Meruntuhkan perkuburan bukan tamadun manusia
Maklumlah kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1989. Ini bermakna permusuhan antara Kerajaan Malaysia dengan PKM telah ditamatkan dan lawan dahulu telah menjadi kawan sekarang.
Menurut semangat perjanjian terbabit, bekas anggota PKM akan dilayan sebagai warganegara yang setaraf dengan warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi, dan masalah-masalah ketinggalan sejarah, juga perlu ditangani secara adil dan saksama.
Antara lain, masalah bekas anggota PKM yang terkorban dalam jangka masa 1973-1988 di wilayah Malaysia, dan tidak dikebumikan dengan sewajarnya menurut adat istiadat yang diperlukan kerana keadaan darurat masa itu adalah masalah ketinggalan sejarah yang perlu ditangani oleh kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mereka dengan kerjasama pihak kerajaan.
Maklumlah kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1989. Ini bermakna permusuhan antara Kerajaan Malaysia dengan PKM telah ditamatkan dan lawan dahulu telah menjadi kawan sekarang.
Menurut semangat perjanjian terbabit, bekas anggota PKM akan dilayan sebagai warganegara yang setaraf dengan warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi, dan masalah-masalah ketinggalan sejarah, juga perlu ditangani secara adil dan saksama.
Antara lain, masalah bekas anggota PKM yang terkorban dalam jangka masa 1973-1988 di wilayah Malaysia, dan tidak dikebumikan dengan sewajarnya menurut adat istiadat yang diperlukan kerana keadaan darurat masa itu adalah masalah ketinggalan sejarah yang perlu ditangani oleh kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mereka dengan kerjasama pihak kerajaan.
Justeru, pada permulaan abad ke-21, kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga kepada mereka yang terkorban pun mengambil inisiatif membeli sebidang tanah di perkuburan swasta W & P Memorial Park di Jalan Lipis Raub dan didirikan batu nisan yang tertulis nama-nama, tempat asal dan unit/bahagian 169 orang bekas anggota PKM yang terkorban dalam jangka masa tersebut.
Perkuburan berkenaan telah siap dibina pada September 2002 di bawah kawalan dan kerjasama Cawangan Khas Pahang. Selepas itu, pada Hari Qing Meng (pada 5 April, orang Cina akan menziarahi perkuburan nenek moyang dan ahli keluarga mereka untuk sembahyang dan membersihkan kawasan perkuburan) setiap tahun, ahli-ahli keluarga terbabit akan menziarahi perkuburan untuk menyembahyang dan memperingati mereka yang dikebumikan menurut adat istiadat orang Cina, juga di bawah kawalan dan kerjasama Cawangan Khas tempatan. Selama ini, tidak pernah berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
Namun, tidak disangkakan, pada 17 September 2007, Majlis Daerah Raub Pahang Darul Makmur telah mengeluarkan Notis Meruntuhkan Bangunan menurut Seksyen 72(1)(b) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 kepada pihak W & P Memorial Park agar perkuburan terbabit yang dianggap sebagai "tugu peringatan" itu diruntuhkan dalam tempoh empat belas hari dari tarikh notis terbabit diterima.
Tindakan tidak munasabah Majlis Daerah Raub tersebut diambil selepas keputusan terbabit disampaikan kepada wakil-wakil ahli-ahli keluarga perkuburan terbabit dalam perjumpaan mereka dengan pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, pegawai Cawangan Khas dan pegawai Majlis Daerah Raub, sungguhpun wakil-wakil ahli-ahli keluarga perkuburan terbabit telah mengemukakan bantahan mereka.
Notis meruntuh perkuburan
Dalam surat jawapan pihak W & P Memorial Park tanggal 24 September 2007 berkaitan notis Majlis Daerah Raub, di samping rayuan agar notis meruntuhkan perkuburan terbabit ditangguhkan sehingga suatu penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak terbabit, dapat dicapai melalui rundingan. Diperturunkan alasan-alasan bantahan ahli-ahli keluarga terbabit seperti berikut:
* Perkuburan terbabit adalah sebuah perkuburan kolektif untuk tujuan sembahyang ahli-ahli keluarga dan waris-waris mereka, bukan tugu peringatan untuk kunjungan orang awam;
* Perkuburan terbabit yang telah dibina dalam Memorial Park swasta menurut syarat dan prosedur seperti pembinaan perkuburan-perkuburan yang lain di Memorial Park itu, sepatutnya tidak bersalah di sisi undang-undang;
* Pembinaan perkuburan terbabit telah dipersetujui oleh pihak Cawangan Khas (SB) tempatan, dan selama ini tidak pernah berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini;
* Menurut kepercayaan orang Cina, amatlah pantang jika perkuburan dimusnahkan, ia (dipercayai) akan membawa kemalangan kepada waris-waris si mati yang dikebumikan;
* Perkara ini perlu ditangani secara berhati-berhati agar sensitiviti masyarakat majmuk tidak tersentuh dan keharmonian negara senantiasa terpelihara.
Salinan surat rayuan pihak Memorial Park terbabit telah disampaikan kepada Datuk Fu Ah Kiaw, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Menurut laporan akhbar, Datuk Fu telah berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan dan mencapai kata sepakat bahawa batu nisan terbabit bukan tugu peringatan dan tidak perlu diruntuhkan.
Perkembangan terbaru ini dialu-alukan oleh Jawatankuasa Menentang Peruntuhan Perkuburan-Perkuburan W & P Memorial Park Di Raub yang ditubuhkan oleh ahli-ahli keluarga terbabit selepas salinan notis meruntuhkan perkuburan terbabit diterima.
Manusia mati berkubur
Jawatankuasa itu telahpun mengarah peguam mereka agar menghentikan tindakan undang-undang untuk memohon injunksi mahkamah menghalang Majlis Daerah Raub mengambil tindakan meruntuhkan perkuburan terbabit, sementara menunggu Majlis Daerah Raub membatalkan notis berkaitan.
Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu perbezaan manusia dengan haiwan ialah manusia mati berkubur, sementara binatang mati tidak berkubur.
Justeru, dalam medan perang sekalipun, mayat musuh yang terkorban biasanya dikembalikan ke negara asalnya supaya ianya dapat dikebumikan menurut adat istiadat negara terbabit.
Pendek kata, mayat si mati sewajarnya dihormati berasaskan nilai dan tamadun manusia tanpa mengira kawan atau lawan serta perbezaan bangsa, agama, atau ideologi.
Semua manusia yang meninggal dunia berhak disembahyang dan diperingati oleh ahli-ahli keluarga, waris-waris dan kawan-kawan mereka. Justeru, pembinaan batu nisan perkuburan atau tugu peringatan, terutamanya di tanah swasta perlu dianggap sebagai hak manusia selaras dengan nilai tamadun.
Kerajaan Malaysia tidak patut terus mendiskriminasi malah memusuhi bekas anggota-anggota PKM yang telah meletakkan senjata mereka dan berdamai dengan kerajaan, dan ahli-ahli keluarga kepada mereka yang sudah terkorban.
Nilai tamadun
Apa salahnya perkuburan atau tugu peringatan dibina untuk tujuan sembahyang dan peringatan, terutamanya di atas tanah swasta? Amatlah tidak masuk akal dan melucukan jika kewujudan perkuburan atau tugu peringat bagi mereka yang gugur diperbesar-besarkan dan dimomokkan sebagai sesuatu yang akan memudaratkan keselamatan negara!
Yang terkorban sudah gugur dan tak mungkin bangkit lagi, dan yang datang menyembahyang dan memperingati mereka setahun sekali juga ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan lama mereka yang sudah meninggalkan perjuangan mereka, apakah perlu dikhuatirkan lagi?
Zaman telah berubah, janganlah masih berminda zaman perang dingin! Tinggalkanlah sikap permusuhan dan diskriminasi terhadap bekas anggota-anggota PKM yang masih hidup atau sudah terkorban!
Layanilah mereka sebagai rakyat biasa yang juga ada keperluan keagamaan dan adat istiadat untuk menyembahyang dan memperingati kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia!
Yang perlu disanjungi ialah nilai tamadun dan semangat toleransi sejati, termasuk hak manusia untuk dikebumikan. disembahyang dan diperingati menurut keperluan adat istiadat atau keagamaan masing-masing selepas meniggal dunia, bukan pada mulut saja tetapi juga dalam amalan!
Moga-moga tidak timbul lagi sebarang niat di pihak-pihak berkuasa berkaitan untuk meruntuhkan mana-mana perkuburan, batu nisan atau tugu peringatan tanpa dipersetujui pihak-pihak terbabit, dengan apa alasan sekalipun!

