KOLUM | Pertama kali saya hadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) ialah pada tahun 1982, iaitu selaku seorang pemberita yang membuat liputan. Perhimpunan itu diadakan di Hotel Hilton, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Bangunan hotel paling mewah ketika itu pun kini sudah tiada.

Di atas pentas itu, kelihatan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Musa Hitam. Anwar Ibrahim turut berada di atas pentas selaku Ketua Pemuda Umno. Beliau baru saja mengalahkan Suhaimi Kamaruddin dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Minggu lalu, PAU tahun 2026 diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur. Di atas pentas duduk Presiden Umno, Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hassan.

Kalau pada tahun 1982, Barisan Nasional telah menang besar dalam pilihan raya umum dan berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga yang diperoleh sejak tahun 1974. BN tidak perlu berkongsi kuasa. Umno mendominasi BN.

Sebagai kerajaan ketika itu, Umno boleh buat apa saja sebab mandat dari rakyat itu adalah mutlak. Umno mempunyai peluang yang panjang dan luas hingga tahun 2018. Tetapi peluang ini dipersia-siakan. Pasti mereka kesal apabila kalah pilihan raya walaupun tidak mengaku atau menyesal atas kesilapan yang mereka pernah lakukan.

Tetapi kini BN berkongsi kuasa dengan Pakatan Harapan, tetapi itu pun tidak dominan. Banyak kehendaknya tersekat. Tetapi kemenangan dua pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan memberi harapan baharu bagi BN. Maka disebutnya Zahid Hamidi sebagai “Perdana Menteri menanti” (prime minister-in-waiting) dan BN sebagai “kerajaan menanti” (government-in-waiting).

Namun begitu, walaupun ia yakin untuk menang, ia masih perlukan pakatan dengan PAS. Setakat ini keputusan muktamad belum dibuat bentuk bagaimana hubungan BN dan PAS walaupun sudah berlangsung pakatan tertentu antara keduanya semasa PRN Johor dan Negeri Sembilan. Umum berpendapat bahawa BN tidak akan memperoleh kemenangan dalam PRU tanpa pakatan dengan PAS.

Pada tahun 1982, pertama kali juga saya hadir Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada muktamar itu berlaku perubahan pucuk pimpinan dari Dato’ Asri Muda kepada Yusof Rawa. Timbalan Yang Dipertua disandang oleh Fadzil Noor. Naib-naib Yang Dipertua ialah Nakhaie Ahmad dan Abdul Hadi Awang.

Gambar fail, Allahyarham Asri Muda.

PAS ada dalam titik paling rendah. Lima kerusi parlimen tinggal satu apabila empat ahli parlimennya meninggalkan parti untuk bersama Dato’ Asri yang menubuhkan Hizbul Muslimin dan selanjutnya bergabung dengan BN.

Tetapi tamparan besar yang diterima PAS berlaku pada 1981 apabila Dr Mahathir berjaya membawa Anwar Ibrahim menyertai Umno sedangkan sebelum itu Dato’ Asri berharap Anwar akan menjadi pengganti beliau untuk memimpin PAS.

Kini PAS berada dalam titik paling tinggi. Dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, parti itu sudah menjadi dominan dalam Perikatan Nasional hingga boleh menentukan sama ada Parti Wawasan atau Bersatu untuk menjadi rakan kongsi politik. Malah ia juga boleh memberikan kata dua pada Umno untuk menentukan bentuk pakatan itu.

PAS yakin kerjasama mereka dengan BN boleh menjatuhkan Pakatan Harapan. Kerajaan BN-PN inilah merupakan “kerajaan menanti” dan Zahid merupakan “Perdana Menteri menanti” dengan Timbalan Perdana Menteri dari PAS. Siapa? Sepatutnya Abdul Hadilah yang menyandang jawatan itu. Tetapi tidak semestinya. Kalau mengikut keadaannya, Abdul Hadi tidak akan mahu memegang jawatan itu. Beliau hanya perlukan proksi.

Gambar fail, Zahid dan Hadi ketika kempen PRK Tanjung Piai pada 2019.

Para penyokong BN pasti mengimpikan supaya keadaan politik negara kembali seperti pada tahun 1982 dengan Umno dominan dalam kerajaan BN yang memerintah.

Pada tahun 1982, Dr Mahathir amat berkuasa. Beliau terus berkuasa dan dapat mengalahkan semua pesaingnya, Musa, Tengku Razaleigh dan Anwar, iaitu dari tahun 1982 itu sampailah pilihan raya tahun 1999. Tetapi setiap kemenangannya, beliau melemahkan partinya. Malah beliau sendiri akhirnya memimpin PH untuk menumbangkan BN.

Kalau seseorang memerhati apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada tahun 2015, tentu akan dapat faham tujuan Bersatu ditubuhkan. Bersatu bukanlah parti pecahan atau serpihan Umno semata-mata. Dengan melihat tindak-tanduk politiknya dari tahun 2015 hingga 2020, Dr Mahathir mahu menjadikan Bersatu sebagai pengganti kepada Umno secara keseluruhannya.

Pada tahun 2018, Umno patutnya terbubar dengan semua ahli-ahlinya menyertai Bersatu. Parti Bersatu adalah sebenarnya dirancang sebagai Umno 2.0. Apa yang dilakukan oleh Najib Razak patut dilihat amat berat sekali hingga wajar mendorong semua ahli Umno menyertai Bersatu.

Jika Bersatu kuat dan terus berada dalam PH, maka ia boleh menjadi dominan dalam gabungan itu dan selanjutnya menjadikan PH sebagai pengganti BN. Jika semua ahli parlimen Umno menyertai Bersatu, Dr Mahathir boleh terus menjadi perdana menteri dan tidak perlu digantikan dengan Anwar.

Tetapi ternyata pada tahun 2018, ahli Umno tetap setia malah mereka terus menyokong Najib walaupun skandal 1MDB telah terdedah dengan jelas, tanpa boleh dinafikan lagi.

Sementara PAS juga tidak terkesan dengan pendedahan 1MDB. Mereka masih sentiasa bersama dengan Najib walaupun strategi pilihan raya tahun 2018 untuk memecahkan undi PH bukan saja gagal untuk menyelamatkan Umno walaupun ia sedikit sebanyak menguntungkan Umno.

Walaupun Bersatu gagal menarik ahli-ahli Umno tetapi ia berjaya menarik ahli parlimen PKR untuk menyertainya hinggakan kerajaan PH tumbang. Ini membolehkan Bersatu mengetuai kerajaan dengan sokongan BN dan PAS. Lebih penting lagi, Langkah Sheraton ini berjaya menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri ketika itu.

Dalam politik tahun 2020, Muhyiddin Yassin dan Bersatu berusaha mencorak semula jajaran politik negara. Gagasan Perikatan Nasional dijadikan payung besar yang merangkumi Bersatu, BN dan PAS. PN ini seolah-olah hendak dijadikan BN 2.0 dengan Bersatu sebagai dominan.

Walaupun PAS boleh terima dengan jajaran ini, tetapi BN menuntut supaya mereka yang menjadi Perdana Menteri dan mengetuai gabungan ini. Bersatu tidak mempunyai kekuatan untuk menentang BN. Usahanya untuk membawa masuk PH gagal. Akhirnya Bersatu perlu terima BN mengetuai kerajaan. Tetapi kerajaan Ismail Sabri Yaacob ini tidak stabil.

Apabila parlimen dibubar, apa yang mengecewakan BN ialah PAS pergi kepada PN. Sedangkan PAS telah lama berbaik dengan Umno dari tahun 2015 dan seterusnya menubuhkan Muafakat Nasional sejak tahun 2018 lagi.

Muhyiddin membayangkan PN yang turut di dalamnya ada BN. Tetapi BN pula membayangkan Muafakat Nasional BN-PAS untuk menghadapi PRU. Tetapi PAS pada masa itu memilih Bersatu. Ini kerana ketika itu Bersatu lebih mudah menguruskan pembahagian kerusi dengan PAS. BN payah. Maka berlakulah pertandingan tiga penjuru semasa PRU tahun 2022. Ternyata PN dapat mengatasi BN walaupun tidak berjaya mengalahkan PH. Maknanya perhitungan PAS untuk bersama PN adalah betul.

BN menerima pelawaan PH menubuhkan kerajaan perpaduan. Lebih menguntungkan, ia memperoleh kementerian-kementerian kanan dan berdana besar.

Setelah empat tahun merancang, akhirnya BN mengambil keputusan untuk bersama PAS bagi menghadapi PRU akan datang.

Kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan memberi keyakinan pada BN, ia akan menang dalam PRU akan datang. Sebarang keraguan boleh ditampung dengan berpakat bersama PAS.

Jadi Perhimpunan Agung Umno minggu lalu memberi semangat untuk menghadapi PRU. Jalan sudah nyata. Semangat sudah dinyalakan dan keadaan negara sudah berubah. Tetapi banyak kesilapan ucapan telah dikeluarkan dalam perhimpunan itu menunjukkan keyakinan berlebihan pada Umno.

Malaysia dan dunia tahun 2026 jauh berbeza dari keadaan tahun 1982. Zahid bukannya Dr Mahathir pada tahun 1982. Umno tahun 2026 tidak sama dengan Umno 1983. Lawan-lawan Umno pun sudah berbeza.

PAS dan DAP pada tahun 2026 jauh lebih kuat berbanding tahun 1982. Dulu tidak ada PKR, Amanah, Bersatu, Wawasan dan Bersama. Adalah sukar bagi Umno untuk kembali seperti dulu. Lagipun sekarang sudah ada media sosial. Dulu hanya ada surat khabar dan televisyen yang dikawal oleh BN.


ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.