KOLUM | Dunia tahu dan sedar bahawa wujudiah Israel bergantung kepada AS. Tanpa sokong Washington dari segi politik, senjata dan diplomasi, Tel Aviv tidak akan wujud.

Dunia tahu projek mendirikan Israel ialah projek kolonial Pascaperang Dunia Kedua.

Tanpa kuasa imperialis AS, mustahil Isreal boleh wujud dan melakukan apa yang dilakukan selama ini.

Israel diwujudkan pada 1948 untuk membasuh dosa kejahatan Nazi Jerman yang melakukan genosid terhadap bani Yahudi. Negara Eropah seperti Perancis dan Itali juga berasa bersalah kerana bekerjasama dengan Adolf Hitler untuk membantai bani Yahudi di Eropah.

Sikap antisemitik Eropah dieksploitasi oleh bani Yahudi untuk memastikan warga Eropah terus rasa bersalah kerana membenarkan Hitler membunuh, membakar dan meracun lebih enam juta orag Yahudi di Eropah.

Genosid – pembunuhan beramai-ramai – terhadap bani Yahudi dalam Perang Dunia Kedua dikenali sebagai Holocaust. Ia terhasil daripada kebencian warga Eropah terhadap bani Yahudi yang berbangsa Semitik.

Justeru hari ini kita akan terus membaca bahawa kritikan terhadap Isreal akan dituduh sebagai rasis, perkauman dan antisemitik. Bani Yahudi mendakwa mereka berasal daripada bangsa dan ras Semitik yang berpangkalan di Palestin.

Sesiapa yang mengajukan dasar anti Isreal atau mengkritik dasar Israel akan di tuduh sebagai antisemitik.

Itulah bangkai biawak yang dijual sebagai daging kijang oleh Israel selama ini.

Wajib juga dinyatakan di sini bahawa Palestin dan Arab juga adalah dari ras dan bangsa yang sama – jalur Semitik.

Wilayah kaya dengan minyak

Di belakang semua ini ialah Zionisme. Ini ialah gerakan nasionalis dan politik moden yang bersifat sekular, yang muncul di Eropah pada akhir abad ke-19 untuk menubuhkan dan menyokong sebuah negara Yahudi yang berdaulat di wilayah bersejarah Palestin.

Penganut ideologi Zionis percaya bahawa orang Yahudi – yang berkongsi warisan sejarah, budaya, dan agama yang berkait rapat dengan tanah Israel – mempunyai hak untuk memiliki tanah air yang berdaulat di wilayah tersebut.

Hari ini seorang Zionis ialah individu yang tidak semestinya Yahudi. Sosok Zionis tersebut mungkin Inggeris, mungkin Itali, mungkin Arab dan mungkin Melayu.

Jika sosok itu menyokong dasar Israel, dan menyokong tindak tanduk Isreal maka sosok itu ialah Zionis.

Awalnya hubungan Israel dengan AS tidak intim. Perang Dingin – perang pengaruh di antara kapitalis AS dengan sosialis Rusia – merapatkan Israel dengan Washington.

Rusia mengembangkan pengaruh di Timur Tengah. Rusia membekalkan senjata kepada Presiden Gamal Abdel Nasser di Mesir. Syria dan Iraq pula di bawah pengaruh rejim nasionalis sosialis Parti Baath.

Keadaan itu dilihat membawa bahaya terhadap kepentingan AS. Pada masa yang sama wilayah tersebut menjadi amat penting ia merupakan negara utama pengeluar minyak.

Pertembungan Perang Dingin memuncak apabila berlaku Perang Arab-Israel 1967. Perang Enam Hari ini (5 hingga 10 Jun 1967) merupakan konflik yang berlaku di antara Israel dengan gabungan negara Arab terutamanya Mesir, Syria, dan Jordan

Israel telah menawan dan menduduki Tebing Barat – termasuk Baitulmaqdis Timur – daripada Amman; Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai daripada Kaherah, serta Bukit Golan daripada Damsyik.

AS melihat Israel sebagai satu kuasa yang penting di Timur Tengah. Semenjak itu Israel terus menjadi pangkalan tentera AS yang padu untuk menjaga kepentingan mereka di rantau tersebut.

Pada masa yang sama pengaruh Zionis dan pro-Israel dalam politik AS semakin diperkuat. Pengaruh Zionis Israel beroperasi melalui gabungan Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) yang teratur, kumpulan pelobi dan gerakan Zionis Kristian.

Lobi dan dana untuk pilihan raya cukup penting. Yahudi dan Zionis yang kaya akan memberikan dana kepada para politikus untuk mereka membawa dasar Pro-Israel ke dalam badan politik AS.

Perubahan hubungan AS - Tel Aviv

Lembaga seperti American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) akan membiayai kempen, menggerakkan tekanan akar umbi, serta menggalakkan sokongan dari Parti Demokrat dan Republikan dalam Kongres untuk membuat dasar Pro Israel.

Satu lagi kelompok yang besar dan berpengaruh ialah Kristian Zionis. Kelompok penganut Kristian Evangelikal dan Pentakosta menyokong dasar pro-Israel atas alasan teologi Kristian yang menjanjikan kedatangan Nabi Isa kali kedua di Baitulmuqadis.

Gerakan Kristian Zionis itu membentuk onggak utama konsensus politik konservatif, khususnya dalam kalangan Parti Republikan.

Tidak ada calon presiden yang akan berani mengajukan dasar kritikal terhadap Isreal. Semua Presiden AS sama ada dari Demokrat atau Republikan akan menyokong wujudiah Zionis Israel.

Pada 25 Julai lalu akhbar Juruselam Post melaporkan: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa tiada sekutu yang lebih akrab bagi AS selain Israel, dan begitu juga sebaliknya bagi Israel.

Netanyahu juga berkata Presiden Donald Trump ialah sahabat terbaik untuk Israel.

Tetapi semua itu sudah dan sedang berubah. Taufan al-Aqsa pada 7 Okt 2023 mengubah semuanya. Ada perubahan yang hakiki sedang berlaku dalam hubungan AS dengan Israel.

Malah hubungan Zionis Israel dengan negara Eropah juga mula berganjak.

Apa yang di lakukan oleh Zionis Israel terhadap Gaza mengubah pandangan dunia terhadap Israel. Dulu bani Yahudi menjadi mangsa genosid Nazi. Hari ini bani Yahudi sedang melakukan genosid terhadap Palestin.

Dulu Yahudi menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh Hitler. Hari ini Netanyahu sedang melakukan perkara yang sama terhadap warga Palestin di Gaza.

Masyarakat dunia tidak dapat menerima perkara ini.

Hari ini menurut Pew Research Center, kira-kira 75 peratus rakyat AS yang berumur 18 hingga 29 tahun mempunyai pandangan negatif terhadap Israel. Sebanyak 33 peratus golongan dewasa muda juga menyebelahi rakyat Palestin berbanding 14 peratus menyebelahi Israel.

Golongan muda Amerika (18 – 29) mempunyai pandangan yang jauh lebih kritis dan negatif terhadap Israel berbanding generasi yang lebih tua.

Yang muda merasa simpati serta menyatakan tentangan meluas terhadap tindakan ketenteraan Zionis Israel di Gaza.

Dulu hanya siswa, pelajar dan anak muda daripada pemikiran garis kiri yang menentang Zionis Israel. Apabila genosid berlaku di Gaza, generasi muda – siswa dan pelajar yang berhaluan garis kanan dan konservatif – juga mengubah pandangan politik mereka terhadap Israel.

Bukan kerana kepentingan AS sendiri

Ketika golongan kiri mengambil dasar anti-Israel, adalah mudah untuk mematahkan gelombang mereka. Garis kiri akan dituduh antisemitik, komunis atau pro-Rusia.

Suatu ketika dulu, sesiapa saja di AS atau Eropah menunjukkan simpati terhadap Gaza dan Palestin akan dengan mudah dituduh penyokong Hamas, penyokong Hizbullah atau penyokong Al-Qaeda.

Mereka akan segera dicap sebagai penyokong pengganas.

Hari ini semua sudah berubah. Muncul penyokong perjuangan adil warga Palestin dari garis kanan.

Satu contoh untuk memahami perubahan ini ialah dengan melihat sosok yang bernama Tucker Carlson. Dia sangat berpengaruh di AS.

Bekas personaliti media dari Fox News itu merupakan penyokong tegar Presiden Trump. Apabila Tucker membaca atau memberi komen tentang berita dalam Fox News, berjuta-juta warga AS akan mengikuti pandangannya.

Carlson pemuka penting dalam mempromosi gerakan MAGA (Make America Great Again). Carlson – yang berkempen untuk Trump pada 2024 – kini menjadi antara pengkritik Trump yang paling lantang.

Carlson melihat peranan Isreal membawa AS masuk kancah perang di Iran.

Dia juga lantang mengkritik Netanyahu dan usaha pelobi Zionis di AS dengan menegaskan bahawa tindakan ketenteraan AS ke atas Iran bagi melakukan perubahan perubahan rejim dibuat atas permintaan Israel.

Carlson berhujah bahawa Trump tunduk kepada tekanan Netanyahu, penyumbang dana, serta sekutu pro-Israel dalam kalangan pengamal media AS.

Washington berperang dengan Iran dan bukannya bertindak demi kepentingan nasional.

Pandangan personaliti media yang paling berpengaruh di AS itu berjaya mengubah landskap politik negara tersebut terhadap Isreal. Paling menakutkan Zionis Israel ialah pandangan Carlson itu datang bukan daripada sosok kiri tapi sosok kanan.

Kritikan terhadap Zionis Israel dari garis kanan kini sedang membawa bahaya kepada wujudiah Israel. Justeru untuk menghalang ombak perubahan itu, Zionis Israel sanggup melakukan apa saja, termasuk menembak mati.

Pada 10 Sept 2025, seorang aktivis politik haluan kanan AS, Charlie Kirk, dibunuh ketika berucap di Utah Valley University di Orem, Utah.

Sama seperti Carlson, Kirk merupakan sekutu rapat Trump dan tokoh yang sangat berpengaruh dalam gerakan MAGA.

Kenapa Kirk ditembak mati? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.