KOLUM | Tajuk mesti kena dengan tema semasa. Sesuai dengan meriahnya Aidiladha yang baru selesai. Siap ada koboi berkuda dan acara menembak lembu. Luar biasa!
Arakian maka tersebutlah kisah bahawa ritual ‘korban’ dalam apa jua tradisi serta budaya adalah ritual yang penuh falsafah dan erti. Ia bukan setakat aksi besi menghiris nadi, namun tentu sekali sarat mengandung nilai semiotik yang pelbagai tafsiran.
Banyak budaya di seluruh dunia memiliki ritual korban tersendiri, atau mudah kita sebut ‘sembelihan’ sepadan dengan kalimat ‘adha’ yang baru sahaja kita raikan.
Dalam budaya keagamaan Aztec misalnya, seorang korban dibawa ke puncak kuil piramid sebelum dadanya dibelah dengan pisau batu gunung berapi, dan jantung yang masih berdenyut itu dipisahkan daripada badan untuk dipersembahkan kepada dewa matahari, Huitzilopochtli.
Penyembelihan manusia dalam budaya Viking pula menyaksikan beberapa ritual korban darah sebagai tanda kesyukuran kepada mahadewa Odin dalam keraian-keraian di Uppsala, selain pemakaman yang turut mengorbankan hamba wanita bagi menemani si bangsawan mulia.
Lebih dekat di sini, kita juga maklum tentang upacara jerunai masyarakat Melanau dahulu kala yang mengorbankan hamba, dengan menghempapnya di bawah tiang jerunai berdasarkan kepercayaan bahawa si hamba akan menemani bangsawan yang meninggal dunia di alam barzakh.
Korban menjadi keperluan istighasah, dalam istilah arabnya, untuk memohon perkenan semesta alam bagi mempermudah urusan duniawi. Dalam konteks Islam pula, korban dan sembelihan adalah ritual kesyukuran atas lebihan nikmat yang dikecap.
Dari sudut konteks politik Malaysia, korban dan sembelih adalah amalan yang tidak dapat dipisahkan daripada adat politik negara ini. Sebelum dicucuk, dibakar dan dikipas (serta pada akhirnya di’ngap’); perlu ada yang terkorban atau disembelih.
Kita boleh ambil PKR sebagai contoh ilustrasi yang paling ampuh.
Pisau tumpul
Parti Keadilan Rakyat (PKR) lahir dari asap-asap gas pemedih mata dan belantan aparat keselamatan yang cuba membungkam perlawanan seorang wira masyarakat ketika itu, setelah ia dilengser daripada jabatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sesuai dengan tema, parti yang menuntut keadilan tentu sekali telah banyak memakan korban baik dari segi air mata darah pendukung perjuangan reformasi, mahupun wang ringgit serta tenaga untuk mendirikan sebuah parti politik bagi melawan tirani Mahathirisme ketika itu.
Jika disorot sejarah parti derita ini, kita tentunya juga akan menemukan beberapa lagi korban politik.

Ezam Mohd Noor dikorbankan untuk memberi ruang kepada Mohamed Azmin Ali, kalau tak salah ingatan diari merah saya. Beberapa tahun kemudian, Almarhum Khalid Ibrahim dikorbankan dari pejabat Menteri Besar Selangor, juga untuk akhirnya memberi keuntungan kepada Azmin.
Azmin kemudiannya terkorban untuk mengangkat Rafizi Ramli. Namun kemudian Rafizi pula dikorbankan untuk mengangkat Nurul Izzah Anwar.
Khabarnya pula sekarang, pengorbanan itu terlihat sia-sia apabila yang menang menjadi timbalan presiden tidak lagi ditugaskan sebagai pengarah pilihan raya, ekoran keputusan di Sabah yang tidak memberangsangkan.
Demikian fitrah seni segala mungkin. Politik adalah seni cantas mencantas, menyembelih dan mengorbankan teman-teman untuk terus maju ke depan.
Terkini nampaknya proses mengorbankan Rafizi itu tidak begitu tuntas. Entahlah kalau urat tak putus atau pisau tak cukup tajam. Rafizi bangkit ‘bersama’ Nik Nazmi di pentas penubuhan sebuah parti baru dengan cap sang kancil. Kad keahliannya pun nampak seperti kad bank.
Parti Bersama dijangka mengincar kerusi-kerusi campuran yang memiliki populasi penyokong Rafizi dalam kadar tinggi. Kebetulan barangkali, kerusi-kerusi ini mungkin kerusi yang disandang DAP.

Menyembelih babi
“Kenapa orang Islam tak boleh makan babi?” soal seorang teman dari DAP beberapa lama dahulu.
“Tak boleh sembelih. Babi tak ada leher,” jawab saya sambil menunjukkan leher saya sendiri yang hampir tidak kelihatan. Dia ketawa.
Isu babi di Selangor mungkin sudah reda. Namun DAP kelihatan agak tersudut sejak konflik terkait isu ternakan haiwan terbabit yang mencipta pergeseran teruk dengan pihak istana.
DAP memang selalunya terlalu cepat berkuntau memperlihatkan pencaknya ketika masih bergelar pembangkang. Paling jelas dalam persoalan menternak babi. Hatta yang sudah pencen dan keluar parti pun bangun membuka langkah.
Sejak tewas dalam pilihan raya negeri Sabah, DAP berdepan hari-hari sukar. Apatah lagi semakin menghampiri kongres khasnya pada bulan Julai yang bakal menentukan kedudukannya dalam pakatan kerajaan.
Beberapa persoalan ditimbulkan. Termasuk yang paling rancak ialah tentang kesediaan DAP untuk bukan sahaja keluar dari gabungan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, malah kesanggupan untuk meninggalkan Pakatan Harapan ekoran desakan luar dan dalam yang mengingatkan kembali DAP akan peranannya dalam politik Malaysia sebagai suara keras yang mengkritik salah guna kuasa dan ketidakadilan.
Sudut pandang yang lebih meresahkan ialah soal kesediaan DAP untuk menjadi wakil suara masyarakat Cina bagi mana-mana gabungan pasca PRU 16 yang membentuk kerajaan, dalam ketiadaan parti politik Cina yang berfungsi dengan baik.
Ini maksudnya, di tengah keadaan MCA dan Gerakan tidak boleh diharap; hanya DAP satu-satunya pilihan mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan dengan perwakilan yang datang dari kerusi-kerusi majoriti Cina atau kerusi campuran majoriti Cina.
Barangkali DAP sudah menyedari fitrah sebenarnya.
Lalu apa nasib pemimpin dan anggotanya yang bukan Cina?
Sementelahan angin pilihan raya negeri Johor mula bertiup kencang, kita maklum bahawa Sheikh Omar Ali, Naib Pengerusi DAP Johor telah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara baru sahaja beberapa minggu lalu.
Mungkinkah sang Senator akan bertanding menjadi Adun dan calon Menteri Besar DAP seperti yang didakwa propagandis Umno? Entahlah.

Penyandang kerusi Skudai, Marina Ibrahim juga baru sahaja mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi terbabit. Ia malah mengumumkan mahu meninggalkan kerja-kerja politik atas sebab-sebab yang pelbagai.
Suratnya kepada pimpinan parti negeri itu pun sudah dibocorkan, serta kemudian disahkan oleh Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
Marina khabarnya mahu dihantar ke kerusi Tiram yang dirampas semula oleh BN dalam PRN Johor 2022. Penyandangnya sekarang, Azizul Bachok memenangi kerusi itu dengan 22,939 undi dalam pertandingan tujuh penjuru. PH ketika itu sekadar mendapat 12,550 undi di belakang calon PN yang memperolehi 17,658 undi.
Khabarnya juga, sekiranya Marina terkorban di Tiram, ada jawatan GLC yang menanti.
Barangkali menyedari beliau mahu dikorbankan, Marina lebih dahulu mohon untuk berhenti.
Nampaknya ini memang musim mengasah pisau dan menyelamatkan diri.
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
