KOLUM | Harapan damai Timur Tengah era Trump
KOLUM | Isnin lalu, Donald Trump mengangkat sumpah menjadi presiden Amerika. Sehari sebelum itu, gencatan senjata di antara Israel dan Hamas berkuat kuasa. Beliau mengambil kredit atas pencapaian persetujuan gencatan senjata itu.
Norman Finkelstein, ahli akademik Yahudi Amerika yang terkenal sebagai pro-Palestin telah mengkaji setiap operasi bersenjata Israel terhadap Gaza serta gencatan senjata yang mengakhirinya. Beliau menunjukkan bahawa gencatan senjata sering berlaku menjelang seorang presiden Amerika baru mengangkat sumpah. Ia pernah berlaku menjelang Barack Obama mengangkat sumpah.
Dari tanggapan Finkelstein itu, seseorang tidaklah boleh menaruh harapan yang tinggi. Oleh kerana pencerobohan tentera Israel ke atas Gaza sudah berulang kali berlaku, maka ia akan berulang lagi pada masa akan datang. Sememangnya harapan semua orang terutama warga Gaza bahawa gencatan senjata ini bukan saja berkekalan tetapi akan merintis pada perdamaian yang berkekalan melalui penubuhan negara Palestin merdeka.
Tetapi secara realistik, rakyat Israel menolak kewujudan negara Palestin berdaulat. Mereka mahu mengambil wilayah Gaza dan Tebing Barat.
Malah tidak ada jaminan bahawa gencatan senjata ini dapat dilaksanakan sepenuhnya hingga ke fasa akhir dengan membawa kepada pembangunan semula bangunan-bangunan dan infrastruktur di Gaza. Israel pada bila-bila masa boleh terus menjadikan Gaza kem tahanan terbesar dunia.
Tetapi bezanya sekarang dan dahulu ialah adanya media sosial yang bersifat global dan generasi baru dan akan datang terdedah pada maklumat di luar naratif Zionis. Akhirnya apabila rakyat Amerika sendiri tidak dapat menerima naratif Zionis, maka Israel akan runtuh dan Palestin dapat mencapai cita-cita “dari sungai ke segara “.

Selain Finkelstein, tiga orang lagi intelektual Yahudi yang pro-Palestin aktif bersuara mengkritik Israel dan Amerika sepanjang genosid di Gaza ialah Jeffrey Sachs, Noam Chomsky dan Illan Pappe. Sachs dan Nomsky adalah warga Amerika. Pappe adalah warga Israel. Pandangan mereka luas ditularkan dalam media sosial.
Adalah sesuatu amalan biasa bahawa Amerika mahu menunjukkan kehebatan presiden baru mereka kepada dunia. Sudah tentu acara angkat sumpah itu tidak mahu diganggu dengan berita perang di Gaza. Malah kebakaran di Los Angeles yang masih belum terpadam sepenuhnya sudah tidak kedengaran lagi.
Sebaliknya media massa dan media sosial penuh dengan hantaran-hantaran yang memuji Trump dan keluarganya. Malah seolah-olahnya beliau adalah raja dan mereka adalah bangsawan. Paling disoroti ialah anak Trump dengan Melania iaitu Barron yang digambarkan seolah-olahnya pada satu hari beliau akan juga menjadi presiden Amerika.
Sedangkan semasa kempen pilihan raya presiden, media massa utama mereka banyak mengkritik Trump kerana mereka sering kali menyokong dasar liberal Parti Demokratik. Calon parti Demokratik dalam pilihan raya itu ialah Kamala Harris yang kalah pada Trump dari Republikan.
Sachs menyifatkan akhbar The New York Times, The Washington Post dan The Wall Street Journal sebagai suara “deep state” Amerika, tidak kiralah siapa yang menjadi presiden dan menguasai kerajaan.
“Deep state” atau “daulah terpendam” tetapi lebih tepat lagi merupakan “kerajaan terpendam” digambarkan oleh Sachs sebagai mereka yang mempunyai agenda dan pandangan dunia tersendiri yang dilaksanakan melalui agensi-agensi kerajaan seperti CIA dan angkatan tentera.

Perlu diingat bahawa dalam sesebuah negara demokratik, entiti kedaulatan ada tiga lapis, pertamanya adalah rakyat, kedua kerajaan dan ketiga parti politik. Rakyat memilih ahli politik dan parti politik untuk memimpin kerajaan. Tetapi kerajaan ada dua lapis. Ia merupakan perkhidmatan awam yang biasa. Satu lagi ialah “deep state” yang ada di dalamnya. Mereka ini memberi nasihat pada ahli politik yang mempunyai kuasa.
Dua parti yang menguasai Amerika ialah Demokratik dan Republikan. Kedua-duanya merupakan pro-Israel dan kuat dipengaruhi oleh “lobi Yahudi” yang berpengaruh dan mempunyai dana besar bagi digunakan untuk kempen pilihan raya kedua-dua pihak.
Tetapi Republikan mempunyai kelebihan pengaruh kerana mereka disokong oleh golongan Nasionalis Kristian dan Kristian Zionis. Nasionalis Kristian mempunyai fahaman bahawa Amerika adalah sebuah “negara Kristian” dan bukannya sekular. Sementara golongan Kristian Zionis adalah orang Kristian yang menyokong wujudnya Israel dari segi hujah agama. Perlu difahami bahawa kebanyakan penganut agama Kristian bukanlah Zionis. Sementara Zionisme, walaupun merupakan fahaman sekular tetapi ia berasaskan pada bangsa Yahudi.
Terdapat kalangan Kristian Eropah yang besar terutama dari mazhab Katholik menyokong Palestin umpamanya yang berada di Ireland, Sepanyol, Portugal dan Itali. Di kalangan rakyat Palestin sendiri terdapat Katholik.
Tetapi kemenangan Trump bukan semata-mata atas sokongan pengundi Republikan tegar. Trump mendapat undi dari kalangan kelas pekerja yang selama ini menyokong parti Demokratik atas pelbagai sebab. Bagi mereka yang menentang dasar Presiden Joe Biden yang membekalkan senjata kepada Israel untuk melakukan genosid di Gaza, mereka mengundi Trump, bukanlah kerana Trump akan membantu Palestin, tetapi mereka mahu menghukum Biden dan parti Demokratik termasuklah calonnya, Harris.
Faktor besar mengapa Trump menang ialah kegagalan pihak Demokratik menyediakan calon lebih hebat daripada Trump. Sebagai naib presiden pun, Harris tidak dapat menonjolkan kepimpinannya, apatah lagi hendak melawan Trump. Maka di sudut lain, Biden, Harris dan Parti Demokratik telah membuka ruang terhadap kemenangan Trump.
Sebaik saja Trump mengangkat sumpah sebagai presiden, antara arahannya ialah membatalkan sekatan yang dikenakan ke atas orang Yahudi yang membuka penempatan baharu di Tebing Barat. Mereka telah dikenakan sekatan oleh Amerika sebelum ini kerana mereka tidak sepatutnya membuat rumah di Tebing Barat selaras dengan perjanjian. Tetapi kerajaan Israel bukan saja tidak menghalang mereka tetapi menggalakannya.
Semasa menjadi presiden pada penggal pertama dahulu Trump telah memindahkan pejabat kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Ia merupakan tindakan pengiktirafan Amerika terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, sesuatu yang tidak dilakukan oleh presiden-presiden Amerika terdahulu. Ia juga tidak menyumbang kepada perdamaian.

Ini kerana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya iktiraf Tel Aviv sebagai ibu kota Israel semasa penubuhannya pada tahun 1948. Tetapi tentera Israel menakluki Baitulmaqdis yang berada di wilayah Jordan pada tahun 1949 dan mengisytiharkannya sebagai wilayahnya.
Apabila PBB bersetuju dengan penubuhan negara Palestin, maka ibu kota yang dicadangkan ialah Baitulmaqdis. Kota itu terbahagi kepada tiga sektor iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Maka pihak Palestin mahukan Baitulmaqdis Timur yang didiami oleh orang Palestin, baik Islam mahupun Kristian sebagai ibu negara Palestin. Di situ juga terletak Masjid Al-Aqsa. Tetapi pihak Israel menolak, mereka mahukan keseluruhan Baitulmaqdis. Mereka mahu ibu negara Palestin ditetapkan di Baitulaham, kini pusat pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Satu lagi tindakan Trump pada penggal pertama dahulu ialah memperkenalkan gagasan Perjanjian Ibrahim atau Abraham Accord yang mengambil sempena nana Nabi Ibrahim. Beliau adalah tokoh yang dikongsikan oleh penganut Yahudi, Kristian dan Islam. Perjanjian ini adalah usaha ke arah hubungan diplomatik antara Israrl dengan negara-negara Arab. Ia dapat dilakukan antara Israel dengan Bahrain dan Israel dengan Emiriah Arab Bersatu.
Usaha sedang dijalankan untuk mewujudkan hubungan diplomatik antara Israel dengan Arab Saudi. Tetapi ia tidak dapat dilakukan apabila berlaku serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. Banyak pihak melihat Abraham Accord sebagai langkah menghalang penubuhan negara Palestin merdeka.
Menjelang upacara angkat sumpah Trump, beliau menghantar bakal dutanya bagi Timur Tengah ke Baitulmaqdis untuk berusaha mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas. Duta itu, Steve Witkoff adalah seorang Kristian Zionis.
Trump memberi amaran pada Hamas supaya menerima persetujuan gencatan senjata, jika tidak, beliau akan memberi “neraka” pada Timur Tengah. Tetapi yang menjadi penghalang pada gencatan senjata bukannya Hamas tetapi perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Ini kerana matlamat operasi untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya masih belum tercapai.
Amaran Trump itu sebenarnya bukan ditujukan pada Hamas tetapi pada Netanyahu. Apabila gencatan senjata tercapai, ternyata persetujuan itu sama dengan cadangan awal yang diterima oleh Hamas.
Ketika pembebasan tebusan, kelihatan ramai anggota Hamas turut keluar mengiringi mereka. Rakyat Israel terkejut melihat Hamas masih kuat.
Rakyat Gaza menyambut gencatan senjata itu sebagai kemenangan mereka dan Hamas. Pada masa ini mereka menumpukan pada pemulihan hidup di Gaza dengan pembangunan semula. Perkara masa depan biarlah difikirkan kemudian
Perdana Menteri Qatar, Mohammed Ibrahim Jassem Al-Thani yang menjadi orang tengah bagi rundingan antara Hamas dan Israel berkata selagi negara Palestin merdeka tidak diwujudkan, maka perdamaian tidak akan dapat dicapai.
Walaupun Trump adalah pro-Israel tetapi beliau pun mahu meninggalkan legasi besar di Timur Tengah. Jika beliau dapat mewujudkan perdamaian berkekalan di rantau itu, serta memperoleh Hadiah Nobel tentulah beliau lebih gembira. Beliau lebih “pro” pada dirinya berbanding “pro” pada mana-mana pihak lain.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/acc1ae99fc7aca87a14b7604693079f9.jpg)
