuk sama rata yang berbunyi:

1. Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

2. tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang

Jika rakyat negara kita dibahagikan dalam dua kategori sebagai tuanrumah dan pendatang; atau lebih teruk lagi, sebagai hubungan tuan dan hamba seperti yang dimengertikan Pemuda MCA baru-baru ini (ditegaskan bahawa mereka tidak dapat terima hubungan tuan-hamba di negeri kita), ia telah bercanggah dengan prinsip sama rata dan tidak menguntungkan perpaduan kaum yang merupakan asas ketenteraman dan kestabilan masyarakat kita yang majmuk.

Kedudukan istimewa bukan hak istimewa

Selain itu, Perlembagaan Persekutuan juga tidak memperuntukkan apa yang dinamakan "hak istimewa" orang Melayu, di bawah perkara 153. Perezapan quota mengenai perkhidmatan, permit dsb. Untuk orang Melayu, hanya disebut sebagai "kedudukan istimewa", saya petik:

1. Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Mereka yang mempertahankan hak istimewa orang Melayu, seolah-olah telah lupa akan tiga perkara berikut:

1. Kedudukan istimewa orang Melayu padahal bukan hak istimewa orang Melayu;

2. Selain daripada orang Melayu, kedudukan istimewa juga diberi kepada bumiputra di Sabah dan Sarawak; dan

3. Kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain juga hendaklah dipelihara pada masa yang sama.

Perezapan bagi orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak hanya berkaitan dengan jawatan dalam perkhidmatan awam, mengenai biasiswa, bantuan dan latihan atau kemudahan khas dalam bidang pelajaran, serta permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa tred atau perniagaan. Perezapan itu hendaklah dilakukan dalam "suatu kadar yang difikirkan patut".

Mungkin boleh dibincangkan:

1. Sampai bilakah perezapan terbabit patut diteruskan?

2. Dalam bidang-bidang yang terbabit, sudahkah "kadar yang difikirkan patut" telah tercapai, atau ada bidang (jawatan perkhidmatan awam umpamanya) yang sudah melampaui "kadar yang difikirkan patut"?

3. Bagaimana jika kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak digantikan dengan tindakan afirmatif bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan daripada semua kaum ?

Dasar berpendekatan asimilasi perlu dikaji semula

Tidak dapat dinafikan bahawa dasar bahasa, pelajaran dan kebudayaan negara kita selama setengah abad ini nampaknya berpendekatan asimilasi melalui dasar-dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan yang mendiskriminasikan etnik-etnik minoriti, agar mencapai agenda tersembunyi kerajaan selama ini: Satu bangsa (bangsa Malaysia), satu bahasa (bahasa kebangsaan) dan satu negara (negara Islam).

Dasar-dasar berpendekatan asimilasi terbabit telah menggugat kedudukan sama rata etnik-etnik minoriti dan menghakiskan asas perpaduan kaum.

(A) Dasar Bahasa

Maklumlah di Malaysia, bahasa Melayu bukan saja merupakan bahasa kebangsaan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 fasal 1 Perlembagaan Persekutuan 1957, ia juga merupakan bahasa rasmi tunggal di negara kita yang majmuk.

Dalam sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai bahasa, hanya satu bahasa saja yang dijadikan bahasa rasmi tunggal, bercanggah dengan Artikel 10 Deklarasi Barcelona yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak-hak yang sama rata dan tidak boleh didiskriminasikan; dan Artikel 15 deklarasi yang sama yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk menggunakan bahasa mereka secara rasmi dalam wilayah (negara) mereka.

Bagaimanapun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan dalam hubungan ianya merupakan lingua franca atau bahasa perantara rakyat pelbagai kaum di negara kita.

Perlu ditekankan bahawa bukan saja bahasa Cina dan Tamil yang didiskriminasikan, bahasa puluhan etnik minoriti yang lain, bukan setakat didiskriminasikan, tetapi diabaikan sama sekali. Mereka tidak menikmati sebarang hak bahasa mereka seperti yang terkandung dalam Deklarasi Barcelona .

B. Dasar pendidikan

Maklumlah matlamat muktamad/akhir Dasar Pendidikan Kebangsaan negara kita ialah untuk mencapai satu sistem pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar utama.

Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut dan pelaksanaannya padahal telah mengingkari Artikel 24 Deklarasi Barcelona yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk memutuskan setakat mana bahasa mereka akan digunakan sebagai bahasa pengantar atau sebagai objek/matapelajaran pembelajaran dalam semua tahap pendidikan di wilayah/negaranya: iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknikal dan vokasional, universiti, dan pendidikan dewasa.

Namun, justeru kerana menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar, aliran SJKC dan SJKT telah dianaktirikan dan perkembangannya disekat, sijil pemereksaan sekolah menengah swasta Cina tidak diiktirafkan kerajaan, penubuhan Universiti Merdeka ditolak dan permohonan peningkatan Kolej New Era ke taraf universiti tidak ditimbangkan.

Tanpa berselindung lagi kerajaan telah mengumumkan dasar memperkasakan sekolah kebangsaan, dan sering pula kedengaran menteri-menteri Umno yang menuduh bahawa kewujudan aliran sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil merupakan rintangan kepada perpaduan nasional.

Di samping itu, Kerajaan Barisan Nasional terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Ia telah digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapejalaran sains dan matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi semua aliran sekolah.

Dasar mengagung-agungkan bahasa Inggeris ini amat menjejaskan pendidikan bahasa ibunda semua kaum dan akan merugikan pencapaian akademi pelajar dalam matapelajaran terbabit.

(C) Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita berasaskan tiga prinsip yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu:

1. Berteraskan kepada kebudayaan asal rantau budaya Melayu;

2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima; dan

3. Islam sebagai agama rasmi negara menjadi unsur penting dalam pembentukan dasar ini.

Jelas sekali, Dasar Kebudayaan Negara yang berasaskan tiga prinsip tersebut memperlihatkan pendekatan asimilasi berteraskan kebudayaan Melayu dan unsur Islam.

Dasar tersebut jelas bercanggah dengan perakuan Artikel 4 Deklarasi Barcelona berkaitan dengan pendekatan asimilasi, dan akan mengakibatkan ruang kebudayaan etnik-etnik yang lain diduduki oleh kebudayaan Melayu dan unsur Islam seperti perakuan Artikel 41 Deklarasi yang sama.

Bangsa Malaysia?

Malaysia adalah masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik dengan bahasa, agama, kebudayaan dan adat resam yang merencam.

Jika 'bangsa Malaysia' ingin dibentuk secara paksaan melalui dasar-dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan Barisan Nasional yang mendiskriminasikan hak-hak kaum-kaum minoriti seperti tersebut di atas, maka ia adalah dasar asimilasi yang patut ditolak.

Bagi saya, memadailah jika saya dapat dilayan sebagai rakyat Malaysia yang sama rata dengan rakyat daripada kaum-kaum yang lain, dari segi hak dan kewajiban.

Apa salahnya Malaysia dibiarkan dengan rakyat pelbagai bangsanya yang merupakan realiti masyarakat majmuk kita? Sebagai orang atau rakyat Malaysia, bukankah kita sudahpun mempunyai identiti yang bersama?

Kenapa mesti direkakan suatu "bangsa Malaysia" pada persepsi saja tanpa 'substance' yang konkrit, sedangkan kumpulan-kumpulan etnik minoriti di negeri kita masih terus dimomok dengan dasar asimilasi dan konsep cauvinis "satu bangsa, satu bahasa, satu negara" terbabit?


(Kertas kerja ini tidak berpeluang dibentangkan secara lengkap kerana kesuntukan masa dalam sesi meja bulat anjuran badan-badan bukan kerajaan pada 6 September 2007 di Annexe, Central Market. Hadir sama ialah wakil dari Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism; Zaid Kamaruddin dari JIM, Rustam Sani, K Arumugam dan Hishammuddin Rais)