Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Makna-makna geopolitik di sebalik Piala Dunia

Suasana yang mengejutkan pada perlawanan akhir Piala Dunia tentu kini sudah reda. Tetapi limpahan kesan simbolik geopolitik akan terus dirasakan pada tahun-tahun mendatang.

Banyak benar kebetulan dalam kejuaraan piala dunia itu untuk dipandang hanya sebagai suatu bahagian kelumrahan dalam pertandingan sukan.

Pada Isnin lalu, telah tular di media sosial, video gaya LEGO yang meraikan kemenangan Sepanyol mengalahkan Argentina dengan diselipkan mesej bahawa peminat bola sepak yang menyokong kedudukan politik Iran dan Palestin turut bergembira.

Video LEGO sering digunakan oleh penyokong Iran sepanjang perang Amerika/Israel menyerang Iran sejak beberapa bulan lalu. Video ini amat popular dan berjaya memberi sudut pandangan Iran kepada dunia.

Ada dua pencipta video ini. Salah satunya ialah kumpulan Explosive Media dan seorang lagi ialah Mahdi Hammat, seorang warga Amerika asal Iran. Hammat inilah yang mencipta video LEGO mengenai Piala Dunia ini.

Pencipta video itu sempat juga menyatakan bahawa mereka tidaklah berhasrat untuk membawa politik ke dalam sukan kerana itu tidaklah wajar, tetapi oleh kerana pihak Israel yang telah mendahuluinya, maka tindak balas kepada mereka adalah suatu yang sepatutnya.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan geopolitik Timur Tengah tentulah menyedari bahawa Sepanyol adalah penyokong jelas penduduk Gaza dan menentang genosid yang dilakukan oleh Israel. Mereka juga pasti mengetahui bahawa kerajaan Argentina adalah penyokong Israel.

Tetapi bagi mereka yang tidak meminati bola sepak mungkin tidak mengetahui kedudukan Argentina dan Sepanyol dalam kejuaraan Piala Dunia, jauh sekali menyedari bahawa selebriti bola sepak Argentina, Lionel Messi mempunyai hubungan baik dengan Israel.

Kesan daripada kesedaran dunia terhadap kekerasan dan keganasan Israel terhadap penduduk Palestin dengan disokong serta dibantu oleh Amerika Syarikat sudah meluas dan mendalam sejak adanya komunikasi massa global melalui Internet terutamanya media sosial.

Maka sudah tentu, di kalangan peminat-peminat bola sepak terdapat mereka yang sedar tentang isu-isu dan perkembangan global. Walaupun dunia menerima bahawa sukan tidak wajar diheret kepada politik tetapi ada waktunya ia tidak boleh lari daripada realiti sifat manusia.

Dalam mengikuti perlawanan bola sepak, tidak kiralah sama ada kejuaraan Piala Dunia atau siri pertandingan bola sepak liga, para peminat terdorong kepada mutu permainan dan kehebatan sesuatu pasukan dalam beraksi. Tetapi minat seseorang terhadap sesuatu pasukan banyak diwarnai dengan sentimen dan emosi. Daripada personaliti pemain hinggalah kepada patriotisme. Peminat bola sepak sudah menjadi suatu suku kaum (tribe) yang mengidentifikasi dirinya kepada sesuatu pasukan.

Sememangnya sesuatu pasukan bola di Piala Dunia mewakili negaranya. Tetapi ia tidak menghalang rakyat negara lain menyokong pasukan bola dari bukan negaranya, lebih-lebih lagi apabila pasukan bola sepak yang bertanding ke peringkat akhir adalah terhad dan terpilih.

Namun begitu, penganjuran bola sepak khususnya Piala Dunia pasti terlibat dari segi pengurusan pertandingan. Maka ia turut melibatkan politik dan perniagaan. Maka Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) muncul sebagai pertubuhan antarabangsa yang amat berpengaruh di dunia. Dari situ, pastinya ia tidak terlepas daripada syak wasangka dan tuduhan berlakunya korupsi.

Dalam suasana ini Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan terang-terang melahirkan sokongannya kepada pasukan Argentina. Hubungan mesra itu merupakan bukan saja kebanggaan tetapi suatu kejayaan politik bagi Israel

Mana tidaknya, Argentina disifatkan sebagai “superpower” (adikuasa) bola sepak kerana menjadi juara Piala Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1978 di Argentina, 1986 di Mexico dan 2022 di Qatar yang ketika itulah Messi muncul sebagai selebriti bola tertinggi.

Maknanya, kejayaan Israel mengadakan hubungan baik dengan Argentina adalah seperti mereka dapat berhubung baik dengan Amerika yang merupakan kuasa besar politik. Hubungan Netanyahu dengan Messi adalah seperti dirinya dengan Presiden Donald Trump. Ia merupakan kejayaan diplomatik sukan

Maka tersiarlah gambar Messi pergi ke Israel dan bertemu dengan Netanyahu. Beliau mengunjungi Tembok Ratapan di Baitulmaqdis untuk melakukan upacara Yahudi, siap dengan memakai kippah Yahudi.

Tetapi Messi bukanlah seorang Yahudi. Seperti kebanyakan penduduk Argentina, beliau beragama Katholik. Beliau telah pergi ke Israel beberapa kali. Lawatan ke Tembok Ratapan itu adalah pada tahun 2013 bersama anggota bekas kelabnya, FC Barcelona dari Sepanyol. Kunjungan itu adalah dalam rangka “Lawatan Perdamaian” ke Israel dan wilayah-wilayah Palestin.

Perkara ini adalah suatu ironi kerana dalam perlawanan akhir Piala Dunia tempoh hari, beliau turut berdepan dengan pasukan kebangsaan Sepanyol yang kebanyakan pemainnya adalah dari FC Barcelona.

Pada tahun 2019 pula, pasukan kebangsaan Argentina, The Forward melakukan perlawanan persahabatan di Tel Aviv.

Keseronokan Netanyahu terhadap pasukan Argentina terserlah apabila Duta Argentina ke Israel, Shimon Axel yang merupakan seorang Yahudi, menghadiahkan jersi kebangsaan Argentina yang bercorak belang tegak biru muda dan putih. Ia merupakan jersi yang ikonik dan popular di seluruh dunia.

Di sini perlu juga disebut bahawa bintang bola sepak Argentina sebelum beliau iaitu Diego Maradona berdiri pada jalur politik yang bertentangan. Maradona yang pertama kali membawa Argentina menjadi "superpower" bola sepak pada Piala Dunia tahun 1978 bukan saja pro-Palestin tetapi adalah penyoking fahaman politik kiri.

Maradona memakai baju-t bergambarkan Che Guevara, tokoh gerila komunis. Beliau juga bertemu pemimpin-pemimpin komunis dan sosialis Presiden Cuba, Fidel Castro dan Presiden Venezuela, Hugo Chavez, kedua-duanya pro-Palestin.

Tetapi hubungan baik Israel dengan Argentina bukan saja soal bola sepak atau untuk melebarkan pengaruh politik Israel. Sememangnya Argentina di bawah Presiden Javier Milei adalah penyokong kuat Israel.

Milei yang disifatkan berfahaman anarkis-kapitalis dilantik sebagai presiden pada Disember 2023 telah mengubah haluan dasar luar negaranya secara penuh sebagai bersekutu dengan Israel.

Beliau telah mengumumkan perpindahan pejabat kedutaan Argentina dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Negara-negara lain yang mengumumkan akan memindahkan pejabat kedutaan mereka ke Baitulmaqdis ialah Colombia dan Slovenia.

Selain Amerika, negara lain yang telah memindahkan kedutaan mereka ialah Guatemala, Honduras, Kosovo, Papua New Guinea, Paraguay dan Fiji. .

Selain itu, Argentina juga telah secara rasmi menamakan Hamas, Hezbollah dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai pertubuhan pengganas. Argentina secara konsisten mengundi menghalang kemasukan Palestin ke dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Adalah jelas Argentina adalah pro-Israel dan anti-Palestin.

Tetapi perkara paling besar ialah Presiden Milei berpakat dengan Netanyahu melancarkan “Isaac Accord” yang berupa inisiatif strategi antara Israel dan negara-negara Amerika Latin untuk kerjasama perisikan dan diplomasi bagi menentang Hamas, Hezbollah dan Iran.

Maka tersiar juga berita betapa orang Israel membeli tanah untuk membuat ladang di Argentina hingga menimbulkan kebimbangan bahawa Israel 2.0 akan diwujudkan seperti mana di Cyprus, Albania dan Azerbaijan.

Sementara Sepanyol pula adalah salah satu penyokong kuat hak Palestin di Eropah. Perdana Menterinya, Pedro Sanchez adalah dari Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE). Bukan saja beliau menyokong Palestin dan mengkritik Israel secara retorik tetapi Sepanyol bersama Ireland dan Norway secara rasmi telah mengiktiraf Negara Palestin pada tahun 2024 .

Sepanyol mengadakan sekatan senjata ke atas Israel dan menyokong Afrika Selatan membawa kes genosid Israel di Gaza ke Mahkamah Antarabangsa bagi Keadilan (ICJ).

Sepanyol juga mengehad penggunaan pelabuhannya bagi kiriman senjata ke Israel. Ia juga mengharamkan pengimportan barangan dari penempatan haram Israel di tanah Palestin. Selain itu, Sepanyol juga menghulur bantuan kemanusiaan kepada Palestin melalui Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA).

Sepanyol adalah bekas penjajah Argentina. Kebanyakan penduduk Argentina adalah keturunan Sepanyol. Kedua-duanya berbahasa Sepanyol dan beragana Katolik.

Apa yang menimbulkan kemarahan banyak peminat bola sepak ialah gelagat anggota pasukan Argentina yang kurang bersemangat kesukanan. Kini timbul pula hakikat bahawa Argentina adalah negara yang elitis dan amat rasis dengan pemain bola adalah kesemuanya berkulit putih sedangkan penduduk Argentina terdiri daripada orang kulit hitam dan kaum pribumi Sementara Sepanyol mempunyai empat orang pemain kulit hitam dan campuran dengan seorang beragama Islam

Tetapi suatu perkara yang lebih serius ialah terdapat petanda bahawa ada usaha secara tidak adil untuk memastikan kemenangan Argentina dalam perlawanan Piala Dunia. Maka disyaki terdapat konspirasi untuk mengekalkan Argentina sebagai juara walaupun dengan cara yang jujur. Petisyen telah diajukan supaya penyiasatan dilakukan.


ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS