Sempena Hari Malaysia pada Selasa lalu, saya hadiri satu acara pelancaran dan diskusi buku Modern Pangs: Food and Hunger after Merdeka 1957-1969 (Kepedihan Moden: Makanan dan Kelaparan selepas Merdeka 1957-1969). Perbincangan menampilkan panelis Dr Jomo Kwame Sundaram dan penulis buku itu ialah Chin Kar Yern. 

Acara diadakan di Auditorium Cheng Yi di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Sudah lama saya tidak ke bangunan warisan berusia 102 tahun ini. 

Dr Jomo, seorang ahli ekonomi,  penasihat kanan Institut Penyelidikan Khazanah dan bekas Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) beribu pejabat di Rom.

Chin Kar Yen adalah seorang ahli sejarah dan penyelidik. Beliau adalah Sarjana Gates dalam bidang Sejarah Dunia di Universiti Cambridge. 

Walaupun saya kini jarang keluar rumah tetapi apa yang mendorong untuk hadir acara ini ialah penyertaan Dr Jomo. Setiap kali beliau berucap ada saja fakta-fakta baharu yang menarik mengenai sejarah mengenai nasib rakyat kebanyakan berhadapan dengan polisi-polisi kolonial, imperial dan kapital global.

Saya mula mengetahui mengenai beliau pada tahun 1980-an melalui majalah Nadi Insan. Kemudian saya lebih mengenali beliau ketika beliau turut serta dalam penggubalan manifesto Selamatkan Malaysia oleh gabungan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1990.

Saya tidak mengenali  Chin Kar Yern tetapi tajuk buku beliau itu menarik minat saya kerana ia menceritakan tentang satu tempoh sejarah negara yang penting iaitu antara 1957 hingga 1969.

Buku Modern Pangs yang belum diterbitkan itu tetapi dibuka untuk pesanan awal adalah mengenai sejarah makanan dan pemakanan yang membentuk bukan saja kesihatan rakyat tetapi kemampuan warga negara Malaysia membangun, maju dan melahirkan generasi akan datang yang berdaya saing.

Realiti kemerdekaan ialah rakyat tempatan sendiri bertanggungjawab terhadap keadaan, hala tuju dan masa depan negara. Mereka pula mewarisi segala masalah yang terhasil daripada pentadbiran kolonual sebelum itu. 

Sebagai kuasa kolonial, kepentingan mereka adalah terhadap kegemilangan empayar dan ibu pertiwi mereka. Sedangkan sebagai negara merdeka, Malaya perlu memikirkan tentang rakyat dan kemajuan sendiri.

Dr Jomo menceritakan betapa penanaman ubi kayu diharamkan atau dihadkan pada tempat tertentu oleh pihak pentadbiran kolonial British kerana ia dipercayai mempunyai akar yang masuk jauh ke dalam tanah dan boleh merosakkan keupayaan tanah bagi penanaman tumbuhan lain.

Fakta kecil sebegini menarik bagi saya. Sebelum ini saya tidak mengetahui hal ini. Sementara ubi kayu pula amat dekat pada diri saya sebagai seorang anak kampung yang membesar pada tahun 1970-an. 

Bukan saja ubi goreng, ubi rebus, bingka ubi, lepat ubi, ubi getuk, tapai ubi dan sayur pucuk ubi adalah makanan saya, tetapi ketika berada di tingkatan empat, saya turut menanam ubi kayu di sekitar kawasan rumah. Saya mencangkul untuk buat batas, menanam batangnya dan akhirnya menggalinya untuk mendapatkan ubinya.

Walau pun tidak disebut, larangan pentadbir kolonial itu kemungkinannya adalah untuk memastikan pokok dan ladang getah mereka tidak terjejas.

Penghasilan dari penanaman getah bagi British di Malaya adalah amat penting dan merupakan penyambung nyawa empayar mereka. Malaya menjadi pengeluar terbesar getah. Pendapatan Empayar British yang terbesar datang dari ladang getah dan bijih timah Malaya.

Fikiran kolonialis adalah kesemuanya untuk kepentingan ekonomi dan geopolitik mereka. Termasuklah dari segi perkhidmatan kesihatan di negara ini.

British menubuhkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengkaji penyakit tropika di Malaya. Ia bukanlah untuk kepentingan kesihatan penduduk sebagai manusia tetapi adalah bagi memastikan mereka menjadi pekerja sihat supaya boleh terus bekerja untuk ladang atau lombonh mereka 

Tetapi Perang Dunia Kedua mengubah segalanya. Penaklukan Jepun ke atas Malaya menimbulkan kekurangan makanan di negara ini.

Bekalan beras tidak mencukupi. Maka penduduk negara ini terpaksa makan ubi kayu sebagai campuran dengan beras. Maka tentunya ubi kayu ditanam secara meluas, malah digalakkan oleh pihak Jepun bagi mengelak para penduduk kebuluran.

Sebaik saja Jepun kalah, ada rekod menyatakan bahawa penduduk memusnahkan kebun ubi kayu kerana menyambut zaman baharu kembali pada beras.

Tentulah banyak kesulitan yang ditanggung oleh penduduk Malaya ketika itu. Tetapi perang sudah berakhir dan semua anggota masyarakat berusaha untuk memulihkan keadaan bagi memperoleh makanan. Tetapi pada tahun 1948, perang tercetus semula dan darurat diisytiharkan, yang mana kesusahan datang semula.

Sukar untuk membayangkan keadaan yang dihadapi oleh pendufuk Malaya ketika itu. Di kalangan orang Melayu yang kebanyakannya hidup di luar bandar, jangka hayat adalah pendek. Mereka yang hidup mengalami pelbagai penyakit. Bukan saja kurang zat tetapi adanya gejala pembatutan adalah meluas. Lebih buruk lagi kadar kematian bayi dan ibu yang melahirkan adalah juga tinggi.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, maka diwujufkan Majlis Perundangan Persekutuan yang turut dianggotai oleh Dato’ Onn Jaafar. Atas inisiatif beliau, pentadbir kolonial menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) yang kini menjadi Majlis Amanah Rakyat (Mara). 

Adalah disedari bahawa ketertinggalan orang Melayu berbanding kaum lain terletak pada kesihatan dan selanjutnya tentulah berkaitan dengan pemakanan, bukan saja tidak cukup makan tetapi makan kurang berzat.

Maka RIDA telah mengadakan program kesedaran tentang pemakanan yang bermutu dan latihan penyediaan makanan yang baik. Tentulah apablla disebut makanan, ia melibatkan perempuan. Walaupun perempuan Melayu dikenali sebagai pembuat kuih yang baik, di mana ia dijaja dan dijual, tetapi penyediaan makanan untuk keluarga menuntut perubahan.

RIDA membawa wakil-wakil petempuan dari negeri-negeri Melayu untuk diberi kesedaran tentang pemakanan yang baik serta diajar tentang latihan penyediaan makanan dan ekonomi rumah tangga. Mereka kemudian pulang ke negeri masing-nading untuk menyebarkan apa yang dipelajari.

Apabila Tanah Nelayu mencapai kemerdekaan, kabinet Tunku Abdul Rahman menghadapi cabaran besar bagi membangum negara.

Tidak seperti pentadbir kolonial. kerajaan Malaya merdeka mestilah mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, dan bukan berkhidmat untuk Empayar British.

Adalah disedari bagi membina negara, rakyat mestilah sihat, mampu belajar dan bekerja, memperoleh material dan selanjutnya menyiapkan generasi rakyat akan datang yang maju. Maka perhatian pada rakyat hendaklah bermula ketika mereka dalam kandungan lagi.

Dalam hal ini, tiga kementerian menjadi penting: Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Kementerian Pelajaran. Pada masa itu, majoriti penduduk berada di luar bandar.

Kementerian Kesihatan menyediakan pusat-pusat kesihatan kanak-kanak dan ibu mengandung di seluruh negara. Kementerian Kesihatan bersama Kementerian  Pelajaran menyediakan program makanan sihat untuk murid-murid sekolah.

Menteri Pertanian ketika itu, Aziz Ishak telah berusaha supaya bekalan makanan bermutu dan mencukupi. Tetapi usaha bersungguh beliau bertembung pula dengan pelbagai pihak khususnya syarikat besar British dalam isu pembelian baja. Aziz kemudian berhenti daripada kabinet dan menjadi pembangkang. 

Banyak isu yang ditimbulkan oleh Dr Jomo antaranya ialah mengenai ketagihan gula di kalangan rakyat Malaysia. Beliau menceritakan mengenai seorang doktor Malaya yang pertama kali berjuang menghalang diabetis di negara ini.

Pada awalnya gejala diabetis hanya berbentuk keturunan. Tetapi kini Malaysia menghadapi masalah diabetis yang besar kerana masa ini ia lebih diakibatkan oleh pemakanan dan gaya hidup buruk.

Syarikat perniagaan dalam usaha meningkatkan jualannya tentu tidak menghiraukan kepentingan kesihatan orang ramai. Apabila pengguna gemar pada semua makanan manis, maka di situ mereka mengaut keuntungan.

Bagi mereka yang sudah ketagih dengan makanan manis, ia diteruskan pada anak dan keturunannya. Akhirnya kos penyakit ini terpaksa ditanggung oleh negara.

Beliau menimbulkan isu betapa tumpuan peruntukan Kementerian Kesihatan adalah pada perawatan daripada pencegahan.

Pihak yang memegang kuasa sama ada ahli politik ataupun jentera kerajaan terdiri daripada orang tua yang menghadapi pelbagai penyakit yang tentunya cenderung supaya peruntukan bagi rawatan adalah lebih daripada pencegahan, yang berupa tumpuan pada orang muda dan kanak-kanak.

Beliau juga menyatakan tentang masalah obesiti. Tentunya pada tahun 1957 hingga 1969, obesiti tidak lagi meluas tidak seperti sekarang.

Beliau menarik perhatian bahawa Jepun yang mengambil masa 100 tahun dalam amalan mereka di sekolah menyebabkan mereka menjadi masyarakat yang tiada masalah obes.

Kementeran Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertanian tentu sedar tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan negara.

Sama ada polisi dan program mereka benar-benar berhasil atau tidak tentulah hanya diketahui apabila ia dibuat penilaian

 Namun begitu, keadaan yang nyata dalam masyarakat pada hari ini menunjukkan sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.