KOLUM | Sisi Ali Shariati sebagai seorang penyair jarang diketengahkan orang berbanding watak sebagai revolusiner sehingga ia boleh dianggap menenggelamkan wajah seni dan sasteranya.
Penulis biografi Shariati, Ali Rahnema, puisi mungkin satu-satu kecintaan berterusan tokoh berpengaruh itu berbanding politik.
Dalam tulisannya sendiri, Shariati juga menyatakan bahawa dia mencintai puisi-puisi tradisional Parsi seperti Hafez, Sa’di, Firdaus dan Maulana Jalaluddin al Rumi.
Dia juga tertarik dengan puisi-puisi Nima Yusyij, seorang penyair semasa dengan bentuk gaya modennya.
Karya terkenal Rumi, Masnawi, memang sudah lama tertanam dalam akar budaya Parsi. Shariati tidak terkecuali.
Sewaktu di perantauan, syair-syair Masnawi menjadi pengubat rindu Shariati kepada keluarga. Isterinya, Pouran Razavi, dan anak-anak kecil mereka berada di tanah air yang ditinggalkan.
Syair sufi itu mengubat kesendiriannya.
Sewaktu berhimpun dengan rakan-rakannya di Paris, Shariati bermain catur, berbual-bual, menikmati menu Parsi sambil membaca puisi. Dia berpendapat bahasa al-Quran bersifat simbolik dan memberi ruang kepada interpretasi sufi.
Ijazah pertama Shariati di Universiti Masyhad ialah dari fakulti sastera. Kajiannya melibatkan karya syair klasik Parsi.
Ketika menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Sorbonne, Shariati terpaksa mengambil kursus khas untuk melayakkannya mengambil bidang sosiologi.
Proses itu memberi pengalaman kepadanya mengadunkan ilmu dari disiplin yang berbeza. Sastera, sosiologi dan pengajian agama hasil pendidikan ayahnya.
Semasa di Masyad, Shariati dan rakan-rakannya akan berada di sebuah ruang belakang sebuah kedai runcit Masy Qaffar. Di situlah mereka selalu berkumpul sambil mereka membaca syair-syair Ayn al-Quzat al-Hamadani, Rumi dan Attar Nishapuri.
Kadangkala dia berpuisi di kedai kopi Dasy Aqa bersama penyair moden lain seperti Masybad, Nima, Akhvan, Tavalloli, Ebtehaj (Sajeh) dan Karon sehingga larut malam.
Dia menulis artikel dalam pelbagai akhbar dan majalah sebagai editor, pengarang dan individu.
Pertama kali dia menerbitkan antologi puisinya ialah ketika berusia 19 tahun.
Puisi merupakan penanda period romantik sufi Shariati terutama di peringkat awal kedewasaannya. Puisi merupakan wadah Shariati mengekspresi cintanya untuk semua yang sempurna dan tidak berbau duniawi, serta penolakan terhadap semua yang bersifat duniawi - termasuk politik.
Shariati mulai melibatkan diri dengan sastera melawan setelah dia rapat dengan Fakhrueedin Hejazi, seorang penyair dan juga seorang ahli politik di Tehran.
Tafsiran Shariati terhadap bahasa al-Quran yang bersifat simbolik memberi ruang kepadanya melihat sejarah Habil dan Qabil, ibadah haji dan korban dengan cara tersendiri.
Begitu juga penulisannya tentang personaliti Sayidatina Fatimah, Sayidina Hussein, Abu Dzar dan peristiwa Karbala.
Penghuraiannya tentang konsep golongan mustakbirin dan mustadhafin yang dijadikan sebagai pertarungan antara dua kelas yang berbeza seolah-olah memberi nafas baru dalam mentafsir al-Quran.
Shariati mengabungkan peradaban keilmuan Islam dengan tradisi ilmu barat secara bijak.
Karya-karya sufi dan sastera Shariati pada zahirnya memasuki fasa kekecewaan politik dan bahkan penolakannya terhadap politik penguasa pemerintah.
Semangat dan aktiviti politiknya dikeluarkan dalam bentuk pidato yang bersifat revolusioner tetapi tetap puitis terutama pada persoalan simbolik-simbolik dalam al-Quran.
Dalam perjalanan hidupnya, dia melalui pelbagai kedinamikan dalam berhadapan situasi zaman dan tempat yang berbeza.
Dia mengangkat martabat diri manusia pada tempat yang diwajarnya.
Dia menulis dan berpidato dalam laras bahasa yang dapat menyentuh hati sanubari rakyat hingga mencetuskan kebangkitan massa.
Itulah sisi Ali Syariati sebagai penyair yang revolusioner.
Tanah air kita perlukan Shariati lagi. Bukan untuk berhadapan dengan penguasa tetapi untuk mengajak para cendekiawan dan anak muda keluar dari dikotomi politik perkauman dan penunggang agama.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
