Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pusingan gila krisis adat di Negeri Sembilan

KOLUM | Institusi Penghulu, yang kemudian dikenal sebagai Undang, di Johol bermula sejak tahun 1723. Penghulu yang pertama adalah seorang wanita, Puteri Sitiawan.

Sebelum abad ke-20, jawatan Undang ini disandang oleh Suku Biduanda Waris Perut Johol iaitu digilirkan dalam kalangan Perut Baruh dan Perut Bukit. Namun demikian bermula pada tahun 1901 Perut Gemencheh merebut peluang menjadi Undang Johol.

Gelar Undang Johol adalah Datu Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan. Gelar sedemikan panjang ini ialah dengan mengambil kira nama anak-anak Bendahara Sekudai, pemerintah awal Johol (adik beradik Puteri Sitiawan).

Rencana ini adalah siri akhir dari dua siri sebelum ini yang memperihalkan bagaimana Yamtuan Besar menjadi kuasa apex (tertinggi), pemutus, atau sebagai raja berkeadilan apabila timbul kekusutan di dalam kalangan pengamal Adat Perpatih.

Di Negeri Sembilan, antara suku-suku yang ada, Suku Biduanda dianggap yang paling kanan. Suku Biduanda ini terbahagi kepada Biduanda Waris dan Biduanda Mendatang. Dalam konteks di Johol, dan terpakai asalnya jua di luak lain, hanya mereka dari kalangan Suku Biduanda Waris sahaja mempunyai hak mutlak untuk menjadi Undang atau Penghulu.

Manakala Suku Biduanda Mendatang tidak mempunyai hak menjawat pesaka Undang. Selain dipilih daripada Suku Biduanda Waris, yang dicalon sebagai Penghulu juga sewajarnya tidak pernah melanggar pantang larang adat yang antara lain adalah melakukan rasuah, berperangai bengis dan suka membentak.

Pada tahun 1901, satu perubahan yang negatif telah berlaku yang kelak akan menjadi sedikit sebanyak punca pertelingkahan yang tidak kunjung padam antara Perut. Ini kerana pertama kalinya calon dari Suku Biduanda Waris Gemencheh telah berjaya merebut peluang menjadi Undang. Sebelum abad ke-20 dalam surat yang dibuat antara anak buah Perut Baruh dan Bukit, seseorang bakal Undang di Johol itu hendaklah orang yang memegang Jawatan Datuk Muda.

Ketika itu, Undang Eto yang tidak sihat telah melantik Wan Omar sebagai Datuk Muda. Setelah meninggal dunia, Wan Omar telah memanjat tangga kepimpinan dengan pengesahan secara terpaksa oleh Datuk Jenang dan Buapak Yang Enam. Sebaik menjadi Undang, Wan Omar menghapuskan beberapa hak yang dipunyai oleh Suku Biduanda Waris Johol.

Antaranya, jawatan Datuk Muda dan Datuk Perba. Jawatan Datuk Muda ditukar kepada jawatan Datuk Baginda Tan Mas. Bermula dari sinilah Undang dilantik dari Datuk Baginda Tan Mas.

Terdapat banyak bantahan, keluhan bahawa pesaka Undang Johol yang telah dikongsi bersama dengan Biduanda Waris Gemencheh ini. Surat-surat yang menyatakan rasa tidak puas hati dikirim kepada Yang Di Pertuan Besar Neger Sembilan.

Semua surat ini didokumentasi oleh siswa Noraini Abdul Talib dalam tesisnya di Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia dengan judul ‘Institusi Datuk Undang Luak Johol’. Penghantaran surat-surat ini menjadi bukti bahawa dalam banyak kekusutan, raja berkeadilan, iaitu Yamtuan Besar akan dirujuk. Nasihat baginda akan sentiasa dipakai.

Tiada bantahan yang kuat

Namun demikian dapat difahami Yamtuan Besar enggan campur tangan dalam hal di Johol ini memandangkan Negeri Sembilan baru sahaja reda dan aman dari perang saudara yang dicetuskan oleh Rembau, dan Sungei Ujong. Pentadbir British ketika itu, R.O. Winstedt ada merekodkan hal ini dengan menyatakan betapa pengamalan Adat Perpatih di Johol lemah dan dapat pula diubah-ubah oleh mereka yang berkepentingan; ‘The old rule that a Baginda Tan Mas Shall not become Undang Johol was broken by election the fifth holder, Wan Omar as Undang in 1901’.

Akan tetapi oleh kerana tiada bantahan yang kuat, maka terpakailah perbilangan; ‘Habis adat kerana kerelaan, Hilang adat kerana muafakat.’ Justeru kepincangan dan perjanjian asal di Johol pun tercabul.

Peraturan adat di Johol pun diubah setelah Buapak Yang Enam dan Jenang secara terpaksa sebulat suara (muafakat) dengan paksa rela menerima pesaka Undang digilirkan kepada Perut Gemencheh.

Pada tahun 2016, Luak Johol kembali bergolak di mana pengamal adat menyaksikan krisis kepimpinan apabila Undang Datuk Mohd Jan Abdul Ghani dipecat, dan digantikan dengan Baginda Tan Mas iaitu Datuk Muhammad Abdullah.

Mohd Jan menjadi Undang Luak Johol yang pertama dipecat selepas institusi ini diasaskan pada tahun 1723 oleh Puteri Sitiawan apabila Johol tidak lagi bernaung di bawah Kesultanan Johor.

Satu hal yang menarik adalah Menteri Besar dari Umno ketika itu, Mohamad Hasan (Tok Mat) menyatakan Undang Mohd Jan diluruhkan dari pesaka sebagai Undang Johol pada waktu itu kerana 13 kesalahan adat.

Mohamad Hasan

Mohd Jan pula menafikan kesalahan-kesalahan tersebut dan menganggap dirinya teraniaya serta apa yang berlaku adalah dahagi-dahagi atau pemberontakan. Ia boleh juga dianggap sebagai penderhakaan dalam terma lainnya. Dalam satu sidang media pada tahun 2016 itu, Mohd Jan Abdul Ghani menghantar surat bantahan susulan pemecatannya yang dipertikai. Beliau diwakili Orang Besar Balai Datuk Jenang Anuar Nordin.

Mohd Jan mempertikaikan pelengseran pesaka Undang itu tanpa melalui proses perbicaraan yang adil serta melalui cara adat-istiadat yang sahih dan benar, dan berpendapat tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku ke atas Undang Yang Empat yang lain. Dan tidak mustahil juga boleh berlaku terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga terhadap institusi Raja-raja Melayu di negeri-negeri lain.’

Sidang media ini dilaporkan oleh Malaysiakini, dalam berita berjudul ‘Undang NS dipecat dakwa ada 'jenayah pemberontakan'. Apa yang menarik adalah sedekad selepas Mohd Jan diperlakukan sedemikian, amaran beliau telah menjadi kenyataan di mana takhta Yamtuan Besar Tuanku Muhriz pula mengalami gugatan.

Watak-watak dari tahun 2016 itu nampaknya masih aktif dalam tahun 2026 ini. Tok Mat atau Mohamad Hasan misalnya kini bertanding di DUN Rantau untuk Pilihan Raya Negeri Sembilan, dan mungkin kembali menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan mengenepikan Jalaluddin Alias yang kurang berwibawa dan dipertikai kepimpinannya.

Undang Johol yang dinaikkan pada 2016, Muhammad Abdullah sekarang masih menjawat posisi Undang dan antara Undang Yang Empat cuba menurunkan Tuanku Muhriz dari takhtanya. Undang Datuk Muhammad, menurut Facebook ’Anak Muda Benci DAP Return’, pernah mengingatkan golongan adat supaya mempertahankan Negeri Sembilan dari ‘bangso asing’. Tidak pasti siapakah yang beliau maksudkan.

Pusingan gila

Menarik untuk disebut di sini, sebagai salah seorang pemain dalam krisis kepimpinan di Negeri Sembilan hari ini, Undang Muhammad juga adalah pengerusi sebuah syarikat makanan sejuk beku, yang berpangkalan di luar negara dengan China sebagai pasaran besarnya.

Syarikat di bawah Undang Johol ini turut bekerjasama dengan syarikat luar lain. Dia dilantik oleh syarikat bangsa asing itu ke jawatan penting tersebut selepas dilantik sebagai Undang.

Lebih menarik untuk dijadikan renungan adalah pada tahun 2025, pejabat Undang Muhammad iaitu Undang Johol ini telah membuat satu sidang media menyangkal penganugerahan gelar Datuk kepada beberapa individu. Datuk Lembaga Tiang Balai YM Datuk Raja Balang Hamzah Limin menyatakan gelar ini hanya boleh diberikan oleh Yamtuan Besar Tuanku Muhriz di dalam majlis rasmi di Istana Besar Seri Menanti.

Menurut Datuk Lembaga Johol mewakili Undang Datuk Muhammad lagi, apa-apa majlis di luar istana, di hotel atau dewan adalah tidak sah; "Any event held outside the palace — be it in hotels or halls — is invalid."

Satu hal yang kelakar adalah Undang Muhammad adalah salah seorang dari Undang Yang Empat yang menggunakan kuasa mereka memasyhurkan Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang tidak sah. Majlis pemasyhuran tersebut diadakan di sebuah dewan (atau ruang kopisyop) di sebuah hotel di Melaka dengan kehadiran Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Tuanku Besar Tampin, Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid menyaksikannya secara sidang video.

Sebagai pembaca generasi baru, dan orang luar Negeri Sembilan, kita tentu berasa hairan dengan pusingan gila ini. Sekali ada amaran jangan dibuat di hotel, sekali dibuat di hotel; sekali memecat, sekali dipecat. Ulang-alik yang sama. Tentu sahaja lama-kelamaan kepercayaan masyarakat khusus Gen Z terhadap adat akan terhakis.

Seperti dinyatakan sebelumnya, watak-watak dalam krisis di Johol pada tahun 2016 yang melengser gelar pesaka Datuk Mohd Jan Abdul Ghani ini masih ada, dan masih aktif. Hari ini amaran bekas Undang Johol itu bahawa ‘tidak mustahil juga boleh berlaku terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga terhadap institusi Raja-raja Melayu di negeri-negeri lain’ nampaknya bersipongang, dan menjadi salah satu inti atau bahan kempen di Negeri Sembilan.

Pengaruh Yamtuan Besar sebagai kuasa pemutus; raja berkeadilan, atau apex, sedang digugat.

Pengundi PRN Negeri Sembilan akan memilih sebuah kerajaan negeri pada 1 Ogos 2026 ini. Ia akan menjadi insiden sejarah yang menarik tentunya. Siapa yang akan dipilih, pemain bau lama yang suka berkrisis, atau pemain baru dengan harapan akan dinobatkan?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS