KOLUM | Generasi yang percaya apa saja
KOLUM | “Eh, saya Melayuah!” bingkas Toh. Kami sedang berjalan di hadapan sekolah apabila tiba-tiba sebuah motosikal berhenti dan bercakap Cina dengan kami. Toh memang budak Cina dan kami sudah berkawan sejak dari sekolah rendah.
Semasa motosikal itu datang kami mungkin di tingkatan empat atau lima.
Apabila mendengar Toh mengatakan yang dia adalah Melayu, penunggang motosikal itu segera berlalu pergi.
Kami pun bertanya Toh tentang apa yang dikatakan oleh lelaki bermotosikal itu tadi kepada dia.
“Dia tanya nombor geng aku,” jawab Toh. Itu mungkin bahasa mengisyaratkan yang Toh ada menyertai mana-mana kumpulan gangster.
Memang begitu pun pada waktu itu. Kesetiaan kepada kumpulan haram adalah diperlukan oleh sesetengah orang bagi menjamin ‘keselamatan’ mereka.
Tapi Toh tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Pun begitu pada zaman kami bersekolah dulu ada dua kumpulan ‘gangster’ sekolah yang terkenal. Ada Gang of Four dan juga The Flower Gang.
Kedua-dua kumpulan itu adalah gangster tahi kucing dan lebih menumpukan kegiatan mereka kepada aktiviti mencari buah hati berbanding bertumbuk bergasak. Kami dah Toh bukan ahli kepada kedua-dua kumpulan tersebut.
Semua mengaku sayang negara
Kalau tidak silap kedua-dua kumpulan itu datangnya dari Sekolah Sultan Abu Bakar, sekolah yang terkenal kerana budak-budak Melayunya suka makan di restoran Cina.
Itu zaman muhibah, lalu kamu perlu memaafkan mereka.
Hari ini kita sudah tidak lagi muhibah kerana semua bangsa merasakan mereka berhak berada di atas daripada berbanding yang lain-lain.
Atau jika mahu, bolehlah disebut bahawa semua bangsa yang ada di Malaya ini merasakan bahawa merekalah sepatutnya yang berada di atas.
Semua mengaku sayangkan negara ini dan mereka rela bergasak sesama sendiri untuk membuktikannya.

Sebut pasal bergasak, suatu masa dulu tinju adalah sukan. Kita bersorak melihat Muhammad Ali. Dalam bertumbuk masih adalah kelelakian yang dipertontonkan.
Mungkin pernah sekali Ali bertindak di luar jangka apabila membelasah dan mengejek lawannya.
Itu pun kerana lawannya mempermainkan nama dan agamanya. Namun ia bukanlah sesuatu yang perit untuk kita lihat. Ia masih dalam lingkaran kemanusiaan.
Semasa menonton wayang terutama dalam cerita-cerita mengenai Rom, kami selalu mempersoalkan ketulenan sorakan penonton apabila datang adegan gladiator yang digunakan untuk berlawan sesama sendiri atau dengan binatang buas.
Pada kami itu semua hanyalah imaginasi pengarah filem berkenaan. Mana mungkin manusia – walau sekejam mana sekalipun dia – akan sampai hati untuk membiarkan seorang manusia bertarung dengan binatang buas.
Atau sekurang-kurangnya itulah yang kami fikirkan.
Ditambah pula dengan sorakan penonton yang terhibur dengan perbuatan aksi jahat tersebut. Semua itu pada kami adalah hak untuk berkarya seorang seniman.
Kesan kejahatan sistematik
Namun apabila melihat sukan tinju hari ini yang berkembang menjadi satu pertarungan yang kejam, kami bersetuju bahawa kita sebagai manusia adalah biadab. Kita membenarkan pertandingan-pertandingan begitu dan meraikannya.
Malah kita jadi gembira apabila melihat petinju yang kita sokong berjaya menghamburkan darah lawannnya. Dan hanya kerana dia seorang Islam kita mengangkatnya sebagai wira agama.
Kemudian datang pula filem-filem kita sendiri yang mengangkat tema bertumbuk sebagai penyelesaian kepada segala macam masalah. Kita raikan juga. Kita angkat sebagai jalan benar.
Lalu sambil bergembira dengan bermacam jenis keganasan. Pada masa sama kita pura-pura bertanya mengapa kes buli tidak pernah selesai. Mengapa dengan seribu peringatan dan sejuta kempen, anak-anak kita masih dibuli dan membuli.
Kita tidak nampak kesan jahat yang kita usahakan secara sistematik itu.
Anak-anak hari ini adalah generasi yang percaya apa saja yang dipaparkan oleh media. Mereka teguh dengan sangkaan bahawa apa saja yang dihidangkan oleh media adalah kebenaran. Lalu mereka mengikutinya dengan tekun.

Benar, keganasan dalam wayang gambar sudah ada sejak dari mula ia diperkenalkan. Namun suatu masa dulu, manusia masih taat kepada ibu bapa, masih menghormati guru dan juga orang tua.
Masyarakat sekeliling itu sendiri adalah mata dan telinga kepada satu sama lain.
Hari ini semuanya sudah berubah. Manusia hari ini adalah manusia nafsi-nafsi. Semua mahu bebas daripada orang lain. Kononnya itu adalah hak peribadi. Lalu jadilah apa yang jadi hari ini.
Siapa mahu bertelajangan, silakan. Siapa mahu aibkan siapa atau diri sendiri, silakan. Semua perkara harus dipaparkan di media. Harus diberitahu semua orang akan rahsia paling peribadi sekali pun.
Tukar parti, kenyit mata
Merahsiakan kejayaan hidup atau kegagalan rumahtangga – misalnya – adalah ‘dosa besar’ kepada semua. Dan mereka menyangka ini adalah perbuatan yang betul.
Lalu mereka yang mengaku masih waras sepatutnya tidak menjadi ejen kepada kejahatan-kejahatan seperti itu.
Jika kamu adalah tukang filem misalnya, maka berpakatlah untuk menghasilkan kisah-kisah yang mungkin akan membina masyarakat yang lebih baik. Lakukannya juga dengan sistematik dan bersungguh-sungguh.
Buktikan bahawa kamu adalah seniman yang berjiwa besar. Bukan sekadar mengejar keuntungan wang ringgit.
Jangan diharapkan kepada kerajaan – atau lebih tepat, orang politik – untuk melakukan sesuatu bagi menangani kes buli atau kemerosotan nilai kemanusiaan. Kerana tumpuan hidup mereka hanya untuk memenangi pilihan raya semata-mata.
Seperti yang kita lihat, orang politik adalah musibat paling besar di mana pun mereka berada.
Bertukar partai atau sokongan hanya dengan kenyit mata. Malah dalam bola sepak dunia pun mereka menghulurkan kaki membentes segala sistem yang ada.
Toh sudah berpindah ke Pulau Pinang. Katanya dia ke sana kerana ingin menumpukan perhatian kepada anak lelakinya yang mengalami sedikit masalah kesihatan.
Semasa berbual dengan dia beberapa ketika dulu, dia mengatakan bahawa makanan di pulau tersebut tidak setanding dengan makanan di Kuantan.
Kami bersetuju dengan Toh kerana kami pernah melihat orang sebelah sana taat beratur untuk makan sejenis nasi bubur. Atau mereka memanggilnya sebagai nasi kandar.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penggemar nasi bubur Pulau Pinang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/ab64f10a1976f1bd27cd08f4c3d17422.jpg)
