KOLUM | Saya amat yakin isu dan agenda pendatang ini akan menjadi isu dan agenda utama PRU-16 nanti. Saya tidak dapat meramalkan apakah dasar dan garis politik yang akan diambil oleh pelbagai parti politik dalam negara ini?

Tapi isu pendatang yang halal dan yang haram akan dihebohkan untuk memancing undi. Digunakan untuk memperlekeh musuh politik.

Saya tidak dapat menujumkan secara terperinci apa yang akan dilakukan oleh semua parti politik ini. Ini kerana isu dan agenda pendatang ini boleh meledak ke garis kiri atau ke garis kanan.

Dari apa yang saya amati agenda pendatang ini telah menjadi agenda parti-parti politik di Eropah – Barat dan Timur.

Di UK, di Perancis, di Jerman dan di Itali – kita membaca bagaimana agenda pendatang ini telah menjadi isu utama kempen politik.

Di Itali Giorgia Meloni dari Party Brothers of Italy menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Itali pada Oktober 2022. Parti ini jelas berhaluan kanan dan berkempen menentang kemasukan pendatang haram dan pelarian perang.

Di Jerman – Parti AFD – Alternative for Germany – kini menjadi parti politik kedua terbesar dalam Parlimen Jerman. Parti AFD ini tanpa segan silu berhaluan kanan. Secara terbuka AFD bukan sahaja tidak mahu lagi menerima pendatang malah pendatang yang sedia ada juga wajib dihantar pulang ke tanah asal-usul.

Parti AFD ini diramal akan menjadi kerajaan pengganti kerajaan campuran Sosial Demokrat dan Kristian Demokrat Canselor Friedrich Merz yang berkuasa sekarang.

Di Perancis Parti National Rally yang berhaluan kanan diramal akan naik takhta. Marine Le Pen adalah calon Presiden dari parti ini. Jika Marine menang dia akan menjadi wanita pertama Presiden Perancis. Undian pada tahun 2022 Marine hanya dikalahkan oleh Presiden Macron dalam pusingan kedua.

Marine kalah kerana pengundi dan penyokong Parti Sosialis dan Parti Komunis memberi sokong kepada Macron untuk menghalang Marine dari menjadi Presiden.

Garis parti National Rally ini amat jelas. Menentang kemasukan pendatang baru. Juga dasar parti ini seperti AFD akan juga menghalau keluar pendatang yang telah berada di Perancis.

Di UK – Parti Buruh – sedang diasak oleh Reform Party yang dipimpin oleh Nigel Farage (gambar bawah).

Dalam masa 10 tahun ini UK telah ada tujuh perdana menteri. Ini gambaran bahawa UK tidak stabil lagi dan agenda utama yang membawa kucar-kacir politik UK ini ialah pendatang dan pendatang haram.

Hakikatnya semua negara dalam Kesatuan Eropah sedang berhadapan dengan masalah pendatang haram.

Belanda, Sepanyol, Belgium, Sweden, Denmark dan Greece – semua berhadapan dengan masalah pendatang haram. Malah pada tahun 2000 – Austria menjadi negara Eropah pertama yang memilih kerajaan berhaluan kanan yang menjadikan pendatang sebagai agenda kempen politik.

Di Eropah Timur perkara yang sama sedang berlaku. Malah negara bekas Blok Sosialis ini lebih keras lagi dasar menentang kemasukan pendatang.

Negara-negara seperti Poland, Lithuania, dan Latvia membina pagar keluli yang tinggi serta sistem pengawasan elektronik di sepanjang sempadan mereka dengan Belarus bagi menghalang lintasan tanpa kebenaran.

Soldadu diarah mengawal sempadan. Kerajaan secara rutin mengerahkan angkatan tentera dan unit pengawal sempadan khusus untuk mencegah cubaan kemasukan secara haram.

Undang-undang negara di beberapa buah negara Eropah Timur membenarkan tindakan menghalau balik serta-merta individu yang melintasi sempadan tanpa dokumen sah.

Jelas pendatang kini dilihat sebagai masalah utama. Pendatang dilihat sebagai musuh utama.

Amerika negara imigran yang asal-usulnya milik Orang Asli Red Indian, kini menjadi negara paling keras terhadap imigran dan pendatang. Walhal semua rakyat Amerika pendatang kecuali Red Indian.

Presiden Trump menjadikan imigran dan pendatang sebagai agenda politik. Malah Trump memperlekeh negara Eropah yang dianggap tidak keras seperti dasar Amerika bila berhadapan dengan pendatang.

Pendirian Donald Trump mengenai imigresen haram tertumpu pada strategi penguatkuasaan tanpa kompromi, pengusiran secara besar-besaran, serta penghapusan tegas dasar-dasar yang membenarkan pendatang tanpa izin untuk terus berada di Amerika Syarikat.

Bila Trump kembali berkuasa penggal kedua tahun 2025 Trump telah menjalankan kempen dan operasi besar-besaran menangkap dan menghantar pulang pendatang haram.

Trump telah memberi arahan dan mengeluarkan dana untuk Agensi ICE. Agensi ICE ialah lembaga Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam.

Lembaga ini di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. ICE bertugas mengawal sempadan, kastam, perdagangan, dan penguatkuasaan imigresen.

Lihat apa yang telah dilakukan oleh ICE atas arahan Presiden Trump semenjak Trump menjadi Presiden kali kedua.

Setakat Julai 2026, ICE telah menjalankan operasi menahan lebih daripada 1 juta individu. Angka bulanan terkini menunjukkan agensi tersebut menahan lebih daripada 46,000 individu pada bulan Julai ini sahaja.

Setakat ini ICE telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 41 insiden tembakan yang mengakibatkan 11 kematian.

Juga dilaporkan sejumlah lebih daripada 60 kematian yang dilaporkan berkaitan ketika operasi sedang dijalankan.

Dari mana asal-usul pendatang ini?

Untuk memudahkan pemahaman – semua pendatang ini datang dari Negara Dunia Ketiga. Negara Dunia Ketiga atau Negara Selatan ini ialah negara-negara dari Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Kesemua mereka ini meninggalkan negara tanah tumpah darah mereka untuk menuju ke negara Pertama atau Dunia Kedua iaitu Amerika Utara dan Eropah.

Persoalan timbul kenapa pendatang ini meninggalkan negara asal mereka dan menuju ke Amerika Utara dan Eropah Barat.

Jawapan mudah ialah tarikan ekonomi. Tarikan ekonomi ertinya peluang pekerjaan.

Faktor penarik utama – besi berani pekerjaan terus memanggil Warga Selatan untuk melintas sempadan menuju ke Utara untuk memperbaiki kehidupan.

Peluang pekerjaan sah menjadi tarikan utama. Malah mari kita kembali membuka sejarah ke satu tahap pasca Perang Dunia Kedua.

Lepas perang tahun 1945 – Eropah terpecah dua. Eropah Timur di bawah pengaruh Rusia mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Eropah Barat mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Jerman terpecah dua – Jerman Barat berkiblat kepada Amerika. Manakala Jerman Timur berkiblat kepada Rusia.

Tamat Perang Dunia Kedua Perancis dan UK jatuh muflis. Ekonomi negara ini musnah akibat perang. Hanya Amerika yang selamat tidak teruk dibantai dalam Perang Dunia Kedua. Justeru ekonomi Amerika amat kukuh.

Di Eropah pengaruh Parti Komunis dan Parti Sosialis amat kuat sekali. Ini kerana jasa gerakan haluan kiri yang berjuang menentang kaum Fasis Hitler dan Mussolini dalam Perang Dunia Kedua.

Amerika melihat ini bahaya besar terhadap kaum kapitalis. Dalam masa yang sama di Amerika sendiri kesatuan buruh dan kaum kiri dan Parti Komunis Amerika amat berpengaruh.

Justeru Amerika menjalankan apa yang dipanggil Pelan Marshall. Ini secara rasminya dikenali sebagai Program Pemulihan Eropah.

Ini merupakan program bantuan Amerika Syarikat pada tahun 1948 yang dicadangkan oleh Setiausaha Negara George C. Marshall untuk membangunkan semula Eropah Barat yang musnah akibat perang, memodenkan industri, serta membendung penyebaran komunisme.

Untuk ekonomi berkembang memerlukan tenaga kerja. Dana dari Amerika. Di bawah Rancangan Marshall, Amerika Syarikat memberikan $13.3 bilion bantuan asing kepada negara-negara Eropah antara 1948 dan 1952. Dalam wang hari ini, jumlah itu bersamaan dengan kira-kira $135 bilion hingga $150 bilion.

Pada awalnya warga Sepanyol dan Itali datang bekerja di Belgium, Belanda dan Jerman. Semua pendatang adalah warga Eropah yang mengamal budaya dan agama yang sama.

Di Jerman, Pelan Marshall berjaya memulihkan ekonomi. Ekonomi Jerman berkembang. Tenaga kerja masih diperlukan.

Bukan pendatang dari Tanah Melayu

Kerajaan Jerman tidak ada pilihan untuk memastikan ekonomi Jerman terus berkembang. Maka Jerman menjemput pekerja jemputan – Gastarbeiter – dari Turki. Pada 30 Oktober 1961, Jerman dan Turki menandatangani Perjanjian Pengambilan Tenaga Kerja Turki-Jerman yang rasmi.

Ini satu babak sejarah bilamana pendatang Turki negara Islam yang secara rasmi dijemput datang. Hakikatnya pendatang Turki telah lebih 60 tahun – tiga generasi di Jerman. Anak watan Jerman pasti telah berkenalan dengan warga yang bukan dari Eropah.

Great Britain atau UK sebelum Perang Dunia Kedua ialah kuasa terbesar dunia. Hampir tiga per empat muka bumi dunia ini di bawah takluk Baginda Raja England. Ini termasuk kita dari Tanah Melayu.

Tanah jajahan Great Britain berselerak di Negara Selatan. Raja England adalah Raja kita. Pound Sterling adakah duit kita. BBC ialah radio kita. London ialah kota rujukan kita. Hakikatnya semua anak tanah jajahan boleh keluar masuk ke UK. Ketika itu kita bukan... saya ulang... kita bukan pendatang haram dari Tanah Melayu.

Ini babak sejarah satu ketika dulu. Ini sebelum Nigel Farage dari Reform Party wujud. Ini sebelum kita mendengar sebutan Rohingya. Hari ini semua berubah. Apa telah berlaku? Tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS