KOLUM | Wajah, wadah sokongan buat Palestin
KOLUM | Dalam buku travelog terbaru, Waktu yang Terhenti pada bab Sehari di Kota Beirut, saya menulis tiga nama penyanyi Lubnan terkenal dalam dunia Arab iaitu Fairuz, Julia Boutros dan Haifa Wehba.
Mereka bukan sahaja terkenal sebagai penyanyi tetapi membawa suara perjuangan Palestin walaupun mereka adalah Kristian.
Nama mereka itu, saya perolehi sewaktu mendengar ceramah Mohamad Sabu semasa dalam PAS lagi.
Buku tersebut diterbitkan pada tahun ini tetapi bab Sehari di Kota Beirut itu ditulis sewaktu saya masih dalam PAS. Lebih sedekad lalu.
Presiden Amanah itu memang rapat dengan gerakan perjuangan Palestin di Lubnan sejak dalam parti lama kami.
Dia berceramah ketika itu bagi menerangkan bahawa perjuangan Palestin dan menentang Israel di Lubnan tidak sahaja dibawa oleh pemimpin politik atau anggota militer tetapi juga seniman.
Mereka tidak memikul senjata api.
Namun lagu, lirik dan muzik mereka adalah semboyan yang meniupkan rasa kemanusiaan serta semangat perjuangan bagi menentang penindasan.
Bebas dengan jalan pelbagai
Ketika itu, naratif yang dominan tentang perjuangan Palestin dipelopori golongan Islamis sama ada Hizbullah, Hamas atau Jihad Islami.
Justeru gambaran umum yang terpapar ialah, perjuangan membebaskan bumi Palestin seolah-olah hanya dimiliki oleh orang Islam.
Seperti juga – pada masa itu – pemikiran kami bahawa hanya PAS sahaja yang memperjuangkan Islam di tanah air, manakala yang lain adalah taghut, munafik, jahil, sekular, liberal dan sebagainya.
Kerangka pemikiran itu diperkukuhkan dengan keyakinan bahawa gerakan militer dan politik sahaja yang memperjuangkan pembebasan Palestin.
Tidak banyak disedari bahawa perjuangan Palestin dan melawan penindasan adalah isu kemanusiaan yang menjadi milik semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
Terdapat pelbagai jalan untuk membebaskan Palestin. Salah satunya adalah melalui lagu, muzik atau seni. Laluan sebegitu biasanya kurang dihargai atau diambil peduli sepanjang sejarah manusia ini.
Hanya selepas kematian seseorang seniman, barulah timbul kata-kata penghargaan dan penghormatan kepada mereka.

Begitulah yang berlaku kepada Ziad Rahbani – seniman yang berjuang untuk pembebasan Palestin.
Dia adalah anak kepada penyanyi legenda, Fairuz. Penyanyi yang disebut oleh Mohamad. Namanya memang sangat asing dalam pemikiran kita.
Tambahan pula dia seniman berbangsa Arab dan berfahaman Marxisme, serta berkarya dalam bahasa Arab.
Ziad komposer yang mencipta lagu-lagu untuk ibunya seawal usia 17 tahun.
Baru-baru ini meninggal dunia akibat serangan jantung. Dari segi perjuangan dan ideologi, Ziad jauh lebih keras berbanding dengan ibunya yang neutral.
Selepas kematian Ziad, ucapan takziah membanjiri media sosial.
Kritik dominasi Barat
Biarpun Fairuz bersikap neutral tetapi lagu-lagunya digunakan dalam konteks perjuangan Palestin. Ini termasuk lagu Zahrat al Mada’in atau Sanarji’u Yawman.
Penyanyi Julia Boutros pula memberikan irama dan lenggok seni kepada kata-kata yang terkandung dalam surat pemimpin Hizbullah, Hasan Nasrullah, kepada para pejuangnya untuk menjadi sebahagian daripada lirik lagu Ahibaii (Kekasihku).
Hasan sendiri menghormati Julia dan menganggap sebagai khazanah negara.
Ketika senjata dan kuasa politik gagal menentang kemaraan Zionis, nyanyian dan muzik perjuangan seniman menyuntik semangat para pejuang Palestin untuk terus bangkit menentang penindasan dan penjajahan.
Itulah yang dimainkan oleh Ziad serta seniman-seniman lain yang kurang mendapat pendedahan.
Ziad tidak sekadar komposer lagu dan pemuzik tetapi aktivis drama dan teater muzikal. Kritikan politik dan sosialnya melalui lagu atau teater lebih bertema kemunafikan politik, rasuah dan ketidakadilan sosial.
Karyanya lebih bercorak satira, bersifat sekular, dan kiri namun masih tekal membawa suara Palestin. Ia misalnya dapat dilihat pada lagu Ana Mish Kafir (Aku Bukan Kafir) yang menolak penghakiman sosial.

Lagu Haodou Hisbi pula tentang gambaran trauma perang, nyanyian sedih dan ketidakadilan sosial.
Teater Film Ameriki Tawil (Sebuah Filem Amerika yang Panjang) pula drama satira yang mengkritik dominasi Barat dan perjuangan rakyat bawahan.
Ziad lebih mendukung perjuangan senjata Hizbullah secara terbuka.
Perjuangan Palestin tidak lagi soal kemanusiaan yang dipisahkan oleh garis-garis politik dan ideologi.
Beberapa negara barat dan masyarakatnya mula memberi sokongan dan simpati terhadap kebuluran Gaza yang kini jelas menjadi wilayah paling menderita di dunia.
Tahu waktu berseteru, berdamai
Kata-kata Free Palestin dan kibaran bendera Palestin tidak lagi slogan dan panji di medan peperangan, jalanan, khemah pelarian dan pos bantuan kemanusian. Ia sudah merebak pada konsert-konsert besar di Barat dan majlis-majlis konvokesyen universiti.
Di samping itu, himpunan protes dan antiperang di kota besar dunia jauh lebih mendapat sambutan di negara Barat berbanding di negara Islam sendiri.
Perjuangan Palestin di tanah air bukan sahaja dipisah-pisahkan oleh garis kepentingan politik kepartian tetapi perbezaan agama dan ideologi.
Sementara itu perjuangan Palestin di tanah air pula lebih digunakan untuk meraih dan mempamerkan kekuatan pada kelompok sendiri.
Tanah air perlu mengembangkan lagi jalan yang pernah dirintis oleh Fadzil Noor dan Salahuddin Ayub berwacana di pentas yang sama dengan musuh politik mereka.
Mereka mengetahui waktu untuk berseteru, masa berdamai dan masa aman.
Pada 2002, Fadzil Noor dan Mahathir Mohamad berkongsi pentas dalam Syarahan Perdana Palestin atas anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Empat tahun kemudian, Salahuddin dan Hishamuddin Hussein bersama ketua-ketua pemuda parti politik pula sepentas atas topik yang sama.
Program tersebut berlangsung hasil inisiatif Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika itu, Johan Jaaffar. Dia juga berperanan sebagai moderator dalam majlis berkenaan.
Dalam majlis itu, Zubir Ali mendendangkan lagu Balada Gadis Kecil dan seorang penyair mendeklamasikan puisi tentang Palestin.
Setelah sekian lama ia berlalu dan Palestin terus menjadi padang jarak padang tekukur, apakah sekadar mengenang masa silam sahaja?
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/4011515c9b097ac0e68fdedb552c532e.jpg)
