KOLUM | Yang gagal hadir semasa Reformasi menggelegak
KOLUM | Beberapa tahun sebelum runtuhnya Tembok Berlin, kumpulan rock terkenal di dunia, Scorpions, mengadakan persembahan di kota Moscow.
Dari situlah penyanyinya, Klaus Meine, mendapat ilham mencipta lagu rock paling berbisa, Wind of Change, yang menceritakan tentang angin perubahan di negara komunis terutama di Eropah Timur.
Lagu itu menjadi tentang perubahan politik dunia dan menjadi siulan anak muda.
Pada kebanyakan orang di tempat kita, lagu tersebut lebih dihayati sebagai sebuah dendangan muzik rock semata-mata.
Menarik untuk mengkaji tentang perkembangan lagu-lagu pada era reformasi yang ada kaitan dengan gerakan politik parti pembangkang berhadapan dengan kerajaan.
Lagu-lagu tidak sekadar sebagai saluran hiburan tetapi alat proganda yang menyebarkan doktrin kepada masyarakat.
Reformasi ialah antara tempoh gerakan yang menuntut perubahan politik dengan menggunakan tema keadilan sebagai senjata.
Era reformasi bermula selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 2 Sept 1998.
Kemuncaknya ialah pada 9 Mei 2018 apabila BN telah hilang kuasa sebagai sebuah kerajaan persekutuan dan di kebanyakan negeri.
Nyanyian jadi selingan ceramah
Sepanjang tempoh dua dekad itu, pelbagai episod kedinamikan politik berlaku. Reformasi juga diwarnakan dengan peranan penyanyi dan lagu-lagunya.
Ito dari Blues Gang antara penyanyi popular terawal yang menyertai gerakan reformasi sejak 1998. Dia bukan sekadar berceramah di atas pentas tetapi turut menyertai demonstrasi jalanan.
Sebagai akibatnya, lagu-lagu Blues Gang kurang berkemundang di corong-corong radio.
Biasanya apabila Ito mengadakan persembahan dalam gerakan reformasi, Tok Ghani rakannya yang juga anggota Blues Gang akan turut bersama.
Meski Ito ada mencipta dan mendendangkan sebuah lagu berkaitan reformasi tetapi lagu tersebut tidak meletup seperti lagu-lagunya lain.
Hatta sewaktu dia mengadakan persembahan di hadapan lautan manusia di Stadium Merdeka sempena Himpunan Bersih pada 2013, dia mendendangkan lagu Apo Nak Dikato.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/24ace7b2b204201151cd92e7d1515812.jpg)
Penyanyi lain yang menyertai gerakan reformasi sewaktu dengan Ito ialah Aqil Hayy, bekas penyanyi kumpulan rock D’Riyadh.
Penampilannya sewaktu era reformasi lebih kepada penceramah yang banyak menggunakan nyanyian sebagai selingan dalam ceramahnya.
Menurut pengarah filem, Nasir Jani, pelopor budaya po dalam era reformasi ialah Aqil Hayy dan Ito.
Lagu era reformasi menjadi popular apabila penyanyinya terlibat dalam gerakan reformasi.
Apabila Tajul FTG menyertai PAS pada 2013 dan mengadakan persembahan di atas pentas parti itu, dia membawa lagu FTG seperti Malaysia Maju. FTG ialah sebuah kumpulan muzik thrash metal tanah air.
Berlegar dalam kalangan aktivis
Pada 1998, kumpulan tersebut mengeluarkan album bertajuk Aku Tak Peduli. Antara lagu dalam album tersebut yang terkait dengan reformasi ialah Malaysia Maju.
Satu daripada tempat yang menjadi tempat persembahan lagu tersebut ialah di Pasir Salak dan Stadium Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Ketika itu, kami sedang melancarkan gerakan Seni Untuk Perubahan dalam kalangan seniman dan budayawan.
Antara lirik lagu Malaysia Maju adalah seperti berikut:
Malaysia makin-makin-makin-makin maju
Tapi bangsa kita makin-makin-makin layu
Gila nama, gila-gila-gila-gila kuasa
Dengki khianat fitnah sama sendiri.
Oleh kerana muzik trash metal agak asing dalam masyarakat setempat, lagu tersebut hanya berlegar dalam kelompok pengemar muzik itu sahaja.
Seorang penyanyi yang secara terbuka menyokong gerakan reformasi ialah Yasin Sulaiman dari kumpulan nasyid Brothers.
Pada 1998 kumpulan Brothers menerbitkan lagu Satu Perjuangan yang mempunyai lirik dan mesej ada kaitan dengan gerakan reformasi.
Namun kerana kumpulan itu tiada kaitan dengan gerakan politik, lagu itu juga dianggap sebagai sebuah nasyid yang sedap didengar sahaja.
Apabila Yasin menyertai gerakan reformasi melalui PKR, dia juga pernah mendendangkan sebuah lagu bertajuk Reformasi pada 2013.
Itupun lagu tersebut hanya berlegar pada telinga penyokong reformasi sahaja.
Berbeza dengan nasyid dendangan kumpulan Nowseeheart yang bertajuk Damai Yang Hilang dan diterbitkan pada 1998 lalu menjadi latar belakang video reformasi.
Liriknya berbunyi:
Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan.
Latar belakang nasyid itu dengan adegan demontrasi jalanan, cota, gas pemedih mata dan pancutan air dari lori FRU, dan pergelutan fizikal para peserta demonstrasi dengan pihak berkuasa.

Meski lagu dan kumpulan nasyid itu tiada kaitan dengan gerakan reformasi secara terbuka tetapi lirik itu dilihat secocok dengan mesej politik yang disampaikan pada gerakan tersebut.
Video tersebut sangat popular dan dijual secara terbuka terutama semasa program parti pembangkang. Ia memaparkan suasana demontrasi sewaktu di Dataran Merdeka dan detik-detik Anwar ditangkap di rumahnya.
Secara tidak langsung, lagu tersebut turut mendapat tempias gelombang reformasi.
Memang terdapat banyak senarai lagu pada era reformasi mengandungi mesej sama dengan gerakan reformasi tetapi tidak dianggap sebagai siulan para reformis. Hal itu kerana penyanyi atau kumpulan terbabit tidak menyertai gerakan reformasi.
Era reformasi memang memberi ruang penyanyi berperanan dalam politik.
Bahkan ada penyanyi menjadi calon PRU seperti Aisyah Wan Ariffin yang bertanding di parlimen Jelebu pada 2013.
Pada masa yang sama, penyanyi Dayangku Intan bertanding di parlimen Pengerang.
Selain itu, penyanyi dan pelakon Abby Abadi turut bersama dalam gerakan reformasi.
Era reformasi memberi laluan kepada kelompok dari budaya pop terlibat secara aktif.
Namun era reformasi gagal mencipta killer song yang menjadi ‘senjata’ kepada gerakan tersebut. Mungkin ia ada kaitan dengan lemahnya sentuhan melodi. Tidak seperti yang pernah Scorpions lakukan melalui lagu Wind of Change.
Parti politik pembangkang dapat memanfaatkan pengaruh penyanyi untuk memberi nilai tambah dalam undi dan sokongan.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/888/RockerandCitySkylineRally_146239.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.