Pada Senin 20 Januari, Donald Trump akan mengangkat sumpah untuk menjadi presiden Amerika ke-47. Pada ketika tulisan ini digarap, para presiden, perdana menteri, raja, emir, jeneral, pemimpin parti politik garis kiri dan kanan dari seluruh dunia sedang menunggu apa yang akan dilakukan oleh Trump sebaik mengangkat sumpah.
Dunia akan teringat pada tahun 2016. Selesai saja angkat sumpah Presiden Trump mengeluarkan arahan eksekutif.
Pertama, tembok dan pagar didirikan di sempadan Mexico. Kedua, Amerika membatalkan Perjanjian Perniagaan Trans-Pasifik. Ketiga, Trump membatalkan Obama-Care, sistem perubatan umum anjuran Barack Obama.
Arahan eksekutif ini wajib dijalankan. Ini cara pentadbiran Amerika. Semua arahan presiden menjadi undang-undang yang wajib dipatuhi dan dituntaskan.
Ketika tulisan digarap, media dan pemerhati politik di Amerika sedang membincangkan apakah arahan eksekutif 2025? Desas-desus mula kedengaran bahawa Trump sedang menyediakan lebih dari 100 arahan eksekutif. Kah, kah, kah!
Antaranya, pendatang haram akan ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal. Ini untuk membuktikan Trump mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah pendatang haram.
Trump yang memperlekeh agenda alam sekitar akan melupuskan arahan Presiden Joe Biden dalam hal cari gali minyak dan bahan galian.
“Put the miners back to work.” Ini janji Trump untuk kembali membenarkan syarikat cari gali melombong apa sahaja yang boleh digali. Pencemaran alam sekitar bukan agenda Trump.
Mata dan telinga dunia akan dibuka luas untuk mendengar apa dasar cukai baru yang akan diperkenal? Mexico dan Kanada, tetangga di sebelah, akan menjadi sasaran pertama sebelum Trump mengenakan cukai kepada negara Eropah.
Apa pula dasar Amerika ke atas Taiwan dan China? Dari awal lagi ketika berkempen Trump mentakrif China sebagai musuh. Pada masa yang sama negara yang dianggap musuh ini juga rakan niaga Amerika.
Perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan China berjumlah dianggarkan AS$758.4 bilion dolar pada 2022. Eksport sebanyak AS$195.5 bilion; import sebanyak AS$562.9 bilion. Defisit perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan China bernilai AS$367.4 bilion pada 2022.
Hakikatnya barang dari China lebih banyak masuk ke Amerika dari barang Amerika dijual di China. Justeru apa yang akan dilakukan oleh Trump? Dunia sedang menunggu apakah retorik anti-China itu hanya umpan ketika berkempen atau Trump akan bertindak. Amin.
Tuan pemilik dunia
Mari kita menyelam ke dalam badan politik Amerika untuk memahami bagaimana Trump, malah semua presiden Amerika mengeluarkan dasar negara. Memahami ini amat penting kerana pada ketika ini seluruh negara yang mengguna pakai sistem ekonomi kapitalis, dan yang mendakwa bukan kapitalis, semuanya berhadapan dengan hegemoni Amerika.
Ertinya warga dunia wajib tahu terutama dasar luar Amerika. Dasar luar Amerika inilah yang menjadikan Eropah sebagai Eropah, Asia sebagai Asia. Afrika sebagai Afrika dan Amerika Latin sebagai Amerika Latin. Kita sebagai kita ditakrif oleh dasar dan politik Amerika.
Apakah Amerika ini begitu berkuasa? Bagaimana dengan China, Rusia dan India?
Negara- negara besar ini wujud tetapi hakikatnya pada ketika ini United States of America adalah tuan pemilik dunia kita ini. Ini realpolitik. Amin.
Ada satu perkara yang wujud di Amerika yang mungkin tidak ada di negara lain. Perkara ini ialah lembaga lobi. Tugas lembaga lobi ini ialah memujuk, mempengaruhi atau meyakinkan pihak yang memiliki kuasa dan punca untuk membuat keputusan atau tindakan.
Di Washington DC, ibu kota dan pusat politik Amerika, ada puluhan badan dan lembaga lobi. Tugas dan kerja badan-badan ini ialah melobi presiden atau ahli Dewan Kongres atau Dewan Senat. Para pelobi akan memujuk punca kuasa di Amerika.
Memujuk untuk apa? Memujuk untuk membuat dasar yang akan menguntung dan memberi laba kepada sang pelobi.
Contohnya amat mudah, ketika Covid-19 melanda, syarikat ubat seperti Pfizer akan memujuk punca kuasa untuk memastikan semua warga Amerika disuntik. Sang pelobi akan bercerita, bersurah dengan sokongan para ilmuan tentang bahaya yang akan menimpa dunia jika umat manusia tidak disuntik.
Dengan serta merta punca kuasa akan mengeluarkan arahan eksekutif. Hasilnya rakyat Amerika dan warga dunia diwajibkan disuntik.
Apakah dasar dibuat dengan begitu mudah? Hanya dengan kertas kerja, para saintis dari syarikat ubat akan terus dapat meyakinkan presiden dan ahli dewan Kongres.
Sabar dulu. Di belakang lembaga pelobi adalah syarikat dan industri yang berkepentingan. Bukan sahaja syarikat ubat malah syarikat senjata, syarikat kereta dan seratus macam jenis perniagaan akan mendirikan lembaga lobi di Washington DC.
Selain syarikat perniagaan, ada lagi pelobi yang mewakili kepentingan negara. Aipac–American Isreal Public Affairs Comittee–adalah badan pelobi yang terulung di Amerika. Nama badan ini jelas – mengajukan kepentingan Israel dalam pentadbiran Amerika.
Kepentingan industri
Adakah fakta di bawah betul?
Para pelobi ini adalah sosok-sosok yang terlatih, tersusun dalam hal perhubungan awam. Mereka ini diupah oleh pemilik syarikat. Salah satu tugas halus mereka ialah menjanjikan sokongan kepada presiden, ahli Kongres atau senator.
Sokongan apa? Sokongan dana untuk menjalankan kerja politik. Sokongan dana ketika berkempen. Malah jangan terperanjat jika kita terbaca ada beberapa ahli Kongres atau senator digaji dan dibayar untuk mewakili kepentingan industri.
Sebagai contoh, dari portal Opensecret.org kita diberitahu nama ahli Kongres Kurt Schrader dari parti Demokrat melabur AS$16,000 dan AS$65,000 dolar dalam syarikat Blackrock.
Dari parti Republikan pula, Hern dan Kevin melabur AS$15,000 dan AS$50,000 dalam syarikat yang sama.
Para ahli Kongres ini memiliki kepentingan ekonomi. Justeru mereka akan mengundi dan mengajukan dasar yang menjana kepentingan Blackrock.
Akhbar Financial Times pada 6 November 2024 melaporkan calon Demokrat Kamala Harris dan calon Republikan Donald Trump masing-masing membelanjakan AS$3.5 bilion dalam perlumbaan mereka untuk ke Rumah Putih. Kempen 2024 menjadi pilihan raya umum Amerika yang paling mahal dalam sejarah.
Kamala mengumpul AS$2.3 bilion dan membelanjakan AS$1.9 bilion. Trump mengumpul AS$1.8 bilion dan membelanjakan AS$1.6 bilion.
Berkempen untuk menjawat jawatan politik di Amerika, malah di mana sahaja, bukan murah dan tidak mudah. Berbilion dolar diperlukan. Berjuta ringgit diperlukan untuk berkempen.
Dari mana duit kempen politik ini hendak dicekau? Jeng, jeng, jeng.
Dari sinilah peranan pelobi. Dari sini kita memahami bagaimana badan dan lembaga lobi bergerak di Amerika.
Di Amerika, dana–dolar, ringgit, peso atau dinar–dari syarikat boleh diterima masuk ke kantung parti dengan terbuka. Malah umum boleh mengetahui syarikat apa yang memberi dana berapa kepada siapa. Ini bukan rahsia.
Kempen presiden Amerika 2024 memunculkan nama Elon Musk, sosok terkaya dalam dunia. Elon Musk menyokong dan membantu kempen Donald Trump. Kempen Elon bukan hanya di laman X.
Rapat kepada punca kuasa
Dari portal berita CBS pada 6 Disember 2024, dunia diberitahu bahawa Elon Musk membuat rekod. Bilionair ini membelanjakan AS$277 juta atau lebih suku bilion dolar untuk menyokong Donald Trump dan calon Republikan lain.
Terima kasih macam mana dari Donald Trump kepada Elon Musk harus diberikan?
Ini jawapannya: Portal berita BBC pada 14 November 2024 melaporkan Elon Musk ditugaskan untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan. Tugas jabatan ini ialah "membubarkan birokrasi kerajaan, mengurangkan lebihan peraturan, mengurangkan perbelanjaan membazir dan menyusun semula agensi persekutuan".
Untuk pemilik syarikat teknologi, mungkin tugas baru ini membosankan. Tapi apa yang penting telinga Trump tidak jauh dari mulut Elon Musk. Menjadi ahli perniagaan yang rapat kepada punca kuasa adalah lebih bernilai dari memiliki lombong emas.
Elon Musk, CEO syarikat SpaceX ini, tidak perlu mewujudkan lembaga atau badan pelobi seperti Aipac. Dia sendiri boleh menelefon Trump jika dia memerlukan sesuatu untuk mengembangkan perniagaan.
Trump belum lagi mengangkat sumpah, tapi Elon Musk telah mencadangkan visa H1-B diperbaiki. Visa ini membolehkan kemasukan profesional luar negara untuk bekerja di Amerika. Syarikat SpaceX memerlukan kepakaran dari seluruh dunia.
Apakah yang dilakukan oleh Elon Musk ini boleh dianggap rasuah?
Sabar dulu. Elon Musk ini mungkin dihebohkan tapi ada satu badan pelobi yang lebih memeranjatkan. Lembaga pelobi yang ini telah berjaya mengarah dasar presiden Amerika dan dasar pentadbiran Amerika.
Selama beberapa dekad, lembaga lobi inilah yang paling berkuasa yang merancang dan mengajukan dasar Amerika. Kumpulan ini adalah kumpulan pelobi Zionis.
Untuk mengenali mereka, sila tunggu minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
