Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Sabtu lalu 4 Julai, Amerika Syarikat merayakan Hari Ulang Tahun ke-250 kemerdekaan. Negara itu merdeka pada tahun 1776. Sambutan rasmi di negara ini diadakan di Hotel Mandarin Oriental, bersebelahan KLCC dalam acara yang dinamakan US Freedom Reception 250 (Resepsi Kebebasan AS 250).

Sempena ulang tahun itu, Amerika Syarikat mengumumkan sumbangan RM1 juta bagi kerja-kerja pemulihan Tugu Negara menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-70 sebagai meraikan hubungan pembinaan tugu itu dengan Amerika.

Lima puluh tahun lalu, pada tahun 1976, Amerika mengadakan sambutan Hari Ulang Tahun ke-200. Di negara ini acara diadakan di Lincoln Cultural Center yang terletak di sebuah banglo di simpang Jalan Ampang dengan Jalan Tun Razak. Kini kawasan itu sudah menjadi pusat beli-belah The Link KL.

Pada masa itu, saya berada di tingkatan lima dan menjadi ahli perpustakaan pusat kebudayaan Amerika itu. Ahli-ahli turut diundang menghadiri resepsi itu. Saya pun ikut serta. Duta Besar Amerika ke Malaysia menyampaikan ucapannya dan sebuah filem dokumentari ditayangkan.

Pada tahun itu, Tugu Negara sedang dibaik pulih setelah rosak akibat letupan bom oleh sekumpulan komunis pada tahun 1975 dan siap pada tahun 1977, ketika Malaysia menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke-20.

Pada tahun 1977 juga, Kesatuan Soviet menyambut ulang tahun Revolusi Rusia ke-60. Pada tahun itu, Kesatuan Soviet adalah pesaing utama Amerika dengan Perang Dingin antara keduanya sedang hebat berlaku.

Kesatuan Soviet pun mengadakan sambutan ulang tahunnya di Soviet Cultural Center yang terletak di Jalan Ampang, hanya beberapa langkah dari Lincoln Cultural Center. Saya juga sering ke perpustakaan pusat itu. Sempena menjelang ulang tahun itu, pusat itu menyediakan buku-buku percuma mengenai Kesatuan Soviet.

Dalam perpustakaan Lincoln Cultural Center, ada sebuah majalah bulanan yang menyiarkan rencana-rencana mengenai kelemahan negara-negara komunis. Majalah itu bernama Problems of Communism (Masalah-masalah Komunisme).

Ternyata tulisan mereka betul. Kesatuan Soviet tumbang pada tahun 1989 dan berakhirlah Perang Dingin. Dengan terburainya Kesatuan Soviet, Amerika menang. Negara-negara komunis yang tinggal iaitu China, Korea Utara, Vietnam, Laos dan Cuba hanyalah saki-baki dan tidak menjadi ancaman kepada Amerika.

Bagi Malaysia, negara ini berjaya mengalahkan Komunis pada tahun 1960 apabila darurat diisytiharkan berakhir. Apa yang tinggal adalah saki-baki yang berundur ke Thailand Selatan.

Korban ketika darurat

Dengan kemenangan itu, semua tentera sama ada asal Malaya atau negara Komanwel lain– Britain, Australia, New Zealand dan Nepal yang terkorban semasa darurat sejak tahun 1948– diperingati pada The Cenotaph yang terletak di Cenotaph Road berhampiran Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

The Cenotaph yang turut dikenali sebagai War Memorial atau Tugu Peringatan Perang didirikan pada tahun 1924 bagi memperingati tentera British yang terkorban dalam Great War atau Perang Besar, nama awal Perang Dunia Pertama. Sempena peperangan itu juga, jalan depan stesen kereta api yang asalnya adalah hujung kepada Jalan Damansara dinamakan semula sebagai Victory Avenue (Jalan Kemenangan).

Selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, The Cenotaph itu turut memperingati tentera Komanwel dari Malaya yang terkorban dalam perang itu. Acara tahunan turut diadakan di situ.

Setelah merdeka, nama jalan Cenotaph Road ditukar kepada Jalan Tugu dan Victory Avenue ditukar namanya kepada Jalan Sultan Hishamuddin.

Amerika memainkan peranan penting dalam usaha kemerdekaan tanah-tanah jajahan negara-negara sekutunya iaitu Britain, Perancis dan Belanda. Dalam Peperangan Dunia Kedua, Belanda dan Perancis ditakluki Jerman. Britain hampir jatuh tetapi terselamat pada saat akhir apabila Amerika menyertai perang.

Maka setelah perang, zaman imperialisme Britain, Perancis dan Belanda dianggap berakhir. Amerika menggubal Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan diisytiharkan pada tahun 1945 di San Francisco yang kemudian menjadi asas kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Dalam piagam itu, Amerika menggesa semua penjajah melepaskan tanah jajahannya.

Pada tahun 1946, Britain menubuhkan Malayan Union tanpa ada tanda hendak memerdekakan Malaya. Tetapi Britain menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 apabila orang Melayu melalui Umno membantah kehilangan institusi raja.

Pada 18 Februari 1948, Persidangan Pemuda dan Pelajar Asia Tenggara bagi Perjuangan Kebangsaan dan Kemerdekaan diadakan di Calcutta, India. Ia dianjurkan oleh Persekutuan Pemuda Demokratik Sedunia (WDYF) yang menyokong Kesatuan Soviet. Resolusi persidangan itu adalah kesemua parti komunis di tanah jajahan perlu mengangkat senjata bagi merebut kemerdekaan.

Ekoran itu, Parti Komunis Malaya (PKM) mengangkat senjata melalui penubuhan Tentera Pembebasan Anti-British Rakyat Malaya (MPABA) yang merupakan penyusunan semula Tentera Rakyat Pembebasan Anti-Jepun Malaya (MPAJA) yang dikenali sebagai Bintang Tiga. Ia kemudian ditukar nama menjadi Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLA).

Perang dinamakan darurat

Sementara itu, serangan pertama komunis dilakukan pada 16 Jun 1948. Mereka menamakannya Perang Kemerdekaan. British pula tidak mengisytiharkannya sebagai perang. Sebaliknya ia dinamakannya darurat dan mengisytiharkannya pada 18 Jun 1948. Jika diisytiharkan perang, ladang-ladang British tidak boleh menuntut insurans.

Pada 1 Oktober 1949, Republik Rakyat China ditubuhkan apabila Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), sayap tentera Parti Komunis China (CCP) dapat menguasai negara itu. Serentak itu, CCP menyokong dan membantu PKM sebagai solidariti.

Pada 28 November 1949, bendera cadangan Persekutuan Tanah Melayu dipersetujui. Ia berasal dari bendera Johor. Bezanya warna biru dijadikan 11 jalur biru dan putih. Di bahagian kotak penjuru kiri berwarna merah seperti bendera Johor.

Tahun berikutnya, Onn Jaafar membantah bintang di atas latar merah yang dianggap seperti lambang komunis. Maka bendera itu diubah dengan jalur biru itu digantikan dengan jalur merah putih. Kotak penjuru itu ditukar warna dari merah kepada biru sementara lima bucu bintang dipecahkan kepada sebelas.

Selepas mendapat persetujuan King George VI, bendera itu dikibarkan pada 19 Mei 1950. Apabila dikibarkan tentulah orang sedar bahawa bendera Malaya adalah seakan-akan dengan bendera Amerika.

Pada tahun 1954, Amerika mendirikan Marine Corps War Memorial (Tugu Peringatan Perang Kor Marin) di Arlington County, Virginia. Tugu ini berupa ukiran gangsa tentera Kor Marin memacak bendera negara mereka di pulau Iwo Jima, Jepun pada tahun 1945. Arca ini diukir oleh Felix de Weldon, seorang warga Amerika kelahiran Austria.

Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 and menjadi anggota PBB. Negara ini menjadi sekutu Barat dan menyertai Komanwel British yang banyak membantu negara ini mengalahkan komunis.

British mengemukakan idea “Grand Design” pada tahun 1958 iaitu menyatukan wilayah-wilayah Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara (Sabah) ke dalam sebuah negara baharu yang lebih besar. Tunku menolak.

Pada 13 Julai 1960, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan berakhirnya darurat. Tarikh ini juga dijadikan sebagai Hari Pahlawan. Acara dilakukan untuk memperingati tentera yang terkorban semasa darurat. Satu tanda peringatan Darurat diletakkan pada tugu The Cenotaph.

Pada bulan Oktober 1960, Tunku mengadakan lawatan rasmi ke Amerika. Apabila mengunjungi Tugu Iwo Jima, beliau amat teruja dengan kesenian dan mesej patriotik di dalamnya.

The Cenotaph tak memadai

Beliau terus mendapat inspirasi untuk membina sebuah tugu negara yang sebenar bagi Malaya. Ini kerana The Cenotaph itu tidak memadai, lagipun ia dibina oleh British. Negara Malaya perlukan sebuah mercu tanda binaan sendiri.

Malaya tidak berperang melawan British untuk kemerdekaan. Tetapi ada perang melawan komunis yang hendak mengambil alih negara. Maka Tunku meraikan kemenangan negara yang berjaya mengalahkan komunisme. Maka apa yang hendak dipaparkan ialah tentera Malaya mengalahkan anggota komunis.

Beliau bertemu dengan pengukirnya Felix de Weldon dan beliau bersetuju untuk membina Tugu Negara.

Pada tahun-tahun itu, Tunku menerima tekanan dari British dan Amerika supaya menubuhkan Malaysia. British mengemukakan cadangan itu untuk menghalang Singapura jatuh kepada PKM yang mempunyai banyak penyokong dan simpatisan di situ. Amerika pula mahu menghalang Indonesia daripada meluaskan wilayah atau pengaruhnya ke atas Sarawak, Brunei dan Sabah. Pada masa itu Jakarta bersekutu dengan blok komunis.

Maka pada tahun 1961, beliau mengumumkan penubuhan Malaysia dalam satu majlis kewartawanan di Singapura.

Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Pada tahun itu juga dimulakan pembinaan jejambat pertama di negara ini, yang dinamakan Jalan Kinabalu sempena nama Kinabalu di samping meraikan penyertaan Sabah ke dalam Malaysia.

Untuk itu, The Cenotaph dipindahkan ke suatu kawasan di Lake Gardens (kini Taman Tasik Perdana). The Cenotaph diletakkan satu persatu dan kemudian dipasang semula dengan teliti. Pada waktu sama kerja-kerja pembinaan Tugu Negara bermula. Untuk itu, gangsa diimport dari Rom, Itali. Ia disiapkan pada tahun 1966.

Pada tahun 1970, PKM berpecah dua. Pecahan itu dinamakan PKM-Revolutionary Faction (PKM-RF). Selanjutnya pada tahun 1974, Rejimen ke-8 keluar PKM dan menubuhkan PKM-Marxis Leninis (PKM-ML).

Tahun berikutnya, 1975, Tugu Negara dibom. Pada tahun 1976, pelakunya telah ditahan polis. Mereka adalah dari MNLA iaitu sayap tentera PKM. Ia dilakukan selaras dengan Doktrin Serangan Bandar. Ada laporan menyatakan bahawa PKM menafikan terlibat. Laporan lain pula kemungkinannya dalang pengeboman itu adalah sama ada PKM-RF atau PKM-ML untuk menunjukkan kewujudan mereka.

Tugu Negara itu dipulihkan pada tahun 1977.

Bagaimanapun, kini selepas hampir 50 tahun berlalu, terdapat kerosakan-kerosakan dan hakisan pada Tugu Negara dan kerajaan bercadang memperbaiki menjelang sambutan ke-70 kemerdekaan negara tahun depan.


ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS