KOLUM | Sempena negara menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, ada baiknya rakyat Malaysia membetulkan hala tuju pandangannya, iaitu ke masa depan.

Itulah sebenarnya tujuan diadakan sambutan Hari Kebangsaan, untuk rakyat berhenti sejenak dan merenung keadaan negara pada waktu ini dan memulihkan azam bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Maknanya, walaupun Hari Kebangsaan ini diadakan bagi memperingati ulang tahun Malaya atau Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British 69 tahun lalu, tetapi manfaatnya adalah lebih kepada apa yang perlu rakyat lakukan pada waktu ini.

Ia juga bererti rakyat wajar memandang ke depan dan bukannya ke belakang. Ini kerana apabila melihat ke belakang terdapat beban sejarah yang sudah berlalu, dan ia tidak boleh dibuat apa-apa, kecuali menangani segala masalah yang ditimbulkan akibat perbuatan dan keputusan yang diambil oleh generasi terdahulu.

Sememangnya mempelajari dari sejarah adalah suatu yang sering dituntut. Dengan pengetahuan sejarah, rakyat akan dapat menghargai atau mengapresiasi pencapaian dahulu dan sumbangan generasi sebelum ini.

Tetapi sejarah yang mana? Terdapat beberapa naratif sejarah. Sama ada naratif politik atau naratif akademik.

Naratif politikpun ada pelbagai. Naratif politik rasmi adalah yang terkandung dalam buku teks pendidikan nasional dan mempunyai agenda membina negara dari sudut pandangan pihak yang berkuasa dalam bentuk parti yang menang lama dan negara terpendam (deep state).

Sementara naratif politik alternatif dikemukakan oleh pihak pembangkang yang mencabar naratif kerajaan. Terdapat pelbagai naratif pembangkang. Ada yang bersifat akomodatif iaitu mengambil kira semua kisah sejarah. Ada pula bersifat ekstrem.

Dari kalangan pendukung ketuanan Melayu akan melihat sejarah dari satu sudut perkauman. Begitu juga dari golongan penolak ketuanan Melayu yang langsung tidak mengiktiraf kedaulatan kerajaan Melayu sebelum kedatangan British. Sudut pandangan mereka juga bernada perkauman.

Paling selamat adalah mengikut ahli sejarah akademik. Tetapi cara itu pun bermasalah. Ini kerana dunia akademik termasuk kajian sejarah dirintis oleh Barat.

Fakta tetap fakta

Maka sudah tentu penyelidikan mereka walaupun berfakta diwarnai oleh kaca mata Barat. Lebih buruk lagi mereka pasti menurut agenda kuasa imperialis khususnya British. Tentulah universiti yang mereka dirikan adalah untuk memenuhi kepentingan kolonial mereka.

Perkara ini sepatutnya berakhir apabila negara mencapai kemerdekaan. Tetapi kajian akademik termasuk sejarah tetap diwarnai oleh ahli sejarah kolonial. Dunia kajian kolonialisme tidak terlepas daripada pasca-kolonialisme.

Walaupun kemudiannya sudah banyak ahli akademik tempatan yang muncul setelah sekian lama negara mencapai kemerdekaan. Tetapi universiti-universiti selepas merdeka ini juga tidak terlepas daripada agenda pembinaan negara parti pemerintah.

Walaupun secara tidak sedar, ahli sejarah nasional zaman merdeka mempunyai kecenderungan untuk bersifat hegemoni ke atas aliran-aliran lain. Namun begitu, naratif akademik yang sejati tetap lebih baik daripada naratif politik pihak berkuasa.

Maka apa yang terbaik ialah apabila melihat belakang, ambil kira semua naratif, gunakan pemikiran kritis dan membuat penilaian sendiri. Maka jadikanlah sejarah sebagai suatu yang mendatangkan manfaat dan mudarat. Fakta tetap fakta dan menghadapinya tidak perlulah apologetik.

Hari Kebangsaan yang dipilih ialah tarikh 31 Ogos 1957 untuk memperingati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh itu tiada mengena dengan Sarawak dan Sabah.

Namun begitu, ia merupakan hari kebangsaan bagi seluruh negara termasuk Sarawak dan Sabah. Ia merupakan satu hari inklusif dan integratif. Ini kerana pembentukan Malaya merdeka merupakan asas kepada Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963.

Seluruh Malaysia menyanyikan lagu kebangsaan seperti mana Malaya lakukan sebelum tertubuhnya Malaysia. Bendera dan jata negara adalah juga sama dengan penambahan kedua-dua wilayah.

Pandang ke depan, bukan belakang

Terdapat banyak kejayaan dan pencapaian sepanjang sejarah Malaysia. Juga terdapat banyak kegagalan dan kesilapan yang Malaysia lakukan sejak tahun 1963. Mana lebih banyak?

Pencapaian atau kegagalan? Biarlah ahli sains politik membuat kajian dan menilainya. Bagi saya, kejayaan dan kegagalan adalah sama banyak.

Tetapi lebih baik pandang ke depan dari ke belakang. Dengan melihat ke depan, dapatlah rakyat negara ini menyaksikan cabaran-cabaran yang jelas dan yang tersembunyi.

Sebelum menilai masa depan, apa yang perlu dilakukan adalah kesedaran tentang apa yang menjadi realiti pada negara. Realiti mesti diterima dengan hati terbuka dan dari situ jalan ke depan adalah lebih jelas dan berfokus.

Realiti utama adalah bahawa rakyat negara ini adalah berbilang kaum. Itulah realiti yang mesti diterima seadanya. Tidak ada perubahan tentang perkara ini. Rakyat negara ini mesti menerima semua kaum yang sedia ada, dan dari situ barulah dapat memandang dan melangkah ke depan.

Dengan menyedari perkara ini, politik identiti dan melihat semua perkara dari sudut pandangan kaum adalah suatu sikap pandang ke belakang.

Satu lagi hakikat ialah Malaysia terdiri daripada tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Patriot sejati akan seboleh-bolehnya mempertahankan integriti wilayah.

Tidak ada wilayah yang boleh meninggalkan negara ini. Tidak ada wilayah yang boleh disingkirkan dari negara.

Cakap-cakap untuk pemisahan dan kemerdekaan wilayah perlu dihentikan kerana itu bukan pandangan ke depan. Apa yang menjadi masa depan ialah hubungan lebih rapat antara ketiga-tiga wilayah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada berkata bahawa Malaysia mendokong dasar satu China. Sudah tentu Taiwan itu adalah sebahagian dari China walaupun ia diperintah oleh kerajaan lain. Begitu juga Malaysia.

Negara ini akan tetap mempertahankan integriti semua wilayah-wilayah.

Hakikat bahawa pada waktu dulu, cadangan projek pembentukan Malaysia merangkumi Brunei dan Singapura hanya merupakan kenangan sejarah.

Tetapi pada waktu ini dan akan datang Sarawak dan Sabah tetap sebahagian dari Malaysia.

Seperkara lagi, projek Malaysia dari segi sejarahnya amat berasas kepada soal perkauman.

Oleh kerana perkembangan geopolitik mendorong keperluan Singapura bergabung dengan Malaya dan penyertaan Sarawak dan Sabah disebabkan kepada pertimbangan kaum, maka sudah tentu perjalanan sejarah tidak terlepas daripada percaturan kaum.

Namun begitu, perkara itu adalah sejarah dan ia terus mewarna suasana politik negara hingga ke masa kini dan pada masa datang. Tetapi itulah yang rakyat negara ini perlu lakukan apabila pandang ke depan iaitu tinggalkan politik perkauman.

Inilah apa yang disebut oleh Jomo K Sundaram dalam ucapannya hujung minggu lalu bagi memperingati 30 tahun ketiadaan bekas pemimpin Parti Buruh Dr Tan Chee Khoon.

Walaupun sejarah negara diwarnai dengan pertimbangan perkauman, tetapi ada pada satu masa dahulu, terdapat ahli-ahli politik yang berjuang tidak pada orientasi perkauman tetapi kepada prinsip.

Menurut beliau, Dr Tan salah seorang ahli politik yang melihat politik di luar perkiraan kaum. Dr Tan bekas ketua pembangkang di Parlimen mewakili gabungan Barisan Sosialis (Parti Buruh dan Parti Rakyat) sehingga 1968.

Selepas kemerosotan Parti Buruh, Dr Tan kemudian mengasaskan parti Gerakan bersama Dr Syed Hussein Al-Attas pada 1968, sebelum menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pada 1972.

Anasir perkauman guna media sosial

Menurut Jomo, orientasi politik Dr Tan tidak pada perkauman dan ia boleh dilakukan walaupun dorongan untuk ke arah perkauman adalah kuat.

Maka apabila seseorang memandang ke masa depan, ia perlu berpaksikan kepada perkiraan nasional dan tidak pada kaum kerana sikap perkauman itu akan membawa kepada perpecahan dan perbalahan yang menjejaskan pembinaan negara.

Bekas pemimpin Parti Buruh dan ketua pembangkang parlimen gabungan Barisan Sosialis, Dr Tan Chee Khoon.

Adalah mudah untuk terdorong kepada sentimen perkauman lebih-lebih lagi diperkayakan dengan alasan keagamaan.

Anasir-anasir perkauman itu menggunakan media sosial yang mudah memanipulasi persepsi orang ramai.

Sedangkan semua isu tidak perlu dilihat dari sudut perkauman. Ia boleh dilihat dari sudut nasional atau kepentingan rakyat dan orang ramai.

Itulah cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia pada zaman-zaman mendatang.


ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.