KOLUM | Presiden Donald Trump dilaporkan akan berangkat ke Arab Saudi untuk bertemu dengan Vladimir Putin. Sebelum berita ini dihebohkan, pemimpin dan kepala negara Eropah telah jadi kelam-kabut. Ini kerana perjumpaan Trump dengan Putin ini untuk membincangkan Perang Ukraine.

Para presiden dan perdana menteri negara Eropah gelabah dan kelam-kabut kerana Maharaja Trump telah bertitah: Tamatkan Perang Ukraine.

Maharaja Trump membuat keputusan tanpa rujukan dengan para pemimpin negara-negara Eropah. Justeru, Olaf Scholz dari Jerman, Presiden Emmanuel Macron dari Perancis dan Perdana Menteri Keir Starmer dari United Kingdom menjadi gelabah.

Keadaan kelam-kabut ini menjadi krisis kerana titah Maharaja Trump ini berlaku beberapa hari sebelum Perjumpaan Menteri Pertahanan Nato di Belgium dan sebelum Munich Security Conference - Persidangan Keselamatan Munich - berjalan di Bavaria, Jerman. Kedua-dua persidangan ini melibatkan tentera, senjata dan keselamatan Eropah.

Gambar fail, Trump bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman.

Perjanjian Atlantik Utara (Nato) perjanjian ketenteraan dan keselamatan 30 buah negara dari Amerika Utara dan Eropah. Nato ditubuhkan pada tahun 1949 dan diketuai oleh Amerika Syarikat, didirikan dalam suasana Perang Dingin yang mentakrif USSR dan Rusia sebagai musuh. Matlamat asas Nato untuk melindungi kebebasan dan keselamatan sekutu melalui cara politik dan ketenteraan.

Sementara itu, Munich Security Conference - Persidangan Keselamatan Munich - bermula sejak tahun 1963. Sama seperti Nato, ia juga berlatarbelakangkan Perang Dingin.

Persidangan ini menjadi forum bebas yang paling penting untuk pertukaran pandangan oleh pembuat keputusan dasar keselamatan antarabangsa.

Setiap tahun, ia mengumpulkan kira-kira 350 tokoh kanan dari lebih 70 negara di seluruh dunia untuk terlibat dalam perdebatan intensif mengenai cabaran keselamatan semasa dan masa depan.

Kedua-dua lembaga pertahanan dan keselamatan ini telah tidak dipedulikan oleh Maharaja Trump ketika dia membuat kenyataan untuk menamatkan Perang Ukraine.

Tingkah laku Trump ini sama sahaja apabila dia mengumumkan kepada dunia bahawa Amerika akan mengambil alih Gaza. Pengumuman ini dibuat ketika dia duduk bersama Netanyahu menghadapi media di Rumah Putih.

Dari bahasa badan, boleh dirumuskan Netanyahu juga terperanjat atas pengumuman Trump ini. Netanyahu tidak tahu-menahu tentang projek untuk menjadikan Gaza sebagai wilayah pelancongan di Laut Tengah.

Sama seperti pemimpin Eropah, pemimpin-pemimpin negara Arab dan negara yang mendakwa negara Islam juga terperanjat. Kesampaian Maharaja Trump ke Rumah Putih telah memeranjatkan Eropah, Timur Tengah dan dunia.

Kenapa Trump akan bertemu Putin di Arab Saudi? Ini menjadi tanda tanya.

Kalau hendak berbincang hal Timur Tengah, Palestin atau Gaza, maka Jeddah atau Riyadh dilihat sebagai tempat yang sesuai. Tetapi ini agenda Perang Ukraine. Ini menjadi pelik.

Dari satu segi, semua ini dilihat pelik. Dari segi yang lain, Trump dilihat membuat sesuatu untuk memeranjatkan dunia. Malah, Maharaja Trump dilihat tidak mempedulikan para diplomat atau para penasihat, jauh sekali pemimpin negara.

Maharaja Trump melakukan apa yang dia hendak lakukan. Tepuk dada tanya selera. Buka zip buang bra. Inilah dasar Maharaja Trump.

Dari segi fakta sejarah, Perang Ukraine ini projek Amerika dan Nato. Dari perancangan strategi Amerika, negara Rusia ini wajib dilemahkan. Malah, jika boleh, negara yang bernama Rusia wajib dipecah-pecahkan. Justeru, Ukraine digunakan sebagai umpan untuk membuka pentas perang.

Perlu dirakamkan di sini bahawa Perang Ukraine telah bermula pada tahun 2004, apabila Amerika melalui CIA telah menaja apa yang dipanggil Revolusi Orange. Projek "regime change" (ubah rejim) ini telah menjatuhkan kerajaan yang mengajukan dasar berjiran baik dengan Rusia.

Projek CIA ini telah menobatkan kerajaan baru, dengan dasar luarnya memusuhi Rusia. Malah, rejim baru berhaluan kanan ini telah membantai etnik Rusia yang tinggal di Ukraine.

Warga Rusia di dalam Ukraine telah meminta bantuan Putin. Justeru, Putin melancarkan apa yang dikenali sebagai Special Operation – “operasi ketenteraan khas” – apabila bala tentera Rusia masuk menyerang Ukraine pada 22 Februari 2022. Tujuan utama untuk menghentikan pembantaian etnik Rusia oleh kumpulan Nazi Azov Brigade.

Pada 24 Februari 2022, Reuters melaporkan Presiden Vladimir Putin melancarkan “operasi ketenteraan khas” terhadap Ukraine untuk menghapuskan apa yang disebutnya sebagai ancaman serius. Juga, untuk menjadikan jiran di selatan Rusia sebagai kawan.

Di Amerika, Donald Trump melihat Perang Ukraine ini sebagai projek Biden. Trump pernah berkata jika dia berada di Rumah Putih, perang ini tidak akan berlaku. Kenyataan Trump ini memiliki asas yang kukuh kerana terbukti ada hubungan perniagaan antara Hunter Biden – anak Presiden – dengan Burisma, sebuah syarikat di Ukraine.

Ketika berdebat di rancangan CNN pada Mei 2023, Trump telah berkata:

“Mereka sedang nazak, Rusia dan Ukraine. Saya mahu mereka berhenti dari mati. Dan saya akan menyelesaikannya - saya akan menyelesaikannya dalam masa 24 jam.”

Justeru, apa yang berlaku minggu ini jelas menunjukkan Maharaja Trump mengotakan apa yang dijanjikan ketika berkempen.

Ketakutan pemimpin Eropah terhadap perjumpaan Trump, Putin

Apa yang menakutkan pemimpin Eropah tentang perjumpaan Trump dengan Putin bukan kerana ianya berlaku di Arab Saudi. Pemimpin Eropah menjadi gementar kerana tidak ada pemimpin Eropah – Olaf, Keir atau Macron – yang dijemput hadir bersama.

Malah, Presiden Zelensky juga tidak diundang ke Arab Saudi untuk berbincang mengenai rancangan penamatan Perang Ukraine ini.

Akhbar Le Monde dari Paris pada 17 Februari 2025 telah melaporkan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, berkata tidak ada alasan untuk pemimpin Eropah mengambil bahagian dalam rundingan gencatan senjata Ukraine. Dia menuduh mereka mahu "meneruskan perang" di Ukraine.

Jelas kelihatan para pemimpin negara-negara Eropah mahu meneruskan Perang Ukraine. Justeru, rundingan damai di Arab Saudi ini mereka tidak perlu hadir untuk membuat kacau. Amin.

Sebagai jawapan terhadap suasana kelam-kabut ini, dalam masa 48 jam, Presiden Emmanuel Macron telah menjemput para pemimpin Eropah untuk menghadiri Persidangan Tergempar di Paris. Agenda utama membincangkan Perang Ukraine.

Di Paris, Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer dengan angkuh menyatakan negaranya sanggup menghantar bala tentera ke Ukraine. Ini bertujuan untuk memberikan jaminan keselamatan kepada Ukraine.

Persidangan ini juga disertai oleh Scholz dari Jerman, Meloni dari Itali, Tusk dari Poland, Frederiksen dari Denmark, Sanchez dari Sepanyol, Schoof dari Belanda dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

Kelihatan semua 'gedeber' dari Eropah bergegas ke Paris. Perdana Menteri Meloni dari Itali tiba lewat dua jam selepas mesyuarat bermula.

Mesyuarat itu akan membincangkan keupayaan pertahanan yang boleh disediakan oleh Eropah untuk memberikan jaminan keselamatan yang lebih dipercayai kepada Ukraine, termasuk rancangan menjadikan Ukraine ahli Nato secara automatik sekiranya berlaku pelanggaran gencatan senjata yang jelas oleh Rusia.

Pemimpin Eropah pada 17 Februari 2025 berusaha mengatasi perbezaan antara mereka dalam rundingan tergempar di Paris. Mesyuarat itu bertujuan mencari jawapan dan tindak balas terhadap peralihan dasar Amerika yang mengejutkan mengenai Perang Ukraine.

Dasar baru daripada Trump menimbulkan kecurigaan dalam kalangan pemimpin Eropah, khususnya mengenai pendirian Amerika terhadap Nato. Kali pertama Trump memasuki Rumah Putih, dia pernah berkata negara-negara Eropah wajib menambah sumbangan kewangan mereka kepada Nato.

Pada 2006, menteri pertahanan Nato bersetuju untuk menyumbang sekurang-kurangnya 2 peratus daripada KDNK negara masing-masing kepada perbelanjaan pertahanan.

Namun, pada ketika ini, hanya 23 dari 32 negara anggota memenuhi komitmen tersebut. Bajet Nato kini mencecah AS$1.47 trilion, dengan dana terbesar datang dari Amerika – sesuatu yang tidak disenangi oleh Trump.

Data terkini menunjukkan Amerika telah memberikan bantuan ketenteraan sebanyak AS$65.9 bilion sejak Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine. Ini jumlah yang besar.

Rusia dan kebimbangan Eropah

Dasar Trump yang cenderung untuk berdamai dengan Rusia paling menakutkan negara Eropah. Sejak bermulanya Perang Ukraine, pelbagai sekatan ekonomi telah dikenakan ke atas Rusia dengan harapan ekonomi negara itu akan lumpuh.

Strategi ini diharap dapat menjadikan Rusia muflis, melemahkan keupayaan Rusia menghasilkan senjata, membuat rakyat bangkit menentang Putin dan Rusia akan terbarai.

Namun, harapan Nato dan sekutunya meleset. Rusia tetap berdikari. Pengeluaran makanan terus stabil. Minyak masih menjadi eksport utama dan mata wang Rubel semakin kukuh manakala Putin kekal pemimpin paling popular dalam sejarah Rusia.

Timbul persoalan, apa akan jadi kepada Presiden Volodymyr Zelensky?

Sejarah mencatatkan pada Mac 2022, Erdogan dari Turki pernah menganjurkan rundingan damai antara Ukraine dan Rusia. Kedua-dua negara bersetuju menghentikan peperangan.

Namun, tiba-tiba muncul Boris Johnson dari No 10 Downing Street, London, yang terbang ke Kyiv dan men'sailang' rundingan damai itu.

Akibatnya, 6.8 juta rakyat Ukraine menjadi pelarian perang, 3.7 juta kehilangan tempat tinggal, 80,000 tentera Ukraine terkorban, 380,000 tentera cedera manakala 35,000 tentera lagi dilaporkan hilang.

Kita tidak tahu berapa ramai pula soldadu Rusia yang gugur.

Namun, jelas Trump ketika ini membogelkan niat pemimpin Eropah yang mahu meneruskan peperangan di Ukraine. Pemimpin Eropah kini dilihat sebagai batu api dalam konflik ini.

Apakah pertemuan Trump dan Putin di Arab Saudi akan membuka jalan damai?

Sama-sama kita nantikan minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.