KOLUM | Hari Isnin, 3 Ogos lalu ialah Hari Keadilan Rakyat yang diraikan oleh PKR sebagai hari ulang tahun penubuhan parti itu dengan mengambil sempena penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003 iaitu selepas tujuh tahun gerakan Reformasi dilancarkan.
Tentulah suasana sambutan tahun ini adalah muram kerana Pakatan Harapan kalah besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang diadakan dua hari sebelum itu.
Gabungan BN dan PN meraih majoriti dua pertiga sedangkan PKR hanya mampu memenangi satu kerusi, sama seperti dalam PRN Johor dan Sabah sebelum ini.
Dalam keadaan ini, PH tiada harapan pada PRN Melaka yang akan diadakan. Malah adalah sukar untuk menjangka bahawa PH boleh memenangi PRU ke-16 yang mesti diadakan pada tahun depan.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke telah pun meletak jawatan dan menyerahkan pada 4,000 perwakilan di persidangan khas pada 16 Ogos ini untuk memutuskan sama ada DAP terus kekal dalam Kerajaan Madani atau tidak.
Jika DAP mengambil keputusan untuk menarik diri, maka perkembangan politik selanjutnya ialah berkemungkinan Perdana Menteri akan membawa usul bagi pembubaran Parlimen untuk menyerahkan mandat kepada rakyat supaya memilih kerajaan baharu.

Tetapi jika DAP mengambil keputusan untuk keluar daripada PH, maka gabungan itu hanya terdiri daripada PKR dan Amanah. Ia juga boleh membawa kepada pembubaran terus PH dengan PKR dan Amanah berdiri solo.
Jika keadaan ini berlaku PKR dan Amanah boleh hanya menjadi parti-parti kecil yang hanya ada satu atau dua wakil di Dewan Rakyat dan DUN. Ia akan tidak lagi relevan.
Namun begitu, walaupun katakan PKR dan Amanah sudah tiada sekalipun, perjuangan Reformasi mungkin muncul dalam bentuk lain. Ini kerana ia merupakan sebahagian daripada gerakan progresif yang sentiada wujud di negara ini sejak Malaya belum merdeka lagi.
Ambil kira pengalaman perjuangan
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyeru PKR supaya menaikkan semangat yang mana dalam hantaran Facebooknya, beliau menulis: “Don’t Cry (Jangan meratap) PKR. Dunia Belum Kiamat “ Beliau menyeru agar PKR tidak panik dan tergesa-gesa membubarkan Parlimen.
Beliau menasihatkan supaya kerajaan Madani berkhidmat sampai habis penggal dan membuktikan kepada rakyat tentang prestasinya sebelum menyerahkannya kembali mandat kepada rakyat.
Walaupun Hassan sering kali mengeluarkan kenyataan yang kontroversi terhadap kerajaan dan parti yang bersifat kontrari (bercanggah) dengan pendirian pucuk pimpinan tetapi penyokong-penyokong PKR perlu mengambil kira terhadap pengalamannya dalam perjuangan.

Beliau adalah seorang vetwran aktivis pembangkang yang bersama Anwar Ibrahim semasa mengadakan demonstrasi pelajar-pelajar pada 3 Disember 1974. Hassan adalah ahli Kelab Sosialis Universiti Malaya. Tetapi ketika itu Anwar adalah Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) dan kemudiannya menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Selepas tamat pengajian, Hassan menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) pimpinan Kassim Ahmad. Beliau menjadi Setiausaha Agungnya. Sejak tahun 1974, PSRM yang menyertai PRU pada tahun 1974, 1978, 1982 dan 1986 tidak pernah memenangi sebarang kerusi Dewan Rakyat dan DUN.
Walaupun kemudian digugurkan perkataan “sosialis” ketika di bawah Dr Husin Ali, ia tidak pernah menang kerusi PRU pada tahun 1990 dan 1999.
Hassan yang bertanding berkali-kali sebagai calon PRM juga tidak pernah menang. Bagi PRM dan Hassan, kekalahan PRU adalah sebahagian daripada pengalaman panjangnya.
Ketika Anwar Ibrahim dalam Umno dari tahun 1982 hingga 1998, tentulah Hassan menjadi “musuh politiknya.”
Apabila Anwar dipecat daripada Umno, mereka yang membela beliau adalah PAS, PRM dan DAP.

Dalam PRU tahun 1999 itu, Keadilan, PAS, PRM dan DAP berpakat dalam Barisan Alternatif.
Keadilan memenangi lima kerusi. Tetapi pencapaian Keadilan itu turut disumbangkan oleh jentera PAS dan sokongan pengundi DAP. Namun PRM terus gagal meraih sebarang kerusi.
Maka pada tahun 2003, atas cadangan Anwar, Keadilan bergabung dengan PRM untuk mengukuhkan kepimpinannya yang telah kehilangan banyak pemimpinnya.
Syed Husin dilantik menjadi Timbalan Presiden. Maka Hassan Karim juga menjadi pemimpin PKR Johor. Menurut Syed Husin, perlembagaan PKR digubal menurut perlembagaan PRM.
PKR seolah-olah melanjutkan perjuangan lama PRM yang ditubuhkan pada tahun 1955.
Tetapi PRU tahun 2003, pendulum undi mengayun ke sebelah sana. PKR hanya berjaya mempertahankan satu kerusi, itu pun hampir kehilangan. Sebab itu PKR tidak asing dengan tinggal hanya satu kerusi parlimen. Ia seolah-olah sudah berakhir baginya.
Anwar bebas dari penjara tetapi beliau belum boleh menyertai PRU. Terapi pendulum menghayun ke sebelah sini pada tahun 2008.
BN kehilangan majoriti dua pertiga. Ia kehilangan lima negeri Semenanjung. PKR dapat menyandang jawatan Menteri Besar Selangor.
Anwar menamakan gabungan parti ini Pakatan Rakyat. Maka banyak orang berasa bahawa zaman PKR sudah tiba dan sedang menggantikan Umno.

Tetapi politik tidak begitu. Dalam PRU tahun 2013, Pakatan Rakyat gagal untuk mara. Walaupun PKR dapat kekalkan Selangor tetapi ia kehilangan Perak dan Kedah.
Sifat ahli politik dan parti politik di mana-mana pun di dunia tidak stabil lama, ia sentiasa bergolak. Dalam lima tahun pasti berlaku pergolakan politik.
Kestabilan dalam parti politik hanyalah suatu impian. Pergolakan pasti berlaku. Hanya bezanya adalah skalanya kecil atau besar, serius atau tidak. Lihatlah sejarah parti politik di mana-mana pun.
Bukan hendak solo semata-mata
Begitu juga dengan PKR. Ada satu ketika Hassan tidak puas hati keadaan PKR. Maka beliau keluar dan menghidupkan semula PRM.
Dari segi undang-undang, ia didapati tidak benar-benar dibubarkan ketika bergabung dengan Keadilan.
Setelah dapat menghidupkan semula PRM, beliau mencadangkan supaya ia menyertai Pakatan Rakyat. Kerana baginya PRM tidak akan menang tanpa bersama Pakatan Rakyat.
Cadangannya ditolak. Beliau pun kembali kepada PKR.
Tamparan besar berlaku pada Pakatan Rakyat selepas Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang merupakan pendukung kuat kerjasama PKR-PAS-DAP selepas beliau meninggal dunia.
PAS menolak kerjasama itu, dan Pakatan Rakyat bubar.

Penyokong kerjasama parti itu dalam PAS keluar parti dan menubuhkan Amanah . Parti ini meneruskan perjuangan dengan menubuhkan PH bersama PKR dan DAP pada tahun 2015.
Peluang untuk PH hendak menang lebih tipis berbanding Pakatan Rakyat. Paling utamanya ialah Amanah jauh lebih kecil berbanding PAS.
Sementara PAS bukan semata-mata hendak bertanding solo tetapi bekerjasama pula dengan Umno dengan memecahkan undi pembangkang.
Tetapi nasib pembangkang baik kerana Umno berpecah. Pembangkang sentiasa mengaut keuntungan apabila Umno berpecah iaitu seperti pada tahun 1990 ketika lahir Parti Semangat 46.
Bukan pendukung Reformasi
Umno berpecah kerana sifatnya sebagai parti politik. Selepas kemenangan besar di Negeri Sembilan ini pun sudah terdengar rungutan politik apabila berlaku pelantikan menteri besar yang di luar jangka.
Tunggu masa saja Umno akan bergolak. Semua parti begitu: PAS, PKR dan DAP. Hanya sama ada ia memberi kesan besar atau tidak.
Jabatan bagi pemimpin adalah bagaimana mengurus pergolakan dalaman parti dengan baik supaya tidak menjejaskan perjalanan parti
Maka hasil dari perpecahan Umno pada tahun 2016, lahirlah Bersatu yang berperanan besar menumbangkan kerajaan pimpinan Umno dan BN.
Tentulah keberadaan PH memungkinkan perkara iti terjadi. Maka kerajaan PH dapat ditubuhkan pada tahun 2018 tetapi ia bawah pemimpin Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Kunci kepada kejatuhan kerajaan PH pertama itu bukan saja Mahathir dan Bersatu menolak Anwar daripada menjadi perdana menteri, tetapi sebahagian ahli parlimen PKR sendiri turut menolak Anwar dan melompat ke Bersatu.
Sedangkan fahaman politik Bersatu adalah sama dengan Umno dan bukan pendukung Reformasi.
Maka tidak hairanlah apabila dalam PRU tahun 2022, PH hanya mampu menjadi gabungan terbesar tetapi bukan majoriti. Ternyata sebahagian besar rakyat menolak Anwar dan PH.
Walaupun Anwar berusaha bersungguh-sungguh dalam pentadbiran negara, tetapi prestasi dan ketokohan beliau tidak dapat menambah sokongan rakyat.
Dengan memainkan isu-isu perkauman, sudah cukup untuk rakyat meninggalkan Anwar, PKR dan PH.
Malah ada pendukung-pendukung PKR pun meninggalkan parti hingga sanggup menubuhkan Parti Bersama Malaysia.
Hubungan tidak begitu stabil
Walaupun Bersama gagal memenangi kerusi di PRN Johor tetapi ia berjaya memecahkan indi PH hingga ada kerusi itu jatuh kepada BN.
Buat masa ini adalah dijangkakan PH akan kalah besar bukan saja di Melaka tetapi di peringkat persekutuan.
PH tidak berupaya menangkis kempen bernada rasis BN-PN. Ia hanya menghitung hari untuk menerima kekalahan.
Hampir pasti bahawa Anwar tidak akan lagi menjadi perdana menteri.
Tetapi apa saja boleh berlaku dalam beberapa bulan ini. Parti politik boleh kecundang di tangga kemenangan. Hubungan Umno dan PAS bukanlah stabil sangat.
Kalau menurut rekod, ia akhirnya akan pecah juga. Cuma tidak tahu bila. Dalam Umno juga pasti bergolak. Ada pemilihan pasti ada kumpulan politik.
Di Malaysia, parti politik liat berubah. Walaupun sudah tidak relevan. Ia tetap ada dan boleh hidup kembali.
Namun begitu, jika PKR tiada sekalipun, obor perjuangan Reformasi dan getakan progresif tetap diteruskan oleh pihak lain pula. Idealisme dan harapan tiada penghujungnya.
ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
