Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) ditubuhkan pada tahun 2018 di Kuching, Sarawak. Presidennya ialah Affendi Jeman. Pada April lalu, Sedar telah membuat permohonan pertukaran nama kepada Parti Wawasan Rakyat (Wawasan).

Penjenamaan semula nama itu dibuat sebagai usaha untuk menjadikan parti itu bertaraf nasional dan bukannya sekadar parti negeri. Setakat ini Pendaftar Pertubuhan (ROS) belum meluluskannya.

Ia merupakan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-13 memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Februari 2027. Semasa PRN ke-12 pada 11 Disember 2021, Parti Sedar itu bertanding di lima kawasan DUN dan kesemua calonnya hilang deposit.

Parti Sedar adalah parti Melayu yang mahu mencabar parti pemerintah negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan selanjutnya merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Perjuang autonomi Sarawak

Ideologi Parti Sedar adalah berhaluan kanan dengan memperjuangkan untuk kebajikan dan kesejahteraan semua kaum dan semua agama di Sarawak. Selain itu juga, ia memperjuangkan hak autonomi penuh wilayah Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan melindungi dan mengiktiraf hak bangsa Melayu Sarawak.

Presiden pengasasnya Othman Abdullah tetapi kini ia dipimpin oleh Affendi Jeman.

Pada 14 Jun lalu, Affendi mengingatkan bahawa pihaknya telah mendahului memohon pada ROS untuk menggunakan nama Wawasan. Kenyataan ini dikeluarkan apabila bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa parti yang beliau hendak tubuhkan bernama Parti Wawasan Negara dengan panggilan Wawasan.

Secara terperincinya kedua-dua parti ini mempunyai nama berbeza iaitu Parti Wawasan Rakyat dan Parti Wawasan Negara. Apa yang sama ialah panggilannya iaitu Wawasan. Tetapi jika kedua-dua parti itu menggunakan kependekan huruf, maka ia kelihatan berbeza iaitu PWR dan PWN.

Perbezaan antara “rakyat” dan “negara” mempunyai makna yang besar dari segi perlambangan politik walaupun orang ramai tidak akan dapat melihat perbezaan dan menganggap ia hanya nama parti.

Perkataan “rakyat” memberi fokus kepada kepentingan warganegara sementara “negara” pula lebih tertumpu pada sifat nasional. Tetapi kedua-duanya berkait rapat dalam sistem demokrasi nasional.

Parti-parti yang menggunakan perkataan “rakyat” pada masa ini ialah PKR, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Rakyat Malaysia, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Dari segi sejarah, istilah “rakyat” digemari oleh golongan kiri manakala golongan kanan lebih cenderung pada perkataan “negara” dan “nasional”.

PRM yang ditubuhkan pada tahun 1955 adalah parti politik pertama yang menggunakan perkataan “rakyat”. Parti Progresif Perak (PPP) yang ditubuhkan pada tahun 1953 meminda namanya kepada Parti Progresif Rakyat pada tahun 1954. Kini ia sudah bernama Parti Progresif Penduduk (myPPP).

Parti politik yang pertama menggunakan perkataan “negara” ialah Parti Negara yang diasaskan pada tahun 1955 oleh Dato’ Onn Jaafar. Ia merupakan parti ketiga yang diasaskan beliau selepas Umno dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Kini parti yang menggunakan nama “negara” ialah Parti Amanah Negara.

Menurut Affendi, terpulang kepada ROS untuk menyelesaikan masalah ini. Pihak ROS mengesahkan ada menerima permohonan daripada Parti Sedar tetapi tidak ada menerima permohonan daripada Hamzah.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa parti Hamzah itu akan menggunakan sebuah parti yang sudah terdaftar.

Kebiasaannya, ROS akan menolak sebarang parti baharu yang hendak menggunakan nama parti sedia ada untuk mengelak kekeliruan. Jika demikian, Parti Sedar akan dapat menggunakan nama panggilan Wawasan sementara pihak Hamzah akan hanya dapat menggunakan kependekan PWN.

Menurut Hamzah, nama Wawasan itu cadangan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Kenyataan ini adalah penting dari segi politik. Ia menunjukkan parti baharu ini sekutu kuat PAS dan penyokong-penyokong PAS wajar mengundi mereka.

Kepentingan ini adalah besar kerana dengan sokongan PAS, Hamzah menjadi ketua pembangkang semula yang membuka jalan kepada beliau untuk menjadi perdana menteri ke-11 jika gabungan yang didominasi oleh PAS itu menang pilihan raya umum.

Hadi pernah menyatakan bahawa PAS mahu bertindak sebagai “king maker” atau penentu jawatan perdana menteri dan tidak semestinya jawatan itu disandang oleh pihak PAS.

Sebelum pengumuman penubuhan parti ini, Hamzah dan pengikutnya bergerak dalam pertubuhan bernama Gerakan Reset Malaysia bagi membawa agenda masa depan rakyat, membina semula negara ke arah yang lebih baik, serta memperjuangkan Malaysia yang lebih berintegriti, dihormati dan sejahtera.

Nama "Wawasan Negara" dipilih selaras dengan matlamat Gerakan Reset Malaysia untuk menyusun semula struktur dan hala tuju negara.

Walaupun istilah “wawasan” mula terkenal di negara ini dengan dasar Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada tahun 1991 tetapi penggunaan kata wawasan secara rasmi dan meluas bermula sekitar tahun 1966 di Indonesia.

Istilah rasmi Wawasan Nusantara mula diperkenalkan dalam Seminar Hankam I (Pertahanan Keamanan) di Indonesia pada tahun 1966.

Sebelum itu, konsep penyatuan wilayah laut dan pulau Indonesia sudah wujud melalui Deklarasi Djuanda (1957) namun istilah khusus "wawasan" hanya digunakan secara rasmi dalam doktrin ketenteraan dan kenegaraan bermula pada tahun itu selepas Presiden Suharto mengambil alih kepimpinan Indonesia daripada Sukarno.

Istilah ini kemudiannya diperkukuh dari segi perundangan Indonesia melalui Ketetapan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) iaitu Parlimen Indonesia mengenai Garis-Garis Besar Haluan Negara (GBHN) pada tahun 1973.

Melalui kerjasama kebahasaan serantau yang dirintis oleh perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein dengan kerjasama presiden Suharto khususnya melalui kesepakatan penyeragaman ejaan serta penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1972, banyak perbendaharaan kata Bahasa Indonesia diserap ke dalam Bahasa Melayu Malaysia, termasuklah perkataan “wawasan”. Perkataan itu pun dimasukkan ke dalam Kamus Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kata “wawasan” digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia bermula 28 Februari 1991 apabila Dr Mahathir melancarkan gagasan Wawasan 2020 semasa membentangkan Rancangan Malaysia Keenam.

Sejak itu, makna “wawasan” dalam Bahasa Melayu juga menjadi sinonim atau sama erti dengan kepada perkataan "visi" atau "pandangan jauh ke masa hadapan".

Tetapi dalam Bahasa Indonesia, perkataan “wawasan” tidak sama erti dengan istilah “visi” yang juga digunakan mereka.

Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), visi artinya penglihatan, pengamatan, kemampuan untuk melihat pada inti persoalan, atau pandangan ke depan. Secara umum, visi adalah gambaran besar, cita-cita, atau tujuan utama yang ingin dicapai oleh seseorang, organisasi, atau negara di masa depan. Ia merupakan terjemahan daripada perkataan “vision” dalam bahasa Inggeris.

Sedangkan KBBI menyatakan “wawasan” ertinya adalah hasil “mewawas”, tinjauan atau konsep cara pandangan.

Makna asal “wawasan” adalah dari bahasa Jawa "wawas" yang bererti melihat, meninjau, atau mengamati. Secara umum, wawasan adalah pemahaman atau sudut pandang seseorang terhadap suatu hal. Ia berbeza daripada maksud “visi”.

Perbezaannya terletak pada “cara pandang.” Wawasan dalam bahasa Indonesia ialah pemahaman terhadap sesuatu perkara. Sedangkan “visi” dan “wawasan” dalam bahasa Melayu Malaysia bermaksud “cara pandang ke masa depan.”

Di Indonesia, konteks penggunaan umum perkataan "wawasan” adalah cara pandang dalam bentuk kerangka berfikir seseorang dalam menilai atau menyatakan sikap terhadap suatu masalah.

Ia disertai dengan pengetahuan luas, meliputi pemahaman seseorang tentang berbagai bidang, konsep, atau fenomena. Orang yang "berwawasan luas" dianggap memiliki pembacaan yang baik dan pemahaman mendalam tentang dunia.

Di Indonesia, tiga istilah rasmi kenegaraan menggunakan perkataan “wawasan”. Ia adalah Wawasan Nusantara, Wawasan Kebangsaan dan Wawasan Wiyata Mandala.

Wawasan Nusantara merupakan cara pandang dan sikap bangsa Indonesia mengenai diri dan persekitarannya yang serba beragam dan bernilai strategik dengan mengutamakan penyatuan dan perpaduan bangsa.

Sementara Wawasan Kebangsaan adalah cara pandang suatu bangsa dalam mengelola kehidupan berbangsa dan bernegara, yang dilandaskan oleh jati diri bangsa dan kesadaran bela negara.

Wawasan Wiyata Mandala pula adalah pandangan atau sikap menghargai dan bertanggung jawab terhadap persekitaran dan sekolah sebagai tempat menuntut ilmu pengetahuan.

Di Malaysia, gagasan Wawasan 2020 secara ringkas adalah cita-cita untuk mencapai kedudukan negara maju dalam masa 20 tahun iaitu pada tahun 2020 dari tahun 1990. Wawasan 2020 adalah satu gagasan penting negara yang diutarakan oleh seorang negarawan ulung.

Tetapi kini perkara itu sudah menjadi sejarah. Pada tahun 2020, kerajaan kedua pimpinan Dr Mahathir telah ditumbangkan oleh Bersatu, Barisan Nasional dan PAS. Antara tokoh politik di dalamnya ialah Hamzah dan Abdul Hadi Awang.

Perkataan “wawasan” baik dalam Parti Wawasan Rakyat mahupun Parti Wawasan Negara merupakan tanggungan yang berat dan tidak terpikul oleh parti-parti itu.


ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS