KOLUM | Di WTC tempat berlangsungnya Persidangan Agung Umno, masyarakat Umno sedang menanti tanpa rasa silu pengumuman kemungkinan Najib Razak diampun dan dibebaskan.

Bekas Presiden Umno yang memalukan negara itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Tahun lalu - pada 26 Dis - Najib sekali lagi didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Beberapa kilometer dari WTC, atau tepatnya di Istana Budaya, pementasan teater muzikal Mansur dan Liu arahan M Nasir sedang berlangsung. Ceritanya ialah mengenai penyatuan agung Sultan Mansur Syah dari Kesultanan Melayu Melaka dengan Puteri Liu (Hang Li Po) dari China.

Muzikal itu memang wow dan saya secara peribadi berpandangan ia mencipta sejarah pementasan teater moden Malaysia.

Selain daripada ia merupakan muzikal hampir penuh - dengan 30 buah lagu ciptaan maestro penting negara kita - teater itu juga pada aspek dramaturginya menyimpan mesej siasah yang penting untuk dihimbau dan diteliti.

Tentu sahaja harapan bagi pencinta sejarah bangsa, kumpulan patriot yang menggilai ketuanan dan kewibawaan Melayu akan membayangkan Melaka yang unggul. Untuk memenuhi nafsu mereka, set pementasan oleh Yusman Mokhtar dan Along Hazirin dibina serba cukup lagi gemilang bagi memaparkan kehebatan Melaka.

Pasar dan Istana Melaka misalnya menjadi-jadi.

Cabaran buat pemuda belia

Sebagai sebuah muzikal epik yang perlu ada unsur kekaguman, air tangan Hamzah Tahir (pengarah artistik) dan Rafi Mohd (pengarah muzik) dilengkapkan oleh kerja tari Raziman Sarbini (adegan tempur menjadi kesukaan saya).

Dan ia juga penuh warna-warni. Naz Manterang menjadikan busana Mansur dan Liu dipenuhi seri, bukannya sekadar lip-lap biasa.

Tetapi Melaka yang ideal itu jangan hanya diromantasikan. Melaka adalah gambaran watak-watak Melayu hari ini. Dan kerana itulah pesan politik dalam muzikal itu mengatasi sejarah Mansur Syah, dan muziknya M Nasir.

Saya percaya M Nasir bukan saja mahu dikenang sebagai seniman dalam teater tersebut, tetapi lebih sebagai genius Melayu. Sebagai seorang guru bangsa.

Pembukaan teater, dengan kareografi yang memukau ala teater Greek memperkenalkan antagonis pementasan; Amerul Affendi sebagai Syahbandar. Watak itu akan mengacau kestabilan negeri sepanjang tiga jam pementasan, selain bekerjasama dengan musuh luar, menyakau, menerima rasuah dan korupsi, mengacum dan mendanai deep state, memanipulasi penjawat awam iaitu para pembesar, menenggek kejayaan pembesar lain, mencipta progapanda jahat terhadap sultan dan berhasrat untuk menurunkan baginda secara tidak sah.

Dan Syahbandar itu bukanlah bangsa lain, melainkan berbangsa Melayu juga, dengan pura-pura mencintai negeri Melaka.

Anda kenal watak itu?

Intro yang cukup menggugah itu menggusur ke China untuk adegan Maharaja China mandi dengan air basuhan kaki Sultan Mansur; dan siapa sangka bait Beta Dah Sembuh, Raja Dah Sembuh boleh menjadi lagu yang sedap?

Saya menyukai amat siri persembahan yang disajikan oleh Maharaja China kepada rombongan Melaka yang diketuai oleh Tun Perpateh lakonan cemerlang Taqim Zaki.

Bukan senang untuk seorang pemuda belia sepertinya membawa watak orang tua. Tetapi Taqim bertukar seluruhnya menjadi seorang bangsawan bijaksana. Bahkan garau dalam suaranya membuatkan kita tidak cam.

Siri persembahan ala Sino di Istana Cina itu bukan sahaja mencipta kekaguman yang mesti dalam muzikal tetapi merupakan isyarat awal naratif politik yang berkesan. Akrobat kecil dan opera Cina menghiburkan.

Kejayaan untuk Melaka

Serentak itu, di Melaka, kita akan melihat politik para wanita di belakang pintu. Kerjanya menghasut, memberi retorika yang palsu, mendorong kejahatan, menyokong sakau dan kemuncaknya ingin meracun Liu, Puteri Cina yang akan berkahwin dengan Baginda Sultan.

Tentu ia dianggap wajar kerana Liu dan rombongannya dilukiskan sebagai orang asing yang datang merebut takhta permaisuri. Pada mereka Melayu - iaitu Mansur Syah - dianggap lemah kerana rebah di sebelah perempuan Cina. Mereka gagal melihat gambaran besar.

Simbolik ancaman Siam dan bantuan China, diseli dengan paparan pemimpin sempurna pada Mansur Syah dan kebalikannya yang bencana pada Datuk Syahbandar sangat akurat dengan apa yang ada hari ini.

Adegan di atas kapal apabila Sultan Mansur menyamar menyambut rombongan China menjadi dialog antar budaya (belajar bahasa Mandarin dan Jawi) yang kental dan menusuk.

Penyatuan Melayu-Cina secara sihat dan bakal membawa kejayaan untuk Melaka ini tentu sahaja dicemburui Melayu kepam yang datang dengan hasut merosakkan. Tujuan hasutan itu pula bukan untuk membantu melainkan untuk menjayakan Siam menawan Melaka.

Di sela itu ada banyak pesan supaya jangan berkelahi, bermusyawarah, jangan mengkhianati dan sentiasa memilih menjadi negarawan dan bukan mengkehadapankan agenda sendiri.

Muzikal itu ada telenovelanya, khusus untuk mereka yang enggan berfikir.

Aliff Aziz si Raja Telenovela sangat masuk sebagai sosok Mansur Syah. Badannya tegap, bahunya sasa dan kenta, selain suaranya sedap dalam. Emosi dan lakonannya sungguh mengesankan.

Tentu Liu, Melinda Dadew menjelma seiring dengan beliau. Brian Chan sebagai Lin Hao juga perlu dipuji. Dialog muzikal itu meski awam, banyak tempatnya menggigit.

Teater tersebut meski sangat panjang, nah, kita boleh toleran dengan filem-filem mega Hollywood bukan? Mengapa tidak mengalah sekejap dengan muzikal sesedap itu. Dan naratif panjang menjadi kemas dan menggiurkan apabila Liu yang mengenakan busana Cina sepanjang pementasan auto menukar busana berbaju kurung keemasan di hujung pementasan tanda asimilasi budaya agung dua peradaban.

Mansur Syah dan Liu akhirnya menyatu dan mencipta kegemilangan Melaka yang kita kenal itu.

Mansur dan Liu ialah muzikal spektakular dan akan menjadi penanda aras untuk satu tempoh yang lama.