Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Gen Z, nepo babies dan bendera One Piece

KOLUM | Gen Z, nepo babies dan bendera One Piece kesemuanya berkaitan dengan kebangkitan anak-anak muda Nepal yang menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri KP Sharma Oli pada Selasa lalu, 9 September 2025.

Gen Z atau Generasi Z merujuk pada anak-anak yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012, bermakna mereka kini berusia antara 13 hingga 27 tahun. Mereka juga dipanggil sebagai digital natives atau anak-anak asli digital. Maknanya ketika mereka lahir, dunia sudah menggunakan komputer dan Internet.

Maka kebangkitan di Kathmandu, ibu kota Nepal itu dipanggil Protes Gen Z yang dipercayai disertai oleh anak-anak muda generasi tersebut. Protes itu bukan saja berupa demonstrasi tetapi merebak menjadi rusuhan yang membakar bangunan Parllmen dan kediaman Perdana Menteri. Ekoran itu dia meletakkan jawatan 

Nepo babies juga berkaitan dengan kebangkitan itu. Nepo adalah dari perkataan nepotisme. Nepo babies bermaksud anak-anak daripada golongan korup, sama ada ahli politik, kakitangan atau ahli perniagaan. Anak-anak ini dapat hidup mewah kerana keluarga mereka memperoleh manfaat material atau jawatan melalui korupsi yang merugikan rakyat dan negara.

Antara perkara yang menjadi kemarahan anak-anak muda Nepal ini ialah apabila nepo babies di kalangan anak-anak ahli politik menayangkan kehidupan mewah mereka, terutama ketika melancong ke luar negara yang kerap nereka lakukan. Mereka mempamerkan kehidupan mewah itu dalam akaun-akaun media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube.

Sedangkan kebanyakan anak-anak muda Nepal berada dalam kemiskinan, pengangguran dan ketiadaan harapan masa depan. Menurut perangkaan kerajaan bagi tahun 2023, sebanyak 20.27 peratus daripada penduduk yang berjumlah 29.67 juta (2024) berada di bawah garis kemiskinan. Pengangguran pula adalah pada 10.70 peratus (2024).

Bangunan Parlimen Nepal yang dibakar penunjuk perasaan

Sebanyak 3.5 juta warga Nepal bekerja di luar negara. Dipercayai angka orang Nepal bekerja di Malaysia mencecah 500,000 orang. Malaysia menjadi destinasi utama bagi pencari kerja di negara itu. Terdapat perjanjian tenaga kerja antara Nepal dengan Malaysia.

Saya pernah berbual dengan seorang pengawal keselamatan dari Nepal. Katanya, di sana susah hendak dapat pekerjaan. Negara itu terletak di banjaran Himalaya dan sukar untuk menjadi pengeluar produk buatan yang boleh dieksport. Kacang soya adalah eksport utamanya, iaitu ke India.

Sememangnya Gunung Everest dan pemandangan memukau menjadikannya sebagai destinasi  pelancongan sebagai punca pendapatan, iaitu 10 peratus.

Pelancong dari Malaysia mencapai 20,000 orang. Ada yang menceritakan walaupun gunung-gabangnya indah tetapi di Kathmandu terdapat banyak gelandangan dan kemiskinan negara itu amat terserlah. Tetapi ada juga orang Nepal yang menjadi pelancong ke Malaysia 

Umum menganggap yang nepo babies pastinya datang daripada korupsi yang luas dan mendalam (endemik).  Maka protes ini asasnya ialah kebangkitan antikorupsi.

Dalam kebangkitan ini, mereka membawa bendera Nepal yang bentuknya paling unik di dunia. Bendera Nepal berwarna merah dan biru dalam bentuk dua helai tiga segi (pennant). Helaian atas diletakkan gambar bulan sabit dan bintang separuh. Pada helaian bawah diletakkan lambang mata hari.

Tetapi apa yang menarik ialah ada penunjuk perasaan yang membawa bendera One Piece. Bendera seumpama itu turut dikibarkan oleh penunjuk perasaan di Indonesia pada bulan lalu.

Bendera One Piece adalah seperti bendera lanun. Ia berwarna hitam dengan tengkoraknya memakai topi jerami kuning. Seperti kelaziman bendera lanun, terdapat dua tulang bersilang.

One Piece adalah nama manga Jepun dan francaisnya  yang banyak dibaca oleh remaja dan anak muda di seluruh dunia. Ia sebenarnya bernama Straw Hat Pirates Jolly Roger dan merupakan salah satu bendera yang diperkenalkan dalam kisah One Piece. Bendera itu merupakan identiti Monkey D. Luffy, lanun bertopi jerami yang merupakan protagonis dalam cerita itu.

Jolly Roger merujuk pada bendera hitam lanun yang ada tengkorak dan dua tulang bersilang berwarna putih.

Ada pengkaji berkata Jolly Roger berasal daripada perkataaan Perancis “joli rouge” yang bermaksud “merah menyala”. Ini kerana pada awalnya bendera lanun berwarna merah yang melambangkan darah sebelum ia menjadi hitam yang melambangkan kematian.

One Piece adalah siri manga Jepun karya Eiichiro Oda. Ia menceritakan petualangan Luffy dan pengikut-pengikutnya sebagai Straw Hat Pirates. Dia meneroka Grand Line dalam pencariannya ke atas khazanah mitos yang dikenali sebagai One Piece untuk menjadi Raja Segala Lanun yang baru.

Maka One Piece ini menjadi simbol bagi protes menentang korupsi dan sekatan maklumat oleh kerajaan. Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam pertempuran dengan polis.

Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar dan anak-anak muda ini telah memenuhi jalan-jalan Kathmandu dan kota-kota lain menuntut kebebasan bersuara, akauntabiliti dan peletakan jawatan Perdana Menteri.

Demonstrasi tercetus apabila kerajaan mengharamkan 26 platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, YouTube dan X.

Menurut pihak kerajaan, pengharaman itu perlu bagi menghalang berita palsu, kata-kata kebencian dan penipuan dalam talian.

Perdana Menteri pula dengan nada marah menyatakan bahawa anak-anak muda ini bersikap tidak bertanggung jawab dalam penggunaan dalam talian.

Kalangan anak muda pula menganggap tindakan itu sebagai menghalang kebebasan bersuara dan langkah bagi menyekat maklumat.

Para penunjuk perasaan menyerbu pejabat Parti Kongres Nepal dan menurunkan benderanya. Mereka juga menurunkan bendera Parti Komunis Nepal (Marxis-Leninis Bersatu) atau CPN-UML. 

Kedua-dua parti ini membentuk kerajaan campuran dengan ketua CPN-UML, KP Sharna Oli sebagai Perdana Menteri. Ketua Pembangkang pula ialah Pushpa Kamal Dahal dari Parti Komunis Nepal (Pusat Maois) atau CPN (MC). 

Buat masa ini, parti pembangkang mempunyai kerusi terbesar tetapi tidak dapat menjadi kerajaan kerana perpaduan CPN (UML) dan Parti Kongres. Keadaan ini berlaku kerana dua parti komunis itu gagal untuk bersatu.

Ini menjadikan Nepal sebagai satu-satunya negara di dunia yang mempunyai parti komunis sebagai kerajaan campuran dan pihak pembangkang juga adalah komunis. Ia merupakan komunis yang beroperasi dalam sebuah demokrasi.

Kedua-dua pihak itu pernah menjadi kerajaan dan pembangkang dengan penggantian parti yang bersedia untuk menyertai kerajaan.

Kelihatannya sistem republik dan demokrasi di Nepal dengan dominasi dua parti komunis gagal melahirkan kemakmuran dan kebebasan dan juga gagal menghalang korupsi.

Dengan keadaan ini, ada sebilangan rakyatnya mengimpikan kembalinya sistem beraja untuk mendapatkan kemakmuran. Satu demonstrasi pro-monarki telah diadakan pada Mac lalu.

Negara Nepal yang berkedudukan geografi sedemikian rupa amat payah untuk menjadi sebuah negara makmur. Bagaimanapun jika korupsi dapat dimansuhkan, banyak perkara dapat dilakukan untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Republik Persekutuan Demokratik Nepal telah ditubuhkan pada tahun 2008 apabila sistem monarki dimansuhkan setelah 10 tahun pemberontakan dan perang gerila gerakan komunis Mao yang anggota-anggotanya kini ada dalam NCP (MC).

Di rantau Asia Selatan, peristiwa di Nepal ini adalah kebangkitan anak-anak muda ketiga selepas apa yang berlaku di Sri Lanka pada tahun 2022 dan di Bangladesh pada tahun 2024. Tetapi kebangkitan paling dekat masanya dengan apa yang berlaku di Nepal ialah di Indonesia minggu lalu yang juga melibatkan Gen Z.

Kini Sri Lanka dipimpin oleh Presiden Anura Kumara Dissanayake, seorang Marxis. Bangladesh yang kini diketuai oleh Ketua Penasihat Negara Mohamad Yunus akan mengadakan pilihan raya umum pada Februari 2026. Minggu lalu Indonesia telah menggantikan empat menterinya dan berusaha untuk memenuhi tuntutan para penunjuk perasaan.

Anak-anak muda yang berasa tertekan dengan sistem  dan keadaan lama amat memerlukan perubahan. Tetapi perubahan mendadak tidak akan berlaku tanpa azam dan kesedaran di kalangan seluruh rakyat. Ia bukan saja memerlukan reformasi tetapi revolusi yang dilakukan secara damai. Demokrasi dan ideologi hendaklah bebas daripada korupsi untuknya berjaya.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS