Dunia pada waktu ini menghadapi tiga cabaran utama.
Pertama, ancaman Kecerdasan Buatan (AI) terhadap manusia. Kedua, penurunan kelahiran manusia. Ketiga, cabaran ekonomi yang merupakan kesan daripada peperangan Israel/Amerika dengan Iran yang tidak berkesudahan.
Malaysia adalah sebuah negara kecil dengan bilangan penduduknya yang juga rendah. Maka negara ini sebenarnya perlu mengoptimumkan keupayaan penduduknya untuk menjayakan kehidupan bersama, dalam segala lapangan kehidupan termasuk bidang politik dan kepimpinan.
Sebab itu, Malaysia memerlukan tenaga politik dari semua kaum dan bukannya dari orang Melayu saja. Bukan saja dari parti-parti tertentu saja tetapi semua parti supaya semua tenaga politik boleh digunakan untuk kepentingan negara dan rakyat.
Dalam hal ini, gagasan Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas kepada Kerajaan Madani adalah gagasan terbaik supaya semua parti boleh menyumbang tenaga mereka dalam kabinet dan kerajaan.

Makanya perpaduan antara kaum atau perpaduan nasional yang inklusif adalah lebih utama daripada perpaduan sesuatu kaum yang eksklusif, mendominasi dan hegemonistik.
Malaysia memerlukan ahli-ahli politik yang mahir dan berkemampuan untuk menghadapi cabaran-cabaran besar ini. Sebenarnya bukan saja ahli politik tetapi juga perkhidmatan awam dan sektor swasta yang bukan saja berintegriti tetapi cekap.
Malangnya bulan Ogos ini dapat disaksikan betapa Malaysia sedang melalui suasana tidak menentu antara lain disebabkan politik identiti dan mentaliti perkauman di kalangan rakyat.
Bulan ini bermula dengan kemenangan pakatan BN-PN dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 1 Ogos dan menjadi tamparan besar kepada PH.
Tarikh 3 Ogos lalu pula adalah Hari Keadilan Rakyat iaitu ulang tahun tertubuhnya PKR dengan penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ke-23. Dengan menjadi kerajaan selama lebih tiga tahun merupakan satu kejayaan walaupun tidak mempunyai majoriti adalah merupakan suatu pencapaian bagi Anwar Ibrahim, PKR dan PH. Tetapi oleh kerana kekalahan dalam PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, maka sambutan itu hilang seri.
Seperti sejak 69 tahun lalu, bulan ini akan berakhir pada sambutan hari kebangsaan. Kali ini 31 Ogos adalah tarikh yang tidak menggembirakan Kerajaan Perpaduan. Ada keretakan pada perpaduan PH-BN. Ia menggembirakan BN yang memenangi dua PRN tapi mendukacitakan buat PH. Kedudukan Kerajaan ini akan ditentukan pada Ahad ini, 16 Ogos.
DAP tarik sokongan atau tak?
Pada hari itu DAP akan mengadakan Persidangan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pada hari itu, 4,264 anggota perwakilan dari 1,704 cawangan DAP akan membanjiri Putrajaya dan mengundi sama ada mereka akan menarik diri daripada kerajaan atau kekal.
Tetapi DAP menegaskan bahawa jika para perwakilan mengambil keputusan menarik diri daripada kerajaan, 40 ahli parlimennya tetap menyokong kerajaan, dan Anwar tetap menjadi perdana menteri.
Cuma kabinet beliau tidak akan ada menteri dari DAP. Perdana menteri kena melantik menteri lain. Mungkin Umno akan dapat menambah menterinya.

Sudah tentu tidak dapat dijangkakan apa yang akan dilakukan oleh perdana menteri apabila perkara ini berlaku. Sama ada DAP dalam kerajaan atau tidak, perdana menteri akan mengambil kira suara atau tuntutan DAP untuk perubahan institusi yang perlu dilakukan kerajaan sebelum tamat tempoh penggal berakhir.
Sehari sebelum persidangan DAP itu, Konvensyen Nasional PKR akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada 15 dan 16 Ogos. Pastinya ucapan-ucapan disampaikan untuk membicarakan keadaan parti dalam masa cabaran ini.
Tetapi cabaran yang lebih awal PKR hadapi datangnya dari dalam parti. Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan timbalan presiden PKR pada 6 Ogos lalu.
Walaupun peletakan jawatan itu ditolak dan digantikan dengan cuti sementara tetapi sudah tentu ia memberi kesan kepada PKR. Ternyata PKR menghadapi krisis kepimpinan.
Jika Anwar sudah tidak lagi menjadi presiden, siapakah pengganti beliau untuk menjadi pemimpin PKR? Nurul Izzah diharapkan dapat menggantikan bapanya untuk mengetuai PKR. Tetapi jika Nurul Izzah berkeras dan enggan kembali untuk memimpin PKR, maka tanggungjawab memimpin jatuh pada Saifuddin Nasution Ismail dan Amirudin Shari.
Ternyata PKR ketandusan pemimpin lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Rafizi Ramli dan sekutu-sekutunya yang sudah keluar secara beramai-ramai untuk menubuhkan Bersama yang peranannya hanya memecah undi PH.
Jika PH terus mengetuai kerajaan, jawatan perdana menteri mesti datang dari PKR dan bukannya DAP atau Amanah. Tetapi tanpa Anwar, jawatan perdana menteri boleh jatuh pada timbalan-timbalannya iaitu Ahmad Zahid Hamidi atau Fadillah Yusof yang kini pula sedang cuti rehat selepas rawatan.
Sekurang-kurang sepenggal lagi
Anwar menjalankan pembedahan pada 10 Ogos lalu dan sedang cuti rehat. Iaitu pada hari sama beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-79. Beliau masih boleh lagi aktif sekurang-kurang sepenggal lagi.
Namun begitu dari keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, adalah sukar untuk PH menang lebih-lebih lagi apabila berlaku pakatan BN dengan PN.
Tetapi andai kata PH kalah sekalipun, Malaysia tetap menghadapi krisis kepimpinan. Jika BN-PN menang tentulah Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi perdana menteri. Jawatan timbalan perdana menteri berkemungkinan perlu diberikan kepada PN, dan calonnya kemungkinan bukan dari PAS tetapi Wawasan iaitu Hamzah Zainudin.

Dalam Umno, besar kemungkinan akan berlaku pergolakan. Maka akan muncul tokoh-tokoh seperti Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu menjadi presiden.
Pada 10 Ogos juga, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang merupakan sekutu Rafizi meletak jawatan. Beliau mungkin diikuti oleh ahli-ahli parlimen Bersama lain. Tindakan mereka ini menghakis bilangan penyokong kerajaan. Ia boleh memberi tekanan kepada Anwar untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal.
Sejak menjadi kerajaan pada tahun 2022, sudah banyak aktivis yang meninggalkan parti atas pelbagai sebab walaupun Anwar bersungguh-sungguh dalam memimpin negara dan berusaha mencapai prestasi pentadbiran yang sewajarnya. Tetapi banyak pula orang PKR yang tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka.
Tetapi suasana yang serupa juga berlaku pada DAP. Para penyokong DAP telah berpaling daripada parti mereka baik dari segi aktiviti mahupun undi. Ternyata mereka tidak berpuas hati dengan kerja DAP dan PH walaupun pemimpin mereka, Anthony Loke kelihatan bekerja kuat.
Bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu telah mengumumkan penyertaan beliau dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 9 Ogos lalu. PBM diketuai oleh Larry Sng, bekas pemimpin PKR. Parti itu juga pernah disertai oleh Zuraida Kamaruddin, juga bekas PKR.
DAP bolehlah menjarakkan diri daripada PKR dan Anwar untuk menunjukkan bahawa dalam kabinet, mereka terpaksa berkompromi dengan anggota kerajaan yang lain termasuk dengan Umno dan Anwar sendiri.
Banyak penyokong PH mengharap satu “keajaiban” dapat dilakukan oleh Anwar sedangkan beliau terpaksa membuat pelbagai imbangan antara DAP dengan Umno.
Lihatlah berapa banyak aktivis PKR dan DAP yang enggan aktif dan sedikit sebanyak telah menghakis bukan saja sokongan orang ramai tetapi juga semangat para penyokongnya yang boleh menjejaskan kutipan undi untuk PH dalam PRN dan PRU akan datang.
Umno juga akan didesak keluar kerajaan?
Bulan depan iaitu pada 9 September, Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung dalam suasana yang berbeza daripada apa yang dilalui oleh PKR dan DAP. Perasaan gembira dengan masa depan yang cerah akan mewarnai persidangan itu. Mungkin ada seruan supaya Umno menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan dan menyeru PRU dapat diadakan dengan segera. Tidak ada guna bagi BN untuk tunggu kerana mereka sudah boleh menjadi kerajaan.
Dalam pada itu, dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu, ahli-ahli parlimen PN kecuali dari Bersatu bertindak keluar dewan kerana enggan mengambil bahagian dalam Sidang Khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. Bukanlah sangat mengenai laporan itu tetapi tindakan mereka itu adalah gimik politik untuk menunjukkan kekuatan mereka.

PN sudah berasa bahawa mereka mampu menjadi kerajaan pada PRU akan datang melalui pakatan dengan BN.
Tidak ada jalan lain bagi PH. Lawan tetap lawan kerana pihak lain sudah tidak mahu berkawan. Walaupun berkemungkinan akan gagal tetapi mereka tetap perlu masuk gelanggang. Anwar, Saifuddin, Amirudin, Loke, Mohamad Sabu dan Mujahid Yusof memerlukan keajaiban untuk membawa PH kepada kemenangan.
Dalam hal ini, PH wajar menyatukan parti-parti yang bersefahaman dalam hal berdepan dengan BN dan PN. PH pula wajar membuka payung besar mengajak kembali Bersama, Muda, dan malah Bersatu dengan mengingat kembali bagaimana perjuangan mereka berdepan dengan BN dan PAS pada tahun 2018.
Tentulah ia masih tidak menjamin kemenangan, tetapi sekurang-kurangnya mengelak pecah undi.
ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
