KOLUM | Drama Trump bergaduh dengan Kanada
Sebelum Donald Trump menjadi presiden kali kedua, tidak ada sesiapa yang menyangka Amerika Syarikat akan “bergaduh” dengan Kanada. Ini kerana kedua-dua negara itu adalah jiran yang baik, sefahaman dan berteras bangsa serta bahasa yang sama.
Maknanya sejak ditubuhkan pada tahun 1867 dengan gabungan United Provinces of Canada, Nova Scotia dan New Brunswick, Kanada mempunyai hubungan baik dengan Amerika.
Sebagai sebahagian daripada Empayar British, Kanada merupakan sekutu Amerika dalam Perang Dunia Pertama melawan Jerman. Perang ini mengukuhkan identiti nasional Kanada.
Pada Perang Dunia Kedua, Kanada yang juga sebagai sebahagian daripada Empayar British menjadi negara sekutu Amerika dalam gabungan Berikat.
Kanada merdeka dari UK 1982
Tetapi peranan Kanada yang besar sebagai sekutu Amerika berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Seperti mana United Kingdom, Kanada adalah sebahagian blok Barat yang diketuai oleh Amerika untuk berdepan dengan blok Soviet dalam Perang Dingin.
Pada tahun 1982, Kanada merdeka sepenuhnya daripada United Kingdom. Kanada menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang juga diketuai dan dipayungi oleh Amerika.
Kedudukan geografi Kanada amat strategik bagi Amerika. Di sebelah utara, sepanjang batas daratnya berdepan Lautan Artik yang merupakan sempadan dengan Rusia. Maknanya Kanada menjadi pelindung bagi Amerika.
Teras dunia Barat bangsa yang mempunyai susur galur pada England dan bertutur dalam bahasa Inggeris, maka Kanada tergolong dalam kumpulan bertuah ini seperti mana Amerika, United Kingdom, Australia dan New Zealand.
Walaupun keluasan tanahnya amat besar tetapi bilangan penduduknya amat kecil, 40 juta orang berbanding Amerika yang mempunyai 340 juta penduduk dengan kebanyakan populasinya terperosok tinggal di sebelah timur laut negara. Sedangkan yang lain merupakan kawasan hutan dan ais.
Seperti negara-negara luas yang lain, Kanada merupakan negara perkongsian antara manusia dan alam sekitar yang terdiri daripada udara, air, tanah, tumbuhan dan margasatwa.
Kanada mempunyai kedudukan penting bagi pemeliharaan alam sekitar, pemanasan global dan perubahan iklim.
Dari segi manusia, Kanada juga negara perkongsian antara penduduk kolonial dan pribumi yang terdiri daripada kaum Inuit (dahulu dikenali sebagai Eskimo), First Nations (Red Indians) dan Metis. Kedudukan mereka termaktub dalam perlembagaan Kanada.
Penduduk kolonial pula terdiri daripada orang British dan Perancis. Di kalangan warga British itu pula terdapat mereka yang datuk moyang mereka berpindah ke Amerika Syarikat apabila wilayah-wilayah di situ memberontak dan merdeka daripada pemerintahan raja England.
Peperangan berlaku antara Britain dan Amerika. Pada tahun 1776, Britain kalah di wilayah Amerika. Pada mulanya tentera Amerika terus memerangi tentera British yang berundur ke utara.
Namun begitu setelah kalah dalam satu pertempuran, tentera Amerika pun berundur. Jika tentera Amerika terus berperang dan menakluk wilayah-wilayah di utara, maka kini Kanada menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat. Tetapi sejarah tidak menjadi sedemikian.

Kini Presiden Trump berulang kali menyebut Kanada sepatutnya menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat. Puncanya soal tarif dan sempadan antara Amerika dan Kanada yang bolos kepada pengedar dadah.
Trump melihat imbangan dagangan antara Amerika dan Kanada tidak seimbang, lebih menguntungkan Kanada. Ditambah pula, katanya, keselamatan dan pertahanan Kanada diberikan oleh tentera Amerika. Oleh itu, beliau menaikkan tarif barangan import dari Kanada sebanyak 25 peratus.
Bukan saja Kanada, Trump juga mengenakan kenaikan tarif 25 peratus terhadap Mexico dan 10 peratus terhadap China.
Bagi beliau, ketiga-tiga negara ini telah merugikan Amerika dengan imbangan dagangan yang tidak menguntungkan negaranya. Bukan itu saja, beliau telah menyebut bahawa Kesatuan Eropah (EU) juga akan dikenakan kenaikan tarif.
Tarif cara terbaik raih hasil
Beliau juga mengancam negara-negara anggota BRICS dengan menaikkan tarif 100 peratus kerana meninggalkan mata wang dolar Amerika dalam urusan dagang.
Ada semacam kepercayaan di pihak Trump bahawa tarif cara terbaik bagi memperoleh pendapatan negara.
Ada kata-kata beliau mungkin akan menghapuskan cukai pendapatan, sesuatu yang amat disukai oleh golongan kaya raya, dan kelompongan pendapatan negara ini digantikan dengan pendapatan tarif.

Dalam sejarah Amerika, Presiden William McKinley yang memerintah pada tahun 1895 tokoh yang memperkenalkan sistem tarif dan percaya bahawa ia merupakan kaedah terbaik bagi memperoleh pendapatan negara.
Keterujaan Trump pada McKinley terserlah apabila, semasa ucapan pelantikannya sebagai presiden, beliau mengumumkan nama gunung Mount Denali diubah semula kepada Mount McKinley.
Gunung yang terletak di Alaska ini merupakan puncak tertinggi di Amerika Syarikat. Pada mulanya, ia dinamakan sebagai Mount McKinley. Pada tahun 1975, atas tuntutan kaum asli Dena yang mendiami kawasan itu, ia dinamakan semula sebagai Mount Denali.
Tetapi tarif yang diperkenalkan oleh McKinley itu dikatakan mengundang kontroversi dan bukannya berjaya. Malah, ia merintis kepada kemelesetan ekonomi.

Dalam ucapan-ucapannya semasa kempen pilihan raya, Trump sering menyebut mengenai tarif. Gambaran yang diberikan adalah seolah-olah tarif adalah cukai yang dibayar oleh negara pengeksport. Akibatnya, banyak penyokongnya tersalah sangka.
Apabila disebut tarif yang dikenakan terhadap Kanada, ramai menyangka bahawa kerajaan Kanada akan membuat bayaran. Mereka tidak diberi kefahaman bahawa cukai tarif yang dikenakan perlu dibayar oleh pengimport.
Apabila berlaku kenaikan tarif, pengimport mungkin perlu menaikkan harga barang berkenaan. Maka cukai tarif itu dibayar oleh pembeli, dan yang menanggung tarif adalah rakyat negara pengimport. Oleh kerana harga naik, jualan pun berkurangan.
Sistem dagang dunia yang bersifat global kini diatur melalui perjanjian negara anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Di peringkat serantau, turut ditubuhkan aturan dagang, seperti Perjanjian Perdagangan Amerika Utara (NAFTA), yang kemudiannya digantikan dengan Perjanjian Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA) yang ditandatangani oleh Trump pada penggal pertama kepresidenannya.

Maka apabila Trump menang bagi kali kedua, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau (gambar atas), segera berjumpa Trump di kediamannya di Mar-A-Lago, Florida, untuk memujuknya agar tidak mengenakan kenaikan tarif pada Kanada. Namun, Trump berkata, jika Kanada tidak mahu dikenakan kenaikan tarif, Kanada sepatutnya menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat.
Kenyataan ini menimbulkan kemarahan ahli politik dan rakyat Kanada. Mereka boleh memenuhi apa saja permintaan Amerika tetapi untuk melepaskan jati diri dan kedaulatan mereka, ia sudah melampaui batas.
Perwatakan Trudeau dengan Trump adalah bertentangan. Trump kasar dan gemar membesar-besarkan diri, manakala Trudeau lebih lembut. Maka kelihatan seperti Trump dan Amerika membuli Trudeau dan Kanada.
Tetapi sehari sebelum kenaikan tarif dikuatkuasakan, Trump menelefon Trudeau dan bersetuju supaya pelaksanaannya ditangguhkan selama 30 hari bagi membolehkan persediaan dibuat. Trudeau berjanji akan menguatkan kawalan sempadan negara bagi menghalang penyeludupan dadah fentanyl.
Trump telah mencipta satu drama geopolitik terhadap Kanada. Namun, rakyat Kanada kini lebih sedar tentang kedudukan mereka. Mereka mula memahami bahawa kewujudan negara mereka bergantung kepada siapa yang menjadi presiden Amerika.
Jika Washington mengambil keputusan untuk menakluk Kanada, ia boleh saja melakukannya.
Menjadi sekutu perlu berpada-pada dan mengabaikan pertahanan boleh membawa padah.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/11/443cfae7b95ce5a80050fa39ab53bcd5.jpg)
