KOLUM| Trump dan daulah terpendam
Pada Selasa 5 November 2024 Donald Trump menang pemilihan presiden Amerika Syarikat. Trump akan angkat sumpah pada 20 Januari 2025 sebagai presiden Amerika ke 47.
Lebih 70 juta warga Amerika memilih Trump sebagai presiden. Trump menewaskan Kamala Harris.
Tetapi daripada apa yang saya amati daulah terpendam atau deep state tidak bersetuju dengan pilihan 70 juta undian ini.
Siapa daulah terpendam ini? Kenapa tidak bersetuju dengan pilihan orang ramai?

Justeru wajib untuk saya terangkan lebih awal apa dan siapa itu daulah terpendam? Pemahaman konsep daulah terpendam ini penting.
Daulah terpendam ini kerajaan dalam kerajaan. Kumpulan dan sosok-sosok berkumpul secara tidak rasmi dan mereka terikat dalam rangkaian kuasa.
Mereka bergerak secara rahsia dan tidak rasmi. Beroperasi secara bebas daripada kepimpinan politik rasmi sesebuah negara. Mereka ada agenda dan matlamat mereka sendiri yang mungkin tidak sesuai dengan kepentingan negara.
Contohnya: Mereka mungkin pegawai tinggi polis atau tentera yang masih bertugas atau telah pencen. Mereka mungkin juga pegawai tinggi di jabatan kerajaan yang sedang bertugas atau telah berkhidmat. Mereka mungkin dari kalangan kaum feudal. Bersama mereka para cukong, ahli perniagaan, pemilik industri dan tauke judi dan pemberi pinjaman yang berkepentingan dalam perniagaan.
Pembunuhan JFK
Cara mereka bekerja dengan melobi kerajaan sedia ada untuk menerima cadangan mereka. Mereka mencadangkan untuk meluluskan projek mereka. Mereka memesongkan dasar negara ke arah dasar dan garis yang memberi keuntungan kepada mereka.
Semua pergerakan mereka dalam gelap dan tidak rasmi. Apabila projek atau cadangan mereka telah diterima kerajaan seperti kerajaan Madani hari ini akan mengumumkan seolah-olah projek ini berasal dari kerajaan.
Contoh terbaik di Malaysia ialah FesyenValet dan 5G. Tiba-tiba diumum. Bila ditanya wartawan jurucakap kerajaan sendiri tidak tahu menahu dan minta masa untuk mencari jawapan.

Apa yang mengikat mereka ialah kepentingan bersama. Pandangan dunia yang sama. Paling mustahak kepentingan ekonomi untuk memperoleh keuntungan bersama.
Di Amerika Syarikat contoh terbaik untuk memahami daulah terpendam ialah kes pembunuhan John F Kennedy pada 22 November 1963. Presiden Amerika yang ke-35 ini telah tembak mati di Dallas Texas ketika mengadakan lawatan rasmi.
Hingga ke hari ini masih banyak data dan maklumat daripada fail siasatan FBI dan CIA tidak diumumkan.
Pada 17 Ogos 2023 akhbar The Christian Science Monitor melaporkan 50 tahun sesudah JFK ditembak mati masih ada beberapa ratus muka surat dokumen penyiasatan yang berkaitan dengan pembunuhan Presiden John F Kennedy masih diklasifikasikan.
Adakah Trump akan ‘dijimat’
Diklasifikasikan bermakna ditutup daripada pengetahuan orang ramai.
Kenapa JFK di bunuh? Jawabnya mudah. Ada beberapa sebab yang meyakinkan.
Pertama JFK mahu menamatkan Perang Vietnam. Kedua JFK mahu menjalankan reformasi dalam lembaga risikan negara – Central Intelligence Agency (CIA).
Langkah JFK anti perang ini tidak menguntungkan industri senjata. Mereformasi CIA langkah yang mungkin mengurangkan bajet gelap CIA.
Maka JFK wajib ‘dijimatkan’. Bagaimana pula dengan Donald Trump? Adakah Trump akan ‘dijimatkan’ seperti JFK?
Kes Trump lagi memeranjatkan. Belum menang lagi, ketika Trump masih berkempen telah dua kali – saya ulang - telah dua kali ada percubaan membunuh ke atas dirinya.

Semua jari menunjukkan arah satu konspirasi yang mahu Trump mati dan tidak bertanding. Amin.
Pada 8 November 2024 tiga hari selepas Trump menang stesen Al-Jazeera melaporkan: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah membuka tuduhan jenayah terhadap seorang lelaki yang didakwa ditugaskan oleh Iran untuk "mengawasi dan merancang untuk membunuh" Donald Trump sebelum memilih presiden raya.
Aduan jenayah yang difailkan di mahkamah persekutuan di Manhattan New York berkata seorang ejen dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah mengarahkan warga Afghanistan, Farhad Shakeri untuk menyediakan rancangan itu pada bulan Oktober.
Jelas - Iran kini dituduh merancang untuk membunuh Donald Trump. Adakah ini masuk akal?

Bagi saya ini perancangan daripada pelbagai daulah terpendam yang bekerja sama dengan kumpulan Zionis di Amerika.
Tujuan jelas untuk memastikan Trump tidak akan mengubah dasar Amerika yang menjadikan Iran sebagai musuh. Daulah terpendam mahu meyakinkan Trump sendiri bahawa Iran itu musuh ketat Amerika dan musuh peribadi Trump. Sekatan ekonomi wajib diteruskan.
Jangan lupa pada malam 13 April 1993, sehari sebelum George HW Bush mendaftar melawat Kuwait City untuk memperingati kemenangan gabungan antarabangsa menentang Iraq dalam Perang Teluk Parsi, pihak berkuasa Kuwait menahan 14 orang yang disyaki dalam komplot untuk membunuh Bush menggunakan bahan letupan yang disembunyikan di sebuah Toyota Landcruiser.
George Bush nak kena bunuh. Trump pun nak kena bunuh oleh pengganas. Lihat persamaan.
Siapa kepala daulah terpendam?
Berita projek Iran nak bunuh Trump ini menjadi lawak kerana sang pembunuh belum pun mempunyai pasport. Kah kah kah. Farhad Shakeri ini belum lagi membeli tiket kapal terbang ke Amerika. Kah kah kah.
Media daulah terpendam memilih Kamal Harris sebagai calon presiden. Jika Kamala menjadi presiden maka suasana politik Amerika akan tenteram sedikit. Kekuatan Kamala dia akan setia dan mengikut skrip yang ditulis oleh daulah terpendam.
Justeru kita melihat semua – saya ulang – semua media arus perdana Amerika melaporkan perlawanan Trump Kamala ini sengit ‘neck to neck – leher ke leher‘ ertinya kedua-dua mempunyai peluang yang sama untuk menang.

Ini hampeh. Ini bohong. Ini propaganda. Semua ini dilakukan untuk memastikan undi tidak pergi ke Trump.
Perkara yang sama telah dilakukan oleh media Amerika pada tahun 2016 ketika Trump melawan Hillary Clinton.
Para pembaca akan bertanya siapa kepala ‘deep state’ di Amerika ini?
Jawabnya bukan susah. Di Amerika ada sistem lobi yang rasmi. Lembaga-lembaga lobi mendaftar dan menunjukkan siapa yang mereka wakili dan membiayai mereka.
Aipac paling berpengaruh
Dana bertukar tangan dengan terbuka dan tidak dalam gelap. Dana ini untuk kegunaan kempen politik. Kempen politik di Amerika bukan kecik anak.
Pelobi paling berpengaruh di Amerika ialah Aipac (American Isreal Public Affairs Committee). Badan pelobi seperti Aipac boleh bersuara dan mengeluarkan pandangan di media dan di kaca TV. Sayogia diingatkan di belakang pelobi ini ada jaringan sosok-sosok yang berpengaruh.
Contoh kejayaan daulah terpendam yang paling jelas ialah bagaimana Amerika telah membuka tiga medan perang - Perang Iraq, Perang Syria dan Perang Libya.
Daulah terpendam memasukkan jarum agar negara-negara Arab ini diserang. Ketiga-tiga negara Arab ini berpotensi untuk melawan Israel.

Israel melalui daulah terpendam telah menggunakan Amerika untuk memerangi Arab. Anak-anak muda Amerika menjadi mayat kerana Israel. Sedih tetapi benar Amerika tidak ada apa-apa keuntungan dalam ketiga-tiga perang ini.
Yang memungut laba dan untung ialah Israel. Ini contoh cara daulah terpendam bergerak di Amerika.
Tetapi Trump bukan menyokong Palestin. Trump juga bersahabat baik dengan Benjamin Netanyahu. Betul.
Pada ketika ini apa yang merisaukan daulah terpendam bukan sokongan Trump terhadap Israel. Yang amat menakutkan daulah terpendam hari ini ialah sikap dan tindak tanduk Donald Trump ini tidak boleh dibaca.

Pada 10 November 2024 agensi berita Bloomberg telah menulis tajuk berita: “Rancangan dasar luar Donald Trump tidak dapat diramalkan.
Sekutu dan penyokong Donald Trump menyatakan ketidakpastian merupakan ciri dan aset utama Trump dalam berurusan dengan seluruh dunia. Itu menjadikan perjalanan dasar luar pentadbirannya mencabar.”
Daulah terpendam merasa risau dan sangsi terhadap tindak tanduk Trump dalam dasar luar negara. Maka daulah terpendam mula bergerak.
Mengikut laporan akhbar Washington Post pada 10 November lalu Trump telah menelefon Putin.
Panggilan pasal Ukraine
Akhbar ini melaporkan bahawa Trump telah menggesa pemimpin Rusia itu untuk tidak meningkatkan perang di Ukraine. The Post, memetik beberapa orang yang biasa dengan panggilan itu yang bercakap atas dasar tidak mahu namanya disiarkan.
"Trump telah mengingatkan Putin tentang kehadiran tentera AS yang cukup besar di Eropah.”
Sehari kemudian akhbar Le Monde dari Paris melaporkan – “Kremlin, pada hari Isnin, 11 November, menafikan laporan media Amerika bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Donald Trump berkongsi panggilan mengenai konflik Ukraine.” Jeng jeng jeng.
Lihat bagaimana daulah terpendam membuat kerja menyebarkan berita palsu. Malah berita ini ada menyebut kehadiran tentera Amerika di Eropah. Ini jelas sebagai ancaman. Yang pelik lagi benar Mamat yang tahu tentang perbualan telefon ini tidak mahu dinyatakan. Jeng jeng jeng.

Ketika tulisan ini digarap Trump sedang memilih ahli-ahli dan anggota kabinet. Trump juga akan melantik para pegawai yang akan bersama dalam pentadbiran presiden Amerika Syarikat ke-47.
Pada kali pertama Trump menjadi presiden pada tahun 2016 dilihat pentadbiran Trump kacau bilau. Perletakkan jawatan berlaku di sana sini.
Mungkin kali ini Trump telah mengumpulkan pengalaman dan memperbaiki cara urus pejabat.
Dua dasar dunia sedang menunggu, adakah Donald Trump akan menamatkan Perang Ukraine dan Perang Gaza.
Tapi yakinlah daulah terpendam akan terus memerhatikan apakah dasar Trump ini akan menguntungkan mereka. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/fc883342ba3b72c2d2474f5919b7aca8.jpg)
