Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Pilihan raya umum ke-16 boleh jadi diadakan pada tahun ini, kalau tidak pun tahun depan. Sama ada kerajaan Madani dapat memasuki penggal kedua atau tidak, tentulah tidak dapat diramalkan.

Tetapi kalau Barisan Nasional mahu bertanding secara solo atau berpakat dengan Perikatan Nasional di peringkat persekutuan, tentulah tinggal Pakatan Harapan untuk mempertahankan kerajaan Madani.

Tetapi walaupun katakanlah kerajaan Madani tidak dapat dipertahankan, Pakatan Hatapan dipercayai akan meneruskan perjuangan “reformasi” yang merupakan agenda politiknya walaupun sebagai pembangkang, malah walaupun majoriti rakyat tidak mahu menerimanya, perjuangan perlu diteruskan.

Jika dikatakan Anwar Ibrahim sudah tidak lagi aktif dalam politik, perjuangan yang beliau cetuskan dan pimpin akan berterusan. Akan sentiada ada sebahagian rakyat yang mendokong perjuangan ini, walaupun PH tidak lagi mempunyai kuasa.

Malah katakan PKR sudah tiada, perjuangan “reformasi” akan diteruskan oleh parti-parti lain atau sesiapa saja yang berasakan kerajaan yang ada perlu diubah dan digantikan dengan keadaan yang baharu.

Maka perjuangan reformasi tidak bergantung pada parri atau tokoh politik kerana ia adalah aspirasi sebahagian rakyat yang mahukan negara menjadi lebih baik daripada apa yang diamalkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ini kerana agenda “reformasi” bersandarkan kepada aliran atau fahaman progresif. Istilah progresif hanyalah suatu nama yang diberikan kepada suatu fahaman yang kini diwakili parri-parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan Amanah.

Istilah progresif itu tentulah boleh ditafsir dengan pelbagai cara. Tetapi untuk menamakan aliran atau fahaman umum yang dipegang oleh PH, maka istilah ini ada gunanya untuk apa yang diperjuangkan oleh parti-parti gabungan itu.

Parti-parti itu tidaklah menamakan diri mereka sebagai “progresif.” Hanya mungkin Amanah yang pernah pada asalnya hendak mendaftarkan dirinya sebagai Parti Progresif Islam tetapi ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Tetapi apa yang disebut sebagai aliran progresif dirasakan sesuai untuk parti-parti itu.

Istilah progresif ini sesuai apabila ia hendak membezakan lawannya iaitu konservatif. Parti konservatif adalah yang kini bergabung dalam BN dan Perikatan Nasional. Daripada Umno, MCA dan MIC hinggalah kepada PAS, Wawasan dan juga Bersatu.

Sememangnya konservatif bermaksud fahaman untuk mengekalkan sistem yang ada, atau status quo termasuk amalan-amalan kebiasaan BN. Maknanya BN mengimpikan untuk kembali berkuasa penuh seperti mana sebelum ia kalah pilihan raya pada tahun 2018.

Tetapi kalau ada parti yang memperjuangkan untuk pelaksanaan suatu keadaan atau sistem silam, ia bukanlah konservatif, tetapi ia merupakan regresif, iaitu berundur ke belakang. Lawan progresif adalah regresif. Progresif itu bermaksud nilai-nilai kemajuan atau berfikiran untuk berubah demi kemajuan masa depan. Konservatif pula mengekalkan kedudukan status quo dan regresif berundur ke belakang.

Tetapi parti yang memperjuangkan perubahan dan kemajuan bukanlah hanya parti-parti PH semata-mata tetapi juga parti-parti kecil yang seperti Bersama, Muda, Parti Sosialis (PSM) dan juga Parti Rakyat Malaysia (PRM). Walaupun parti-parti kecil ini menentang PH tetapi ia adalah sebahagian daripada golongan progresif.

Pendokong-pendokong aliran progresif telah wujud lama sebelum adanya agenda reformasi Anwar Ibrahim yang dilancarkan pada tahun 1998. Sebelum adanya PKR, ada antara mereka sertai PAS dan PRM.

Aliran progresif inilah yang sering bercakap mengenai demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara, kesamarataan warga negara, hak rakyat, menolak rasisme dan korupsi. Pada asasnya, fahaman progresif adalah berorientasikan kemanusiaan, kebangsaan dalam erti yang luas dengan membezakannya daripada perkauman dan nilai-nilai kebenaran, keadilan dan kebajikan rakyat.

Sebaliknya aliran konservatif adalah berorientasikan kepada perbezaan kaum, kebangsaan dalam erti ketuanan sesuatu kaum dan hak-hak keistimewaan, sentimen sejarah dan kekuasaan elit.

Golongan progresif di negara ini tidak pernah memenangi pilihan raya atau memegang kuasa kecuali dalam PRU ke-14 pada tahun 2018 melalui PH.

Tetapi itupun kerana penyertaan Bersatu ke dalam PH. Walaupun Bersatu adalah parti konservatif, ia berhasrat untuk menggantikan Umno sebagai suatu wadah yang lebih bersih, baik dan berkesan. Maka PH tahun 2016-2020 adalah kerjasama antara golongan progresif dan konservatif. Begitu juga kemenangannya dalam PRU ke-14 adalah kejayaan kerjasama itu. Maka golongan aliran progresif tidak pernah lagi memerintah sendiri.

Kerajaan PH tumbang pada 2020 apabila gabungan progresif dan konservatif itu berpecah. Ia dicetuskan dengan sebahagian daripada golongan progresif yang asalnya berada dalam PKR turut menyertai Bersatu yang konservatif.

Maka kerajaan yang merupakan hasil daripada kerjasama progresif dan konservatif itu digantikan dengan kerajaan konservatif sepenuhnya, mula-mula diketuai oleh Bersatu, kemudiannya Umno.

Dalam sejarah negara, Umno sentiasa berada dalam kerajaan, iaitu dari tahun 1955 apabila Tanah Melayu berkerajaan sendiri hinggalah pada tahun 2018. Tetapi dengan tumbangnya kerajaan PH pada tahun 2020, Umno kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan sehingga ke hari ini.

Pada pilihan raya umum tahun 2022, gabungan yang mempunyai kerusi terbanyak ialah golongan progresif melalui PH tetapi ia tidak cukup majoriti untuk memerintah.

Maknanya golongan konservatif memperoleh kerusi lebih banyak daripada progresif. Cumanya mereka terpecah dua iaitu PN dan BN. Perkara ini mudah difahami kerana penduduk negara ini rata-rata adalah konservatif dan tidak progresif. Sebab itu tuntutan sebahagian penyokong PH supaya reformasi dilaksanakan sepenuhnya tidak memberi pertimbangan hakikat ini.

Maknanya kalaulah PN dan BN bergabung pada masa itu, sudah tentu kerajaan Madani ini tidak dapat dibentuk.

Cadangan Kerajaan Perpaduan yang dikemukakan pada awalnya melibatkan semua gabungan iaitu PH, PN dan BN.

Tetapi tentulah ia diketuai oleh PH karena ia merupakan gabungan terbesar dari segi perolehan kerusi di Parlimen. Tetapi itu tidak berlaku kerana PN enggan bergabung.

Walaupun PAS merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak, tetapi apa yang dikira adalah bilangan kerusi gabungan.

Ini kerana dalam pilihan raya, rakyat mengundi mengikut gabungan. Mandat yang diberikan adalah dalam bentuk gabungan. Contohnya dalam PRU ke-14, penyokong PKR mengundi calon Bersatu yang mewakili PH. Begitu juga penyokong Bersatu mengundi calon DAP yang mewakili PH.

Maka golongan progresif mengundi calon konservatif yang berpakat dalam gabungan bersama. Sebab itu, apabila ada ahli parlimen PKR dan Bersatu tarik sokongan daripada kerajaan PH, ia melanggar mandat yang diberikan oleh pengundi untuk tempoh berkenaan

Dalam masyarakat Malaysia yang majoritinya konservatif, memang sukar bagi parti progresif untuk menang pilihan raya. Sebab itu parti progresif perlukan kerjasama parti konservatof.

Namun begitu, parti progresif tidak mustahil untuk menang walaupun majoriti anggota masyarakat adalah konservatif. Perpecahan di kalangan konservatif boleh memberikan kemenangan kepada progresif.

Dalam pada itu, ada juga golongan konservatif yang mengundi progresif terutama di kalangan atas pagar. Pelbagai faktor boldh mengubah undi seseorang termasuklah keberkesanan komunikasi, taktik dan strategi parti. Ketokohan ahli politik juga boleh membawa perubahan.

Tetapi sesebuah masyarakat itu sentiasa berubah dalam jangka waktu yang panjang. Maka masyarakat konservatif boleh berubah menjadi progresif atas faktor-faktor tertentu. Maknanya gerakan progresif tidaklah sentiasa kalah di negara seperti Malaysia. Ada masanya apabila muncul pemimpin progresif yang bersesuaian, maka pengundi-pengundi konservatif boleh menyokongnya.

Aliran dan fahaman progresif adalah sebahagian daripada masyarakat seperti mana juga golongan konservatif. Demokrasi dan sistem pemerintahan akan memberi ruang kepada mana-mana aliran untuk berkuasa sekiranya pengundi dapat diyakini.

Bagi pendokong konservatif, tentunya hujah-hujah golongan progresif sebagai suatu yang tidak dapat diterima. Tetapi begitu juga bagi para pendukung progresif. Mereka melihat hujah-hujah fahaman konservatif di luar pertimbangan akal. Tetapi begitulah sifat manusia.

Namun, akhirnya kedua-dua golongan progresif atau konservatif adalah warga negara yang berkongsi negara yang sama. Mereka perlu hidup bersama secara aman untuk hidup secara berkesan dalam masyarakat.


ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS