KOLUM | Pernahkah kita terbayang andai suatu hari nanti Malaysia mempunyai atlet bertaraf dunia yang lahir dari kelompok terpinggir. Misalnya dalam kalangan pelarian atau anak tanpa negara (stateless)?

Ia menjadi perbincangan aku bersama Abdul Muqit Muhammad, sahabat aku yang tidak asing dalam dunia akademik. Bidang antropologi dan sosiologi merupakan kepakarannya.

Usaha mengangkat maruah pelarian menerusi arena sukan adalah sesuatu yang lumrah di negara-negara maju.

Di sana, krisis kemanusiaan tidak memadamkan potensi anak-anak kecil. Bakat yang dikesan kemudian diserap serta digilap menerusi sistem pengurusan bersistematik sehinggalah mereka mampu menjulang nama negara asing yang sudah menjadi tempat mereka berteduh.

Lihat sahaja Nadia Nadim yang melarikan diri dari Afghanistan selepas bapanya dibunuh rejim Taliban.

Ibunya terpaksa menjual segala harta demi membeli pasport palsu sebelum mereka enam beranak disumbat ke dalam ruang gelap lori kargo, merentasi sempadan demi sempadan sehingga tiba di Denmark.

Nadia membesar di kem pelarian sebelum diangkat sebagai penyerang legenda skuad wanita kebangsaan Denmark. Dia menjuarai liga Eropah bersama kelab gergasi Paris Saint-Germain (PSG) serta Manchester City.

Lebih menakjubkan, Nadia berjaya menggenggam ijazah perubatan untuk bergelar doktor pakar bedah rekonstruktif. Tidak cukup dengan itu Nadia malah turut menguasai 11 bahasa berbeza.

Begitu juga Alphonso Davies, bintang Bayern Munich yang dilahirkan di kem pelarian Ghana semasa perang saudara melanda Liberia.

Takdir hidup Davies berubah tatkala dia - semasa berusia lima tahun - dan keluarganya diterima masuk ke Kanada melalui program penempatan semula pelarian.

Pemilikan pasport jadi syarat mutlak

Menerusi program sukan komuniti di Edmonton, Davies bukan saja digilap menjadi bek kiri terbaik dunia, malah melakar sejarah sebagai pemain bola sepak pertama yang dilantik sebagai Duta Muhibah Global Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kisah Nadia dan Davies sering dijadikan modal inspirasi dalam dunia sukan. Namun dari kanta sains sosial, kejayaan mereka bukannya hasil keajaiban bakat semata-mata, melainkan keberkesan sebuah sistem penempatan, pendaftaran dan asimilasi yang sangat teratur.

Bagaimana pula dengan realiti pelarian di Malaysia?

“Susah,” jawab Muqit sambil membuka pintu perbincangan untuk bergerak lebih mendalam.

Jelas Muqit, melihat dari aspek dasar dan perundangan semasa negara saja kita sudah nampak ia hampir mustahil. Itu belum lagi jika diukur dari lensa sentimen masyarakat.

Kekangan tersebut bukannya berpunca daripada ketiadaan bakat dalam kalangan pelarian, sebaliknya disebabkan tembok perundangan yang menutup rapat pintu ekosistem sukan negara dari peringkat akar lagi.

Pertama, Malaysia bukanlah negara yang meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951. Melalui Akta Imigresen 1959/63, istilah “pelarian” tidak wujud dalam laras perundangan tempatan.

Lantas pemegang kad UNHCR diklasifikasikan secara automatik sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati).

Kedua, Perlembagaan Persekutuan menetapkan prinsip kerakyatan adalah berasaskan keturunan darah (jus sanguinis), bukannya tempat lahir (jus soli).

Tanpa laluan perundangan untuk memohon status pemastautin rasmi mahupun pasport, seseorang anak pelarian mustahil diserap ke institusi sukan elit seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil atau Akademi Mokhtar Dahari.

Di pentas antarabangsa pula, badan induk seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meletakkan pasport negara sebagai syarat mutlak.

Pasport merupakan dokumen yang secara perlembagaannya tidak boleh dikeluarkan kepada Pati.

Namun, di sebalik tembok undang-undang tersebut, wujud satu lagi benteng psikologi-sosial, dan ia jauh lebih tebal di peringkat akar umbi: sindrom rasa terancam dalam kalangan masyarakat Melayu.

Isu itu juga merupakan fokus kajian Muqit ketika dia melengkapkan pengajian doktor falsafahnya beberapa tahun lalu.

Jadi mudarat jika dibiarkan

Rasa terancam dalam kalangan masyarakat Melayu selaku penduduk peribumi bukannya fenomena baru. Secara sejarahnya, ketakutan itu terbina sejak puluhan tahun lalu kesan daripada perubahan demografi, persaingan sosio-ekonomi dan kebimbangan hakiki terhadap kelangsungan identiti serta kedaulatan di tanah sendiri.

Apabila berlaku kebanjiran pelarian tanpa kawalan di kawasan perumahan awam dan petempatan marhaen, ia secara tidak langsung mengaktifkan semula memori trauma tersebut.

Gabungan isu kesesakan, penguasaan ruang ekonomi serta ketiadaan disiplin sebahagian kelompok asing tersebut ditafsirkan sebagai bentuk pencabulan norma dan budaya setempat.

Justeru reaksi penolakan awam yang keras di media sosial mahupun di lapangan bukannya semata-mata kerana rasisme atau kebencian membabi buta, melainkan satu mekanisme pertahanan kendiri.

Abdul Muqit Muhammad

Ia adalah refleks pertahanan psikologi apabila masyarakat tempatan merasakan ruang hidup, ketenteraman dan hak keutamaan mereka selaku warganegara mula dilihat seperti tidak dilindungi.

Persoalannya, adakah rasa terancam itu wajar, dan di manakah pula kedudukan hak kemanusiaan pelarian?

Secara moralnya, rasa terancam masyarakat peribumi itu bersifat neutral. Ia adalah pertahanan semula jadi dalam mana-mana komuniti manusia.

Ia memberi manfaat apabila bertindak sebagai isyarat penggera bagi memelihara kestabilan sosial dan mendesak kerajaan memperkemas dasar.

Pengukuhan aspek keselamatan

Namun, ia bertukar menjadi mudarat apabila dibiarkan membarah dan tanpa kawalan rasional, lalu berubah menjadi syak wasangka yang melampau.

Pada masa yang sama, merujuk etika sejagat dan prinsip karamah insaniah (kemuliaan insan), setiap manusia berhak mendapat kehidupan yang selamat dan bermaruah.

Tiada insan yang bercita-cita untuk lahir dalam kancah perang atau hidup terpinggir tanpa negara.

Dilema sebenar dalam isu ini bukanlah sekadar “betul melawan salah” tetapi pertembungan di antara dua tuntutan berbeza dan masing-masing mempunyai asas moral.

Di satu pihak, warganegara memegang kontrak sosial untuk menuntut keutamaan keselamatan dan kualiti hidup. Di pihak yang lain, pelarian dan individu tanpa kerakyatan membawa hak kemanusiaan asas untuk dilindungi.

Apabila dua nilai itu bertembung, pendekatan ekstrem di mana-mana spektrum hanya akan membuahkan kemudaratan besar.

Atas prinsip ini, kita wajib mengecam keras tindakan melampau segelintir kelompok awam yang mula mengambil tindakan sendiri melangkaui batas undang-undang (vigilante) ke atas komuniti pelarian.

Pendekatan ekstrem dan keterlaluan begitu hanya mencetuskan kucar-kacir yang merosakkan nilai keharmonian. Namun demikian, sikap terlalu idealistik yang mengabaikan hak warganegara turut mengundang padah.

Justeru, penyelesaian adil yang memaksimumkan kesejahteraan bersama perlu diuruskan menerusi penyusunan keutamaan yang cermat dari akarnya.

Dalam tradisi pemikiran Islam sendiri, kita diajar mengenai kerangka fiqh al-awlawiyyat (fiqh keutamaan) – satu disiplin pertimbangan untuk mendahulukan perkara yang paling mendesak demi memelihara maslahah awam dan mencegah kemudaratan yang lebih besar.

Langkah utama ketika ini ialah pengukuhan pangkalan data keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui sistem biometrik dan dokumen pendaftaran pelarian, sekali gus mengelakkan kebergantungan tunggal kepada agensi luar seperti UNHCR.

Mendidik kefahaman undang-undang

Perkembangan terkini menyaksikan cadangan pendaftaran oleh KDN mula dibahaskan secara serius di parlimen. Diharapkan pelaksanaan usaha itu dapat dipercepat demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Kita tidak mahu barah ini membesar dan merebak di luar kawalan. Tindakan pantas kerajaan pasti memberi kelegaan psikologi serta meredakan keresahan di peringkat akar umbi.

Rakyat perlu difahamkan bahawa langkah tersebut bukanlah pengiktirafan rasmi mahupun laluan kerakyatan bagi pelarian, tetapi merupakan satu mekanisme pemantauan yang tegas oleh pihak berkuasa negara.

Malaysia bukanlah sifar pengalaman dalam menguruskan isu pelarian. Sejarah membuktikan kita pernah berupaya menguruskan ketibaan pelarian secara teratur dan terkawal.

Kita pernah menguruskan transit pelarian Vietnam di Pulau Bidong yang disokong penempatan semula negara ketiga, serta perlindungan ihsan dan akses pendidikan buat pelarian Bosnia, Palestin mahupun Syria.

Namun, keresahan melampau masyarakat hari ini berpunca daripada kebanjiran tanpa kawalan pelarian yang diburukkan lagi dengan kerakusan dalang sindiket haram serta kelonggaran integriti sebahagian penguat kuasa yang mengawal sempadan.

Atas dasar itu, dari sudut asimilasi, pembangunan sukan pelarian di Malaysia mungkin belum bersedia untuk melahirkan atlet bertaraf dunia sebagaimana yang disaksikan di negara-negara maju.

Akan tetapi, sukan komuniti wajar digerakkan sebagai instrumen kawalan sosial paling praktikal untuk mendidik anak-anak generasi terpinggir ini tentang disiplin, kebersihan dan penghormatan kepada undang-undang setempat.

Ia boleh digerakkan menerusi pembiayaan pihak antarabangsa, NGO atau swasta – tanpa menjejaskan hak akses fasiliti dan dana awam bagi mengelakkan timbul konflik yang lain.

Mendidik kefahaman mengenai perundangan, psikologi keterancaman dan dilema etika ini amat penting agar masyarakat kekal rasional. Keseimbangan moral inilah yang perlu kita pasakkan.

Kerajaan wajib bertegas menjaga kedaulatan negara menerusi undang-undang, namun pada masa yang sama kehadiran pelarian dan golongan tanpa kerakyatan juga mesti diuruskan secara berstruktur demi memelihara ihsan sesama manusia.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.