KOLUM | Di portal yang lain kami ada mencadangkan supaya anugerah Sasterawan Negara diberikan kepada orang muda. Rupa-rupanya ia juga adalah hujah beberapa penulis lain.

Nampak seperti ada kesepakatan di situ, tetapi percayalah bahawa ia cuma satu kebetulan. Atau mungkin juga ini adalah satu isyarat dari alam kepada kita semua.

Mungkin alam sedang berbicara bahawa "masa lalu, gemilang atau kecundang, sudah habis dilalui. Masa kini bukan lagi milikmu bahkan meraikan yang baru adalah yang terbaik andainya kamu mahu ambil tahu".

Sampai bila kita mahu berbangga dengan Salina atau Ranjau Sepanjang Jalan?

Menyediakan tapak kepada generasi ke depan adalah lebih penting berbanding minta dinobat dengan seribu satu gelaran.

Format pemilihan Sasterawan Negara mesti diperbaiki. Tidak selamanya kita mahu mengekalkan sesuatu yang sudah ketinggalan.

Sementelah kita juga tidak lagi menghasilkan karya-karya sastera yang menggemparkan.

Kita putuskan sendiri

Tanya diri sendiri: bila kali terakhir kamu rasa teruja semasa membaca buku, puisi, cerpen atau apa saja yang kamu anggap sebagai sastera. Jika kita semua benar-benar ikhlas maka kita akan katakan bahawa jawapannya ialah hampir tidak ada.

Jika bertemu dengan kumpulan yang gemar membaca dan orang awam lalu pertanyaan yang serupa diajukan kepada mereka, maka semua orang yang mengaku sasterawan akan berasa malu.

Orang awam tidak lagi peduli apa itu sastera dan apa gunanya menjadi Sasterawan Negara jika kewujudan karya mereka tidak disedari oleh anak negara sendiri.

Kita juga tidak sepatutnya mengehadkan kebesaran sastera hanya kepada satu bahagian. Maksudnya, apa yang kita anggap sebagai "sastera" pada masa lalu hendaklah diubah.

Memang ada garis nipis yang memisahkan puisi dan lirik lagu, misalnya, dan garisan inilah akan selamanya menjadi penghalang jika bukan kita sendiri yang memutuskannya.

Mungkin jika kita mahu lebih terbuka maka kita boleh saja menjadikan penulisan lirik lagu sebagai sesuatu yang boleh dipertimbangkan untuk dinilai oleh panel terpilih.

Kita mempunyai penulis lirik yang hebat seperti Habsah Hassan, S Amin Shahab dan beberapa nama lain.

Bukti penulis yang bagus

Mereka itu akan selamanya dianggap sebagai ‘penulis picisan’ hanya kerana menghasilkan sesuatu yang popular yakni 'sekadar' mencipta lirik lagu.

Bob Dylan yang terkenal sebagai penyanyi itu dipilih memenangi hadiah Nobel dek kerana lirik-lirik yang dihasilkannya.

Antara punca pemilihan penyanyi itu ialah kerana kuatnya jati diri AS dalam karya-karyanya walaupun pada waktu kemuncak kegemilangan Dylan, muzik dunia sedang dilanda keghairahan muzik dari Britain.

Habsah Hassan

Selain itu Dylan juga ada menghasilkan buku puisi dan beberapa buku lain.

Walau mendapat sedikit tentangan daripada beberapa kumpulan penulis, secara umumnya semua pihak mengakui kearifan pemuzik berkenaan dalam hal kesusasteraan dalam penghasilan lirik.

Mungkin hampir tidak ada penulis lirik di negara kita yang menghasilkan buku puisi dan apa juga bentuk penulisan lain. Tapi kesilapan ini boleh saja kita serahkan kepada mereka untuk diperbaiki.

Sebagai penulis, hal sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Namun untuk tidak mengadili mereka hanya kerana mereka tidak mempunyai sebarang penerbitan adalah kesilapan yang fatal.

Tak pernah bersalah

Keupayaan penulis lirik menjadikan hasil karya mereka diingati sehingga berpuluh tahun seharusnya menjadi bukti bahawa mereka adalah sasterawan yang bagus.

Lihat saja lirik lagu Sekadar Di Pinggiran karya Lukman S, misalnya. Lirik tersebut masih 'menggigit' sehingga hari ini. Mereka yang sudah bertahun-tahun mendengarnya tentu diusik kenangan setiap kali lagu tersebut berkumandang.

Untuk kumpulan yang lebih muda, lirik berkenaan datang bersama angan-angan dan khayalan. Dan bukankah sastera itu sendiri bersifat angan dan khayal?

Selain itu, sasterawan yang menulis dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu juga harus kembali menghasilkan karya dalam bahasa negara.

Kita mahu melihat atau membaca hasil karya penulis yang bukan Melayu. Kita mahu tahu apa jenis pemikiran yang ada dalam kepala mereka.

Kita juga mahu tahu di tahap manakah kefahaman sastera mereka. Mungkin kita boleh saling belajar.

Menobatkan penulis bukan Melayu sebagai Sasterawan Negara hanya kerana mahukan populariti tentu tidak akan membantu. Pedulilah Madani atau tidak, ia tidak akan membantu apa-apa.

Kita ada ramai penulis bukan Melayu yang sudah memenangi beberapa hadiah antarabangsa. Mereka ada potensi untuk menjadi Sasterawan Negara jika mahu menghasilkan karya dalam bahasa Melayu.

Penulis-penulis yang menggunakan bahasa asing ini juga tidak seharusnya melihat diri mereka sebagai mangsa hanya kerana diketepikan.

Semua negara memilih sasterawan yang menghasilkan karya dalam bahasa mereka dan Malaya tidak pernah bersalah kerana hanya memilih sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyajak alam siber.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.