Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Kebelakangan ini negara kita semakin kerap mengalami gegaran dan serangan. Bukan kerana ada gunung berapi meletus lalu mengeluarkan laharnya, atau ada pantai diserang todak.

Akan tetapi gegaran itu semuanya berpunca daripada politikus yang semakin gigih berusaha memecah-belahkan kita hanya untuk melayan serakah mereka yang terlalu rakus ingin berkuasa.

Kegigihan mereka menjual kisah-kisah hikayat drama bangsa tersakiti yang disulam dengan cerita-cerita sinetron Islam terancam kian membius pemikiran rakyat.

Sampaikan perihal dalam tengkolok mahkota dan balairung istana pun dijadikan modal mereka juga.

Kini segalanya menjadi tunggangan politikus untuk memecah-belahkan kita demi cita-cita mereka mahu mendapatkan kerusi sekali gus kuasa.

Sementara sebahagian yang lain pula asyik dalam kecanduan mahu terus kekal memerintah selamanya.

Demikianlah sifat politik dan sikap politikus kita yang dilihat saling tidak ubah seperti saka dan hantu raya. Persoalannya sanggupkah kita menjadi khadam mereka?

Sebelum saya membeberkan tentang perihal bobrok yang selalu membuat kita menjadi tuli dan buta, harus diketahui punca utama mengapa masyarakat kita jadi semakin dungu sehingga sanggup menjadi hamba kepada politikus jadong.

Puncanya ialah pengucilan intelektualisme dalam filem.

Intelek dalam emosi

Memang malang seandainya seruan “basuh politik dengan seni” yang sering dijeritkan dalam demonstrasi tidak disambut orang filem.

Kebanyakannya percaya filem kekal sebagai seni hiburan yang mesti memberi gelak ketawa dan carut-marut seronok semata-mata.

Bahkan itulah jaminan buat pembikinnya popular dan penerbitnya kaya, manakala peminatnya konyol.

Oleh kerana itu banyak filem kita buruk-buruk belaka. Malah filem yang teruk itu jugalah yang tercalon dan menang anugerah filem Malaysia, selain secara keterlaluan diraikan penonton di pawagam seluruh negara.

Mantra politik “sokonglah filem kita kerana ini kisah warisan bangsa kita” pun ditanam ke dalam kepala. Walhal filemnya tidaklah semenggah dan sesenonoh mana.

Namun dalam kepekatan sentimen politik ras dan religus yang dimainkan di mana-mana asalkan filem mereka dapat untung berjuta itu, tampil filem Khadam yang memberikan industri filem Malaysia nafas baru untuk kembali bernyawa.

Sering kali saya tekankan bahawa sesebuah filem yang baik adalah sangat bergantung kepada kualiti penulisan lakon layar yang bagus, mutu lakonan yang cemerlang serta kemasan kerja senimatografi yang halus lagi licik.

Kelicikan yang diisi dengan intelek bersama emosi lakonan para pelakon akan menyempurnakan kuasa imaginasi sebuah lakon layar.

Kerja pengarahan daripada seorang pengarah yang tahu apa itu intelektualisme, khayalan sebuah filem bisa menjadi suatu realiti yang meninggalkan kesan luar biasa kepada penonton.

Mewarisi kebijakan menyeramkan

Justeru pengalaman menonton filem Khadam yang berjaya memanafaatkan medium hiburan dengan mengintelektualkan karya seni mereka amat wajar diberikan penghormatan.

Khadam ditulis dengan cantik oleh Fariza Isahak, lalu diasuh dengan baik dan penuh sensual oleh pengarahnya, Shamyl Othman.

Khadam ialah filem genre seram yang tidak hanya memiliki penyampaian sofistikated, tetapi sangat politikal.

Amat sukar untuk kita temukan sebuah filem lokal yang efektif pada cara ia meletakkan premis dan memperkenalkan watak di sepanjang 20 minit filem itu dibuka.

Sensual misterinya tidak gopoh disingkap. Sensasi rahsia setiap watak yang tidak buru-buru dibongkar dan latar ceritanya adalah mistis yang bertulangbelakangkan kerencaman ideologi politik pascakemerdekaan.

Semua itu menjadi ramuan berkesan untuk Khadam mencipta keresahan dan membina ketakutan yang berhasil menjadi suatu “horror” yang menakutkan.

Watak Melor, Manis, Awang, Hitam dan Puteh dalam Khadam adalah tradisionalis yang dibentuk oleh Nek Mak untuk mewarisi sejenis kebijakan yang menyeramkan.

Kepandaian dan kemahiran Nek Mak yang menakutkan ramai orang pada era kemajuan tahun 1957 itu bagaimanapun sudah tidak lagi dianggap kecerdikan dan kecanggihan ilmu yang wajar diajar apatah lagi diwariskan.

Wacana Khadam laksana perdebatan politik dalam kalangan bijak pandai yang mencari solusi konflik sosial tatkala ada terlalu banyak isu yang sukar saintis sosial dan pakar ekonomi serta agamawan selesaikan.

Cipta bohong, sebar fitnah

Kesunyian dan kesenyapan yang digiring Melur dalam Khadam bukanlah keheningan atau antap yang biasa. Menjadi Melur sebagai seorang perempuan, anak, isteri dan ibu pada era itu adalah geruh yang hanya membuatkan nasib wanita bisu sepertinya jadi puaka dalam keluarga.

Ia adalah suatu tekanan jiwa yang tidak mampu difahami oleh ramai orang tentunya.

Ia mengingatkan kita pada kata-kata Kahlil Gibran yang indah tapi menyeramkan: “Aku belajar untuk diam daripada orang yang tak reti diam, bertoleransi daripada orang yang sangat pentingkan diri, dan kebaikan daripada pelaku-pelaku kejahatan. Namun anehnya, aku tidak berterima kasih kepada guru-guru ini.”

Tahap “horror” dalam Khadam adalah setara ketakutan yang boleh dilihat pada realiti politik semasa negara kita.

Lihat saja bagaimana mereka menjadikan politik sebagai saka untuk terus kekal menjadi ahli parlimen atau Adun lebih lama sungguhpun mereka sebenarnya seekor dinosaur.

Politikus sebegitu sanggup menjadi hantu raya yang memunculkan diri seperti apa yang Melur nampak untuk mencipta pembohongan, menyebar fitnah, menghasut dan menanam kebencian dalam kalangan rakyat sehingga kita berpecah belah.

Politik pecah dan perintah itulah yang menghancurkan hidup Melur. Politik saka dan politikus hantu raya sebegitulah yang menghancurkan hidup Melur, menjadikan Melur pembunuh, menyebabkan Manis dan Awang terkorban dan punca Putih dan Hitam kehilangan keluarga.

Semuanya gara-gara kesanggupan menjadi khadam kepada saka dan hantu raya.


HARIS HAUZAH ialah manusia yang percaya orang masuk politik hanyalah untuk jadi kaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS