KOLUM | Alat kecil yang menggoncang akhlak
Saya masih ingat zaman ketika telefon hanya berdering di sudut ruang tamu, satu alat komunikasi yang berfungsi, bukan berkuasa. Hari ini, dunia berada di tapak tangan anak-anak yang belum mengenal erti empati, dan daripada genggaman kecil itu lahir keghairahan baharu: kuasa maya tanpa batas yang mampu membina atau memusnahkan.
Sebagai seorang warga emas yang pernah menjejak kaki ke 41 buah negara dan menyaksikan pelbagai bentuk kemodenan, saya tidak pernah melihat satu ciptaan manusia yang begitu kecil tetapi mampu menggoncang akhlak dan peradaban seperti telefon pintar.
Malaysia kini sedang berdiri di persimpangan moral yang getir. Siri jenayah membabitkan pelajar sekolah, tikaman maut, rogol berkumpulan, buli siber dan pemerasan bukan lagi anekdot pinggiran tetapi wajah gelap zaman digital yang kehilangan pedoman.
Seorang remaja menikam rakannya seolah-olah sedang bermain permainan video, tanpa sedetik pun rasa gentar atau bersalah. Di sinilah bermulanya tragedi sebuah generasi yang tidak lagi membezakan antara maya dan nyata, antara dosa dan hiburan.
Saya pernah melihat generasi muda di Dubai, Riyadh, Auckland dan London, semuanya bergelut dengan racun yang sama, cuma dalam wajah yang berbeza. Di Barat, ketagihan media sosial sudah diisytihar sebagai krisis kesihatan awam. Di Timur, ia menjadi wabak moral yang menggugat akar nilai kekeluargaan. Kini, Malaysia turut berada dalam pusaran global itu, bergelut antara kebebasan digital dan tanggungjawab sosial.
Langkah kerajaan untuk mempertimbangkan larangan telefon pintar bagi pelajar bawah umur 16 tahun bukan sekadar polisi, ia satu deklarasi peradaban. Perdana menteri menegaskan keperluan “mengembalikan disiplin dan keselamatan di sekolah”, dan bagi saya, inilah langkah menongkah arus yang berani.
Dunia selama ini membiarkan kanak-kanak hanyut dalam samudera maya tanpa kompas moral, sementara ibu bapa dan pendidik hanya mampu menyalahkan ombak. Kini, negara perlu menjadi jurumudi.
Cadangan pelaksanaan pengesahan elektronik “Kenali Pelanggan Anda” (e-KYC) mungkin kedengaran teknikal, tetapi hakikatnya ia menyentuh teras kedaulatan digital negara. Saya yang lahir dalam dunia komputer awal tahun 1980-an memahami betapa sistem tanpa kawalan boleh menjadi rimba siber.
Dulu, komputer hanyalah alat lojik; kini ia cermin emosi manusia. Algoritma dicipta untuk meraih perhatian, mencipta dopamin maya, memupuk ketagihan dan menukar anak kecil menjadi “produk” dalam ekonomi perhatian. Dalam lojik algoritma, nilai manusia tidak lagi diukur melalui akhlak, tetapi klik dan tontonan.
Satu petang di sebuah kafe di Denver…
Satu petang di sebuah kafe di Denver, melihat sekumpulan remaja ketawa tanpa berbicara, jari mereka menari di skrin. Mereka hadir secara fizikal, tetapi roh mereka terperangkap dalam ruang maya. Fenomena itu kini sampai ke sekolah-sekolah kita. Pelajar tidak lagi menunduk hormat kepada guru, tetapi tunduk kepada telefon. Di sinilah lahir generasi yang pandai menatal tetapi gagal menilai, yang lancar menulis kapsyen tetapi kaku berbicara dengan ibu sendiri.
Namun, di sebalik langkah tegas kerajaan, timbul persoalan besar: adakah larangan semata-mata cukup untuk menyembuhkan luka moral ini? Saya tidak menolak kepentingan undang-undang, tetapi peraturan tanpa pendidikan budi adalah seperti pagar tanpa ladang. Negara maju yang saya lawati memahami hal ini.

Di Finland, pendidikan digital dimulakan dengan etika, bukan teknologi. Di Jepun, anak-anak diajar bahawa internet ialah ruang tanggungjawab, bukan kebebasan. Di China pula, kerajaan menghadkan masa permainan video untuk kanak-kanak, memaksa platform menyesuaikan diri dengan nilai sosial, bukan sebaliknya. Barat menjerit “kebebasan bersuara”, tetapi Timur menegaskan “kewajipan berakhlak”.
Malaysia kini perlu memilih wajah digitalnya. Kita bukan Silicon Valley, dan tidak harus meniru liberalisme digital Amerika yang meletakkan kebebasan individu di atas kesejahteraan masyarakat.
Undang-undang seperti Seksyen 230 di Amerika melindungi syarikat teknologi daripada tanggungjawab, menjadikan ruang maya sebagai padang bebas nilai. Tetapi di negara kita, yang dibina atas nilai kekeluargaan, agama dan adab, kebebasan yang tidak berakar akan menjadi racun.
Saya melihat langkah Malaysia sebagai sebahagian daripada gelombang global baharu — sebuah kebangkitan kesedaran bahawa dunia digital mesti tunduk kepada nilai manusia, bukan sebaliknya.
Kesatuan Eropah sudah mendahului dengan Akta Perkhidmatan Digital, China membina ekosistem terkawal, dan dunia Islam pula mencari jalan tengah antara kawalan negara dan pendidikan moral.
Dalam kerangka Madani yang dibawa perdana menteri, saya melihat harapan untuk membina ruang digital yang beretika, berasaskan belas kasihan, hormat dan tanggungjawab sosial. Nilai-nilai ini seharusnya bukan sekadar slogan, tetapi nadi dasar pendidikan, media dan teknologi.
Namun, peranan terbesar tetap di bahu manusia: ibu bapa, guru dan masyarakat. Di banyak negara yang saya lawati, saya dapati kunci kejayaan bukan terletak pada sekatan, tetapi pada bimbingan.
Literasi digital untuk warga tua
Di New Zealand, saya pernah melihat program literasi digital untuk warga tua dan muda bersama-sama supaya generasi berbeza memahami dunia maya dengan empati bersama. Di Malaysia, kita perlu pendekatan serupa. Sekatan tanpa kefahaman akan melahirkan penentangan; pendidikan dengan hikmah akan melahirkan kesedaran.
Anak-anak Malaysia tidak perlu menjadi hamba algoritma. Mereka perlu dibentuk sebagai pengguna berfikir, bukan pengikut yang lalai. Dan dalam perjalanan ini, kita harus akui bahawa dunia digital adalah medan jihad baharu — jihad melawan ketagihan, kelalaian dan kekosongan jiwa.
Teknologi tidak berdosa; manusialah yang menjadikannya berhala moden. Kita tidak boleh menolak kemajuan, tetapi kita boleh membimbing arah tuju kemanusiaan di dalamnya.
Sebagai warga emas yang menyaksikan dunia berputar dari mesin taip ke kecerdasan buatan, saya melihat kitaran sejarah ini dengan penuh keinsafan. Dunia pernah takut pada televisyen, kemudian pada internet, kini pada telefon dan AI.
Namun, ketakutan sebenar bukan pada alat, tetapi pada kehilangan nilai. Jika anak-anak kita membesar tanpa empati, tanpa kesedaran bahawa dunia maya bukan pengganti kasih sayang manusia, maka kita sedang melahirkan generasi tanpa jiwa.
Langkah Malaysia untuk menegakkan zon selamat digital harus disertai dengan zon kasih sayang dalam rumah dan sekolah. Tanpa itu, larangan hanya menutup pintu maya tetapi membuka pintu pemberontakan. Dunia yang saya lihat dari timur hingga barat mengajar satu hakikat: peradaban hanya bertahan apabila manusia lebih bijak daripada ciptaannya.
Telefon pintar menjadikan dunia sekampung, tetapi malangnya, kampung itu kini tanpa penghulu dan tanpa akhlak. Malaysia tidak harus menjadi penumpang dalam peradaban digital, tetapi jurumudi yang berani menakhoda nilai. Jika Barat mencipta teknologi untuk keuntungan, biarlah Timur membangunkan teknologi untuk kemanusiaan.
Dan mungkin, pada suatu hari nanti, apabila anak-anak kita memandang skrin, mereka tidak lagi mencari pujian maya, tetapi mencari makna sebenar hidup—seperti generasi saya dahulu yang memandang langit dan mencari bintang.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/913aa92c0d8381220ed3d13b8ae0d94d.jpg)
