KOLUM | Pertembungan manusia, haiwan di Sungai Manik
KOLUM | Hutan belantara berhampiran Sungai Batang Padang dan lima kilometer dari pekan Teluk Intan (waktu itu dikenali dengan Teluk Anson) pada 1930-an diteroka untuk dijadikan jelapang padi seluas 25 ribu ekar.
Dalam catatan kolonial, hutan belantara itu dipenuhi pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan liar termasuk gajah dan badak sumbu. Begitulah mata kolonial melihat.
Mereka bukan sahaja memandang haiwan yang besar dan endah pada kewujudan ular, pelanduk, babi, tenggiling, monyet, kucing hutan, juga memberi perhatian kepada burung, unggas dan serangga.
Mereka melihat manusia yang menjadi penghuninya juga sebagai suatu yang eksotik – unik, menarik tetapi mundur.
Mereka memandang, menyelidik, merancang dan mencari keuntungan.
Sebelum pembukaan hutan untuk jelapang padi, British membuka hutan untuk membina jalan perhubungan darat termasuk landasan keretapi. British membuka laluan khazanah untuk dipunggah ke negara asal mereka.
Projek pembinaan landasan kereta api Tapah ke Telok Anson sepanjang 29km dibuka pada 6 Sept 1893. Pembinaan itu telah mengubah landskap geografi fizikal di kawasan berkenaan.
Sejarah pemerasan khazanah oleh penjajah pun semakin ghairah.
Entah berapa ribu tahun sebelum itu, haiwan liar menjadikan daerah itu sebagai habitat yang aman damai sehinggalah British hadir di Tanah Melayu sebagai kuasa yang membawa pembangunan dan kemajuan.
Para juruukur melakar peta dan memecah-mecah tanah di atas kertas disebut geran seperti memotong kek untuk ditelan.
/file/attachments/orphans/muh2_958360.jpeg)
Papan peringatan untuk gajah
British datang bukan sahaja mengubah fizikal muka bumi tetapi mengubah geografi kemanusiaan termasuk sosio budaya dan politik. Perubahan itu mengundang pertembungan antara manusia dengan haiwan yang menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat haiwan.
Ada pertembungan dicatat dalam media kolonial dan cerita lisan orang tempatan.
Akhbar The Straits Budget pada 10 Feb 1910 melaporkan sekumpulan 13 ekor gajah melintas laluan kereta api barang dari Tapah – Teluk Anson di Chikus hingga menyebabkan gajah terluka akibat terlanggar sebahagian gerabak.
Bagaimanapun, kumpulan gajah itu beredar dan tiada kerosakan kereta api dilaporkan.
Lebih sedekad sebelum itu atau lebih tepat pada 17 Sept 1894 di Sungai Kerawai, seekor gajah mengamuk melanggar kepala keretapi dan menyebabkan gerabak tergelincir.
Gajah itu terkorban.
Sungai Kerawai terletak kira-kira 5km dari pekan Telok Anson. ‘Gajah Sungai Kerawai’ merupakan simbol pertembungan antara manusia dengan hidupan liar – gajah.
Satu papan kenyataan batu didirikan oleh British bagi mengenang peristiwa tersebut. Papan kenyataan bertulis bahasa Inggeris itu mencatatkan: “Di sini ditanam seekor gajah liar yang sedang mempertahankan kawanannya telah menyerang dan mengelincirkan keretapi pada 17 September 1974”.
Tulisan itu memberi mesej tentang mahalnya pengorbanan gajah tersebut. Cerita tentang pengorbanan gajah yang dianggap lagenda tempatan itu kini ditelan waktu.
Generasi muda sudah pupus daripada ingatan cerita itu. Ia hanya tersimpan pada ingatan dan lisan generasi tua yang tiada ghairah menurunkan cerita.
Akhbar The Straits Times pada 17 Mei 1936 menyiarkan tentang hutan belantara Sungai Manik yang penuh dengan segala aneka hidupan liar termasuk gajah.
Catatan Alfred Russel Wallace dalam ‘The Malay Archipelago’ (1869) yang merekodkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan di alam Melayu.
Wallace ialah tokoh penting yang membantu Charles Darwin mengemukakan teori evolusi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/c9e3f5c1ef235cf714458e683d844b70.jpg)
Semua sudah pupus
Catatan pengembara Inggeris pula, Isabella Bird, dalam karyanya ‘The Golden Chersonese’ (1883) ada menceritakan tentang gajah di Perak tetapi tidak ke Telok Anson.
Ketika itu menurut Isabella Bird, gajah menjadi alat pengangkutan yang membawa dia mengembara sewaktu di Kuala Kangsar.
Menurut akhbar The Straits Times, terdapat kira-kira 28 ekor gajah liar dan 14 daripadanya telah mati ditembak di hutan Sungai Manik.
Tidak pasti faktor gajah-gajah itu ditembak. Mungkin untuk memudahkan urusan pembukaan tanah berjalan lancar. Jika mengikut kebiasaan orang tempatan, gajah liar akan dijinakkan dan boleh dieksport.
Di samping itu juga, gajah jinak boleh digunakan sebagai alat pengangkutan kepada para pembesar. Dalam koleksi surat-surat Francis Light ada surat yang mencatatkan tentang jual beli gajah antara pembesar negeri dengan pedagang-pedagang luar.
Akhbar The Strait Times itu juga menyatakan bahawa baki gajah diusir keluar ke hutan lain. Begitu juga badak-badak sumbu terpaksa dihalau keluar dari kawasan tersebut.
Tidak jelas kaedah menghalau haiwan-haiwan tersebut.
Mungkin haiwan itu sendiri yang membawa diri jauh ke dalam hutan. Tiada siapa mengisahkan perihal atau nasib haiwan-haiwan itu. Mungkin ditembak, kelaparan atau pupus sendiri akibat hukum alam.
Kini, gajah atau binatang liar sudah pupus sepenuhnya di Sungai Manik atau sekitar daerah tersebut meski British sempat mewartakannya sebagai hutan simpanan.
Gajah hanya tinggal pada nama tempat seperti Kampung Gajah di Perak Tengah, Gunung Gajah di Kampar atau Batu Gajah di Lembah Kinta.
Hutan simpanan Chikus yang terletak kira-kira 20km dari Teluk Intan yang seluas lebih kurang 6,000 hektar menjadi rizab alam sekitar, tadahan air, biodiversiti dan habitat hidupan liar.
Hutan tersebut diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada 1909.
Ia terletak antara Sungai Merbau dengan Sungai Pahlawan dan dikelilingi petempatan dan aktiviti kemanusiaan lain.
Meski ada usaha memelihara keseimbangan alam dan menjaga hutan simpanan, tetapi tiada jaminan pertembungan antara manusia dan haiwan dapat dihentikan.
Manusia yang berhati haiwan jauh lebih ganas dari haiwan ganas. Manusia jenis ini akan menghapuskan haiwan dan manusia sekali gus.
Akan sampai waktu itu, Sungai Manik yang menjadi saksinya.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/muh_566344.jpeg)
