Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Menang, bang. Dia tengah kuat sekarang ni," jawab Omorq apabila kami tanya pendapat dia sama ada PMX akan boleh bertahan jika datang pilihan raya.  

Hujung-hujung tahun begini, terutama pada akhir Dis — atau lebih tepat sekitar 20 hingga 23 haribulan — tempat kerja kami akan menjadi meriah. Sana sini digantung mistletoe sebagai penyeri Krismas yang semakin hampir.

Semua orang dalam mood berpesta. Little John dan Mick akan selalu bernyanyi, sementara Stephen dan Calvin akan datang kerja dengan baki mabuk malam kelmarin. 

Sebenarnya, Calvin akan datang bekerja dalam keadaan‘gembira’ hampir setiap hari, dan apabila masuk musim keraian, kegembiraannya tentu berganda sedikit.

Yang paling ditunggu-tunggu Calvin tentu saja acara cabutan bertuah. Syarikat akan membeli sekian banyak hadiah dan tergantung nasiblah siapa yang akan dapat apa. 

Hadiah-hadiah Krismas daripada syarikat biasanya berupa barangan elektrik murah, sedikit kuih serta biskut, dan tentu saja arak yang sedikit mahal. Dan yang itulah biasanya menjadi rebutan semua pekerja.  

Semua orang di tempat kerja tahu yang kami tidak minum arak, dan seperti satu bentuk ujian yang datang setiap tahun — entah kenapa — kamilah yang akan selalu ‘menang’ minuman keras itu. 

Maka hingarlah suasana di tempat kerja apabila kami yang beroleh godaan tersebut. Semua orang akan segera berbuat baik dengan kami agar dapat menukar hadiah yang mereka terima dengan apa yang kami dapat.

Apa yang kamu perlu tahu ialah, biasanya arak yang dijadikan hadiah itu bukanlah mahal mana pun, namun kerana kegembiraan menerimanya secara percuma itulah yang menjadikan ia sebagai idaman ramai.

Bawa bala yang besar

Kebiasaannya kami akan membiarkan minuman tersebut di meja. Pandai-pandailah mereka mahu diapakan. Cuma pernah ada sekali — ketika iman sedang tinggi — kami bawa pulang dan tuangkan isinya ke dalam singki. 

Di tempat kerja kami, hukumnya jelas — datang kerja dalam keadaan mabuk bermaksud pemberhentian serta-merta. Tidak ada kasih sayang kepada mereka yang sengaja khayal semasa dalam tugas.

Pernah seorang pekerja yang sudah berkhidmat selama lebih 20 tahun dibuang serta-merta kerana datang dengan mabuk semalam yang belum pulih. 

Calvin masih beruntung kerana dia cekap menutup mabuknya dengan pelbagai cara. Yang paling terkenal ialah apabila dia segera mengelak bertemu pihak atasan jika masih terkial-kial mencari sedar.

Rakan sekerja juga kadang-kadang membantu kerana mereka tahu Calvin sedang menghadapi sedikit masalah rumahtangga. Dan dia jarang mahu mempertahankan diri jika diketahui mabuk oleh rakan-rakan.

Dia juga tidak lupa berterima kasih apabila dilindungi oleh teman-teman.

Menurut Omorq, hal minyak murah dan juga yang terbaru — hal flotila — sedikit sebanyak menaikkan kembali nilaian orang ramai terhadap PMX.

Kami bertemu Omorq sebelum cerita mabuk meletup.

Maka pandangannya tentu saja mengenai hal yang sebelum itu. Omorq juga ialah penyokong kuat PMX.  

Mungkin ada benarnya — dan kamu boleh saja tidak mahu bersetuju. Namun hal mabuk-mabuk itu tentu saja membawa bala yang besar. Dan dengan sombong membela diri kononnya ia adalah budaya sesetengah kaum merupakan sesuatu yang akan membangkitkan rasa muak kumpulan lain.

Takkan pergi begitu saja

Tambahan pula jika kamu menyindir betapa orang Islam itu boleh bernikah lebih daripada satu, itu perangai yang sangat jahat. Ia adalah perbuatan membawa hal yang tidak berkaitan selepas kamu benar-benar berada dalam dalam salah.

Minum arak bukan budaya siapa pun. Ia adalah satu bentuk ketagihan yang perlu dielak. Sementelah pula kamu akan sentiasa diperhatikan. Maka sepatutnya, jika kamu melakukannya, lakukanlah di tempat yang lebih tersorok.

Mahu minum atau mabuk sehingga hilang nyawa sekalipun, tentu tidak ada siapa yang akan mempersoalkannya. Dan sepatutnya, tumpukan saja kepada membela diri.

Bodohkan diri dan mengaku telah terkhilaf. Kendati ini bukan kali pertama hal yang serupa dibawa oleh orang, berasa malu apabila digelar sebagai kaki mabuk mungkin akan mendatangkan kemaafan.

Namun sombong dan bangga diri tentu saja akan menjejaskan apa juga jawatan yang kamu pegang. Ia juga akan memberi gambaran buruk kepada kumpulan yang datang bersama kamu. 

Percayalah apabila kami katakan bahawa hal mabuk ini pasti —dan pasti — akan dijadikan modal pada PRU akan datang. Ia tidak akan pergi begitu saja.

PMX mungkin sudah berusaha membetulkan kerosakan dengan memberi amaran keras kepada si pelaku.  Namun hal tersebut tentunya akan menjadi duri yang tidak akan pernah pergi selama mana khianat itu belum dilupuskan.

Orang politik juga harus tahu bahawa pihak yang mahu habuan akan meraikan kamu dengan apa yang dekat di hati kamu. Jika kamu orang Temerloh misalnya, maka majlis kamu akan dimeriahkan dengan ikan patin masak tempoyak.  

Jika  kamu dari Kelantan atau Terengganu, maka Alphard dan Vellfire pula mungkin umpan yang sesuai untuk memenangi hati kamu yang berkuasa. 

Lalu tidak hairanlah jika kamu diketahui sukakan arak, dan kamu dijamu sedemikian rupa pula. 

Rezeki untuk jiran

Sepatutnya, sebagai penjahat dalam politik, kamu jangan menghebahkan apa pun bentuk kerakusan yang kamu miliki kepada orang ramai bagi melindungi diri daripada dijadikan alat.

Sembunyikan segala macam maksiat yang kamu lakukan sekemas mungkin. Baru setelah itu kamu akan dilihat sebagai pembela rakyat yang mengutamakan negara.

Kamu juga tentunya tidak mahu dikenang sebagai The Drunken Master di kemudian hari, kerana menurut budaya sesetengah kaum, meninggalkan nama yang baik adalah matlamat tertinggi untuk dilahirkan semula sebagai suatu entiti yang lebih mulia. 

Selain barangan elektrik, arak dan juga biskut, semua pekerja akan diberi seekor ayam turki. Tidak ada yang mahu lebih daripada seekor.

Lalu kami terpaksa membawa pulang ayam tersebut dan kami berikan pula kepada jiran kami yang beranak ramai itu.

Dia akan sentiasa gembira setiap kali kami hadiahkan ayam tersebut.

Sebagai tanda terima kasih, dia akan mempelawa kami untuk menghisap ganja bersamanya.

Dan jika kamu mahu percaya, kami sentiasa menolak ajakannya itu dengan penuh kesopanan dan kesusilaan.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan pengembara yang memilih Mercedes berbanding Alphard.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS